Tiba-tiba teringat luahan hati seorang ibu tentang anaknya yang dibuli di sekolah. Buli tidak semestinya fizikal, buli juga boleh berlaku dalam bentuk verbal iaitu ejekan, sindiran, memperlekeh, hinaan, dan menghalang orang lain mara ke depan. Pada mulanya si ibu hanya membiarkan anak menghadapi sendiri asam garam alam persekolahan.
“Mungkinkah anak saya overreacting?”
“Mungkinkah saya over-parenting?”
Lama-kelamaan anak sudah mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan tidak mahu ke sekolah. Rakan-rakan anak juga mengesahkan yang anaknya sering diejek kerana ‘terlalu skima’.
Si ibu mengambil keputusan untuk melaporkan kepada pihak atasan sekolah dengan harapan pihak sekolah dapat menyiasat. Malangnya jawapan yang diterima oleh si ibu adalah,
“Rasanya puan terlalu manjakan anak puan di rumah. Dia tak tahan cabaran”.
Kecewanya si ibu.
Keluh si ibu, “Saya mendidik anak saya dari kecil supaya beradab, merendah diri, dan berakhlak, berbuat baik dengan semua orang. Malangnya kerana sifat-sifat ‘skima’ ini, dia dibuli. Pembuli dibiarkan, anak saya dilabel manja dan saya dikatakan bukan seorang ibu yang baik.”
Kesudahan kisahnya, doa dan ikhtiar seorang ibu kerana mempertahankan anaknya dimakbulkan Allah SWT. Sejak hari itu ramai yang bersuara tentang masalah buli ‘yang tersembunyi’ di sekolah tersebut. Pihak atasan mula sedar akan virus yang tidak dilihat dengan mata kasar selama ini.
Buli bukannya benda kecil. Buli bukanlah sesuatu yang normal. Buli membunuh jiwa pembuli dan lebih parah lagi yang dibuli. Buli langsung tidak Islamik. Jadi janganlah berkata “Alaa biasalah kena buli. Barulah tough!”. Orang yang berkata begitu juga sakit jiwanya kerana menghalalkan keganasan, penderaan dan penindasan.
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect