Anak kecil itu menegur saya,
“Esok birthday Apit” beritahunya dengan nada ceria walaupun itu kali pertama kami berjumpa.
“Oh ya? Wah! Apit dah besar. Berapa Umur Apit esok?” saya melayan keramahannya.
“Four!” balasnya yakin sambil menunjukkan 4 jari kecilnya.
“4 years old? Seronok tak nak jadi 4 years old?” soal saya tanpa elemen KBAT.
“Best.” Balasnya sambil tersenyum.
“Kenapa best?” Banyak soal aunty ni.
“Sebab boleh buat SEMUA benda sendiri.” Jawab Apit petah dengan mata yang bersinar-sinar.
**NAK BUAT SENDIRI!**
Perbualan ini berlaku beberapa tahun lalu namun jawapan Apit masih jelas dalam ingatan saya kerana ia dapat dikaitkan dengan perkembangan semulajadi kanak-kanak yang sentiasa inginkan otonomi dan berdikari.
Peluang untuk melakukan tugasan sendiri tanpa bantuan sepenuhnya adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh kanak-kanak. Ia adalah keperluan yang mendesak dalam diri kanak-kanak. Walaupun sifat tidak bergantung ini adalah sesuatu yang positif jika dilihat dari satu sudut, namun dari sudut yang lain pula, keinginan untuk mendapatkan otonomi juga adalah antara penyebab utama berlakunya ‘tantrum’ pada diri kanak-kanak.
Pernah dengar istilah “Terrible Two”?
Istilah ini direka kerana usia dua tahun sering dikaitkan dengan tantrum. Kanak-kanak usia ini akan mengamuk jika dilarang atau jika permintaan mereka tidak ditunaikan. Mereka ingin menjadi ‘boss’ kepada diri mereka sendiri.
Tantrum adalah sesuatu yang normal bagi kanak-kanak. Tidak perlu dirisaukan selagi ia tidak membahayakan kanak-kanak, tidak mengganggu fungsi seharian dan juga tidak menunjukkan simptom lain yang mungkin menjadi penanda masalah yang lebih besar dan memerlukan intervensi pakar.
Apit mungkin tidak sedar, seperti kebanyakan kanak-kanak lain juga, dia sebenarnya sudah pun menuntut otonomi itu sejak dia berusia 1.5 tahun lagi.
Begitulah menurut Pakar Perkembangan Psikososial, Eric Erikson.
Semua hendak dilakukan sendiri oleh kanak-kanak. Makan sendiri, mandi sendiri, meneroka sendiri, memakai baju sendiri. Pendek kata semua hendak dilakukan sendiri.
Ini berlaku kerana apabila fizikal kanak-kanak mula berkembang, dia mula meneroka dan menguji keupayaan tubuh badannya. Otak mereka juga ligat berfikir strategi.
Mereka ‘dapat kaki’ atau ‘dapat lesen’. Ini adalah perkembangan atau milestone penting bagi kanak-kanak. Jangan dihalang usaha kanak-kanak meneroka fizikalnya dan cuba berdikari kerana ia perlu.
Apakah yang diperlukan jika ingin memberikan otonomi kepada kanak-kanak?
1) Sediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk kanak-kanak. Tidak perlulah menghiasi rumah dengan perhiasan kaca atau perabot yang terlalu padat dan sofistikated. Mereka memerlukan ruang untuk meneroka dan bergerak bebas.
2) Jika anak ingin menyuap makanan sendiri, sediakan ruang makan yang tetap supaya anak tidak ke sana ke mari sehingga sepahkan makanan. Adalah digalakkan untuk makan bersama-sama seisi keluarga di ruang makan, tidak kiralah di meja makan atau bersila dilantai. Alaskan ruang tersebut supaya makanan yang tumpah dapat dikutip dengan mudah dan tidak menambahkan kerja kita yang sememangnya letih.
3) Jika anak melalui fasa ingin memakai baju sendiri, belilah baju dan seluar/skirt yang mudah disarungkan oleh anak. Tidak perlu terlampau ‘fancy’ dan rumit untuk dipakai anak. Bersiap awal jika ada temujanji kerana anak kecil yang ingin berpakaian sendiri akan mengambil masa untuk bersiap. Skil motor halus mereka masih perlu dilatih dan dipupuk.
4) Jika anak ingin mandi sendiri, PASTIKAN ADA ORANG DEWASA BERSAMA-SAMA ANAK untuk memastikan keselamatan anak. Tiada kompromi.
5) Jika anak ingin meneroka sendiri, tetapkan batasan dan pantau supaya anak tidak ke kawasan yang berbahaya dan melalukan sesuatu yang tidak bersesuaian dengan keupayaan fizikalnya.
APAKAH KESANNYA JIKA OTONOMI TIDAK DIBERIKAN?
1) Jika anak tidak diberikan peluang untuk menguruskan otonomi, mereka tidak akan yakin dengan keupayaan diri sendiri.
2) Jika kita berterusan melakukan semua untuk anak kerana kita tidak yakin dengan mereka, mereka juga tidak akan yakin dengan diri mereka sendiri. Mereka akan berterusan bergantung dan berharap pada pertolongan kita tanpa mahu mencuba.
3) Percaya diri (self esteem) anak juga akan terkesan apabila bergaul dengan kanak-kanak lain yang berupaya melakukan tugasan dengan sendiri.
4) Kekurangan ini akan mengganggu emosi anak dan mungkin akan dimanifestasikan melalui tingkah laku yang menguji kesabaran kita.
Semuanya berkaitan.
Harus juga diingat sesetengah kanak-kanak BELUM berupaya melakukan sesuatu dengan sendiri sepenuhnya kerana fizikal mereka belum bersedia dan masih berkembang.
* Jangan dipaksa.
* Berikan tugasan peringkat demi peringkat.
* Tunjukkan langkah demi langkah sebagai panduan.
* Jangan mengharapkan kesempurnaan.
* Puji setiap usaha kecil anak dan sentiasa berikan galakan untuk dia berusaha.
PRACTICE MAKES PROGRESS.
**NAK TOLONG JUGAK!**
Kanak-kanak memang tidak boleh diam. Kita sepatutnya risau jika kanak-kanak diam kerana itu tidak normal. Tahap tumpuan kanak-kanak (attention span) juga rendah. Mengharapkan kanak-kanak untuk diam di meja tanpa bergerak dan tanpa berbunyi adalah satu penganiayaan kepada sifat semulajadi kanak-kanak.
Mereka perlu bergerak.
Anak sentiasa ingin membantu di rumah kerana dia ingin merasa ‘sense of belonging’ atau diterima sebagai sebahagian dari keluarga. ‘Sense of belonging’ ini sangat penting dalam perkembangan seorang manusia kerana ia menjadi motivasi yang penting untuk berusaha.
Bayangkan jika kita tidak diterima dengan baik di pejabat. Segala usaha kita tidak dihargai. Adakah kita bermotivasi untuk terus bekerja di situ?
Kanak-kanak juga ingin merasa ‘sense of belonging’ di tadika atau di sekolah. Mereka ingin menyumbang tenaga, skil dan kepakaran mereka supaya diterima dan dihargai.
Menggunakan satu kayu ukur untuk menilai kebolehan seorang kanak-kanak akan mematikan semangat kanak-kanak untuk berusaha.
Usia 3-5 tahun adalah usia di mana kanak-kanak meneroka keupayaan diri sendiri. Dengan membantu melakukan kerja rumah, secara tidak sedar mereka:
1) merancang strategi – bagaimana sesuatu itu perlu dilakukan,
2) menyempurnakan tugasan (perseverance)
3) belajar berdepan dengan cabaran (resilience).
Semua ini adalah skil yang penting untuk dipupuk dari usia awal.
Mengemas rumah mungkin sesuatu yang mudah bagi kita kerana otak kita telah pun membina jaringan neural yang memudahkan urusan kita. Bagi kanak-kanak pula, sel-sel (jaringan) otak mereka masih berhubung. Apa yang mudah bagi kita adalah satu cabaran bagi mereka. Kanak-kanak memerlukan cabaran yang bersesuaian dengan usia mereka kerana ini akan melonjak keyakinan dan percaya diri mereka.
Kanak-kanak yang digalakkan membantu akan lebih terdedah kepada kesilapan. Mereka akan terdorong untuk belajar melalui kesilapan, mencari alternatif dan menjadi lebih resilien.
Ini adalah skil yang sangat penting juga.
*Biar anak bantu selagi tugasan itu tidak membahayakan.
*Biar anak bantu selagi tugasan itu bersesuaian dengan usia.
*Pastikan juga mereka dipantau.
*Puji setiap usaha dan bantuan yang mereka berikan walaupun kecil.
*Ajar mereka langkah demi langkah.
SABAR.
APAKAH KESANNYA JIKA USAHA ANAK UNTUK MEMBANTU TIDAK DIHARGAI?
Anak akan membina konsep yang negatif tentang dirinya sendiri. Dia akan lebih menyalahkan diri sendiri dan berhenti untuk berusaha dan membantu kerana kita tidak suka.
Oleh itu, tidak perlulah kita menjadi ‘helicopter parent’ yang buatkan semua untuk anak kerana takut mereka silap, takut rumah bersepah, takut memakan masa, takut anak comot dan takut tugas tidak sempurna.
USAH MENGHARAPKAN KESEMPURNAAN KERANA KETIDAKSEMPURNAAN ITULAH YANG MENJADIKAN SESEORANG ITU KANAK-KANAK.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy