Alangkah Seronoknya Menjadi Kanak-kanak

happykids

Sebagai seorang dewasa kita sering berkata,
“Alangkah seronoknya jika menjadi kanak-kanak. Tiada masalah. Tidak stress.”

Pengalaman gembira tanpa tekanan ketika zaman kanak-kanak membentuk persepsi kita kini.

Berikanlah pengalaman yang sama kepada anak-anak kecil kita supaya ia menjadi imbasan yang menggembirakan buat mereka apabila mereka dewasa nanti.

Kanak-kanak tidak perlu tertekan. Biarlah ia hanya menjadi lumrah bagi orang dewasa yang lebih berupaya dan bersedia menghadapi tekanan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Imam, Kanak-kanak dan ‘Sticker’

Mereka cuma anak-anak kecil berusia di antara 5 hingga 7 tahun. Masjid di kawasan perumahan di Wakra, Doha menjadi tumpuan yang tidak asing lagi bagi mereka. Apabila azan berkumandang mereka akan memenuhi saf-saf sebagai makmum. Tidak ada sesiapa yang melarang mereka dari berdiri bersama-sama dengan makmum dewasa yang lain walaupun di saf paling hadapan. Mereka bebas memilih tempat mereka tanpa arahan daripada orang dewasa untuk ke tepi, ke belakang atau ke ruang khas hanya kerana mereka anak-anak kecil.

doha

Usai solat berjemaah, mereka kalut mendapatkan buku kecil masing-masing yang disimpan di dalam almari khas berhampiran dengan Imam. Mereka berebut-rebut untuk bersalam dengan Imam sambil memegang buku kecil masing-masing. Imam yang berusia lingkungan 60 tahun tidak jemu melayan anak-anak kecil yang menjadi makmumnya. Dengan jari jemari yang tidak lagi muda, Imam mengopek ‘sticker’ kartun untuk dilekatkan di dalam buku-buku anak-anak kecil ini. ‘Sticker’ itu menjadi motivasi mereka untuk solat berjemaah di masjid itu. Di kala kanak-kanak lain mungkin masih bertatih bersolat sendirian, mereka lebih maju ke hadapan dengan belajar bersolat berjemaah di masjid dengan konsisten. Insya-Allah, apabila anak-anak ini makin membesar, mereka akan terus konsisten solat berjemaah di masjid walaupun tidak lagi teruja untuk mendapatkan ‘sticker’ semata-mata.

Ada yang berpendapat bahawa motivasi intrinsik atau motivasi dalaman diri akan memberi kesan yang berkekalan berbanding motivasi ekstrinsik (luaran) seperti ‘sticker’. Bagi anak-anak kecil, apa saja yang menyukakan dan menggembirakan hati mereka akan menjadi dorongan untuk mereka belajar. Paksaan dan tekanan akan hanya menambahkan hormon kortisol dalam otak yang akan membantutkan proses pembelajaran kerana stres.

Learning must be fun for it to be effective.

Faktor pendidik yang ‘sporting’ dan memahami jiwa kanak-kanak juga penting sebagai motivasi pembelajaran. Siapa kata hanya orang muda sahaja yang memahami kanak-kanak? Orang tua, waima Imam sekalipun akan memahami keperluan dan jiwa kanak-kanak jika dia berusaha untuk mendekati dan menyantuni mereka.

Imam di kawasan perumahan saya pernah berpesan kepada ibubapa yang membawa anak untuk bersolat di masjid agar mengajak anak masing-masing berdiri di sebelah ibu atau ayah bersama makmum yang lain. Kata Imam, anak-anak kecil ini akan berpeleseran dan mengganggu Jemaah lain jika mereka diletakkan di belakang sesama kanak-kanak. Oleh kerana itulah adalah lebih baik untuk mereka berada di dalam saf bersama orang dewasa.

Itulah Imam yang memahami kanak-kanak.

Ganjaran luaran seperti ‘sticker’ ada kalanya diperlukan untuk membentuk atau mengubah tingkah laku kanak-kanak. Apabila tabiat sudah mula terbentuk, pemberian ‘sticker’ bolehlah dihentikan. Menurut Jessica Lahey dalam buku “The Gift of Failure”, ganjaran yang berlebihan akan melunturkan kembali motivasi dalaman yang telah terbina. Oleh itu berpada-padalah dalam memberi ganjaran kerana ia kemungkinan hanya akan memudaratkan anak-anak. Apabila anda meminta anak melakukan sesuatu tugasan dan anak bertanya apakah ganjarannya, Itu bermakna anda harus menilai kembali kaedah keibubapaan anda.

Refleksi dari Doha, Qatar.
Disember 2017

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Zaman Kanak-kanak Adalah Zaman Membina Angan-angan dan Impian.

