Marshmallow Test

Anak anda menjerit-jerit di pusat membeli belah kerana mahukan juga mainan yang dilihatnya. Kerana malu diperhatikan oleh orang sekeliling dan kerana hendak mendiamkan anak, anda mengalah dan belikan juga mainan tersebut untuk anak.

Anda sedang bersiap-siap untuk makan malam, anak kecil anda merengek kerana mahukan aiskrim dalam peti sejuk. Anda memujuknya untuk makan malam terlebih dahulu barulah boleh makan aiskrim sebagai pencuci mulut. Anak anda berterusan merengek dan terus menjerit kerana mahu juga aiskrim tersebut. Disebabkan rimas dengan jeritan anak, anda mengalah dan berikan juga aiskrim. Anak akhirnya ‘kenyang’ dengan aiskrim dan tidak makan makanan yang sepatutnya.

Adakah anda biasa dengan situasi ini?

Tahukah anda konsisten dan berpegang teguh dengan kata-kata dan peraturan yang telah anda tetapkan dan biarkan anak menunggu jika mahukan sesuatu adalah skil yang sangat penting diterapkan sewaktu anak masih kecil?

Ini adalah berkaitan dengan kawalan diri (self control) dan kepuasan tertunggak (delayed gratification) anak anda.


 

Pada tahun 1960an dulu, sebuah kajian yang dikenali sebagai “Marshmallow Test” telah dijalankan oleh seorang pakar psikologi terkenal, Walter Mischel, dari Stanford University” Amerika Syarikat untuk mengkaji kawalan diri kanak-kanak peringkat pra sekolah. Kajian ini berterusan selama berpuluh-puluh tahun.

marshmellowtest

Dalam eksperimen ini, setiap kanak-kanak dihidangkan dengan sebiji ‘marshmallow’ yang diletakkan di hadapan mereka. Kanak-kanak yang berjaya mengawal diri dari memakan marshmallow tersebut dalam jangkamasa 20 minit yang ditetapkan akan diberikan sebiji marshmallow tambahan sebagai ganjaran. Kanak-kanak ini ditinggalkan keseorangan dalam bilik bersama ‘marshmallow’ tersebut. Ada kanak-kanak yang tidak dapat menunggu dan ada yang sabar menunggu dan mendapat ganjaran yang dijanjikan.

Dalam kajian susulan yang dibuat berpuluh tahun kemudian, kanak-kanak “Marshmallow Test” yang mengambil keputusan untuk menunggu supaya mendapat ganjaran seterusnya didapati menjalani kehidupan yang lebih baik sebagai orang dewasa.

Mereka didapati lebih yakin diri, lebih berjaya mengawal diri dan emosi ketika melalui episod kesedihan dan kekecewaan, lebih berjaya dari segi pencapaian akademik, lebih sihat tubuh badan dan lebih berjaya merancang kehidupan mereka. Mereka juga didapati lebih banyak menggunakan bahagian otak yang menjana pemikiran iaitu prefrontal cortex.

Latihlah anak supaya menjadikan kawalan diri sebagai satu gaya hidup. Apabila dilatih, lama kelamaan ia akan menjadi tabiat dan anak tidak akan lagi berguling-guling atau meraung inginkan sesuatu serta-merta. Anak kecil memang sifatnya ‘impulsive’ atau belum boleh kawal diri sepenuhnya, oleh itu mereka perlu dibimbing, dilatih dan diberi peluang, bukannya dibiarkan mengikut keinginan mereka sepenuhnya tanpa batasan.

Antara latihan yang boleh dibuat dengan anak-anak:

  1. Ajar anak untuk menunggu waktu makan dan elakkan beri anak kudapan antara waktu makan.
  2. Banyakkan permainan dan aktiviti yang memerlukan fokus, perhatian, pendengaran dan kesabaran.
  3. Ajar anak untuk menunggu jika inginkan sesuatu, contohnya sesuatu yang diingini boleh dibeli untuk Hari Jadi, Hari Raya dan hari tertentu dan bukannya setiap kali ke pusat membeli belah, walaupun anda tidak ada masalah dari segi kewangan.
  4. Ajar anak untuk beratur ketika menunggu giliran dan bukannya memotong barisan – ini memerlukan anda sebagai ‘role model’.
  5. Latih anak/murid untuk menunggu giliran untuk bercakap dalam kelas dan bukannya memotong percakapan orang lain.
  6. Ajar anak untuk menunggu jika anda bercakap di telefon atau bercakap dengan tetamu atau rakan. Tetapi janganlah mengambil peluang untuk berlama-lama di media sosial ya.
  7. Ajar anak untuk membantu anda membuat kerja-kerja di rumah dan tidak melakukan tugasan untuk anak.
  8. Bacakan buku dan berita yang menceritakan tentang sifat sabar dan kawalan diri.
  9. Ajar anak untuk meluahkan emosi dengan perkataan dan bukannya dengan mengamuk.
  10. Puji setiap usaha anak untuk mencapai sesuatu matlamat, walaupun usaha itu kecil.
  11. Ajar anak melihat jam untuk melatih anak menunggu untuk waktu yang ditetapkan.
  12.  Jadi ‘role model’ kawalan diri dan kepuasan tertunggak yang terbaik untuk anak.

Children See Children Do.

Mungkin anda boleh mencuba ‘marshmallow’, oreo atau M&M test dengan anak anda?
🙂

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Tunggu Sekejap Wahai Kekasih

tantrum sabar

Pernahkah anda melalui situasi di mana anak mahukan sesuatu serta merta dan tidak mahu menunggu?

Kanak-kanak sekarang dikenali sebagai generasi ‘INSTANT GRATIFICATION’ iaitu generasi yang tidak sabar menunggu. 

Mereka hidup dalam dunia yang serba pantas. Mereka hidup dalam dunia ‘touch screen’, semuanya di hujung jari.

Mereka hidup dalam dunia di mana semua kehendak mereka boleh dipenuhi dengan segera oleh (kebanyakan) ibubapa.

Mereka hidup dalam dunia di mana kartun kegemaran boleh ditonton sepanjang masa diulang ulang.

Disebabkan kepantasan mendapatkan sesuatu ini, mereka sering melihat diri mereka sebagai seorang individu dan bukannya sebagai sebahagian dari unit keluarga. Mereka sukar melihat kesan perbuatan dan kemahuan mereka kepada keluarga.

Ajari anak generasi ini untuk sabar menunggu.
Ajari anak generasi ini untuk faham bahawa orang lain juga ada keperluan mereka yang harus dihormati.

Apabila anak ajak bermain dan anda sedang sibuk uruskan pinggan mangkuk yang bertimbun di dapur, katalah kepada anak “Beri ibu 5 minit untuk cuci pinggan mangkuk. Lepas itu Ibu datang.”

Biar anak tunggu sekejap dan faham yang ibu juga ada tugasan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Apabila anak meminta bantuan dengan kerja sekolahnya dan anda perlu menguruskan anak kecil dengan segera, katalah kepada anak

“Kejap Ayah pakaikan adik lampin lepas itu Ayah bantu. “
Biar anak tunggu sekejap.

Kadang-kadang waktu menunggu itu anak akan dapat menyelesaikan apa saja masalah yang dihadapinya dengan sendiri.

Biar anak faham bahawa semua ahli keluarga ada keperluan yang perlu dihormati dan saling dibantu.

Latih anak untuk menunggu untuk dapatkan sesuatu.
Bukankah ganjaran syurga juga perlu ditunggu?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Teladan Daripada Gergasi Teknologi

Dua tahun selepas iPad dilancarkan, pengasas Apple mendiang Steve Jobs memberitahu wartawan bahawa anak-anak beliau belum lagi menggunakan iPad.

Beliau melahirkan kerisauan beliau tentang ketagihan gajet.

gergasitek

Pengasas Microsoft, Bill Gates, menetapkan bahawa anak beliau hanya boleh memiliki telefon pintar apabila berusia 14 tahun walaupun anak beliau merungut kerana semua rakan memilikinya.


 

Anak-anak mula merasakan ‘peer pressure’ dan mula membanding-bandingkan peraturan di rumah sendiri dan peraturan di rumah kawan ketika berusia dalam lingkungan 9 tahun.

Inilah usia mereka nampak apa yang rakan ada dan apa yang mereka tiada.
Inilah usia mereka mahu apa yang rakan ada.
Inilah usia mereka mula merasakan peraturan di rumah tidak adil.
Inilah usia mereka takut ketinggalan berbanding rakan.

Sebelum mereka mula meminta-minta, merayu-rayu, memujuk-mujuk.
Sebelum mereka mula membanding-bandingkan.
Sebelum mereka berkata “It’s not fair”, “Kenapa kawan boleh?”, eloklah kita tetapkan bila waktunya mereka boleh memiliki telefon pintar.

Beritahu anak dari awal supaya mereka tahu. Biarlah mereka menunggu. Ini namanya ‘delayed gratification’ yang banyak faedahnya untuk perkembangan peribadi seorang manusia.

Apabila sudah diberi tanpa pertimbangan yang wajar oleh ibubapa, amat sukar untuk ditarik balik jika anak-anak menyalahgunakannya.

Berapakah usia yang patut/ingin anda tetapkan untuk anak-anak memiliki telefon pintar?

Kenapa?

Noor Afidah Abu Bakar
Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect