Tidak ‘Get The Point’

Merujuk kepada penulisan AISHAH, SYUKOR & UMAR beberapa hari lalu,  apabila membaca komen-komen, saya dapati ada netizen yang membanding-bandingkan kecerdasan adik Aisyah, Syukor dan Umar. Mereka banding kecerdasan yang mana lebih ‘rare’. 

Adakah lebih rare bermakna lebih baik?
Rare adalah sesuatu yang subjektif.
Ternyata ada yang tidak faham konsep atau tidak ‘get the point’.

Ada juga yang menulis bahawa orang yang menghafal Al Quran lebih baik dari semua kecerdasan. Saya kenal ramai hafiz dan hafizah (mereka yang menghafal Quran), ya mereka memang hebat. Masha Allah. Selalunya individu yang menghafal Quran tidak membuat kenyataan yang mengangkat diri sendiri sebegini.

Mereka yang menghafal Quran juga memiliki salah satu atau lebih dari satu kecerdasan yang 9 itu.

Saya yakin ada di antara anak-anak bertiga ini juga sedang berusaha menghafal Al Quran.

Tidak ada yang lebih rare atau lebih baik.
Semuanya hebat dengan cara yang tersendiri.
Cukup-cukuplah membanding-bandingkan.

Saya terpaksa padamkan komen yang toxic dan tidak ‘get the point’ yang ditulis di hantaran kelmarin.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

 

‘Bisik Pada Langit’ & Kecerdasan Pelbagai

Alhamdulillah hantaran yang saya tulis semalam berkaitan adik Aishah London, adik Syukor Khamis dan adik Umar Wafi, dan Teori Kecerdasan Pelbagai atau Multiple Intelligence telah menarik minat ramai untuk memahami Kecerdasan Pelbagai dengan lebih lanjut.

Hantaran yang saya kongsikan ini ditulis selepas menonton filem ‘Bisik Pada Langit’. Mungkin ada yang masih ingat bagaimana layanan si ayah terhadap anaknya yang menjadi mekanik kerana tidak sepandai kakak yang belajar di luar negara.
Kakak memiliki kecerdasan logikal matematik.

Seorang mekanik memiliki kecerdasan bodily kinesthetic atau mahir menggunakan anggota badannya untuk melakukan sesuatu.
Ia juga satu kelebihan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

AISHAH, SYUKOR & UMAR

3kanak-kanak

Tiga orang kanak-kanak yang menghiasi media cetak, media elektronik dan media sosial seminggu dua ini menarik perhatian saya. Saya pernah berkongsi tentang Teori Kecerdasan Pelbagai atau Multiple Intelligence yang dicadangkan oleh Howard Gardner. Beliau telah mengenalpasti 9 jenis kecerdasan atau intelligence.

Ketiga-tiga kanak-kanak ini memiliki kecerdasan yang berbeza-beza. Perbezaan inilah yang menjadikan mereka individu yang unik tanpa perlu dibanding-bandingkan.

1) Adik HANA AISHAH atau nama glemernya Aishah London telah menarik perhatian ramai dengan kepetahannya berbahasa Inggeris. Pertama kali menonton wawancara bersama adik Aishah, saya membuat andaian bahawa dia lahir dan pernah menetap dan bersekolah di luar negara. Rupa-rupanya saya silap. Dia belajar Bahasa Inggeris dengan sendirinya atau ‘self taught’ dengan menonton video.

Adalanya kanak-kanak hanya boleh mengulangi (parrot) kembali perkataan-perkataan yang didengari di video tanpa boleh berkomunikasi tetapi adik Aishah boleh berinteraksi dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Melayu dengan baik. Selepas dikenali dan tular, Adik Aishah telah beberapa kali dijemput ke station radio dan tv untuk ditemubual. Saya dapati dia berupaya berbicara dengan fasih dan penuh keyakinan.

Belajar bahasa dan menguasai bahasa adalah dua perkara yang berbeza.

Aishah London berkemungkinan memiliki KECERDASAN LINGUISTIK yang menyebabkannya berupaya menguasai bahasa dengan cepat, mudah dan efektif. Dia juga berkemungkinan memiliki KECERDASAN INTERPERSONAL.

2) Adik SYUKOR KHAMIS bukan sahaja menjadi sebutan di dalam negara, dia juga terkenal di luar negara kerana foto-foto aksinya bersama kerbau mendapat liputan yang sangat meluas. Syukor bukan sahaja berupaya untuk berinteraksi dengan kerbau, menurut jurugambar Nazri Sulaiman, Syukor juga mempunyai hubungan mesra dan bergurau dengan kerbau, lembu, kambing, angsa dan burung seperti ‘kawan-kawan sekolah’. Ini diakui sendiri oleh ayah Syukor yang mengatakan walaupun adik beradik Syukor yang lain juga terdedah kepada persekitaran yang sama, Syukorlah yang paling cenderung dan mempunyai minat mendalam terhadap kerbau-kerbau peliharaan ayahnya.

Bagi saya adik Syukor adalah contoh yang baik bagi seorang kanak-kanak yang memiliki KECERDASAN NATURALIS yang mudah berinteraksi dengan alam.

Bercita-cita ingin menjadi seorang ‘Circus Performer’ satu hari nanti adalah sesuatu yang tidak janggal bagi seorang anak yang memiliki kecerdasan naturalis.

3) Adik UMAR WAFI mendapat liputan media kerana telah mencipta alat notifikasi anti buli yang boleh digunakan di sekolah-sekolah. Guru-guru akan mendapat notifikasi di telefon mereka jika ada pelajar dibuli. Inovasi ini telah memenangi anugerah STEM di peringkat nasional dan juga peringkat antarabangsa.

Menurut ibu Umar, idea penciptaan alat ini tercetus kerana adik perempuan Umar pernah dibuli secara fizikal dan verbal oleh rakan yang sama-sama berada dalam Darjah 1. Mereka sekeluarga berbincang bagaimana caranya untuk membantu kanak-kanak lain yang dibuli dan ciptaan ini adalah hasil sesi ‘brainstorming’ tersebut. Umar seorang yang pendiam, namun kepakaran dan minat Umar dalam Programming telah memungkinkan ciptaan ini. Umar juga bercadang untuk menambahbaik alat anti buli ini dengan menyambungkannya ke CCTV.

Adik Umar adalah contoh kanak-kanak yang memiliki KECERDASAN LOGIKAL MATEMATIK yang berkait rapat dengan strategi, penaakulan, matematik, sains dan teknologi.

Terdapat 9 jenis kecerdasan atau intelligence menurut Howard Gardner.
Setiap seorang kanak-kanak adalah unik dan memiliki kecerdasan atau intelligence yang berbeza-beza. Kenalpasti kecerdasan tersebut dan sediakan persekitaran dan ruang untuk membina kecerdasan itu supaya bermanfaat buat anak tersebut dan juga untuk masyarakat.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Di Mana Tempat Seorang Anak?

brothers

Sejak lahir lagi, seorang anak tercari-cari tempatnya dalam keluarga. Anak mencari tempat di mana dia boleh merasa selamat, dihormati, dilindungi, dan dibantu apabila ada masalah.

Sebagai seorang manusia kita mempunyai kecenderungan untuk mencari ruang dan peluang supaya diri kita dihargai.

Ini dikenali sebagai ‘sense of belonging’ atau rasa diterima, bernilai, bertempat dan berakar.

‘Maslow Hierarchy of Needs’, meletakkan ‘Sense of belonging’ sebagai faktor ketiga terpenting untuk melahirkan individu yang positif dan mencapai potensi diri.

Setiap individu dilahirkan dengan sekurang-kurangnya satu anugerah yang menjadikan individu itu istimewa dengan caranya yang tersendiri. Gunanya anugerah itu bukanlah untuk dibangga-banggakan atau merasakan diri itu hebat. Pentingnya anugerah itu adalah supaya individu tersebut menggunakannya untuk menyumbang dalam keluarga dan komuniti.

Howard Gardner mengenalpasti 8 kelebihan yang ada pada manusia melalui Teori ‘Multiple Intelligence’.

Sekurang-kurangnya SATU kelebihan akan ada pada setiap individu iaitu:.

  1. Bijak akademik-logik
  2. Artistik, pandai melukis, pandai menghias dan menggunakan ruang
  3. Mudah berkawan dan bekerjasama dengan orang lain.
  4. Pandai menilai dan membentuk alunan muzik dan melodi
  5. Cekap menggunakan anggota badan, bersukan
  6. Bijak berbahasa dan berkata-kata
  7. Mempunyai motivasi diri yang tinggi dan memahami emosi sendiri.
  8. Mempunyai jari jemari yang mesra tumbuh-tumbuhan

Ibubapa dan guru perlu mengenalpasti, memupuk, menyediakan peluang dan membimbing setiap kelebihan yang dimiliki oleh anak-anak kita dan bukan hanya menggunakan satu kelebihan sahaja untuk menilai mereka.

Apabila anak-anak digalakkan menggunakan kelebihan yang mereka miliki dalam keluarga, mereka akan merasa ‘sense of belonging’.

Kelebihan yang manakah dimiliki oleh anak anda?

‘SENSE OF BELONGING’ BERMULA DARI RUMAH

Ajak anak membantu dengan kerja rumah.

Anak kecil memang suka sangat jika diberi peluang untuk menolong. Kadang-kadang walau tidak disuruh dia hendak menolong. Ada yang sampai merajuk jika tidak diberi peluang.

Sebab apa? Sebab dia rasa dihargai, dia boleh menyumbang dan dia ada tempat dalam keluarga.

Tambahan lagi jika kita berterima kasih dan kita sebut apa kelebihan yang dimilikinya yang memudahkan dia membantu dalam keluarga.

“Kreatif betul Abang dengan susun atur perabot”.
“Adik cekap menyapu sampah”.
“Kakak kalau tanam apa pun tentu menjadi.”

Dengan ini setiap orang akan nampak kelebihan masing-masing tanpa iri. Anak akan lebih teruja hendak menyumbang dan memperbaiki diri. Jika anak menjadi sombong dan bongkak dengan kelebihan, maknanya kita sebagai ibubapalah yang perlu menilai dan muhasabah kembali cara kita memuji mereka dan cara kita menyebut kelebihan mereka.

Puji dengan lebih spesifik dan diskriptif.
Puji usahanya.

Dengan itu anak akan tahu dia tidaklah sesempurna mana dan dia tahu masing-masing ada kelebihan tersendiri.

Galakkan anak bekerjasama dalam aktiviti keluarga. Rancang aktiviti atau percutian semasa cuti sekolah bersama-sama. Rancang hidangan dan perjalanan rumah terbuka ketika Hari Raya bersama-sama. Rancang aktiviti hujung minggu bersama-sama. Rancang sambutan hari jadi, hari ibu, hari bapa dan segala hari supaya sama-sama dapat menyumbang kepakaran, idea dan tenaga bersama-sama.

Galakkan anak membantu sesama sendiri ketika musim peperiksaan, galakkan anak menjaga adik yang kurang sihat.

Galakkan anak menggunakan kelebihan yang ada untuk membantu keluarga.

Banyak perkara kecil tetapi penting yang boleh digalakkan dalam keluarga untuk mewujudkan ‘sense of belonging’ ini.

Remaja yang tidak rasa sense of belonging dalam keluarga akan lebih suka berpeleseran.

‘SENSE OF BELONGING’ DI SEKOLAH

Di sekolah juga begitu.
Dari peringkat pra sekolah lagi kelebihan anak perlu dikenalpasti tanpa menggunakan hanya satu kayu ukur. Pupuk kelebihan-kelebihan yang ada supaya mereka rasa bernilai dan mempunyai tempat di sekolah.

Takkanlah tidak ada langsung kelebihan yang ada pada pelajar yang kita rasa tidak ada harapan dalam akademik .
Takkanlah pelajar yang nakal itu tidak ada kelebihan yang boleh dimanfaatkan.

Penglibatan pelajar dalam aktiviti ko-korikulum adalah untuk mewujudkan ‘sense of belonging’ inilah. Galakkan murid untuk berada dalam kumpulan mengikut kelebihan mereka contohnya pasukan bola sepak, aktiviti drama, debat, lukisan, IT dan sebagainya . Klasifikasi mengikut kelebihan ini membantu semua pelajar membentuk percaya diri supaya mereka menyumbang kepada sekolah dan masyarakat mengikut kelebihan yang ada. Tidak ada seorang pun yang patut dikecualikan.
Dengan ini semua akan merasa ‘sense of belonging’ di sekolah dan dalam komuniti.

Jangan hanya pelajar pandai akademik sahaja yang mendapat semua peluang. Agihkan peluang.

Begitu juga di rumah, jangan hanya anak yang menjadi ‘favourite’ sahaja yang diberi pujian, diluangkan masa, diberikan hadiah dan pujian,

Saya berada di daerah Banting beberapa hari lalu dan terlihat sekumpulan anak remaja menunggang basikal yang telah diubahsuai. Hebat mereka. Tentu mereka cekap dengan jari jemari untuk berinovasi.

Teringat saya insiden sekumpulan remaja berbasikal yang dilanggar di lebuh raya negeri Johor beberapa bulan yang lalu ketika menaiki basikal mereka yang diubahsuai. Mereka ini remaja hebat sebenarnya. Mereka mempunyai kecekapan untuk melakukan inovasi. Apabila mereka tiada ruang yang betul mereka mencari ruang yang salah dan memudaratkan.

Anak-anak ini bukannya malas, bukannya jahat, anak-anak ini bosan dan kecewa.

Apabila anak mempunyai pengalaman positif dalam keluarga, di sekolah dan dalam komuniti, dia juga belajar untuk menghargai orang lain dalam keluarga, sekolah dan komuniti.

Anak akan melayan orang lain sebagaimana dia dilayan kerana itu saja cara yang dia tahu.

Children See Children Do

Bila anak tidak rasa ‘sense of belonging’ di rumah, ibubapa asyik cari kekurangan, tidak gunakan kelebihan, tidak beri tanggungjawab, di sekolah pula berada di kelas hujung kerana tidak pandai akademik, kelebihan yang ada tidak dipandang, maka kesudahannya anak akan meletakkan nilai diri mereka sendiri sebagai 0 (zero).
Bermula di sinilah masalah akan timbul.

Waktu itu kita hendak marah? Marahlah kata anak, saya sudah sememangnya tidak ada nilai.

Waktu itu kita hendak pukul? Pukullah kata anak, kalau saya lakukan walau satu kebaikan sekalipun tidak ada yang nampak.

Tidak semua manusia akan rosak kerana dibuai dengan kelebihan yang dianugerahkan Allah SWT.

Ramai yang ‘broken’ kerana kelebihan yang ada tidak dipandang.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)