Anak kecil itu meronta-ronta tidak mahu disuapkan ubat. Dikuncinya bibir serapat-rapatnya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Sedap ni sedap. Ini bukan ubat. Ini air. Tengok warna merah. Ini air merah. Sedap.” kata si ibu.
Kredit Imej: Google
Anak yang meronta-ronta tadi kelihatan lebih tenang mendengar kata-kata ibu. Dia membuka mulutnya perlahan-lahan dan membiarkan ibu menekan picagari yang berisi ‘air merah’ ke dalam mulut anak kecil itu.
Apabila ‘air merah’ yang dikatakan ibu ‘sedap’ itu mencuit deria rasanya, anak kecil terus memuntahkan apa yang masuk ke dalam mulutnya sambil anak meraung teresak-esak.
Dia tertipu dengan tipu daya si ibu yang berniat baik hendak menyembuhkan anak. Tidak ada ibu yang tidak sayangkan anaknya dan sentiasa inginkan yang terbaik untuk anaknya.
Anak belajar.
Petang itu ‘mood’ ayah sangat baik. Dia membawa isteri dan anak-anak makan angin kerana sudah lama rasanya mereka tidak berjalan-jalan sekeluarga. Ayah terlalu sibuk dengan ‘deadline’ sebelum ini. Alhamdulillah segala urusannya sudah selesai buat masa ini. Kereta ayah meluncur laju di atas jalan raya. Lampu isyarat sudah bertukar merah tetapi ayah terus memandu membelah lampu merah.
“Ayah, lampu merah tadi. Kenapa ayah ‘drive’ terus?” tanya anak pelik. Setahu anak lampu merah perlu berhenti. Itu yang diajar ayah kepada anak ketika memperkenalkan warna-warna dulu.
Jawab ayah “Tak pe, lampu sebelah sana belum hijau. Lagipun ayah tahu tak ada kamera atau polis kat situ. Diorang tak nampak.”
Anak belajar.
Anak menghulurkan sekeping kertas kepada ayah dan ibu yang sedang bersantai di hadapan TV.
“Ayah, ibu, cikgu kasi surat ini. Cikgu cakap hujung minggu depan ada perjumpaan dengan ibubapa.” Terang anak.
“Alaa…malaslah ayah nak pergi. Cakap pada cikgu ayah ‘outstation’. Senang sikit.” Cadang ayah.
“Ha’ah ibu pun letihla hujung minggu nak ke sekolah kamu. Cakap dengan cikgu ibu ada kerja ya. Tak boleh hadir jugak.” Alasan ibu.
Anak belajar.
Kita tidak pernah ajar anak berbohong tetapi secara tidak sedar anak mungkin belajar berbohong daripada kita sejak dia masih merangkak lagi.
Apabila anak berbohong dan terus berbohong dan kita buntu sama ada untuk memarahinya, memukulnya, merotannya, cili mulutnya atau hukumnya, cuba fikir kembali adakah kita pernah berbohong kepada anak tanpa kita sedari?
Itulah yang pertama harus kita lakukan.
Imam Abu Dawud telah meriwayatkan hadith dari Abdullah bin ‘Amir, dia berkata: “Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW duduk di tengah-tengah kami, (tiba-tiba) ibuku memanggilku dengan mengatakan: ‘Hai kemari, aku akan beri kamu sesuatu!’
Rasulullah SAW mengatakan kepada ibuku: ‘Apa yang akan kamu berikan kepadanya?’ Ibuku menjawab: ‘Kurma.’
Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Ketahuilah, seandainya kamu tidak memberinya sesuatu maka ditulis bagimu kedustaan.”
(HR. Abu Dawud bab At-Tasydid fil Kadzib no. 498, lihat Ash-Shahihah no. 748)
Kita perlu belajar.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect