Seorang ibu meluahkan perasaannya kepada saya tentang rasa bersalah yang dialaminya setiap kali dia menghukum anaknya atas kesalahan yang dilakukan.
Dia merasakan ada kalanya perasaan bersalah itu menyebabkan dia membiarkan anak berbuat sesuka hati.
Perasaan bersalah adalah satu anugerah daripada Allah SWT.
Rasa bersalah dan menyesal adalah satu isyarat untuk memberitahu bahawa kita mungkin telah tergelincir dari landasan prinsip dan nilai yang kita pegang.
Ia seumpama satu mekanisme pertahanan diri.*
Sebagai ibubapa, kadang-kadang kita merasa bersalah kerana mengambil sesuatu tindakan tidak wajar ke atas anak-anak.
Rasa bersalah yang hadir kerana memarahi atau memukul anak secara keterlaluan adalah satu isyarat bahawa kita perlu fikirkan kaedah lain untuk membantu anak.
Rasa bersalah yang hadir kerana kerap hilang sabar dalam menguruskan keluarga dan anak-anak adalah isyarat bahawa kita perlu uruskan tahap stres kita terlebih dahulu.
Rasa bersalah yang hadir kerana tidak meluangkan banyak masa dengan anak-anak sepatutnya membuatkan kita berusaha untuk memberi lebih perhatian kepada mereka.
Rasa bersalah ini adalah isyarat bahawa kita perlu mengubah sikap kita dan memperbaiki perhubungan dengan anak-anak. Rasa bersalah yang POSITIF sebegini melibatkan EMOSI dan TINDAKAN SUSULAN untuk memperbaiki keadaan.
Rasa bersalah yang TOKSIK dialami apabila kita terlampau menyalahkan diri sendiri atas SEGALA yang berlaku ke atas anak. Kita sering membuat andaian bahawa masa hadapan anak akan musnah dan hancur disebabkan oleh tindakan kita. Rasa bersalah yang toksik ini tidak menggerakkan kita untuk berusaha memperbaiki keadaan sebaliknya membiarkan keadaan seadanya dan terus menjadi parah tanpa melakukan apa-apa perubahan.
Rasa bersalah toksik sebegini hanya melibatkan EMOSI TANPA USAHA.
Rasa bersalah yang toksik ini juga membuatkan kita:
-sukar untuk berkata TIDAK kepada anak, maka anak -menjadi melampaui batas.
-memberi material yang berlebihan kepada anak walaupun tidak diperlukan.
-mengalah dan menurut segala kehendak anak sehingga menjadi ibubapa yang permisif.
-menyakitkan atau menghukum diri sendiri kerana tidak menjadi ibubapa yang terbaik dan sempurna.
-membanding-bandingkan diri kita dengan ibubapa yang lain sehingga melahirkan kekecewaan kerana diri kekurangan.
-membazir banyak masa memikirkan kesilapan yang telah dilakukan.
-berfikir buruk ke atas diri sendiri kerana akan merosakkan masa hadapan anak.
Semua ini harus dielakkan.
Ada perkara yang boleh kita usahakan dan ada perkara yang di luar kawalan kita walaupun setelah kita berusaha sebaiknya.
Uruskan rasa bersalah supaya tidak menjadi toksik.
Tidak langsung merasa bersalah adalah juga sesuatu yang toksik.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/