Saya jarang menulis tentang remaja walaupun sebagai seorang ibu kepada anak-anak remaja saya faham ramai ibubapa yang memerlukan perkongsian dan panduan untuk memahami anak remaja.
Banyak faktor yang telah membentuk dan mempengaruhi seorang individu apabila tiba usia remaja. Selalunya kita mula melihat perubahan pada seorang anak apabila anak menjangkau usia 11 tahun. Remaja adalah produk pembawaan atau personaliti diri, gaya keibubapaan, persekitaran, pendidikan formal dan tidak formal dan juga pendedahan kepada faktor persekitaran. Oleh itu setiap isu yang melibatkan remaja harus difahami ‘on case by case basis.’
Saya tertarik dengan kata-kata pembukaan oleh Ustaz Qayyum, Pengetua Khalifah Model School Secondary’. Kata beliau “Remaja adalah insan yang istimewa”.
Jarang sekali kita mendengar ungkapan yang sebegitu untuk menggambarkan tentang remaja. Selalunya kita melihat remaja sebagai insan yang keras, melawan, memberontak dan mencabar.
Apabila kita berbicara tentang cabaran remaja masa kini, fokus kita selalunya hanya pada cabaran yang mereka berikan kepada kita orang dewasa. Kita jarang membicarakan apakah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh remaja itu sendiri dalam melalui fasa usia yang penuh kekeliruan dalam mencari identiti diri dan pada masa yang sama perlu memenuhi harapan dan jangkaan orang dewasa.
Remaja sekarang membesar dalam dunia yang sangat mencabar. Fahamilah dunia mereka. Apa yang ada dalam dunia mereka? Apakah faktor persekitaran yang membentuk pemikiran dan tingkah laku mereka? Perubahan yang mereka sedang lalui dari segi perkembangan otak, dan hormon mempengaruhi diri mereka dengan cara yang mereka sendiri tidak jangka dan tidak bersedia.
Walaupun sifat intuitif mereka inginkan kebebasan dari diarah oleh orang dewasa, perkembangan otak mereka belum cukup matang untuk membuat keputusan yang wajar dalam sesuatu tindakan.
Walaupun mereka sudah boleh menguruskan diri sendiri tidak seperti anak-anak kecil yang perlu disuap dan dipakaikan baju, anak remaja masih memerlukan perhatian dan tumpuan ibubapa kerana sifat semulajadi mereka ingin rasa dihargai dan diiktiraf.
Ayah memainkan peranan yang sangat besar dalam hidup seorang remaja walaupun tidak dapat dinafikan peranan ibu juga sangat penting. Anak lelaki remaja memerlukan kehadiran seorang ayah sebagai role model, sebagai pembimbing dan juga sebagai pendisiplin. Banyak kajian di Timur dan di Barat yang menunjukkan bahawa ketiadaan figura seorang ayah ataupun lelaki yang berautoriti dalam hidup seorang anak menyukarkan proses pendidikan dan pembentukan akhlak remaja, khususnya remaja lelaki.
Santunilah anak-anak remaja kita tidak kiralah anak siapa sekalipun. Jika kita menjauhkan diri daripada mereka, dan menggelarkan mereka dengan label yang negatif sahaja maka mereka akan lebih menjauhkan diri daripada kita. Mendidik mereka memerlukan banyak kesabaran dan do’a.
Remaja seumpama layang-layang yang harus dilepaskan talinya supaya dapat terbang tinggi menggapai awan tetapi ada masanya perlu ditarik semula agar tidak putus dan melayang menongkah bayu dan badai.
Terima kasih diucapakan kepada Khalifah Model School Secondary yang telah menjemput saya untuk sesi Usrah Gathering Bersama Ibubapa.
Terima kasih juga diucapkan kepada ibubapa yang hadir dan begitu partisipatif. Semoga kita sama-sama dapat membimbing insan-insan istimewa ini agar menjadi anak-anak soleh yang menyumbang sebagai asset penting kepada masyarakat dan Ummah.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/