SITUASI 1
Pernahkah bayi anda menendang-nendang kakinya dan mengepak-ngepakkan tangannya dengan reaksi gembira apabila anda pakaikan bib untuknya?
Pernahkah terlintas di fikiran anda bahawa reaksi itu terhasil kerana bayi anda sedang berfikir?
Apabila kita pakaikan bib, bayi meramalkan (predict) bahawa sekejap lagi dia akan disuapkan makanan.
Ramalan ini dibuat berdasarkan pengalaman yang sudah dilaluinya sebelum ini. Bayi mengumpulkan maklumat yang ada dan meramal.
Meramal adalah salah satu elemen berfikir.
SITUASI 2
Pernahkah anak kecil anda mencampakkan sudu dari ‘high chair’ di meja makan dan merengek supaya anda mengutipnya? Apabila dikutip dia jatuhkan sudu semula dan merengek untuk dikutip? Dan mungkin proses ini berterusan sehingga anda biarkan saja tanpa mengutipnya dan dia pun berhenti merengek?
Pernahkah terlintas di fikiran anda bahawa anak kecil anda bukannya sengaja menguji kesabaran anda? Dia juga sedang berfikir.
Anak kecil ini cuba memahami proses kesan dan akibat (cause and effect).
“Apakah yang berlaku jika saya lakukan sebegini?”
“Adakah kesannya sama setiap kali?”
Memahami ’cause and effect’ adalah satu elemen berfikir yang ada dalam diri anak secara semulajadi dan perlu sentiasa dipupuk. Bukankah elemen ini perlu sehingga ke tua?
SITUASI 3
Pernahkah anak kecil anda menangis kerana kecewa dia gagal menyambungkan blok-blok binaannya? Apabila anda menunjukkan kepadanya cara melakukannya dia akhirnya tahu bagaimana caranya dengan meniru langkah-langkah yang ditunjukkan?
Meniru (imitation) juga adalah satu elemen berfikir. Dalam konteks ini ia menggabungkan skil pemerhatian, skil motor halus, koordinasi, dan perancangan untuk menghasilkan sesuatu yang sama seperti dilihatnya.
SITUASI 4
Adakah anak anda bertanya banyak soalan kepada anda?
Adakah dia bertanya soalan-soalan pelik yang anda sendiri tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya seperti “Kenapa air basah?” dan sebagainya?
Pernahkah anda terfikir bahawa apabila dia menyoal tidak mengira masa dan tempat, tidak mengira anda letih atau tidak, itu tandanya otaknya sedang ligat berfikir.
Menyoal (questioning) adalah juga satu elemen berfikir. Anak sedang cuba untuk mengumpulkan maklumat-maklumat untuk membentuk pemahaman tentang persekitarannya.
Pada siapakah lagi dia akan bertanya jika bukan pada adiwira dalam hidupnya?
Ini adalah antara contoh-contoh dalam kehidupan seharian anak yang menunjukkan bahawa anak berfikir sejak bayi lagi. Proses berfikir ini sering dipamerkan melalui tindak tanduknya yang mungkin kira rasakan biasa-biasa saja atau mungkin kita naik angin kerana menguji kesabaran kita. Sebenarnya tidak ada satu pun perbuatan semulajadi anak kecil yang sia-sia jika anda belajar untuk memahaminya.
Menggalakkan anak kecil berfikir bukanlah dengan cara memberikannya latihan yang sukar diluar kemampuannya untuk membuktikan ‘kegeniusan’ sahaja. Proses berfikir ini banyak berlaku apabila anak kecil bermain. Bermain bukanlah sesuatu yang sia-sia.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect