‘Repetition’/Pengulangan

repetition

Secara umumnya kita sudah pun tahu bahawa kanak-kanak belajar dengan efektif apabila sesuatu pembelajaran itu berlaku secara berulang-ulang.

Contohnya pengulangan melalui latihan, pengulangan pergerakan, berulang-ulang didedahkan kepada sesuatu informasi dan berulangkali berusaha untuk mencapai sesuatu matlamat.

Tingkah laku yang positif juga boleh dipupuk jika dilatih dan diamalkan secara berulang-ulang.

Pengulangan atau ‘repetition’ ini sangat penting untuk proses pembelajaran kerana pengulangan inilah yang membina perhubungan neuron dalam otak. Perhubungan neuron ini diperkukuhkan lagi apabila pengulangan berlaku.

Walau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa BERMAIN tidak memerlukan pengulangan yang banyak bagi mewujudkan perhubungan neuron. Ini kerana bermain itu sendiri adalah kaedah pembelajaran yang SANGAT EFEKTIF bagi kanak-kanak. Kanak-kanak mempelajari pelbagai perkara melalui bermain, walaupun mereka kelihatan releks dan santai, kerana itulah tugas hakiki mereka.

Memaksa kanak-kanak untuk duduk diam di meja pada satu jangkamasa yang lama tanpa sebarang pergerakan atau penerokaan adalah ‘counter productive’ bagi proses pembelajaran.

Ini merupakan satu penderaan intelektual kerana ia melawan fitrah semulajadi kanak-kanak.

Bandingkan 400 pengulangan dan 20.
Bezanya sungguh banyak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Ganjaran (Reward) vs Rasuah (Bribe)

“Puan, saya selalu beri reward pada anak saya tetapi perangai dia macam itu jugak, tak berubah.”

“Saya selalu cakap, kalau tak buat perangai bangun pagi nanti Mama beli aiskrim. Betul ke macam tu Puan?”

Adakah yang diberikan kepada anak selama ini ganjaran (reward) ataupun rasuah (bribe)?

Adakah semua ganjaran akan membentuk tingkah laku?

This slideshow requires JavaScript.

 

 

Anak Lelaki Memendekkan Usia Ibu. Benarkah?

boysshortenlife

Dua buah kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari University of Turku, Finland iaitu Helle dan Lummaafound, mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak-anak lelaki mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding ibu yang melahirkan anak-anak perempuan..

Jangka hayat ibu-ibu didapati berkurang selama 34 minggu jika mengandung dan melahirkan anak lelaki. Kajian juga mendapati semakin ramai anak lelaki, semakin pendek jangka hayat si ibu.

Jika melahirkan anak perempuan, jangka hayat ibu didapati lebih panjang.

Satu lagi kajian yang dijalankan di Denmark berpandukan data dari tahun 1980-2010 dari Danish National Register pula mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak lelaki lebih berisiko untuk terkena serangan jantung, osteoarthritis, arthritis, barah ovari, barah payudara, diabetis type 2 dan obesiti setelah berusia 45 tahun.

Antara penjelasan yang diberikan oleh Birgitte Hollegaard dari University of Copenhagen tentang dapatan ini adalah

1) Ketika mengandungkan anak lelaki, tubuh ibu memerlukan lebih banyak tenaga ataupun kalori berbanding ketika mengandungkan anak perempuan. Ini menyebabkan ibu lebih berisiko untuk menghadapi masalah kesihatan apabila usia meningkat.

2) Kebanyakan bayi lelaki dilahirkan dengan berat yang lebih berbanding anak perempuan. Ini juga memberi bebanan yang lebih kepada fizikal si ibu.

3) Penghasilan susu ibu untuk anak lelaki juga didapati memerlukan lebih banyak tenaga dari ibu. Walau bagaimanapun dapatan dari kajian ini adalah pelbagai.

Mengandung dan melahirkan anak bukanlah satu proses yang mudah. Trauma yang dialami oleh fizikal, emosi dan mental seorang ibu ketika mengandung dan melahirkan tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat diungkapkan.

‘Post partum depression’ juga adalah sebahagian dari trauma ini yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang ringan. Ia berlaku tanpa disedari dan tanpa boleh dikawal oleh si ibu.

Para bapa perlu berada di sisi ibu sepanjang masa untuk memberi sokongan. Para bapalah yang perlu menjadi ‘DOULA’ kepada si ibu kerana anak-anak adalah tanggungjawab bersama dari mula kejadian sehinggalah dilahirkan dan dibesarkan.

Anak lelaki ataupun anak perempuan, kedua-duanya adalah ujian walaupun mungkin cabaran yang diberikan adalah berbeza. Hidup, mati, ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Walau bagaimanapun kita perlulah berusaha untuk menjaga tahap kesihatan fizikal, emosi dan mental supaya amanah untuk membesarkan dan mendidik anak ini dapat dipikul sebaiknya.
Ini memerlukan usaha bukan hanya diam menyerahkan segalanya kepada takdir tanpa usaha. Dapatkan nasihat pakar tentang kesihatan.

Semoga kita dapat mendidik anak lelaki dan anak perempuan kita menjadi anak soleh dan solehah yang dapat mendoakan kita satu hari nanti.
Semoga kita juga dapat membimbing mereka agar dapat menyumbang kepada keluarga dan masyarakat dengan kelebihan masing-masing, tidak kiralah panjang atau pendek jangka hayat kita di dunia yang fana ini.

Oh ya, kajian-kajian yang dijalankan tersebut juga mendapati walau si ibu melahirkan anak lelaki atau anak perempuan, ia tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas jangka hayat si bapa.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Rasa Bersalah Ibubapa Yang Positif vs Toksik

Seorang ibu meluahkan perasaannya kepada saya tentang rasa bersalah yang dialaminya setiap kali dia menghukum anaknya atas kesalahan yang dilakukan.
Dia merasakan ada kalanya perasaan bersalah itu menyebabkan dia membiarkan anak berbuat sesuka hati.


Perasaan bersalah adalah satu anugerah daripada Allah SWT.
Rasa bersalah dan menyesal adalah satu isyarat untuk memberitahu bahawa kita mungkin telah tergelincir dari landasan prinsip dan nilai yang kita pegang.
Ia seumpama satu mekanisme pertahanan diri.*

Sebagai ibubapa, kadang-kadang kita merasa bersalah kerana mengambil sesuatu tindakan tidak wajar ke atas anak-anak.
Rasa bersalah yang hadir kerana memarahi atau memukul anak secara keterlaluan adalah satu isyarat bahawa kita perlu fikirkan kaedah lain untuk membantu anak.
Rasa bersalah yang hadir kerana kerap hilang sabar dalam menguruskan keluarga dan anak-anak adalah isyarat bahawa kita perlu uruskan tahap stres kita terlebih dahulu.
Rasa bersalah yang hadir kerana tidak meluangkan banyak masa dengan anak-anak sepatutnya membuatkan kita berusaha untuk memberi lebih perhatian kepada mereka.
Rasa bersalah ini adalah isyarat bahawa kita perlu mengubah sikap kita dan memperbaiki perhubungan dengan anak-anak. Rasa bersalah yang POSITIF sebegini melibatkan EMOSI dan TINDAKAN SUSULAN untuk memperbaiki keadaan.

Rasa bersalah yang TOKSIK dialami apabila kita terlampau menyalahkan diri sendiri atas SEGALA yang berlaku ke atas anak. Kita sering membuat andaian bahawa masa hadapan anak akan musnah dan hancur disebabkan oleh tindakan kita. Rasa bersalah yang toksik ini tidak menggerakkan kita untuk berusaha memperbaiki keadaan sebaliknya membiarkan keadaan seadanya dan terus menjadi parah tanpa melakukan apa-apa perubahan.
Rasa bersalah toksik sebegini hanya melibatkan EMOSI TANPA USAHA.

Rasa bersalah yang toksik ini juga membuatkan kita:

-sukar untuk berkata TIDAK kepada anak, maka anak -menjadi melampaui batas.
-memberi material yang berlebihan kepada anak walaupun tidak diperlukan.
-mengalah dan menurut segala kehendak anak sehingga menjadi ibubapa yang permisif.
-menyakitkan atau menghukum diri sendiri kerana tidak menjadi ibubapa yang terbaik dan sempurna.
-membanding-bandingkan diri kita dengan ibubapa yang lain sehingga melahirkan kekecewaan kerana diri kekurangan.
-membazir banyak masa memikirkan kesilapan yang telah dilakukan.
-berfikir buruk ke atas diri sendiri kerana akan merosakkan masa hadapan anak.

Semua ini harus dielakkan.

Ada perkara yang boleh kita usahakan dan ada perkara yang di luar kawalan kita walaupun setelah kita berusaha sebaiknya.
Uruskan rasa bersalah supaya tidak menjadi toksik.

Tidak langsung merasa bersalah adalah juga sesuatu yang toksik.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

*HOW GUILT IS A GIFT – Ust. Nouman Ali Khan.

Tingkahlaku vs Punca Tingkahlaku

puncatingkahlaku

Tingkah laku anak-anak yang dapat kita lihat adalah seumpama hujung bongkah ais yang kelihatan di permukaan air. Apa yang kelihatan hanyalah sebahagian kecil dari bongkah ais tersebut. Bahagian yang terlindung di dasar adalah lebih besar dan signifikan.

Jika kita ingin membantu anak memperbetulkan tingkah lakunya ataupun jika kita ingin mencari solusi kepada cabaran yang dialami oleh anak, kita perlulah faham apakah punca dan penyebab tingkah laku tersebut. Kegagalan kita untuk mengenalpasti punca sebenar tingkah laku akan mengakibatkan kegagalan kaedah yang kita gunakan untuk memperbetulkan tingkah laku anak.

Menggunakan kaedah yang tidak sesuai dengan punca tidak akan mengubah apa-apa. Anak tetap juga begitu dan kita akan merasakan diri gagal.

Sebagai contoh, jika anak selalu meragam kerana letih dan kurang tidur, penyelesaiannya adalah dengan memastikan anak cukup rehat dan tidur, bukannya dengan merasuah anak dengan ais krim.

Jika anak tidak mendengar cakap kita kerana anak tidak faham apa sebenarnya yang kita mahu dia lakukan, penyelesaiannya adalah dengan menerangkan langkah demi langkah sehingga dia faham, bukannya dengan memarahinya semata-mata.

Jika anak selalu memberontak kerana ‘self esteem’ atau percaya dirinya rendah, penyelesaiannya adalah dengan membantu anak untuk mengenalpasti kebaikan dan kelebihan diri yang dimiliki, bukannya dengan mengenakan tindakan disiplin yang hanya merendahkan lagi yakin dan percaya dirinya. Lebih parah lagi jika tindakan disiplin itu memalukan dia di khalayak ramai.

Ini adalah di antara contoh yang boleh saya berikan. Banyak lagi punca dan penyebab tingkah laku.

Setiap solusi mestilah berkaitan dengan punca.
Jika tidak, anak tetap akan kekal begitu dan tidak berubah.

“Insanity is doing the same thing over and over again but expecting different result.” – Anonymous.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Konflik Waktu Pagi

Ramai ibubapa yang mengadu bahawa menguruskan anak-anak pada waktu pagi adalah salah satu punca stres yang utama. Stres ini berlarutan lagi apabila terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya sehinggakan lewat tiba di tempat kerja.

Ibubapa selalunya terpaksa menjerit, berleter dan mengugut anak supaya anak bangun, tidak merengek, tidak lenggang lenggok dan dapat bersiap dengan cepat.

Menurut ibubapa lagi apabila berpisah dengan anak untuk ke tempat kerja mulalah mereka merasa bersalah kerana telah berkasar atau memarahi anak dalam keadaan yang penuh emosi dan tergopoh gapah itu.

Adakah anda juga mengalaminya?

 

Snail

Kredit : FB Crafty Morning

Ini adalah masalah sejagat. Ia bukan hanya berputar sekitar anak kecil sahaja. Anak remaja juga memberikan cabaran mereka yang tersendiri apabila tiba waktu bangun pagi.

1) Tahukah anda kanak-kanak memiliki TEMPO YANG BERBEZA dengan orang dewasa. Mereka memerlukan lebih masa untuk betul-betul sedar apa yang sedang berlaku. Beralih dari satu aktiviti ke satu aktiviti pada waktu pagi memerlukan banyak tenaga bagi anak-anak yang bukan ‘morning person’. Memaksa anak yang sebegini supaya bergegas akan menimbulkan lebih konflik pada waktu pagi. Peruntukkan lebih masa (dan juga lebih kesabaran di pihak anda) untuk menguruskan anak yang sebegini. Anak yang paling mudah meragam perlu perancangan masa yang lebih efektif

2) Membuat PERSEDIAAN AWAL sebanyak yang mungkin sebelum tidur pada malam sebelumnya dapat mengurangkan konflik pada waktu pagi.

Siapkan beg sekolah, pakaian sekolah dan sebarang keperluan untuk ke sekolah, tadika atau taska pada sebelah malam. Libatkan anak juga dalam pengurusan kelengkapan peribadi untuk melatih mereka supaya menjadi lebih bertanggungjawab ke atas diri sendiri. Latih anak MENGURUSKAN buku-buku dan jadual waktu mereka SENDIRI bukannya ibu yang siapkan untuk mereka. Tidak perlu menjadi ‘HELICOPTER PARENTS’ yang buatkan semua untuk anak.

3) Anak yang cukup rehat dan CUKUP TIDUR kurang meragam pada keesokan harinya. Pastikan anak mempunyai rutin tidur dan waktu tidur yang tetap. Pastikan anak tidak menonton tv atau sebarang skrin SEKURANG-KURANGNYA SEJAM SEBELUM TIDUR. Pendedahan kepada cahaya biru yang dipancarkan oleh peranti digital atau gajet mengakibatkan otak anak terus aktif dan sukar untuk tidur. Ini akan menyebabkan anak sukar untuk bangun dan memerlukan lebih masa untuk uruskan diri.

4) Mempunyai PANDUAN BERTULIS ATAU BERGAMBAR tentang rutin pada waktu pagi yang ditampal di dinding lebih memudahkan anak, terutamanya yang kecil, untuk fokus pada rutin yang perlu dilakukan. Tunjukkan dan Ingatkan anak tentang rutin tersebut pada malam sebelumnya dan juga pada waktu pagi. Sesetengah anak memerlukan struktur dan panduan langkah demi langkah supaya mereka lebih tenang dan fokus. Puji anak apabila anak berjaya menyelesaikan setiap langkah. Semua ini MEMERLUKAN LATIHAN.

5) Sesetengah anak memerlukan peringatan secara AUDIO. Tanya anak apakah yang perlu dilakukan apabila bangun dan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Puji dan usap anak apabila dia memberi jawapan dan melakukan rutin sebagaimana yang telah dibincangkan sebagai semangat pada waktu pagi.

6) Jangan memberi TERLALU BANYAK ARAHAN kepada anak pada waktu pagi kerana ia hanya akan menyebabkan anda marah dan kecewa. Anak tidak boleh menerima terlalu banyak arahan terutamanya anak lelaki. Beri arahan satu demi satu. Pastikan anak fokus pada anda apabila arahan diberikan.

7) Nasihati dan ingatkan anak supaya SALING MEMBANTU antara satu sama lain apabila ada yang mengalami kesukaran pada waktu pagi. Bagi yang suka menyakat sesama adik beradik, ingatkan juga agar TIDAK TERLALU MENYAKAT anak yang mudah naik angin kerana ia akan menambahkan lagi konflik dan menyukarkan keadaan.

8 ) Jangan cuba untuk beri tumpuan pada SEMUA tingkah laku anak kerana ia hanya akan menambahkan stres. Mana-mana tingkah laku yang tidak membahayakan atau tidak memudaratkan BOLEH DIABAIKAN SAHAJA. Adakalanya memberi tumpuan kepada rengekan hanya akan menambahkan rengekan kerana rengekan itu mendapat perhatian. Beritahu anak dengan TEGAS bahawa anda TIDAK AKAN MELAYAN sebarang rengekan. Tegaskan juga bahawa anak tidak akan mendapat sesuatu dengan merengek atau meragam. Beri perhatian kepada tingkah laku yang positif walaupun kecil kerana memberi perhatian kepada perkara yang positif itu akan membuatkan anak lebih bersikap positif.

9) JANGAN DIUGUT anak dengan sesuatu yang tidak akan anda tunaikan. Contohnya “Jika meragam ayah tinggal.” Kiranya anda tidak akan tinggalkan dia, jangan diugut kerana ia hanya mempengaruhi persepsi anak terhadap autoriti atau kuasa yang anda miliki. Ugutan sebegitu tidak mengubah tingkah laku anak.

10) Di sebelah petang atau pun malam atau ketika bersantai, ‘BRAINSTORM’ dengan anak-anak cara untuk menghadapi waktu pagi dengan lebih tenang. Kongsi dengan anak apa yang anda perhatikan berlaku. Dengar luahan hati dan cabaran yang mungkin mereka hadapi untuk menguruskan diri pada waktu pagi. Perbincangan yang sebegini akan menggalakkan lagi anak untuk bekerjasama.

11) Jangan lupa untuk menyampaikan kepada anak tentang KEPERLUAN DAN TUGASAN ANDA. Ingatkan anak bahawa anda mempunyai keperluan untuk tiba awal di tempat kerja. Anak perlu tahu bahawa anda juga punya tugasan yang perlu diselesaikan dan DUNIA TIDAK BERPUTAR DI SEKITAR HIDUP ANAK SAHAJA. Tunjukkan kepada anak peta tempat kerja anda melalui ‘waze’ atau ‘maps’ dan berapa lama masa yang diperlukan untuk tiba ke pejabat anda. Latih anak untuk memahami kesukaran anda dan mempunyai EMPATI terhadap diri anda. Ini boleh dicapai dengan sentiasa berkomunikasi secara positif dengan anak.

Sebagai Muslim, melatih dan mengejutkan anak supaya BANGUN SOLAT SUBUH adalah kaedah yang sangat efektif untuk menyediakan anak untuk ke sekolah.

Apa yang paling penting pada waktu pagi ini adalah untuk mengekalkan kewarasan diri anda.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

18 Tips Komunikasi Yang Membina ‘Connection’

Banyak salah faham, andaian, tuduhan dan persengketaan timbul dalam keluarga disebabkan oleh komunikasi yang longgar antara suami isteri dan juga antara ibubapa dan anak-anak. Komunikasi memerlukan usaha dan keazaman. Komunikasi yang positif di antara ibubapa dan anak bukanlah satu ‘common sense’ kiranya ia tidak pernah diamalkan.

18tipbinaconnection

Berikut adalah di antara panduan yang boleh diamalkan sekiranya kita ingin berusaha untuk membina ‘connection’ dengan anak-anak dan sekaligus mencari ‘solution’ bagi cabaran yang mungkin dihadapi oleh anak-anak, baik anak kecil mahupun remaja.

1) Sentiasa tunjukkan yang kita berminat untuk mengetahui tentang diri anak, tentang rutin hariannya, tentang kesukaannya, tentang minatnya dan turut sama terlibat dengan aktiviti yang disukai dan diminati.

2) Ingatlah tahap pemikiran dan pemahaman anak adalah berbeza daripada kita.
Setiap perkara yang diperkatakan dan diceritakan oleh anak adalah penting bagi dia walaupun perkara itu kelihatan remeh bagi kita.

3) Apabila anak ingin bercerita atau bertanyakan sesuatu perlahankan suara TV atau berhenti seketika (‘pause’) apa yang sedang ditonton. Letakkan telefon bimbit atau sebarang barang bacaan dan hentikan tugasan yang sedang dilakukan.

4) Apabila anak ingin berbincang atau memberitahu sesuatu perkara yang penting, jangan jawab panggilan telefon melainkan ia adalah urusan antara hidup dan mati. Komen atau ‘like’ anda pada status media sosial atau whatsapp grup boleh ditunda.

5) Berbicaralah dengan anak dalam keadaan ‘private’ tanpa orang lain di sekeliling melainkan ada keperluan untuk orang lain berada di situ untuk turut sama berbincang. Komunikasi menjadi lebih efektif apabila ia berlaku one-to-one.

6) Memalukan anak atau bercerita tentang kesilapan dan kelemahan anak di hadapan orang lain hanya mewujudkan dendam dan persengketaan dan mewujudkan jurang komunikasi

7) Berdiri sama tinggi atau duduk sama rendah dengan anak apabila berbicara dengannya supaya mata boleh bertentang mata. Bicara dari mata akan turun ke hati.

8 ) Jika dalam keadaan terlampau marah, tangguhkan dahulu sebarang perbincangan dengan anak. Manusia tidak berupaya untuk fokus dan berfikir dengan waras dan objektif ketika sedang marah. Beritahu anak yang anda akan bercakap tentang isu tersebut apabila sudah tenang. Jangan ditangguhkan terlalu lama sehingga anak merasakan bahawa isu itu adalah perkara kecil.

9) Badan yang keletihan memerlukan kita berusaha dengan lebih untuk memberi tumpuan dan mendengar dengan baik apa yang diperkatakan oleh anak. Jika masanya tidak sesuai, tangguhkan dahulu buat seketika sehingga bertenaga kembali. Emosi mudah tercuit dek badan yang letih. Jangan ditangguhkan terlalu lama kerana anak akan merasakan yang kita tidak peduli.

10) Dengar sehingga habis apa yang cuba disampaikan oleh anak sebelum kita mencelah. Ini juga akan menjadi teladan supaya anak mendengar dahulu apa yang ingin kita perkatakan.

11) Elakkan dari bertanya “Kenapa berbuat begitu?” sebaliknya fokuskan kepada ‘apa yang berlaku’. Kadang-kadang anak tidak punya jawapan kepada soalan “kenapa dia berbuat begitu”. Sesetengah anak melakukan sesuatu secara ‘impulsive’ tanpa berfikir terlebih dahulu.

12) Jika anda sudah punya maklumat tentang sesuatu perkara berkaitan dengan anak, kemukakan apa yang anda dengar atau tahu sahaja kepada anak bukannya apa yang anda andaikan. Andaian dan jangkaan yang tidak tepat hanya akan bertukar menjadi tuduhan yang merenggangkan hubungan dan menyukarkan penyelesaian masalah.

13) Kurangkan berfalsafah meleret-leret soal moral kepada anak kerana ia akan membuatkan anak kurang mahu bercerita dan berkongsi sesuatu kesilapan yang telah dilakukan kerana takut diadili oleh falsafah anda. Fokuskan pada kesilapan dengan tujuan untuk mencari solusi.

14) Jangan menggunakan label ‘lembab’, ‘bodoh’, ‘malas’, ‘bengap’ dan sebagainya kerana label yang sebegini akan menjadi sebati dengan anak sehinggakan ia membentuk keperibadian anak sepertimana yang selalu disebut.

15) Tekankan kepada anak bahawa anda sentiasa bersedia untuk mendengar dan berkomunikasi dengannya secara terbuka. Walaupun anak anda bukan jenis yang banyak cakap dan bercerita, tekankan juga supaya dia tahu anda tetap ada bila diperlukan.

16) Terima dan akui semua emosi yang diluahkan oleh anak. Apabila kita menyentuh emosinya, dia akan lebih selesa untuk berkomunikasi dan lebih terbuka untuk bekerjasama mencari solusi.

17) Puji usaha anak setiap kali dia cuba untuk berkomunikasi atau memberitahu kita sesuatu walaupun apa yang diceritakan mungkin melukakan hati kita.

18) Yakinkan anak yang anda menerima dirinya dan tetap sayangkannya walau apa pun kesilapan yang telah dilakukan. Walau bagaimanapun, dia perlu berubah. Tegaskan bahawa anda ingin membantu dirinya supaya sama-sama dapat menjadi insan lebih baik.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

GIVE AND TAKE: Komunikasi dengan Remaja @ KMSS

KMSSGive&Take

Saya jarang menulis tentang remaja walaupun sebagai seorang ibu kepada anak-anak remaja saya faham ramai ibubapa yang memerlukan perkongsian dan panduan untuk memahami anak remaja.

Banyak faktor yang telah membentuk dan mempengaruhi seorang individu apabila tiba usia remaja. Selalunya kita mula melihat perubahan pada seorang anak apabila anak menjangkau usia 11 tahun. Remaja adalah produk pembawaan atau personaliti diri, gaya keibubapaan, persekitaran, pendidikan formal dan tidak formal dan juga pendedahan kepada faktor persekitaran. Oleh itu setiap isu yang melibatkan remaja harus difahami ‘on case by case basis.’

Saya tertarik dengan kata-kata pembukaan oleh Ustaz Qayyum, Pengetua Khalifah Model School Secondary’. Kata beliau “Remaja adalah insan yang istimewa”. 
Jarang sekali kita mendengar ungkapan yang sebegitu untuk menggambarkan tentang remaja. Selalunya kita melihat remaja sebagai insan yang keras, melawan, memberontak dan mencabar.

Apabila kita berbicara tentang cabaran remaja masa kini, fokus kita selalunya hanya pada cabaran yang mereka berikan kepada kita orang dewasa. Kita jarang membicarakan apakah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh remaja itu sendiri dalam melalui fasa usia yang penuh kekeliruan dalam mencari identiti diri dan pada masa yang sama perlu memenuhi harapan dan jangkaan orang dewasa.

Remaja sekarang membesar dalam dunia yang sangat mencabar. Fahamilah dunia mereka. Apa yang ada dalam dunia mereka? Apakah faktor persekitaran yang membentuk pemikiran dan tingkah laku mereka? Perubahan yang mereka sedang lalui dari segi perkembangan otak, dan hormon mempengaruhi diri mereka dengan cara yang mereka sendiri tidak jangka dan tidak bersedia.

Walaupun sifat intuitif mereka inginkan kebebasan dari diarah oleh orang dewasa, perkembangan otak mereka belum cukup matang untuk membuat keputusan yang wajar dalam sesuatu tindakan.

Walaupun mereka sudah boleh menguruskan diri sendiri tidak seperti anak-anak kecil yang perlu disuap dan dipakaikan baju, anak remaja masih memerlukan perhatian dan tumpuan ibubapa kerana sifat semulajadi mereka ingin rasa dihargai dan diiktiraf.

Ayah memainkan peranan yang sangat besar dalam hidup seorang remaja walaupun tidak dapat dinafikan peranan ibu juga sangat penting. Anak lelaki remaja memerlukan kehadiran seorang ayah sebagai role model, sebagai pembimbing dan juga sebagai pendisiplin. Banyak kajian di Timur dan di Barat yang menunjukkan bahawa ketiadaan figura seorang ayah ataupun lelaki yang berautoriti dalam hidup seorang anak menyukarkan proses pendidikan dan pembentukan akhlak remaja, khususnya remaja lelaki.

Santunilah anak-anak remaja kita tidak kiralah anak siapa sekalipun. Jika kita menjauhkan diri daripada mereka, dan menggelarkan mereka dengan label yang negatif sahaja maka mereka akan lebih menjauhkan diri daripada kita. Mendidik mereka memerlukan banyak kesabaran dan do’a.

Remaja seumpama layang-layang yang harus dilepaskan talinya supaya dapat terbang tinggi menggapai awan tetapi ada masanya perlu ditarik semula agar tidak putus dan melayang menongkah bayu dan badai.

Terima kasih diucapakan kepada Khalifah Model School Secondary yang telah menjemput saya untuk sesi Usrah Gathering Bersama Ibubapa.
Terima kasih juga diucapkan kepada ibubapa yang hadir dan begitu partisipatif. Semoga kita sama-sama dapat membimbing insan-insan istimewa ini agar menjadi anak-anak soleh yang menyumbang sebagai asset penting kepada masyarakat dan Ummah.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/