Bengkel Keibubapaan – Pendidikan Anak-anak dalam Islam
Anjuran:
Helwa Manchester,
Malaysian Community Cheetam Hill (MCHH)
Sekolah Komuniti Malaysia Manchester (SKMM)
Basics of Early Childhood Education and Parenting
Spiritual, Intellectual, Social & Emotional Development in Children
(4-week workshop)

Kami bermalam untuk kali terakhir di apartment Shisha pada malam tersebut dan esoknya kami akan mendaftar masuk ke penginapan di Makkah selama 7 hari. Penginapan yang disediakan oleh pihak penganjur adalah Hotel Intercontinenal Dar-Tawheed, Makkah yang terletak benar-benar di hadapan Masjidil Haraam.
Alhamdulillah, memang sangat mudah untuk urusan ibadah terutamanya dengan anak-anak. Seminggu di sana dihabiskan dengan beribadah di Masjidil Haraam, bertawaf sunat, beriktikaf, mengaji al-Quran, bersolat jemaah, bercerita dengan anak-anak, berbual-bual dengan para jemaah lain yang kami temui di sana. Indah sekali pengalaman tersebut.
Namun apabila ditanya kepada anak-anak, apakah pengalaman Haji yang paling mereka suka, seminggu di hotel bertaraf 5 bintang ini tidak dapat menandingi ibadah Haji itu sendiri. Anak-anak memilih pengalaman di Mina (khemah, berjalan ke Jamrah, melontar) dan Saei sebagai pengalaman yang paling mereka suka. Wukuf di Arafah yang panas, bermalam di Muzdalifah berbumbungkan langit, bermalam di Mina yang berhimpit-himpit, berjalan kaki 7-8 km setiap hari untuk pergi melontar, bertawaf dalam keadaan yang sesak, bersaei, semuanya, lebih indah daripada pengalaman 7 hari/malam di Hotel Intercontinental Dar-Tawheed.
26/11/2010 bersamaan 30 Zulhijjah 1431, kami menunaikan Tawaf Wadaa selepas solat Maghrib dan dengan hati yang sungguh meruntun-runtun meninggalkan bumi Haraam…dengan harapan dan doa agar 21 hari kami di sana menjadi sempadan permulaan yang baru untuk kami menjadi hamba Allah yang hidupnya hanya demi mengabdikan diri kepada-Nya. Dan moga kami berpeluang lagi untuk kembali ke bumi bertuah ini sebagai tetamu Allah yang Esa……..
Perjalanan dari Jeddah ke Cairo ke London berjalan lancar dan kami mendarat di London Heathrow pada 27/11/2010 yang suhunya kosong darjah celcius (tahap beku) dan hanya diraikan oleh pegawai imigresen beragama Islam yang tersenyum lebar melihat kami yang baru pulang dari menjadi tetamu Allah.

Alhamdulillah, kami bermalam di Shisha selepas tiba dari Jamrah pada awal pagi 13 Zulhijjah. 13 Zulhijjah merupakan hari Jumaat dan kami menunaikan solat Subuh di Masjid Shisha bersama ratusan jemaah lain. Di masjid ini kami bertemu 2 orang anak-anak kecik (dalam 7-8 tahun) yang meminta sedekah. Jiwa mereka sungguh murni. Apabila si adik menangis, si kakak cepat-cepat memujuk dan apabila kami memberikan wang, mereka saling berkongsi. Ada kelainan dari peminta sedekah yang pernah kami jumpa di tempat-tempat lain.
Kami masih perlu melontar untuk hari ke-3 dan hanya selepas itu barulah selesai Haji kami. Kami memutuskan untuk melontar sebaik selesai solat Jumaat. Perjalanan 15 minit ke Jamrah sangat berlainan dengan hari-hari sebelumnya kerana suasana agak lengang tetapi sangat panas. Sekali lagi, kami dapat melontar dengan tenang dan selesa seperti hari-hari sebelumnya, alhamdulillah.


Alhamdulillah, kami selamat tiba di khemah dan kalangan para sahabat dari rombongan kami terus bertanyakan khabar dan apa yang berlaku kerana mereka sedar yang kami sudah tiada di khemah sejak sebelum Subuh. Selepas berbual sedikit, kami pun bersolat dan bersedia untuk tidur. Bermalam di Mina. Sambil merancang hari selanjutnya dan berdoa moga Allah SWT meredhai dan menerima ibadah kami.
Hari 12 Zulhijjah agak istimewa kerana para jemaah yang mahu mengerjakan Nafar Awal (iaitu hanya bermalam 2 malam dan melontar ketiga-tiga jamrah selama 2 hari sahaja, 11 dan 12 Zulhijjah) perlu meninggalkan kawasan Mina sebelum Maghrib. Rata-rata dari kalangan rombongan kami mahu mengerjakan Nafar Awal kerana faktor-faktor tersendiri. Manakala kami pula mengambil keputusan untuk menempuh sehari lagi urusan ibadah Haji ini…walaupun penat dan letih tetapi tersangat indah dan bermakna. Seawal pagi, selepas Subuh dan bersarapan, sudah ramai para jemaah yang mula bergerak keluar dari khemah. Menuju ke jamrah untuk melontar (waktu melontar adalah sebaik masuk waktu Zohor hingga keesokan paginya – menurut kebanyakan ulama; sedangkan waktu diantara waktu Subuh dan waktu Zohor bukanlah waktu melontar pada hari-hari Tasyrik. Hanya pada 10 Zulhijjah, ibadah melontar jamrah Aqabah bermula selepas Subuh dan lebih afdal pada waktu Dhuha).
Memikirkan bahawa jamrah-jamrah tentu akan sesak di antara waktu Zohor dan Maghrib dengan para jemaah yang mengerjakan Nafar Awal, kami memutuskan untuk pergi melontar selepas Maghrib sahaja dan kemudian terus kembali ke khemah untuk bermalam di Mina pada malam ke-3. Maka sepanjang siang harinya pada 12 Zulhijjah tersebut akan kami luangkan di khemah di Mina. Menjelang waktu Zohor, semua ahli rombongan kami telahpun mengosongkan khemah dan hanya terdapat satu kumpulan kira-kira 10 orang jemaah yang berkongsi khemah dengan kami masih di sana. Mereka mahu menunaikan solat Zohor sebelum berjalan ke Jamrah. Manakala di khemah wanita pula, hanya tinggal isteri dan anak perempuan berdua. Sejurus sebelum masuk waktu Zohor, kami mendapat maklumat bahawa terowong-terowong pejalan kaki ke Jamrah telah ditutup kerana kesesakan. Selepas solat Zohor berjemaah bersama, kumpulan 10 orang tersebut meninggalkan kami kerana mereka juga ingin mengerjakan Nafar Awal.
Cuaca pada hari tersebut sangat panas. Hanya tinggal kami lima beranak di kawasan perkhemahan kami dan kepanasan yang amat sangat itu (walaupun ‘blower’ di dalam khemah masih berfungsi) mula melemahkan tenaga dan memeningkan kepala…kain basahan yang diletakkan di dahi kering dengan cepat dan hampir tidak membantu langsung. Dalam keadaan yang sedemikian, kami panjatkan doa kepada Allah SWT agar membantu kami, memberi kekuatan dan kesihatan agar dapat kami berjalan nanti ke Jamrah untuk melontar (jarak 3.5 km). Tidak berapa lama kemudian, dengan rahmat-Nya, hujan turun dengan lebat sekali, sehinggakan kawasan di luar khemah yang biasanya kering kontang di penuhi air yang kira-kira 1 inci dalamnya. Suasana panas di dalam khemah terus berubah menjadi nyaman dan kami dapat berehat dan melelapkan mata untuk berehat barang seketika, alhamdulillah. Solat Asar ditunaikan secara berjemaah kami sekeluarga, seperti di rumah di kota London (di Mina, kami bersolat Zohor dan Asar dengan diqasarkan tetapi tidak dijamakkan).

Selesai solat Asar, kami bersiap-siap membersihkan diri dan mengemaskan barang-barang. Suasana di perkhemahan Mina sangat sunyi dan lengang serta para pekerja sudah mula masuk ke kawasan khemah untuk kerja-kerja pembersihan. Kami yang asalnya merancang untuk kembali semula ke khemah untuk bermalam pada malam ke-3, mula berasa sangsi dan agak gusar. Bayangkan kalau kami berlima sahaja yang bermalam di situ (di kawasan 2 khemah besar tersebut)…dalam keadaan tersebut, kami mengubah perancangan. Kami mahu bermalam di Jamrah (yang juga di Mina tentunya).

Maka kami kemaskan semua barang-barang dan selesai sahaja solat Maghrib, kami mula berjalan ke Jamrah. Setiba di Jamrah, kami melontar ketiga-tiga Jamrah (lontaran hari kedua daripada 3 hari) dalam suasana yang tenang. Sebaik sahaja selesai melontar, kami yang berada di tingkat 3 Jamrah, terus mencari ruang di tepi bangunan Jamrah dan membentangkan kain/lapik di atas lantai yang jaraknya kira-kira 100 meter dari Jamrah Sughra. Memandangkan kami berada di bumi Mina sejak waktu Maghrib, selepas mengira-ngira waktu malam, maka kami berkira yang kami perlu berada di bumi Mina sekurang-kurangnya sehingga sejurus selepas tengah-malam. Sambil duduk di situ, kami berdoa, membaca al-Quran, bercerita dengan anak-anak, mendengar cerita-cerita anak-anak terutamanya tentang pengalaman Haji mereka setakat itu sambil memerhati para jemaah yang tidak putus-putus tiba untuk melontar.

Alhamdulillah, kira-kira jam 1.30 pagi, kamipun bergerak keluar dari kawasan jamrah dan juga kawasan Mina menuju ke apartment di Shisha. Sekian malam ke-3 di Mina; sungguh istimewa dan terkesan di hati. Moga Allah SWT menerima ibadah kami.
Perjalanan pulang dari Masjidil Haraam agak menarik kerana kami diberitahu bahawa jalan ke Jamrah dari Masjidil Haraam sangat sesak kerana para jemaah yang berpusu-pusu ke Jamrah untuk melontar dan kemudiannya untuk bermalam di Mina. Hati masih terasa gusar kerana kami masih belum melontar ketiga-tiga jamrah, ‘ula/sughra, wusta dan aqabah/kubra pada hari ini. Doa berterusan kami panjatkan kehadrat Allah SWT agar memudahkan perjalanan ibadah kami ini. Kami berjaya mendapat sebuat teksi yang dipandu oleh seorang pakcik yang agak berumur. Teksi beliau juga kelihatan uzur. Namun beliau kelihatan agak yakin bahawa beliau tidak akan menghadapi masalah membawa kami ke ‘Bin Dawood Shisha’ sebuah pasaraya di persimpangan jalan ke Jamrah.
Selepas memulakan perjalanan baru kami sedar bahawa pakcik tersebut sangat pakar tentang jalan-jalan belakang, sisi dan sebagainya kota Mekah. Malah yang paling menarik, di salah satu jalan tersebut beliau masuk ke jalan yang menghala ke Masjidil Haraam kembali (arah bertentangan) yang membuatkan kami agak kaget. Tetapi jalan tersebut kosong, manakala jalan di arah bertentangan ke arah Jamrah/Shisha padat dengan kenderaan yang hampir tidak bergerak. Pakcik teksi ini dengan yakin memasukkan gear undur dan mengundurkan teksi beliau di sepanjang jalan yang kosong itu. Jarak beliau berundur ada kira-kira 1/2 kilometer; dan di hujung jalan tersebut rupanya kami sudah benar-benar hampir dengan Bin Dawood. Alhamdulillah, kereta yang uzur tetapi pemandu yang sangat berpengalaman membolehkan kami menyudahkan perjalanan dalam masa kira-kira 30 minit pada masa orang-orang lain mengambil masa lebih 1 atau 2 jam akibat kesesakan. Syukur pada-Mu ya Allah!
Kami terus ke Jamrah dan melakukan ibadah melontar. Alhamdulillah, sepanjang kami melakukan ibadah melontar, kami sentiasa ada ruang tanpa perlu berhimpit atau bertolakan. Malah setiap kali melontar, sehinggalah pada hari yang terakhir, kami dapat berdiri betul-betul dihadapan tembok Jamrah tanpa ada sesiapa di hadapan kami; ini sangat memudahkan anak-anak yang ketinggian mereka tidak seberapa memastikan batu-batu yang dilontar masuk ke dalam Jamrah.

Selepas melontar, kami kembali ke apartment Shisha kerana hari masih awal. Selepas bersolat Asar di Masjid Shisha dan kemudiannya berehat, makan malam, membersihkan diri dan bersolat Maghrib, kami pun meninggalkan Shisha memulakan perjalanan pulang ke khemah di Mina untuk bermalam di Mina pada malam kedua, 12 Zulhijjah.
Kami tiba di khemah di Mina setelah perjalanan berjalan kaki selama hampir satu jam. Walaupun kepenatan, tetapi kepuasan mengharungi hari-hari 9 dan 10 Zulhijjah dalam suasana beribadah memberi kekuatan luarbiasa. Setiba di khemah, selepas membersihkan diri, kami terus tidur kerana perancangannya adalah untuk bangun kira-kira satu jam sebelum Subuh untuk ke Masjidil Haraam untuk Tawaf Ifadhah dan Saei Haji. Alhamdulillah, kami bangun seperti yang dirancang dan kemudian mula berjalan kaki semula ke arah apartment di Shisha.
Kami melalui kawasan Jamrah dan kelihatan masih ada para jemaah yang melontar. Kami sebaliknya tidak melontar tetapi sekadar lalu sahaja. Setiba di Shisha, kami menunaikan solat Subuh dan selepas Subuh kami berdoa dengan doa yang antara lainnya berbunyi ‘Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami ke Masjidil Haraam untuk menunaikan Tawaf dan Saei. Berilah kemudahan kepada kami agar mendapat kereta sewa yang selesa dan berpatutan harganya. Berilah kami keupayaan untuk menunaikan Tawaf dan Saei dalam kadar waktu yang tidak terlalu lama kerana kami ingin pulang semula ke Mina untuk bermalam pada malam yang kedua’ – doa di atas bumbung bangunan di kala matahari belum terbit, berbumbungkan langit dan diaminkan oleh anak-anak yang memahami betapa tingginya dugaan apabila mengambil masa 12 jam untuk menunaikan Tawaf dan Saei sebelum itu. Kami pasrah pada-Mu ya Allah.
Kemudian langkah dimulakan dengan doa perjalanan dan hati yang merintih memohon redha, bantuan dan rahmat daripada Allah SWT. Kami terus ke jalanraya menuju ke Mekah dan mencari kereta-kereta sewa atau van atau bas yang boleh kami naiki untuk ke Haraam. Banyak sekali kereta sewa dan sebagainya di situ; tetapi pelbagai masalah yang kami hadapi, daripada harga yang sangat tidak berpatutan (50-70 Riyal setiap seorang untuk perjalanan beberapa kilometer tersebut), jemaah lain yang sudah ‘reserve’ sebuah van untuk para sahabat beliau walaupun pemandu berkata kami juga boleh naik (jemaah tersebut duduk di pintu van dan enggan membenarkan kami naik), kereta-kereta sewa yang hanya boleh mengambil 2 atau 3 orang penumpang sahaja kerana sudah penuh! Ya Allah, kami agak risau dan buntu…namun, kami terus yakin bahawa DIA pasti akan menjaga tetamu-tetamunya.
Tidak jauh dari kawasan menunggu kereta sewa tersebut, berjarak kira-kira 200 meter, adalah lintasan pejalan kaki yang juga merupakan akses untuk mereka yang mahu berjalan kaki ke Masjidil Haraam. Setelah agak lama juga mencuba kami mengambil keputusan untuk berjalan ke atas lintasan pejalan kaki tersebut dengan tekad bahawa sekiranya kami tidak mendapat kenderaan untuk dinaiki apabila sampai di situ, kami akan berjalan kaki sahaja. Kerisauan di hati adalah, anak-anak yang akan keletihan dengan perjalanan kira-kira 3-5 kilometer dari situ ke Haraam (setelah sebelumnya berjalan sejauh 4 kilometer dari khemah di Mina) yang kemudiannya pula akan ber‘juang’ di medan Tawaf dan Saei.
Kami berjalan di tengah-tengah jalan di atas penghadang jalan kerana kawasan tepi jalan sangat sesak dengan manusia dan kenderaan. Sambil berjalan, hati terus berdoa kepada-Nya sambil mata memerhati satu per satu kereta-kereta yang berselisih dengan kami. Mana tahu ada yang mahu mengambil penumpang (walaupun secara ‘logiknya’ mereka yang mahu mengambil penumpang akan berada di lorong sebelah tepi jalan, bukan di lorong memotong). Dalam keadaan trafik yang agak sesak, kelajuan kenderaan di lorong memotong memang sangat perlahan dan memang ada ‘eye contact’ di antara kami yang berjalan dengan pemandu. Biasanya mereka yang mahu mengambil penumpang akan berteriak, ‘Haraam, Haraam’ untuk menarik perhatian jemaah. Memang tiada yang sedemikian. Nampaknya kami harus berjalan kaki ke Masjidil Haraam kali ini.
Kelihatan sebuat kenderaaan GMC serba baru di hadapan kami dan pemandunya memandang terus ke hadapan seolah-olah tidak menghiraukan para pejalan kaki yang memperlahankan perjalanannya. Memang di Makkah, hampir ke semua kenderaan sewa (yang biasanya kereta-kereta biasa ketika musim haji) keadaannya agak daif. Kenderaan-kenderaan lama dan tidak terjaga. Entah mengapa hati terdetik untuk melambai tangan kepada pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut walaupun ada terlintas di hati yang beliau adalah warga Makkah yang mungkin dalam perjalanan pulang ke rumah. Beliau lantas menurunkan cermin (biasanya kenderaan sewa tidak dinaikkan cerminnya – kalau tidak, bagaimana mahu memanggil penumpang!). Dengan senyuman dan salam, kami mengatakan ‘Haraam’ dan beliau menjawab salam lantas mengangguk. Persetujuan singkat di bahu jalan mengatakan, 20 Riyal setiap orang untuk kami berlima (harga yang tidak kami jumpa setakat itu pada hari tersebut kerana begitu ramai yang inginkan khidmat pengangkutan menyebabkan ‘tambang tidak berpantau’ ini meningkat tinggi). Kami terus menaiki kenderaan yang boleh memuatkan kira-kira 10 orang tersebut. Sempat ‘berbual’ dengan beliau yang mengatakan bahawa beliau tidak tahan bau asap; dan sebab itulah kereta beliau bertutup semua cerminnya dan ‘air-cond’ ditinggikan. Nyaman sekali perjalanan kali ini – tidak seperti yang sebelumnya. Di dalam perjalanan, beliau mengambil beberapa orang penumpang dari kalangan jemaah dari Indonesia yang salah seorangnya fasih berbahasa Arab. Rasanya persetujuan di antara mereka adalah 30 Riyal setiap seorang.
Setibanya di kawasan berhampiran Masjidil Haraam, semua penumpang turun dan membayar tambang. Kelihatan jemaah yang berkongsi kenderaan dengan kami terus tawar-menawar dengan bahasa Arab yang fasih; sedangkan kami dalam keadaan sangat bersyukur kerana tidak perlu berjalan kaki. Anak bongsu pula sangat menyukai kereta tersebut sehingga berkata, ‘Abah, nanti kita beli kereta macam ni ye!’. Kami hanya tersenyum. Anak kecil yang ikhlas membuat penilaian spontan. Ketika mahu membayar tambang setelah kumpulan jemaah Indonesia beredar, tuan punya kereta yang kami tumpangi bersungguh-sungguh menunjukkan arah kami perlu berjalan untuk ke Masjidil Haraam (memang tidak mungkin dapat tiba betul-betul di depan Masjid kerana kesesakan) dan kami yang telah pernah diturunkan di situ ketika mengerjakan Tawaf dan Saie Umrah beberapa hari lepas mengangguk tanda faham. Wang 100 Riyal untuk 5 orang dihulurkan dan sesuatu yang mengejutkan kepada kami berlaku. Biasa kami mendengar tentang pemandu teksi yang mengambil kesempatan ke atas para jemaah semasa musim haji dengan pelbagai cara termasuk meminta jumlah tambang yang lebih dari yang dijanji dan sebagainya. Sebaliknya, beliau menghulurkan kembali 20 Riyal sambil tersenyum dan mengucapkan selamat kepada kami….Subhan’Allah (Maha Suci Allah – doa2 kami tertunai dengan spesifik sekali – kenderaan yang selesa dan harga yang berpatutan – malah lebih lagi)….alhamdulillah.

Alhamdulillah, tawaf dan saei dapat kami tunaikan dalam keadaan yang lebih ‘mudah’ daripada yang sebelumnya. ‘Mudah’ yang sangat relatif sebenarnya. Bayangkan bertawaf di dataran Masjidil Haraam bersama 3 orang anak-anak. Mungkin yang pernah menunaikan haji dapat membayangkan. Saei juga agak terhalang dengan para jemaah yang sibuk berdiri di kedua-dua hujung Safa ataupun Marwah dan merakam video ataupun gambar sedangkan mereka yang masih bersaei agak bersesak dan terhalang oleh mereka. Seusai solat Zohor kami telahpun selesai kedua-duanya. Alhamdulillah.
Setelah itu, kami bergegas untuk kembali ke Mina bagi menunaikan ibadah melontar hari Tasyrik yang pertama (11 Zulhijjah) dan untuk ke Mina bagi bermalam di sana. Sebelum itu, sempat kami singgah makan tengahari di sebuah restoran berhampiran dengan Masjidil Haraam.
Setiba di Shisha, kami dinasihatkan oleh penganjur agar berehat sementara menunggu sembelihan dilakukan bagi pihak kami sebelum bercukur. Sebenarnya tidak diwajibkan menunggu, tetapi Rasulullah SAW melaksanakannya sedemikian.