Zaman kanak-kanak adalah zaman di mana anak-anak membina angan-angan dan impian.

 

enjoychildhood

Imaginasi dan kreativiti kanak-kanak tiada sempadan dan batasannya. Mereka tidak serik mencuba dan mereka tidak takut melakukan kesilapan.

Walaupun dunia sudah berubah, keperluan kanak-kanak tetap sama. Kanak-kanak perlu bebas menjadi kanak-kanak. Mereka punya lebih banyak masa untuk menjadi orang dewasa suatu hari nanti berbanding menjadi kanak-kanak sekarang.

Childhood is when they believe that everything is possible.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Letih Menjawab Soalan Anak-anak? 5 Panduan Berguna

“Ibu, perut Yaya sakit lagilah”, adu anak kecil berusia 4 tahun kepada si ibu apabila si ibu meminta anak untuk tidur.

“Bila Yaya tidur, hilanglah sakit perut tu. Insya Allah bila bangun esok, sakit tu hilang.” Pujuk si ibu yang sudah pun menyapu minyak angin di perut Yaya.

“Hilang? Sakit tu hilang pergi mana Ibu?” tanya anak yang kehairanan.

“Hilanglah. Sudah, tidur cepat. Cakap banyak-banyak lagi sakit nanti.” Balas si ibu.

“Kenapa kalau cakap banyak-banyak lagi sakit Ibu?” tanya Yaya lagi yang jelas semakin hairan dengan sakit perut yang dialaminya.

“Dah! Tidur. Ibu banyak kerja ni.” Jawab si Ibu sambil mencium ubun-ubun Yaya dan terus keluar meninggalkan anak yang akan tidur dalam keadaan ingin tahu.


 

why

Adakah anak anda banyak bertanya soalan?
Adakah murid anda banyak bertanya soalan?
Bagaimanakah respon anda apabila anak anda ataupun murid anda bertanya soalan kepada anda?

Kata Socrates, seorang ahli falsafah Yunani yang terkenal pada abad ke 4 Sebelum Masihi dahulu,

“Wisdom begins in wonder” ataupun kebijaksanaan itu bermula dari sifat ingin tahu.

Sifat ingin tahu ini adalah sifat semulajadi yang dimiliki oleh kanak-kanak. Kanak-kanak sentiasa ingin tahu tentang setiap apa yang dilihat, didengari, disentuh, dirasa, dan dihidu oleh deria mereka kerana mereka sedang belajar untuk mengenali diri sendiri dan sedang cuba untuk memahami manusia dan dunia di sekelilingnya.

Mereka sedang melalui proses pembelajaran yang asas melalui deria mereka.

Mereka “wonder.”

Menurut Piaget, pakar Psikologi dan perkembangan kanak-kanak, kanak-kanak paling banyak bertanya soalan yang berkaitan dengan ‘sebab dan akibat’ dan juga bertanya tentang justifikasi atau kenapa sesuatu perkara itu berlaku.
Soalan sebegini dikenali sebagai “Why Questions”.

Seperti contoh di atas, Yaya cuba untuk memahami ke mana sakit itu hilang? (justifikasi) dan juga kenapa semakin sakit bila bercakap? (sebab dan akibat)

Ini adalah fitrah seorang manusia.

Ada kanak-kanak yang mula bertanya soalan apabila berusia sekitar 2.5 tahun. Ada yang mula bertanya lebih lewat sedikit. Itu bukanlah satu masalah yang besar. Kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza-beza.

Dalam satu kajian yang dibuat di UK, kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun UK didapati bertanya paling banyak soalan kepada ibu mereka.

Kanak-kanak perlu digalakkan bertanya soalan dan tidak didiamkan apabila cuba bertanya kerana mereka sedang belajar.

Dengan melayan soalan-soalan yang ditanya oleh kanak-kanak, kita dapat membantu anak kecil untuk:

  1. membina perkembangan bahasa dan komunikasi,
  2. memahami konsep asas dalam pembelajaran dan kehidupan seperti besar-kecil, sama-beza, tinggi-rendah, baik-buruk, kaya-miskin, sihat-sakit dan sebagainya,
  3. membina skil,
  4. memahami nilai dan akhlak mengikut agama dan adat kepercayaan kita.

Bimbing anak tentang adab bertanya dan menjawab soalan.
Bimbing juga murid untuk bertanya mengikut giliran.
Bimbing juga anak tentang adab berbincang, dan menerima perbezaan pendapat.

Semua Ini adalah skil yang harus dipupuk dari awal supaya kita menjadi masyarakat yang berilmu dan juga beradab.

1) Ibubapa dan guru usahlah rasa diuji atau dicabar apabila anak-anak bertanya soalan. Mereka sememangnya ingin tahu.
Usah juga rasa letih menjawab soalan yang ditanya kerana sifat bertanya dan ingin tahu ini menunjukkan proses pemikiran mereka yang sedang berkembang. Sel-sel otak mereka sedang berhubung.

2) Jawablah soalan yang ditanya oleh anak-anak dengan ilmu dan hikmah supaya mereka menjadi manusia yang suka menuntut ilmu dan sentiasa mengkaji.

Janganlah hanya menjawab
“Dah memang macam itu.”

3) Walaupun jawapan awal kita adalah
“Sebab Allah berkuasa untuk jadikan sebegitu” selitkan juga ilmu di sebalik sesuatu perkara atau kejadian. Ibubapa perlu berilmu untuk menerangkan tentang sesuatu perkara.

4) Jika kita tidak tahu jawapannya, minta masa daripada anak untuk anda cari jawapannya terlebih dahulu. Jangan malu untuk mengaku yang anda tidak tahu. Walau bagaimanapun pastikan anda cari jawapannya ataupun cari jawapannya bersama-sama dengan anak. Ini akan menjadi teladan yang baik untuk anak.

5) Satu cara yang terbaik untuk menjawab soalan anak yang suka bertanya adalah dengan bertanya kembali kepada anak,

“Apa pendapat kamu?”
“Kenapa kamu rasa berlaku begitu?”
“Ke mana kamu rasa hilangnya sakit itu?”

Jangan terus memberi jawapan terlebih dahulu.
Selalunya anak yang suka bertanya mempunyai ideanya yang tersendiri tentang sesuatu perkara.

Selain ingin tahu, anak juga bertanya kepada kita soalan kerana anak percayakan kita. Anak rasa selamat dan selesa dengan kita. Anak ingin membina hubungan yang rapat dengan kita – bonding.
Jika kita kerap meminta anak diam dan tidak melayan pertanyaannya, lama-kelamaan anak tidak akan bertanya lagi. Mungkin hidup kita lebih aman tanpa soalan yang tidak putus-putus, tetapi dengan berbuat demikian kita hilangkan kepercayaan anak kepada kita dan juga membantutkan proses pemikiran anak tersebut.

Saya pernah berkongsi dalam posting sebelum ini bahawa kebijaksanaan ataupun ‘wisdom’ adalah salah satu daripada 6 karakter penting yang perlu dipupuk pada seorang anak kerana ia membawa manfaat kepada anak dan juga masyarakat umumnya.

Ingatlah kebijaksanaan itu bermula dari sifat ingin tahu – “Wisdom begins in wonder”.
Sifat ingin tahu sangat menebal pada kanak-kanak.
Layanlah soalan mereka.


 

Allah memberikan Hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Al-Baqarah 2:269)


 

Semoga saya menjawab soalan seorang ibu yang bertanya saya tentang anaknya yang berusia 3 tahun yang suka bertanya soalan. Antara soalan yang ditanya oleh anak beliau adalah bagaimana ‘electricity’ itu berlaku dan berfungsi. Masha Allah.

Apakah soalan yang ditanya oleh anak anda – prasekolah, rendah, atau menengah – yang sukar untuk anda jawab?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Mahu Anak Cepat Membaca?

Berdasarkan kajian, anak-anak kecil yang cepat membaca mempunyai beberapa persamaan seperti berikut:

1) Mempunyai ibubapa yang suka membaca.
2) Ibubapa dan adik-beradik sering melayan soalan-soalan anak kecil tersebut tentang buku, cerita, atau sebarang ‘prints’ dengan kasual dan bukan secara didaktik (mengajar).
3) Mempunyai banyak akses kepada bahan bacaan.
4) Sering dibawa ke perpustakaan, kedai buku, pameran buku dan program yang berkaitan membaca.
5) Diberi peluang memilih bahan bacaan mengikut topik dan tajuk yang diminati.
6) Mempunyai akses yang mudah kepada pensil dan kertas dan menggunakannya dengan kerap.
7) Sering dibacakan buku bersama-sama (read aloud).

Adakah anak kecil anda mempunyai ciri-ciri di atas?

Semua di atas adalah perlu untuk melahirkan MINAT anak terhadap bahan bacaan dan membentuk budaya membaca dalam keluarga.
Ia perlu SEBELUM dan SELEPAS anak boleh membaca.

Sumber Rujukan:
Noor Afidah, A.B. (2013), “Understanding Malaysian parents’ perceptions about early literacy and their involvements to support early literacy development in their children”. The University of Sheffield.

Thesis

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Mencari ‘Endorphin’

Pada zaman di mana kita sering terkejar-terkejar untuk memenuhi tuntutan hidup, adakalanya alami stres, adakalanya berlaku konflik, tahukah anda salah satu terapi yang terbaik untuk mententeramkan jiwa adalah ‘sense of humour’ dalam keluarga.

laugher

Amalkan bergurau senda dan ketawa bersama suami, isteri dan anak-anak setiap kali bertemu. Ini kerana ketawa dan gurau senda menghasilkan ‘happy hormone’ yang dikenali sebagai endorphin yang bukan sahaja dapat mengeratkan lagi perhubungan sesama ahli keluarga, hormon tersebut juga dapat mengurangkan stres kita dan membantu kita dalam proses penyelesaian apa sahaja masalah yang mungkin kita hadapi.
Insya Allah.

Senang bukan?

Jika keluarga tidak dapat membuatkan kita tersenyum dan ketawa, fikirkan kembali di mana silapnya dan cuba untuk memperbetulkannya.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Sumber: ( ‘Social laughter releases endorphins in the brain’, Science Daily, June 2017)

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Melentur Buluh Dari Rebungnya

brain

SITUASI 1
Pernahkah bayi anda menendang-nendang kakinya dan mengepak-ngepakkan tangannya dengan reaksi gembira apabila anda pakaikan bib untuknya?

Pernahkah terlintas di fikiran anda bahawa reaksi itu terhasil kerana bayi anda sedang berfikir?

Apabila kita pakaikan bib, bayi meramalkan (predict) bahawa sekejap lagi dia akan disuapkan makanan.

Ramalan ini dibuat berdasarkan pengalaman yang sudah dilaluinya sebelum ini. Bayi mengumpulkan maklumat yang ada dan meramal.
Meramal adalah salah satu elemen berfikir.

SITUASI 2
Pernahkah anak kecil anda mencampakkan sudu dari ‘high chair’ di meja makan dan merengek supaya anda mengutipnya? Apabila dikutip dia jatuhkan sudu semula dan merengek untuk dikutip? Dan mungkin proses ini berterusan sehingga anda biarkan saja tanpa mengutipnya dan dia pun berhenti merengek?

Pernahkah terlintas di fikiran anda bahawa anak kecil anda bukannya sengaja menguji kesabaran anda? Dia juga sedang berfikir.

Anak kecil ini cuba memahami proses kesan dan akibat (cause and effect).
“Apakah yang berlaku jika saya lakukan sebegini?”
“Adakah kesannya sama setiap kali?”

Memahami ’cause and effect’ adalah satu elemen berfikir yang ada dalam diri anak secara semulajadi dan perlu sentiasa dipupuk. Bukankah elemen ini perlu sehingga ke tua?

SITUASI 3
Pernahkah anak kecil anda menangis kerana kecewa dia gagal menyambungkan blok-blok binaannya? Apabila anda menunjukkan kepadanya cara melakukannya dia akhirnya tahu bagaimana caranya dengan meniru langkah-langkah yang ditunjukkan?

Meniru (imitation) juga adalah satu elemen berfikir. Dalam konteks ini ia menggabungkan skil pemerhatian, skil motor halus, koordinasi, dan perancangan untuk menghasilkan sesuatu yang sama seperti dilihatnya.

SITUASI 4
Adakah anak anda bertanya banyak soalan kepada anda?
Adakah dia bertanya soalan-soalan pelik yang anda sendiri tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya seperti “Kenapa air basah?” dan sebagainya?

Pernahkah anda terfikir bahawa apabila dia menyoal tidak mengira masa dan tempat, tidak mengira anda letih atau tidak, itu tandanya otaknya sedang ligat berfikir.

Menyoal (questioning) adalah juga satu elemen berfikir. Anak sedang cuba untuk mengumpulkan maklumat-maklumat untuk membentuk pemahaman tentang persekitarannya.

Pada siapakah lagi dia akan bertanya jika bukan pada adiwira dalam hidupnya?

Ini adalah antara contoh-contoh dalam kehidupan seharian anak yang menunjukkan bahawa anak berfikir sejak bayi lagi. Proses berfikir ini sering dipamerkan melalui tindak tanduknya yang mungkin kira rasakan biasa-biasa saja atau mungkin kita naik angin kerana menguji kesabaran kita. Sebenarnya tidak ada satu pun perbuatan semulajadi anak kecil yang sia-sia jika anda belajar untuk memahaminya.

Menggalakkan anak kecil berfikir bukanlah dengan cara memberikannya latihan yang sukar diluar kemampuannya untuk membuktikan ‘kegeniusan’ sahaja. Proses berfikir ini banyak berlaku apabila anak kecil bermain. Bermain bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect