Letih Menjawab Soalan Anak-anak? 5 Panduan Berguna

“Ibu, perut Yaya sakit lagilah”, adu anak kecil berusia 4 tahun kepada si ibu apabila si ibu meminta anak untuk tidur.

“Bila Yaya tidur, hilanglah sakit perut tu. Insya Allah bila bangun esok, sakit tu hilang.” Pujuk si ibu yang sudah pun menyapu minyak angin di perut Yaya.

“Hilang? Sakit tu hilang pergi mana Ibu?” tanya anak yang kehairanan.

“Hilanglah. Sudah, tidur cepat. Cakap banyak-banyak lagi sakit nanti.” Balas si ibu.

“Kenapa kalau cakap banyak-banyak lagi sakit Ibu?” tanya Yaya lagi yang jelas semakin hairan dengan sakit perut yang dialaminya.

“Dah! Tidur. Ibu banyak kerja ni.” Jawab si Ibu sambil mencium ubun-ubun Yaya dan terus keluar meninggalkan anak yang akan tidur dalam keadaan ingin tahu.


 

why

Adakah anak anda banyak bertanya soalan?
Adakah murid anda banyak bertanya soalan?
Bagaimanakah respon anda apabila anak anda ataupun murid anda bertanya soalan kepada anda?

Kata Socrates, seorang ahli falsafah Yunani yang terkenal pada abad ke 4 Sebelum Masihi dahulu,

“Wisdom begins in wonder” ataupun kebijaksanaan itu bermula dari sifat ingin tahu.

Sifat ingin tahu ini adalah sifat semulajadi yang dimiliki oleh kanak-kanak. Kanak-kanak sentiasa ingin tahu tentang setiap apa yang dilihat, didengari, disentuh, dirasa, dan dihidu oleh deria mereka kerana mereka sedang belajar untuk mengenali diri sendiri dan sedang cuba untuk memahami manusia dan dunia di sekelilingnya.

Mereka sedang melalui proses pembelajaran yang asas melalui deria mereka.

Mereka “wonder.”

Menurut Piaget, pakar Psikologi dan perkembangan kanak-kanak, kanak-kanak paling banyak bertanya soalan yang berkaitan dengan ‘sebab dan akibat’ dan juga bertanya tentang justifikasi atau kenapa sesuatu perkara itu berlaku.
Soalan sebegini dikenali sebagai “Why Questions”.

Seperti contoh di atas, Yaya cuba untuk memahami ke mana sakit itu hilang? (justifikasi) dan juga kenapa semakin sakit bila bercakap? (sebab dan akibat)

Ini adalah fitrah seorang manusia.

Ada kanak-kanak yang mula bertanya soalan apabila berusia sekitar 2.5 tahun. Ada yang mula bertanya lebih lewat sedikit. Itu bukanlah satu masalah yang besar. Kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza-beza.

Dalam satu kajian yang dibuat di UK, kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun UK didapati bertanya paling banyak soalan kepada ibu mereka.

Kanak-kanak perlu digalakkan bertanya soalan dan tidak didiamkan apabila cuba bertanya kerana mereka sedang belajar.

Dengan melayan soalan-soalan yang ditanya oleh kanak-kanak, kita dapat membantu anak kecil untuk:

  1. membina perkembangan bahasa dan komunikasi,
  2. memahami konsep asas dalam pembelajaran dan kehidupan seperti besar-kecil, sama-beza, tinggi-rendah, baik-buruk, kaya-miskin, sihat-sakit dan sebagainya,
  3. membina skil,
  4. memahami nilai dan akhlak mengikut agama dan adat kepercayaan kita.

Bimbing anak tentang adab bertanya dan menjawab soalan.
Bimbing juga murid untuk bertanya mengikut giliran.
Bimbing juga anak tentang adab berbincang, dan menerima perbezaan pendapat.

Semua Ini adalah skil yang harus dipupuk dari awal supaya kita menjadi masyarakat yang berilmu dan juga beradab.

1) Ibubapa dan guru usahlah rasa diuji atau dicabar apabila anak-anak bertanya soalan. Mereka sememangnya ingin tahu.
Usah juga rasa letih menjawab soalan yang ditanya kerana sifat bertanya dan ingin tahu ini menunjukkan proses pemikiran mereka yang sedang berkembang. Sel-sel otak mereka sedang berhubung.

2) Jawablah soalan yang ditanya oleh anak-anak dengan ilmu dan hikmah supaya mereka menjadi manusia yang suka menuntut ilmu dan sentiasa mengkaji.

Janganlah hanya menjawab
“Dah memang macam itu.”

3) Walaupun jawapan awal kita adalah
“Sebab Allah berkuasa untuk jadikan sebegitu” selitkan juga ilmu di sebalik sesuatu perkara atau kejadian. Ibubapa perlu berilmu untuk menerangkan tentang sesuatu perkara.

4) Jika kita tidak tahu jawapannya, minta masa daripada anak untuk anda cari jawapannya terlebih dahulu. Jangan malu untuk mengaku yang anda tidak tahu. Walau bagaimanapun pastikan anda cari jawapannya ataupun cari jawapannya bersama-sama dengan anak. Ini akan menjadi teladan yang baik untuk anak.

5) Satu cara yang terbaik untuk menjawab soalan anak yang suka bertanya adalah dengan bertanya kembali kepada anak,

“Apa pendapat kamu?”
“Kenapa kamu rasa berlaku begitu?”
“Ke mana kamu rasa hilangnya sakit itu?”

Jangan terus memberi jawapan terlebih dahulu.
Selalunya anak yang suka bertanya mempunyai ideanya yang tersendiri tentang sesuatu perkara.

Selain ingin tahu, anak juga bertanya kepada kita soalan kerana anak percayakan kita. Anak rasa selamat dan selesa dengan kita. Anak ingin membina hubungan yang rapat dengan kita – bonding.
Jika kita kerap meminta anak diam dan tidak melayan pertanyaannya, lama-kelamaan anak tidak akan bertanya lagi. Mungkin hidup kita lebih aman tanpa soalan yang tidak putus-putus, tetapi dengan berbuat demikian kita hilangkan kepercayaan anak kepada kita dan juga membantutkan proses pemikiran anak tersebut.

Saya pernah berkongsi dalam posting sebelum ini bahawa kebijaksanaan ataupun ‘wisdom’ adalah salah satu daripada 6 karakter penting yang perlu dipupuk pada seorang anak kerana ia membawa manfaat kepada anak dan juga masyarakat umumnya.

Ingatlah kebijaksanaan itu bermula dari sifat ingin tahu – “Wisdom begins in wonder”.
Sifat ingin tahu sangat menebal pada kanak-kanak.
Layanlah soalan mereka.


 

Allah memberikan Hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Al-Baqarah 2:269)


 

Semoga saya menjawab soalan seorang ibu yang bertanya saya tentang anaknya yang berusia 3 tahun yang suka bertanya soalan. Antara soalan yang ditanya oleh anak beliau adalah bagaimana ‘electricity’ itu berlaku dan berfungsi. Masha Allah.

Apakah soalan yang ditanya oleh anak anda – prasekolah, rendah, atau menengah – yang sukar untuk anda jawab?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s