Adakah Harus Dibiarkan Sahaja Tingkahlaku Kanak-kanak Kerana Memang Begitu Sifatnya?

Ada yang bertanya saya tentang perkembangan kanak-kanak (child development) yang sering saya kongsikan dalam penulisan saya.

Soalannya adakah apabila kita tahu perkembangan kanak-kanak mengikut usia mereka, itu bermakna kita harus biarkan sahaja tingkah laku mereka kerana kanak-kanak memang begitu sifatnya?

Jawapannya TIDAK. Kita tidak biarkan. 
Saya juga tidak pernah menulis yang kita biarkan tingkah laku mereka.
Saya selalu menulis yang kita perlu faham supaya kita dapat bimbing mereka.

Apabila kita tahu dan faham perkembangan kanak-kanak (child development) dari aspek fizikal, emosi, sosial, intelektual, dan rohani mereka, maka kita boleh fikirkan apakah kaedah yang SESUAI DAN EFEKTIF untuk anak tersebut.

Kaedah yang sesuai dengan usia anak tersebut, sesuai dengan pembawaan anak tersebut, sesuai dengan tahap perkembangan anak tersebut, sesuai dengan keupayaan anak tersebut, sesuai dengan emosi anak tersebut, sesuai dengan persekitaran anak tersebut dan sesuai dengan tahap pemikiran anak tersebut.

Semua kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza-beza.

Ada ketikanya kita boleh menggunakan 1 kaedah yang sama ke atas 5 orang kanak-kanak.

Ada ketikanya pula kita perlu menggunakan 5 kaedah yang berbeza ke atas 5 orang kanak-kanak yang berbeza.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Konflik Waktu Pagi

Ramai ibubapa yang mengadu bahawa menguruskan anak-anak pada waktu pagi adalah salah satu punca stres yang utama. Stres ini berlarutan lagi apabila terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya sehinggakan lewat tiba di tempat kerja.

Ibubapa selalunya terpaksa menjerit, berleter dan mengugut anak supaya anak bangun, tidak merengek, tidak lenggang lenggok dan dapat bersiap dengan cepat.

Menurut ibubapa lagi apabila berpisah dengan anak untuk ke tempat kerja mulalah mereka merasa bersalah kerana telah berkasar atau memarahi anak dalam keadaan yang penuh emosi dan tergopoh gapah itu.

Adakah anda juga mengalaminya?

 

Snail

Kredit : FB Crafty Morning

Ini adalah masalah sejagat. Ia bukan hanya berputar sekitar anak kecil sahaja. Anak remaja juga memberikan cabaran mereka yang tersendiri apabila tiba waktu bangun pagi.

1) Tahukah anda kanak-kanak memiliki TEMPO YANG BERBEZA dengan orang dewasa. Mereka memerlukan lebih masa untuk betul-betul sedar apa yang sedang berlaku. Beralih dari satu aktiviti ke satu aktiviti pada waktu pagi memerlukan banyak tenaga bagi anak-anak yang bukan ‘morning person’. Memaksa anak yang sebegini supaya bergegas akan menimbulkan lebih konflik pada waktu pagi. Peruntukkan lebih masa (dan juga lebih kesabaran di pihak anda) untuk menguruskan anak yang sebegini. Anak yang paling mudah meragam perlu perancangan masa yang lebih efektif

2) Membuat PERSEDIAAN AWAL sebanyak yang mungkin sebelum tidur pada malam sebelumnya dapat mengurangkan konflik pada waktu pagi.

Siapkan beg sekolah, pakaian sekolah dan sebarang keperluan untuk ke sekolah, tadika atau taska pada sebelah malam. Libatkan anak juga dalam pengurusan kelengkapan peribadi untuk melatih mereka supaya menjadi lebih bertanggungjawab ke atas diri sendiri. Latih anak MENGURUSKAN buku-buku dan jadual waktu mereka SENDIRI bukannya ibu yang siapkan untuk mereka. Tidak perlu menjadi ‘HELICOPTER PARENTS’ yang buatkan semua untuk anak.

3) Anak yang cukup rehat dan CUKUP TIDUR kurang meragam pada keesokan harinya. Pastikan anak mempunyai rutin tidur dan waktu tidur yang tetap. Pastikan anak tidak menonton tv atau sebarang skrin SEKURANG-KURANGNYA SEJAM SEBELUM TIDUR. Pendedahan kepada cahaya biru yang dipancarkan oleh peranti digital atau gajet mengakibatkan otak anak terus aktif dan sukar untuk tidur. Ini akan menyebabkan anak sukar untuk bangun dan memerlukan lebih masa untuk uruskan diri.

4) Mempunyai PANDUAN BERTULIS ATAU BERGAMBAR tentang rutin pada waktu pagi yang ditampal di dinding lebih memudahkan anak, terutamanya yang kecil, untuk fokus pada rutin yang perlu dilakukan. Tunjukkan dan Ingatkan anak tentang rutin tersebut pada malam sebelumnya dan juga pada waktu pagi. Sesetengah anak memerlukan struktur dan panduan langkah demi langkah supaya mereka lebih tenang dan fokus. Puji anak apabila anak berjaya menyelesaikan setiap langkah. Semua ini MEMERLUKAN LATIHAN.

5) Sesetengah anak memerlukan peringatan secara AUDIO. Tanya anak apakah yang perlu dilakukan apabila bangun dan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Puji dan usap anak apabila dia memberi jawapan dan melakukan rutin sebagaimana yang telah dibincangkan sebagai semangat pada waktu pagi.

6) Jangan memberi TERLALU BANYAK ARAHAN kepada anak pada waktu pagi kerana ia hanya akan menyebabkan anda marah dan kecewa. Anak tidak boleh menerima terlalu banyak arahan terutamanya anak lelaki. Beri arahan satu demi satu. Pastikan anak fokus pada anda apabila arahan diberikan.

7) Nasihati dan ingatkan anak supaya SALING MEMBANTU antara satu sama lain apabila ada yang mengalami kesukaran pada waktu pagi. Bagi yang suka menyakat sesama adik beradik, ingatkan juga agar TIDAK TERLALU MENYAKAT anak yang mudah naik angin kerana ia akan menambahkan lagi konflik dan menyukarkan keadaan.

8 ) Jangan cuba untuk beri tumpuan pada SEMUA tingkah laku anak kerana ia hanya akan menambahkan stres. Mana-mana tingkah laku yang tidak membahayakan atau tidak memudaratkan BOLEH DIABAIKAN SAHAJA. Adakalanya memberi tumpuan kepada rengekan hanya akan menambahkan rengekan kerana rengekan itu mendapat perhatian. Beritahu anak dengan TEGAS bahawa anda TIDAK AKAN MELAYAN sebarang rengekan. Tegaskan juga bahawa anak tidak akan mendapat sesuatu dengan merengek atau meragam. Beri perhatian kepada tingkah laku yang positif walaupun kecil kerana memberi perhatian kepada perkara yang positif itu akan membuatkan anak lebih bersikap positif.

9) JANGAN DIUGUT anak dengan sesuatu yang tidak akan anda tunaikan. Contohnya “Jika meragam ayah tinggal.” Kiranya anda tidak akan tinggalkan dia, jangan diugut kerana ia hanya mempengaruhi persepsi anak terhadap autoriti atau kuasa yang anda miliki. Ugutan sebegitu tidak mengubah tingkah laku anak.

10) Di sebelah petang atau pun malam atau ketika bersantai, ‘BRAINSTORM’ dengan anak-anak cara untuk menghadapi waktu pagi dengan lebih tenang. Kongsi dengan anak apa yang anda perhatikan berlaku. Dengar luahan hati dan cabaran yang mungkin mereka hadapi untuk menguruskan diri pada waktu pagi. Perbincangan yang sebegini akan menggalakkan lagi anak untuk bekerjasama.

11) Jangan lupa untuk menyampaikan kepada anak tentang KEPERLUAN DAN TUGASAN ANDA. Ingatkan anak bahawa anda mempunyai keperluan untuk tiba awal di tempat kerja. Anak perlu tahu bahawa anda juga punya tugasan yang perlu diselesaikan dan DUNIA TIDAK BERPUTAR DI SEKITAR HIDUP ANAK SAHAJA. Tunjukkan kepada anak peta tempat kerja anda melalui ‘waze’ atau ‘maps’ dan berapa lama masa yang diperlukan untuk tiba ke pejabat anda. Latih anak untuk memahami kesukaran anda dan mempunyai EMPATI terhadap diri anda. Ini boleh dicapai dengan sentiasa berkomunikasi secara positif dengan anak.

Sebagai Muslim, melatih dan mengejutkan anak supaya BANGUN SOLAT SUBUH adalah kaedah yang sangat efektif untuk menyediakan anak untuk ke sekolah.

Apa yang paling penting pada waktu pagi ini adalah untuk mengekalkan kewarasan diri anda.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Peluklah Anak

KADANG-KADANG apabila kita menjadi buntu kerana anak meragam, anak menguji kesabaran, dan anak tidak mendengar kata, penyelesaian terbaik ketika itu bukanlah memarahi dia, cubit dia, pukul dia atau hukum dia, sebaliknya penyelesaian terbaik pada ketika itu adalah memeluk dia.

Peluk bukan kerana anak memerlukan pelukan, tetapi peluk kerana KITA yang lebih memerlukan pelukan di saat menghadapi kekecewaan dan kebuntuan dalam menguruskan anak itu.

Tidak ada manusia yang lebih baik untuk dipeluk ketika itu melainkan anak yang menjadi ujian buat kita.

Peluk kerana kita sayangkan dia bukannya kita benci dia. Yang mengecewakan kita adalah tingkah laku dia. Yang kita marah adalah tingkah laku dia yang menguji kesabaran kita.

Peluklah kerana mungkin tingkah laku itu disebabkan kerenggangan hubungan kita dengan dia selama ini.

Tautkanlah kembali dengan pelukan itu.

Peluklah dan berdoalah semoga Allah melembutkan hati dia dan juga menenangkan hati kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Matematik Keibubapaan

Mungkin kita biasa menyebut atau mendengar orang menyebut:

“Sebab kena marah dengan ayah dan emak dululah saya jadi orang.”

Sebenarnya proses menjadi manusia adalah proses yang kompleks dan bukan hanya dengan dimarahi kita boleh jadi manusia.

Sejak berdekad yang lalu, Dr. John Gottman, seorang Profesor Emeritus dalam bidang Psikologi dan juga seorang pakar perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan dari The Gottman Institute telah membuat pelbagai kajian tentang amalan-amalan positif dan negatif dalam perkahwinan dan institusi kekeluargaan.

Beliau merumuskan bahawa untuk sesebuah perkahwinan itu lebih harmoni dan berkekalan, sepasang suami isteri memerlukan 5 interaksi positif kepada setiap 1 interaksi negatif.

magicratio

NISBAH 5:1 (MAGIC RATIO 5:1)

Contohnya jika suami atau isteri menyindir pasangan, interaksi negatif itu harus diikuti dengan 5 interaksi positif seperti memuji, berterima kasih, memeluk, belanja ‘lunch’, bergurau senda, membantu, berlembut, memujuk dan sebagainya untuk memulihkan keadaan dan emosi. Jika nisbah interaksi ini kurang dari 5:1 dan ia berlanjutan, keharmonian sukar wujud dalam perhubungan suami isteri.

Nisbah yang sama juga perlu diapplikasikan antara ibubapa dan anak-anak.

1 interaksi negatif seperti marah, kritik, cemuh, sindir, sarkastik, ungkit, bebel dan sebagainya haruslah diikuti dengan 5 interaksi positif seperti peluk, cium, belai, nasihat, bergurau, puji, sembang, masa kualiti, main, dan sebagainya.
Hanya dengan cara ini kita boleh mewujudkan harmoni dan kerjasama antara ibubapa dan anak.

Kesimpulannya bukanlah marah yang menyebabkan kita jadi manusia, tetapi belaian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibubapalah yang menyebabkan kita jadi manusia.

Marah adalah perlu jika diperlukan dan interaksi positif yang lebih dari negatif adalah juga penting.

Bagaimana nisbah keluarga kita hari ini?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Tegas & Mesra: Dua Ciri Yang Perlu Ada Pada Ibubapa

keluarga

Kredit Imej: Google

1) TEGAS: Tentang akhlak dan adab

Anak-anak dilahirkan seumpama kain putih, ibubapalah yang mencorakkannya. Akhlak dan adab perlu dibimbing, ia tidak ada dengan sendirinya pada diri anak-anak. 
Ia bukan ‘common sense’ bagi anak-anak.
Ibubapa perlu tegas dengan diri sendiri supaya menjadi suri teladan terbaik dari segi akhlak dan adab.
Ibubapa perlu tegas dengan anak supaya anak mempunyai akhlak dan adab yang terpuji.
Tiada kompromi tentang akhlak dan adab kerana ia bermula dari kecil dan akan dibawa sehingga mati.

Pelbagai kaedah sudah dicuba tetapi anak tetap begitu juga?
Berbuih sudah mulut berkata-kata tetapi anak tetap tidak endah?
Pelbagai ganjaran diberi tetapi anak sama saja?
Bermacam-macam hukuman dikenakan tetapi anak tidak juga berubah?

Bersabarlah, usah berputus asa.
Tidak ada manusia lain di dunia ini yang inginkan kebaikan buat anak-anak kita selain kita sebagai ibubapa.
Jika kita berputus asa, jika kita tidak sabar, tidak ada sesiapa lagi yang akan mengendahkan anak-anak kita.
Kita akan dipersoalkan nanti tentang sejauh mana USAHA kita selama ini dalam membimbing anak-anak kita dengan akhlak dan adab.

Dari Sa’id bin ‘Ash, Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah kepada anaknya melainkan adab yang terpuji.” (Riwayat Tarmizi)

2) MESRA: Pada sifat individu anak

Kain putih itu ada pelbagai jenis. Teksturnya tidak sama.
Yang lembut perlu lebih berhati-hati supaya tidak koyak.
Yang kasar perlu disesuaikan supaya ia tetap berguna.

Supaya akhlak dan adab dapat dibimbing dengan baik, kita perlu kenal setiap seorang daripada anak-anak kita kerana setiap seorang daripada mereka adalah berbeza.

Pembawaan semulajadi (temperament) setiap anak adalah berbeza-beza.
Cara pembelajaran adalah berbeza-beza.
Keupayaan individu adalah berbeza-beza.
Kelemahan dan kekurangan adalah berbeza-beza.
Minat dan kecenderungan adalah berbeza-beza.
Sensitiviti adalah berbeza-beza.
Kecerdasan adalah berbeza-beza.

Ini memerlukan kemesraan, pemahaman dan kompromi supaya ketegasan kita tidak mematahkan.
Anak kedua mungkin memerlukan kaedah yang berbeza daripada anak yang sulung kerana pembawaannya berbeza.
Anak keempat mungkin lebih mudah menerima nasihat berbanding anak kelima kerana sensitivitinya berbeza.

Layanlah semuanya dengan adil.
Adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan tidak semestinya sama rata.

TEGAS DAN MESRA

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Fokus Pada Yang Positif

tantrum

Kredit Gambar: Google

Senario
“Puan, anak saya suka cakap jerit jerit. Saya tak tahu apa yang patut saya buat.” keluh seorang Ibu.

“Pernahkah anak Puan TIDAK bercakap jerit-jerit?” tanya saya.

“Ya ada tapi tak selalu. Banyak jerit saja” terang si Ibu.

“Bila sekali sekala dia TIDAK menjerit, pernahkah Puan puji dia atau sebut pada dia beginilah seeloknya dia bercakap? Bila sekali sekala dia TIDAK menjerit pernahkah Puan beritahu betapa gembiranya Puan sebab dia bercakap dengan elok? “ tanya saya lagi.

“Tidak Puan. Saya tension bila dia jerit. Saya rasa gagal.”


 

Memfokuskan pada yang positif bukanlah bermaksud kita menjadi permisif atau menutup mata dengan tingkahlaku negatif anak. Ada kalanya dalam kita memperbetulkan kesilapan anak, kita harus mencari kebaikan yang ada dalam diri anak.

Jika anak suka berbohong, kita tidak seharusnya biarkan, tetapi pernah atau tidak bila anak tidak berbohong kita menyebut betapa gembiranya kita kerana dia bercakap benar?

Jika anak sering sepahkan mainan atau bilik anak remaja bersepah, pernahkah kita puji bila anak menyusun mainan atau kemaskan bilik, walaupun sekali dua?

Jika anak sering mendapat markah rendah dalam kelas, pernahkah kita puji usaha anak atau walau sedikit peningkatan yang anak tunjukkan kita akui?

Jika anak sering mengamuk atau ‘throw tantrum’ bila hendakkan sesuatu, pernahkah kita memuji bila dia bercakap dengan baik tanpa mengamuk apabila hendakkan sesuatu?

Jika kita marah kerana anak remaja tiba-tiba tidak mendengar kata, pernahkah kita menghargai dia dan berterima kasih bila dia patuh?

Anak-anak tidak sempurna sebagaimana diri kita juga. Ketika memperbetulkan yang negatif, carilah yang positif walau yang ada hanya sekelumit cuma supaya lama-kelamaan yang positif akan mengatasi yang negatif.

Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Menuai Apa Yang Disemai – Anak Belajar

Anak kecil itu meronta-ronta tidak mahu disuapkan ubat. Dikuncinya bibir serapat-rapatnya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Sedap ni sedap. Ini bukan ubat. Ini air. Tengok warna merah. Ini air merah. Sedap.” kata si ibu.

Taknak Ubat

Kredit Imej: Google

Anak yang meronta-ronta tadi kelihatan lebih tenang mendengar kata-kata ibu. Dia membuka mulutnya perlahan-lahan dan membiarkan ibu menekan picagari yang berisi ‘air merah’ ke dalam mulut anak kecil itu.

Apabila ‘air merah’ yang dikatakan ibu ‘sedap’ itu mencuit deria rasanya, anak kecil terus memuntahkan apa yang masuk ke dalam mulutnya sambil anak meraung teresak-esak.

Dia tertipu dengan tipu daya si ibu yang berniat baik hendak menyembuhkan anak. Tidak ada ibu yang tidak sayangkan anaknya dan sentiasa inginkan yang terbaik untuk anaknya.

Anak belajar.

Petang itu ‘mood’ ayah sangat baik. Dia membawa isteri dan anak-anak makan angin kerana sudah lama rasanya mereka tidak berjalan-jalan sekeluarga. Ayah terlalu sibuk dengan ‘deadline’ sebelum ini. Alhamdulillah segala urusannya sudah selesai buat masa ini. Kereta ayah meluncur laju di atas jalan raya. Lampu isyarat sudah bertukar merah tetapi ayah terus memandu membelah lampu merah.

“Ayah, lampu merah tadi. Kenapa ayah ‘drive’ terus?” tanya anak pelik. Setahu anak lampu merah perlu berhenti. Itu yang diajar ayah kepada anak ketika memperkenalkan warna-warna dulu.

Jawab ayah “Tak pe, lampu sebelah sana belum hijau. Lagipun ayah tahu tak ada kamera atau polis kat situ. Diorang tak nampak.”

Anak belajar.

Anak menghulurkan sekeping kertas kepada ayah dan ibu yang sedang bersantai di hadapan TV.

“Ayah, ibu, cikgu kasi surat ini. Cikgu cakap hujung minggu depan ada perjumpaan dengan ibubapa.” Terang anak.

“Alaa…malaslah ayah nak pergi. Cakap pada cikgu ayah ‘outstation’. Senang sikit.” Cadang ayah.

“Ha’ah ibu pun letihla hujung minggu nak ke sekolah kamu. Cakap dengan cikgu ibu ada kerja ya. Tak boleh hadir jugak.” Alasan ibu.

Anak belajar.

Kita tidak pernah ajar anak berbohong tetapi secara tidak sedar anak mungkin belajar berbohong daripada kita sejak dia masih merangkak lagi.

Apabila anak berbohong dan terus berbohong dan kita buntu sama ada untuk memarahinya, memukulnya, merotannya, cili mulutnya atau hukumnya, cuba fikir kembali adakah kita pernah berbohong kepada anak tanpa kita sedari?
Itulah yang pertama harus kita lakukan.

Imam Abu Dawud telah meriwayatkan hadith dari Abdullah bin ‘Amir, dia berkata: “Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW duduk di tengah-tengah kami, (tiba-tiba) ibuku memanggilku dengan mengatakan: ‘Hai kemari, aku akan beri kamu sesuatu!’
Rasulullah SAW mengatakan kepada ibuku: ‘Apa yang akan kamu berikan kepadanya?’ Ibuku menjawab: ‘Kurma.’
Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Ketahuilah, seandainya kamu tidak memberinya sesuatu maka ditulis bagimu kedustaan.”
(HR. Abu Dawud bab At-Tasydid fil Kadzib no. 498, lihat Ash-Shahihah no. 748)

Kita perlu belajar.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Meniru: Antara Realiti dan Fantasi

1) Pernahkah anda melihat bayi menjelirkan lidahnya kembali setelah bayi melihat kita menjelirkan lidah kepadanya?

2) Pernahkah anda melihat anak kecil menggoyang-goyangkan badannya apabila melihat kita bergerak mengikut alunan muzik?

3) Pernahkah anda melihat anak kecil meletakkan telefon bimbit di telinganya walaupun anda tidak pernah mengajar anak tersebut tentang kedudukan telefon?

 

meniru

Kredit Gambar: Youtube

Kajian yang dibuat oleh Meltzoff dan Marshall dari Institute for Learning and Brain Science University of Washington mendapati bahawa apabila anak kecil memerhatikan perbuatan kita, otak mereka bertindak balas seolah-olah mereka turut melakukan aktiviti yang sama.

Contohnya, apabila bayi memerhatikan kita menjelirkan lidah, bahagian otak bayi yang mengawal lidah bertindakbalas seolah-olah bayi sendiri yang melakukannya. Apabila kita menggerakkan kaki dan bayi memerhatikan kita, bahagian otak bayi yang mengawal kakinya akan bertindakbalas seolah-olah bayi itu sendiri melakukannya.
Begitulah ajaibnya otak.

Ini adalah tindakbalas yang berlaku disebabkan oleh mirror neuron. Mirror neuron bertindak sebagai cermin kepada apa yang diperhatikan.

ANAK-ANAK BELAJAR MELALUI MENIRU.

Meniru adalah fasa pertama dalam proses pembelajaran anak-anak. Mereka meniru apa saja yang mereka lihat. Mereka meniru apa saja yang menjadi budaya yang diamalkan dalam rumah, sekolah, dalam masyarakat dan juga di skrin tv dan komputer.

4) Pernahkah anda terfikir kenapa anda turut sama menangis apabila melihat pelakon menangis ketika adegan sedih meruntun jiwa? Adakah kerana pelakon tersebut pandai menjiwai watak atau adakah kerana penulis skrip pandai bermain dengan emosi penonton?

Sebenarnya ini juga berlaku disebabkan oleh mirror neuron. Sebarang tindakan yang mencuit emosi kita akan lebih mudah mengaktifkan mirror neuron dan mewujudkan jaringan dalam otak yang menyebabkan kita meniru aksi tersebut. Selain meniru, mirror neuron juga menjadi asas kepada empati atau keupayaan untuk memahami perasaan orang lain (‘Mirror, Mirror in the Brain’, Science Daily, 2007).

Anak kecil mempunyai kecenderungan semulajadi untuk meniru perbuatan orang lain. Walau bagaimanapun mereka belum mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan untuk menilai sama ada perbuatan itu patut atau tidak ditiru. Mereka belum berupaya untuk menganalisa, dan menilai sama ada sesuatu perbuatan itu bermoral ataupun tidak.
Mereka akan meniru apa saja yang dilihat termasuklah perbuatan yang salah, negatif, ganas, vandalisme dan merosakkan pada pandangan orang dewasa. Sebarang perbuatan yang melahirkan emosi akan lebih cenderung untuk ditiru oleh anak-anak.

ANTARA REALITI DAN FANTASI

5) Pernahkah anda melihat anak-anak berguling, menendang, menolak, memukul dan sebagainya selepas melihat aksi lasak atau ganas dalam rancangan yang ditonton mereka di skrin TV atau komputer?

6) Pernahkah anda mendengar bahasa yang tidak elok dipertuturkan anak selepas menonton sesuatu rancangan TV?

Perbuatan meniru sebegini berlaku kerana mereka belum berupaya untuk membezakan antara realiti dan fantasi.

Apa yang ‘real’ pada anak-anak kecil adalah apa yang mereka dapat lihat dengan mata mereka. Keganasan yang mereka tonton di skrin adalah juga real bagi mereka. Jika ‘real’, maka apa salahnya jika mereka tiru? Walaupun mereka mengalami kecelaruan kognitif (cognitive confusion), itu tetap tidak menghalang mereka untuk meniru aksi tersebut.

Oleh itu fikirkanlah:

Cerita dan rancangan yang bagaimanakah ditonton anak-anak melalui skrin TV dan komputer?

Iklan bagaimanakah yang disajikan untuk menjadi tontonan anak setiap hari?
Perbuatan ibubapa dan guru-guru yang bagaimanakah ditiru oleh anak-anak?
Aksi kawan-kawan yang bagaimanakah dibawa balik oleh anak ke rumah?

Anak-anak belajar melalui meniru.
Sajikanlah mereka dengan sesuatu yang baik untuk ditiru.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Saya Tidak Pandai

Dari kajian yang dibuat di Amerika Syarikat ini, didapati apabila anak-anak mula bersekolah di peringkat Kindergarten, mereka sangat bersemangat untuk belajar. Mereka yakin yang mereka boleh berjaya. Mereka sentiasa terbuka dan bersedia untuk menyerap apa saja pengetahuan dan skil sosial dan emosi yang hendak diterapkan pada mereka di peringkat Kindergarten. Mereka sungguh optimistik.

Mereka mempunyai ‘growth mindset’ yang sangat tinggi.

 

takpandai

Walau bagaimanapun peratusan ‘growth mindset’ ini semakin menurun apabila mereka melangkah ke ‘grade’ seterusnya. ‘Growth mindset’ ini merudum dengan hebatnya apabila mereka melangkah ke grade 3 (seperti Darjah 3 di Malaysia). Ramai yang mula mempunyai ‘Fixed mindset’.

Adakah anak-anak anda juga begini? Lama-kelamaan tidak bermotivasi untuk ke sekolah?

Fixed mindset adalah kepercayaan bahawa “Dia tu memang pandai, aku tak pandai macam dia. Tak mungkin aku boleh pandai macam dia.”

Dengan fixed mindset ini kita percaya bahawa sesetengah orang memang pandai dan sesetengahnya tidak pandai.

Inilah yang menyebabkan motivasi anak-anak lama kelamaan menurun seperti dalam kajian. Tambah parah lagi kalau ada ‘kelas belakang’. Bukan sahaja anak-anak mempunyai fixed mindset, guru-guru juga mengamalkan kepercayaan ‘fixed mindset’ yang akhirnya tidak membantu anak untuk meneroka potensi diri. Bermacam-macam label diberikan kepada anak-anak yang ‘tidak pandai’ ini.

Dengan ‘growth mindset’ kita percaya bahawa intelligence adalah tidak tetap dan ia boleh berubah bergantung pada usaha, keazaman, dan ketekunan. Setiap pembelajaran yang baru membentuk jaringan neuron dalam otak. Jaringan ini menjadi lebih kukuh dengan usaha dan ketekunan.

‘Growth mindset’ ini terbina apabila kita fokuskan pada usaha (effort) berbanding hasil semata-mata. Kalau fokus kita hanya pada budak pandai, hanya pada jumlah A, kita mengabaikan usaha dan ketekunan oleh anak-anak yang bermati-matian cuba sedaya upaya namun usaha mereka tidak mendapat pengiktirafan langsung sebab mereka belum dapat A.

Bagaimanakah agaknya perasaan mereka?

Pernahkah anda merasa begini ?

Ini kajian di Amerika, Malaysia mungkin mempunyai amalan yang berbeza. 🙂

Bukan saja sekolah, ibubapa juga memainkan peranan yang sangat besar dalam pembentukan growth mindset anak-anak, bukan hanya dari segi pembelajaran, malah juga dari segi tingkah laku. Saya akan tulis di lain kali insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect