Efektifkah Sarkasm Dan Sindiran?

sarkasm dan sindiran

Kredit Imej: Google

Tahukah anda dalam satu kajian yang dibuat selama 6 tahun oleh Glenwright, seorang professor dalam bidang psikologi di University of Manitoba dan Pexman dari University of Calgary, kanak-kanak didapati tidak memahami sarkasm dan sindiran sehinggalah berusia 10 tahun.

Sarkasm merangkumi maksud literal sesuatu yang diucapkan, bahasa badan atau komunikasi non-verbal dan niat orang yang mengucapkannya.

Sebelum usia 10 tahun, kanak-kanak hanya memahami aspek bahasa secara literal, kurang memahami komunikasi non-verbal dan tidak dapat meneka niat seseorang kerana pemikiran mereka belum sampai ke tahap pemahaman seperti orang dewasa.

Apakah Implikasinya?


Oleh itu, apabila meminta kanak-kanak melakukan sesuatu, memberi arahan, ataupun menegah kerana membahayakan, pastikan arahan yang diberikan membawa maksud yang jelas. Jangan menyindir atau sarkastik kerana mereka tidak faham.

CONTOH yang sering kita amalkan:

Apabila anak kecil memanjat (tanpa pemantauan) dan terjatuh, kita berkata:

“Itula…panjatlah lagi…panjat!”. 

Ataupun kita mengucapkan “Terima kasih” kepada anak kerana tumpahkan air kerana kita dalam keadaan penat dan marah.

Anak kecil tidak faham tegahan yang berbentuk sindiran tersebut.

Tidak hairanlah kalau anak kecil tersebut akan terus memanjat dalam keadaan yang tidak selamat dan tidak mempedulikan tegahan kita.

Berilah nasihat dan tegahan dalam bentuk yang literal dan mudah difahami dan diikuti oleh kanak-kanak. Tidak perlu sarkastik.

Ceritakan kepada anak tentang akibat sesuatu perbuatan kerana anak kecil sedang menguasai konsep ‘kesan dan akibat’ sebagai salah satu aspek kognitif/pemikiran.

Sarkasm dengan kanak-kanak hanyalah membuang masa dan menjadikan kita lebih beremosi dengan kanak-kanak jika mereka tidak menurut apa yang ditegah.
Sindiran jika sering diamalkan akan menjadi satu bentuk komunikasi pasif agresif yang tidak berkesan dan akan ditiru oleh kanak-kanak.

“Insanity is doing the same thing over and over again and expecting a different result.”

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy