Sembelihan Dan Bercukur

Setiba di Shisha, kami dinasihatkan oleh penganjur agar berehat sementara menunggu sembelihan dilakukan bagi pihak kami sebelum bercukur. Sebenarnya tidak diwajibkan menunggu, tetapi Rasulullah SAW melaksanakannya sedemikian.

Sepanjang perancangan untuk melaksanakan haji ini, dan terutamanya setelah pengalaman melaksanakan tawaf dan saei tempohari, kami telah merancang untuk melaksanakan tawaf dan saei haji pada hari kedua dan bukan pada hari ini. Ini adalah kerana ditakuti sekiranya urusan tawaf dan saei mengambil masa yang panjang, kami mungkin terlepas bermalam di Mina. Namun setelah selesai melontar sebelum jam 10 pagi, kami terfikir untuk terus ke Masjidil Haram dan menyelesaikan urusan tawaf dan saei tersebut. Namun, di dalam rasa penuh kesyukuran atas rahmat Allah ke atas kami dalam melaksanakan urusan melontar, kami akhirnya memutuskan untuk tetap dengan perancangan asal.
Solat fardhu Zuhr dilaksanakan di masjid Shisha dan hanya pada petang hari, sebelum Asar, kami diberitahu bahawa sembelihan telah dilaksanakan. Lantas kami ke kedai gunting berhadapan dengan apartment dan ketiga-tiga kami yang lelaki bercukur licin.
Selesai bercukur, kami bertahallul awal dan terus mengenakan pakaian biasa dan bukan lagi berihram. Indah sekali perasaan pada waktu tersebut, gembira kerana telah keluar dari sekatan-sekatan ihram melainkan yang 3, namun pada masa yang sama merindui pakaian 2 helai kain putih tersebut….sukar nak digambarkan.
barber
Sebaik selesai makan malam yang agak awal, kami kemudiannya memulakan perjalanan kembali ke khemah di Mina. Pada masa tersebut ribuan jemaah yang masih belum melontar Jamrah Aqabah masih berderu-deru ke jamrah dan secara umumnya majoriti masih lagi berpakaian ihram. Manakala kami hanya berbaju Melayu dan berseluar biasa. Di dalam ratusan-ribu jemaah, ketika melalui terowong pejalan kaki, kami bertemu dengan ahli keluarga terdekat dari Pulau Pinangsubhan’Allah…
terowong
Pengalaman bersama dengan anak-anak juga sangat istimewa kerana sepanjang menunaikan Haji, kami sangat hampir dengan mereka pada setiap ketika. Perjalanan dari Jamrah ke khemah di Mina juga sentiasa ceria dengan ragam anak-anak yang pelbagai…lebih banyak senyuman daripada keluhan, alhamdulillah

Bahagian 12 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements

Shisha Dan Hari Tarwiyah

Keesokan harinya, Sabtu 7 Zulhijjah, kami jadikan sebagai hari berehat. Asalnya berazam nak ke Haraam untuk bertawaf sunat dan beriktikaf di Masjidil-Haram. Tetapi selepas pengalaman hari sebelumnya dan mengingati pesanan penganjur bahawa tenaga sangat diperlukan untuk hari-hari Haji, maka kami batalkan niat tersebut. Lebih-lebih lagi, kami akan memulakan perjalanan ke Mina selepas tengah-malam nanti untuk melalui hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) di sana.

shisha1
Maka Sabtu tersebut di habiskan dengan bersolat jemaah di masjid berhampiran Shisha yang penuh dengan jemaah dari negara Indonesia; sehinggakan tazkirah selepas solat juga diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Selain itu, kami terus membuat persiapan untuk hari-hari Haji dengan mengulangkaji nota-nota dan buku rujukan. Pada petang hari tersebut kami berpeluang bertandang ke sebuah restoran Malaysia yang menghidangkan masakan Melayu yang terletak berhadapan dengan pasaraya Bin-Dawood di Shisha. Alhamdulillah, setelah lebih seminggu menikmati masakan ala-India/Pakistan semata-mata, gembira sekali dapat menikmati juadah-juadah tanahair.
Pada malamnya, selepas solat Isya’ para jemaah berkumpul di kawasan rehat di atas bumbung bangunan untuk taklimat terakhir sebelum mengenakan Ihram dan memulakan perjalanan ke Mina. Sememangnya, inilah saat yang sangat dinanti-nanti; mengenakan ihram dan berniat Haji. Lantas melaungkan talbiyah…Labbaikallahummalabbaik…Kami datang ya Allah
shisha4
Kami berjalan kaki bersama-sama dengan para jemaah lain dan perjalanan yang digambarkan mengambil masa 45 minit akhirnya berjaya ditamatkan setelah 2 jam setengah. Beg-beg yang dibawa, berserta dengan ‘sleeping bag’ masing-masing adalah punca utama membuatkan perjalanan agak perlahan. Namum, seperti yang dijanjikan, pihak penganjur bergerak pada kelajuan para jemaah yang paling perlahan sambil berhenti beberapa kali menunggu para jemaah yang ketinggalan….dan biasanya kamilah yang paling perlahan; maklumlah…perjalanan lebih 4 kilometer oleh anak berusia 7 tahun. Perjalanan dari Shisha membawa kami melalui Jamrah dan seterusnya melalui perkhemahan-perkhemahan jemaah dari pelbagai negara. Khemah kami di kawasan perkhemahan jemaah dari Eropah dan Amerika yang sebenarnya terletak lebih jauh dari khemah-khemah jemaah dari Malaysia.
Kami akhirnya tiba di khemah kami lebih kurang pada jam 3 pagi dan masing-masing terus mendapatkan tempat berupa ‘sofa-bed’ yang tersusun rapat. Ruang peribadi hanyalah setakat ruang berbaring dan jemaah lelaki serta jemaah wanita tinggal di khemah yang berasingan tetapi bersebelahan. Dalam keletihan yang amat sangat, kami semua terus tidur dan hanya bangun 15 minit sebelum waktu Subuh untuk mengerjakan solat Subuh. Selepas Subuh, kami terus berehat di dalam khemah.
Sememangnya seharian pada hari ke 8 Zulhijjah ini hanya akan dihabiskan di Mina. Khemah-khemah di Mina agak besar dengar kapasiti kira-kira 50 orang. Khemah-khemah diperbuat dari bahan seperti tarpal yang kalis air dan juga kalis api. Setiap khemah mempunyai sistem pengudaraan yang serba sedikit memastikan suhu di dalam khemah tidak terlalu tinggi. Ketika di Mina, solat-solat waktu dilaksanakan secara berjemaah di dalam khemah masing-masing.
Makanan memang disediakan tetapi seperti yang dinyatakan oleh penganjur, waktu makan adalah ‘apabila makanan dihantar ke khemah’ dan ini bermakna makan tengahari mungkin pada jam 1 tengahari dan mungkin juga pada jam 6 petang. Alhamdulillah, secara keseluruhan, kami selesa sekali semasa di Mina dan menghabiskan hari Tarwiyah dengan meningkatkan ibadah dan bersedia untuk wukuf pada keesokan harinya. Sebenarnya, berada di Mina pada hari Tarwiyah merupakan sunnah Rasulullah SAW tetapi halangan masa dan pengangkutan yang membuatkan banyak pihak, termasuk Tabung Haji Malaysia terus membawa jemaah ke Arafah pada hari tersebut.
Pada malam hari tersebut, keadaan di Mina mula sesak dengan ribuan para jemaah yang bukan setakat memenuhkan khemah-khemah, tetapi juga yang hanya bermalam di tepi-tepi jalan dan mana-mana kawasan kosong di sekitar kawasan perkhemahan. Selepas selesai solat Isya’, makan malam dan sebelum waktu tidur, kami sekeluarga mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan khemah kami. Tujuan utama adalah untuk anak-anak melihat para jemaah dari serata dunia dan lebih-lebih lagi melihat para jemaah yang tempat bermalam mereka tidaklah selesa seperti kami, yang walaupun berhimpit, masih berbumbungkan khemah dan beralaskan ‘sofa-bed’.
Pelbagai ragam manusia yang kami perhatikan dan di dalam kepelbagaian tersebut, kami sedar bahawa setiap seorang dari kami berada dalam misi mencari keredhaan Allah SWT. Samada kami tidur di atas jalan berlapikkan surat-khabar dan berbantalkan selipar, ataupun tidur di dalam khemah-khemah yang sebenarnya mewah sekiranya dibandingkan (walaupun ramai juga yang tidak berpuashati dengan kemudahan yang disediakan), kami semua mengharapkan keredhaan Allah SWT dan masing-masing berharap dapat melaksanakan kerja-kerja Haji, bermula dengan wukuf di Arafah pada keesokan harinya, dengan sempurna dan diterima ibadah kami ini oleh-Nya.
mina2
Sebaik sahaja kami tiba semula ke khemah, selepas berbincang dengan anak-anak, kami nekad untuk menghadiahkan 3 daripada 5 ‘sleeping bag’ kami kepada para jemaah yang sedang bermalam di tepi-tepi jalan. Kami berkira-kira bahawa, Insya-Allah, 2 lagi ‘sleeping bag’ yang tinggal sudah memadai untuk kami sekeluarga untuk digunakan di Muzdalifah nanti. Maka sekali lagi kami keluar bersama-sama dengan 3 ‘sleeping bag’ tersebut mencari jemaah dapat memanfaatkannya. Alhamdulillah, gembira sekali melihat wajah-wajah 3 orang para jemaah yang sedang tidur atau mahu tidur berlapikkan suratkhabar dan kotak di atas jalanraya apabila disuakan ‘sleeping-bag’ kepada mereka. Malah ada yang memeluk sambil tidak henti-henti mengucapkan ‘syukran’...
Ya Allah, moga sedikit pemberian kami ini membawa manfaat yang besar kepada mereka dan terimalah seadanya niat dan haidah kami itu sebagai amal mencari redha-Mu!
Tidur pada malam tersebut sangat istimewa kerana keesokan harinya adalah hari Wukuf. Tiada Haji tanpa Arafah! Hati-hati ini bagai meronta-ronta untuk berdiri di hadapan Yang Esa pada keesokan harinya dan tak terkecuali pula rasa berdebar-debar…

Bahagian 8 – Haji Bersama Anak-anak