Betulkah Kita Menghukum Kerana Mendidik. 7 FAKTOR

Apabila anak menunjukkan tingkah laku yang tidak menyenangkan kita dan menimbulkan kemarahan kita, perasaan geram itu akan membuatkan kita ingin menghukum. Hukuman itu dirasakan perlu bagi tujuan mendidik. Sebelum menghukum, adakah jelas dalam hati dan pemikiran kita akan tujuan kita menghukum?

menghukummendidik

HUKUMAN YANG MENDIDIK SEPATUTNYA:

  1. mendidik ibubapa terlebih dahulu. Ia menyedarkan ibubapa tentang tanggungjawab yang perlu atau belum ditunaikan kepada anak.
  2. menghentikan tingkah laku negatif anak. Walau bagaimanapun, anak tidak semestinya berubah dengan serta-merta)
  3. memberi pengajaran tentang cabaran kehidupan kepada anak. Apa yang dipelajari dari kecil akan dibawa sehingga ke tua.
  4. membimbing anak untuk membuat keputusan dan tindakan yang lebih baik pada masa akan datang.

 

SEBELUM MENGHUKUM PERLULAH:

1) MENGAMBIL KIRA TAHAP PERKEMBANGAN ANAK

Kebanyakan tingkah laku anak kecil yang menyebabkan kita sering melabel mereka sebagai nakal dan degil, berlaku kerana perkembangan fizikal, emosi, kognitif (pemikiran), dan sosial mereka belum berkembang. Kiranya dihukum dengan tidak wajar, anak-anak ini tidak faham di mana silapnya mereka. Hukuman itu mungkin hanya menyakitkan fizikal mereka, menakutkan mereka dan mengganggu emosi mereka tetapi tidak mendidik mereka untuk berubah.

Contohnya anak yang sering tumpahkan air atau pecahkan pinggan, berkemungkinan belum matang perkembangan motor halus dan motor kasarnya ataupun kemungkinan belum mencapai koordinasi tangan dan mata yang sempurna. Faktor perkembangan perlulah diambil kira sebelum menghukum.

Anak kecil yang menggigit rakannya atau tidak mahu berkongsi permainan, berada dalam fasa perkembangan sosial dan emosi yang belum lagi terbentuk sepenuhnya. Anak ini harus dibantu dan dibimbing terlebih dahulu. Menghukum dengan menampar tangannya atau pipinya tidak membantu perkembangan sosial dan emosi anak tersebut. Hukuman itu sudah tentulah tidak mendidik.

Anak yang sering memukul, menumbuk dan mengasari kanak-kanak lain kemungkinan besar meniru perbuatan orang dewasa yang rapat dengannya ataupun meniru aksi watak yang ditonton di kaca tv. Cari puncanya terlebih dahulu.

2) MENYEDIAKAN KEPERLUAN ASAS

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk menyediakan keperluan asas anak supaya mereka dapat berkembang dengan sihat dan cerdas. Tertunai atau tidak keperluan asas ini juga menentukan tingkah laku anak-anak. Keperluan asas bukanlah hanya makanan, pakaian, rehat, tidur dan tempat tinggal.

Keperluan asas seorang anak juga termasuk perhatian, ‘connection’, keselamatan, rasa kekitaan (belonging), peluang untuk bermain dan peluang eksplorasi. Apabila keperluan asas ini tertunai, anak-anak merasa selamat, sihat, disayangi dan dihargai.

Apabila keperluan asas ini tidak tertunai, anak akan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan meluahkan emosi. Anak akan berkomunikasi melalui perbuatan seperti berkelakuan tidak tentu arah, menjadi kaget, tidak mengikut arahan dan peraturan, menguji batasan, lasak tidak bertempat, sering mengomel dan sebagainya.

Sebelum menghukum anak, fikirkanlah dahulu tentang kesempurnaan sifat dan tanggungjawab kita sebagai ibubapa. Usah menjadi ketam.

3) TIDAK MEMBANDINGKAN-BANDINGKAN ANAK

Hukuman yang dikenakan kerana “anak yang ini tidak sama seperti kakaknya”, atau “tidak sama seperti adiknya” atau “tidak sama seperti anak si fulan dan si fulan” atau “tidak sama seperti kita masa kecil dahulu”, dengan jelas bukanlah hukuman yang mendidik.

Hukuman yang mendidik memfokuskan pada tingkahlaku dan bukannya kepada individu.

Apabila kita membanding-bandingkan, kita lebih memberi fokus kepada individu. Yang mengecewakan kita adalah tingkah lakunya bukan orangnya. Apabila perbandingan dibuat, hukuman itu sudah lari dari matlamat mendidik.

Setiap anak adalah berbeza, tidak perlu dibanding-bandingkan. Ibubapa perlu meluangkan masa untuk mengenali kelebihan dan kekurangan anak. Hanya dengan cara itu kita dapat berlaku adil kepada anak. Tanpa mengenali anak, dan tanpa memahami kenapa anak tersebut berkelakuan tidak sama seperti orang lain, hukuman itu hanyalah satu kekejaman dan penderaan terhadap anak.

4) TIDAK MELABEL

Dari masa ke semasa, seorang anak membentuk imej diri (self image). Cara yang paling berkesan untuk anak mengenali dirinya adalah melalui kata-kata dan gambaran-gambaran yang diberikan oleh individu-individu di sekeliling anak terutamanya ibubapa, guru, pengasuh, saudara-mara dan rakan-rakan rapat.

Gunakanlah perkataan-perkataan yang menyakinkan anak bahawa mereka sememangnya baik dan boleh menjadi baik dan lebih baik. Ingatkanlah anak tentang kebaikan yang pernah mereka lakukan dan tingkah laku positif yang pernah mereka tunjukkan. Tunjukkanlah bahawa kita menghargai dan mengharapkan kebaikan daripada anak.

Memaki hamun, memperkecil-kecilkan dan melabel dengan panggilan yang tidak elok akan mematikan semangat anak. Ia juga akan menjadi suara-suara dalam diri anak yang akan menghalang mereka untuk membuat kebaikan. Suara-suara dalaman itu akan membentuk diri dan keperibadian mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘Kata-kata adalah suatu doa’.

5) DAHULUI DENGAN BIMBINGAN, SUSULI DENGAN BIMBINGAN

i) Adakah ibubapa menjadi model tingkah laku yang baik? Contohnya: Jika kita ingin menghukum anak kerana berbohong, cuba fikirkan kembali, pernahkah kita berbohong kepada anak dengan istilah ‘bohong sunat’ yang sering kita gunakan?

ii) Adakah di rumah sudah ada peraturan untuk membentuk disiplin anak?
Peraturan membuatkan anak merasa selamat. Peraturan juga memberi isyarat bahawa ibubapa memberi perhatian dan peduli tentang keselamatan dan perkembangan anak. Tanpa rasa selamat itu, anak akan membentuk sempadan dan batasan sendiri untuk mereka meneroka keupayaan diri sendiri.

iii) Adakah kita meluangkan masa dan membimbing anak melalui kisah-kisah teladan yang boleh menyentuh naluri mereka?

Kisah-kisah inilah yang akan mengajar mereka tentang erti kehidupan. Tanpa kisah-kisah untuk diteladani ini, dunia anak terpisah dari realiti. Anak yang terpisah dari realiti mempunyai sifat individualistik yang tinggi. Sifat ini menyebabkan anak tidak dapat berkelakuan dan berinteraksi dengan baik dengan individu lain di sekitar anak, termasuklah ibubapa sendiri.

iv) Adakah hukuman itu juga disusuli dengan bimbingan (follow through) yang konsisten? Atau adakah hukuman itu sekejap ada sekejap tidak ada?

6) TIDAK MENGGUNAKAN ALLAH S.W.T DAN NERAKA UNTUK MENGUGUT ANAK

Ibubapa sepatutnya memainkan peranan untuk mendekatkan diri anak kepada Allah swt supaya anak ingin patuh kepada perintah Allah SWT dan berbuat kebaikan kerana Allah SWT.

Anak-anak kecil cepat merasa takut. Ketakutan tidak membantu anak untuk berkelakuan lebih baik malah anak akan menjauhkan diri dari faktor yang menakutkan anak. Berikanlah anak khabar gembira tentang betapa penyayang, pengasih dan pengampunnya Allah SWT. Apabila mereka berbuat walau sekecil-kecil kebaikan, yakinkanlah bahawa Allah SWT sayangkan mereka dan kasihkan mereka yang berbuat kebaikan. Ucapkanlah bahawa Allah SWT menjanjikan syurga buat mereka yang berbuat kebaikan. Janganlah ditunggu sehingga anak melakukan kesilapan untuk mengugut bahawa ‘Allah marah, nanti masuk neraka’ kepada anak. Kaedah ini bukan sahaja tidak mendidik tingkahlaku malah tidak mendidik anak untuk mengenal Allah SWT. Lebih parah lagi menjauhkan anak dari Allah SWT.

7) ‘CONNECTION’

Akhir sekali, hukuman yang mendidik adalah hukuman yang lebih merapatkan ibubapa dan anak dari segala aspek. Jika hukuman tersebut hanya menimbulkan kebencian dan mempengaruhi ‘connection’ dan komunikasi antara ibubapa dan anak, hukuman itu tidaklah mendidik. Hukuman itu hanya memudaratkan lagi keadaan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

You Will Not Get Anything By Throwing Tantrum

‘Tantrum’ adalah lumrah kerana anak-anak kecil belum pandai meluahkan kehendak dan emosi dengan perkataan dan kaedah yang betul.

Tantrum

Ketika anak-anak saya kecil dahulu, ini adalah peraturan yang sangat penting untuk mengingatkan anak-anak.

Kami sentiasa konsisten dengan peraturan ini dan tidak mengalah dengan tantrum mereka. Perubahan tidak berlaku semalaman dan mengambil masa tetapi Alhamdulillah ia berjaya.

Bimbing anak-anak cara meluahkan kehendak dan emosi.
Be consistent.

Anda ada peraturan ini di rumah? 🙂

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK).

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Menakut-nakutkan Anak. Efektifkah?

Ketakutan (fear) akan menghasilkan tindakbalas ‘fight, flight, or freeze’ (lawan-lari-membatu) bagi tujuan ‘survival’. Ini adalah proses yang normal pada bahagian otak asas (brain stem) manusia.

Ketakutan juga akan menghalang bahagian otak tertinggi (frontal cortex) yang bertanggungjawab dalam proses berfikir dari berfungsi dengan efektif kerana emosi perlu tenang terlebih dahulu untuk berfikir.

menakutkan

Kredit Gambar: About.com

Ketakutan dan menakut-nakutkan tidak membantu dalam proses penyelesaian masalah (problem solving).

Ketakutan tidak membantu manusia untuk berfikir secara waras dan rasional, apatah lagi otak anak-anak kecil yang masih berkembang.

Jika kita ingin memupuk skil penyelesaian masalah dan berfikir aras tinggi, kita hendaklah mendidik anak dengan ILMU (knowledge) dan HIKMAH (wisdom).

Usahlah menakut-nakutkan anak dengan gelap, hantu, lipas, ular, ugutan, rotan, Tok Janggut, nenek kebayan dan sebagainya kerana kaedah ini hanya membantutkan perkembangan berfikir pada diri anak-anak.

Apabila ingin menggalakkan atau menghalang anak dari melakukan sesuatu, fikir bersama-sama apa kesan dan akibat sesuatu perbuatan bukannya menakut-nakutkan.

Semoga kita menjadi ibubapa dan guru yang kreatif dan berilmu.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

‘Taming The Tiger Parent’

Bacaan santai saya dalam penerbangan.
Santai kerana ia melibatkan isu yang boleh saya kaitkan dengan diri sendiri dan tidak perlu berkerut dahi dan memerah otak untuk memahami konteks.

Istilah Tiger Parent bukanlah bermaksud ibubapa yang garang seperti singa, sebaliknya ibubapa yang terpengaruh dengan pertandingan dan perbandingan dalam masyarakat sama ada sedar ataupun tidak dan akhirnya ‘push’ anak sehingga di luar kelebihan dan kemampuan mereka.

Dalam kajian yang dibuat oleh Aviva ke atas 2000 ibubapa (m.s 137), didapati bahawa pertandingan ini wujud di antara ibubapa dari anak bayi lagi.

tigerparent

‘Breastfed’ ataupun tidak?
Bayi siapa yang paling cepat merangkak?
Bayi mana paling awal bercakap?
Anak siapa paling cepat membaca?
Anak siapa hebat matematik?
Anak siapa paling banyak stimulasi sensori?
Anak siapa banyak aktiviti?
Anak siapa banyak ‘baby equipments’, ‘educational toys’, ‘flashcards’ ?

Kajian yang dibuat oleh Dr Lise Eliot, seorang pakar sains neuro mendapati bahawa stimulasi ke atas bayi ada batasannya. Stimulasi yang melampau akan hanya mewujudkan kekeliruan dan menyukarkan anak untuk fokus.

Semua ini menjadi budaya pertandingan yang tidak sihat yang akan membawa kepada pertandingan dan perbandingan yang tiada kesudahannya apabila anak-anak mula bersekolah.

Sistem pendidikan yang berorientasikan akademik tanpa mengambil kira kelebihan (strength) individu memburukkan lagi gejala ini sehingga mewujudkan permusuhan sesama ibubapa.

BAGAIMANA MENGHADAPI GEJALA INI?

Ibubapa perlu refleksi diri. STOP AND THINK.

Bagaimanakah kita terkesan dengan gejala ini?
Adakah kita juga peserta pertandingan?
Apakah yang kita mahukan untuk anak-anak?
Adakah apa yang kita lakukan mewujudkan ‘connection’ dengan anak-anak?

  1. Hargai setiap kualiti yang ditunjukkan oleh anak.
  2. Berhenti membuat perbandingan.
  3. Berfikirlah di luar kotak. Tidak semua anak cenderung ke arah bidang berkaitan STEM – Science, Technology, Engineering and Medicine.
  4. Akui kelemahan, kesilapan dan kegagalan yang pernah kita lalui sebagai manusia biasa.
  5. Selalu bersembang dengan anak tentang kesan buruk pertandingan dan perbandingan yang melampau supaya anak sedar bahawa itu bukanlah budaya yang sepatutnya diamalkan.

Tidak dinafikan semua ibubapa mahukan yang terbaik buat anak-anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Juga Stres

a

Rumah dan sekolah, dua institusi yang paling rapat dengan anak-anak tetapi menjadi institusi yang paling menggugat kesihatan mental anak-anak. Ini bukan hanya berlaku di Malaysia, fenomena ini berlaku di seluruh dunia.

Kita tidak boleh membanding-bandingkan kehidupan riang ria kita ketika kecil 20-30 tahun dulu dengan kehidupan anak-anak sekarang. Anak-anak sekarang menghadapi tekanan dari pelbagai sudut dari peringkat pra sekolah lagi termasuk daripada kita, ibubapa.

Zaman dulu anak-anak keluar bermain di padang, di sawah, terjun sungai, harung lumpur, panjat pokok, kayuh basikal keliling taman dan kampung. Aktiviti sebegini dapat menghindari dan mengurangkan stres pada kanak-kanak jika ada.

Zaman sekarang anak bertambah stres kerana hanya mengadap skrin kecil dan besar. Apabila anak kecil tantrum, kita hulurkan gajet, apabila anak stres dengan gajet kita tukar dengan gajet lain pula.

TERDAPAT DUA JENIS STRES:

1) STRES POSITIF

Dihadapi oleh anak sekali sekala. Stres ini dapat membina resilien dalam diri anak. Anak belajar untuk menghadapi kesukaran dan mengambil risiko. Ini adalah skil yang penting untuk perkembangan kanak-kanak.

Contoh: Hari pertama persekolahan, melawat doktor gigi, menghadiri kem sekolah dan sebagainya yang menjadi sebahagian dari perkembangan normal individu.

2) STRES TOXIC

Berlaku secara berpanjangan dalam hidup anak. Stres ini mempengaruhi sistem badan anak dan juga merubah struktur otak anak secara negatif. Ia juga menyebabkan perubahan fizikal dan tingkahlaku anak.

Contoh: Ujian demi ujian, peperiksaan demi peperiksaan, perbandingan demi perbandingan, pertandingan demi pertandingan dari peringkat pra sekolah lagi.

Contoh yang lebih besar adalah buli dan penderaan (abuse) fizikal, emosi, mental dan seksual yang berpanjangan dalam hidup anak.

Anak memerlukan bantuan dan bimbingan orang yang lebih dewasa dan matang kerana fizikal dan emosi mereka tidak cukup pengalaman dan ketahanan untuk menghadapi stres toksik ini.
Jika terlampau kronik, anak memerlukan bantuan pakar kesihatan.

Ibubapa dan guru perlu peka dan kenalpasti jika anak menunjukkan tingkahlaku yang pelik atau menghadapi kemurungan.

Jangan ingat anak tidak perlu bekerja, tidak menghadapi ‘jam’ di jalanraya, tidak perlu fikir soal kewangan keluarga, tidak perlu fikir masalah negara, maka anak tidak stres.
Adakalanya kita memindahkan stres kita kepada anak-anak secara tidak kita sedar melalui perbuatan dan perkataan kita.

Artikel penuh: http://www.nst.com.my/…/mental-health-malaysian-students-ca…

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Adakah Anda Ibubapa Yang Melahirkan Pembuli?

Video pelajar sekolah sedang dibuli ini sedang berlegar-legar di FB sejak semalam. Kita terlalu kerap disajikan dengan video buli di sekolah-sekolah sekarang ini. Saya khuatir kiranya lama-kelamaan masyarakat menjadi ‘desensitised’ (tidak lagi sensitif) dengan isu buli sebagaimana masyarakat kita menjadikan ‘wrestling’ di kaca tv itu satu hiburan dan menjadikan ‘prank’ dan ‘prank calls’ atau panggilan hangit sebagai satu lawak jenaka.

buli

Menurut kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan, tahun lepas sahaja kes buli di sekolah-sekolah berjumlah sebanyak 3000 kes. Nampaknya buli adalah isu yang sangat serius. Ini tidak termasuk di luar sekolah. Satu kes buli sahaja sudah cukup untuk menunjukkan kerosakan dalam masyarakat, apatah lagi 3000 kes.

Kita sering memfokuskan pada pihak sekolah dan guru yang tidak boleh merotan dan menghukum pelajar yang bermasalah ini. Kita juga sering memfokuskan kepada pelajar dan berharap supaya mereka dimasukkan ke dalam penjara dan rasa bagaimana dibuli oleh banduan yang lain. (Mengharapkan pelajar yang membuli dibuli orang lain adalah satu ironi).

Jangan kita lupa bahawa ibubapa adalah pendidik utama seorang anak. Dalam kes buli sebegini sepatutnya ibubapa juga dibawa ke ‘tengah’.

KAJIAN yang dibuat di University of Warwick pada tahun 2013 mendapati bahawa penerapan ‘problem solving skil’ adalah kaedah yang terbaik untuk mengurangkan kemungkinan anak menjadi seorang buli ataupun menjadi mangsa buli.

Seperti yang saya selalu sebut, problem solving skill bukan hanya untuk subjek matematik sahaja. Problem solving sepatutnya diperluaskan lagi kepada subjek ‘life skill’ di sekolah-sekolah dan di rumah.

Jika berhadapan situasi begini apa yang patut dibuat?
Bila marah, kecewa apa patut dibuat?

Dari peringkat pra sekolah lagi anak sudah menunjukkan keupayaan ‘problem solving’. Usah dimatikan sifat semulajadi ini dengan hanya memfokuskan pada membaca menulis, mengira dan akademik sahaja sehingga melahirkan zombi yang tiada empati.

KAJIAN yang dibuat oleh Batsche dan Knoff pada tahun 1994 mendapati bahawa ibu/bapa kepada anak yang menjadi pembuli mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah yang rendah. Ibubapa ini akan cepat melenting pada provokasi. Anak-anak belajar. Anak-anak meniru.

KAJIAN selama 30 tahun mendapati bahawa keluarga pembuli mempunyai ciri-ciri tersebut:

  1. Ibubapa yang tidak atau kurang terlibat dalam urusan anak-anak.
  2. Mempunyai sedikit atau tiada langsung peraturan dalam rumah untuk membimbing tingkah laku anak. House rules sangat penting.
  3. Jika ada pun, peraturan terlalu rigid dan digunakan untuk menghukum bukan untuk membimbing.
  4. Ibubapa (dan keluarga) tidak terlibat dalam aktiviti masyarakat.
  5. Ibubapa yang berantakan dan tiada harmoni dalam keluarga.
  6. Sikap dan bahasa yang digunakan ibubapa hanya menggalakkan anak menjadi buli secara tidak sedar.

Jika video buli viral lagi di media sosial, ingatlah inilah ciri-ciri keluarga anak yang membuli itu. Bukanlah anak sahaja memerlukan bimbingan, ibubapa juga memerlukan bantuan untuk mengemudi keluarga. Ini bukan isu rotan atau tidak rotan semata-mata.

KBAT, HOTS, problem solving, decision making, rational thinking, critical thinking, taxonomy of thinking, semua ini adalah elemen untuk belajar tentang kehidupan bukan untuk lulus peperiksaan.

Selain itu didiklah juga anak-anak kita menjadi individu yang ‘stand up’ untuk membela kawan yang dibuli. Jangan hanya menjadi pemerhati ‘bystander effect’ dan lebih parah lagi yang menyorak seperti dalam video yang selalu kita tonton.

“It takes a village to raise a child.”

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Ciumlah dan Peluklah Anak-anak Sentiasa

liveworld

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Rasulullah (ﷺ) mencium cucu Baginda Hasan dan Husin di hadapan Al-Aqra’ bin H`Abis at-Tamim. Al-Aqra berkata,”Aku mempunyai sepuluh orang anak tetapi tidak seorang pun pernah ku cium.” 
Rasulullah (ﷺ) memandangnya seraya berkata, “Sesiapa yang tidak memiliki rasa rahmat di dalam hatinya tidak akan dirahmati oleh Allah SWT”.
(Sahih al-Bukhari 5997, buku 78, Hadith 28)

Ciumlah dan peluklah anak-anak sentiasa.

Titipkanlah kasih sayang melalui ciuman dan pelukan kita ke dalam hatinya dan jiwanya supaya kata-kata dan perbuatannya penuh kasih sayang, peduli dan empati terhadap orang lain di sekitarnya.

Inilah formula asas dan mudah untuk membentuk generasi yang merdeka dari sifat-sifat yang membinasakan keluarga, masyarakat, negara dan ummah.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-59.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Ugutan

(Screenshot mesej yang dihantar kepada saya, dengan izin pengirim. Terima kasih).

ugutan

Anak yang dimaksudkan ini berusia 4 tahun. Ugutan itu dibuat oleh guru TASKA anak.

Saya kira guru ini berbuat demikian kerana ingin ‘mendisiplinkan’ anak tersebut. Selalunya itulah sebab/alasan yang diberikan.

Pertama sekali kita perlu faham apa maksud disiplin.

Disiplin bukannya menakut-nakutkan.
Disiplin bukannya menghukum.
Disiplin adalah membimbing.

Untuk mendisiplinkan anak dan murid, kita perlu terlebih dahulu faham perkembangan seorang anak yang merangkumi fizikal, emosi, kognitif, sosial, moral dan spiritual. Kita perlu ada ilmu.

Anak usia ini masih memerlukan bimbingan kerana mereka masih tiada pengalaman. Mereka masih rasa insecure dengan persekitaran mereka dan orang di sekeliling mereka.
Dengan kata mudah, mereka masih belajar.

  • Mereka sedang membina persepsi tentang dunia mereka dan orang di sekeliling mereka.
  • Mereka juga sedang membina imej diri mereka.  Siapa saya? Kenapa saya ada di sini? Apakah sifat-sifat saya?

APAKAH YANG KITA AJAR DENGAN MENGUGUT ANAK BEGINI?

  1. Kita mengajar bahawa dunia ini penuh dengan hukuman, keganasan, ketakutan, tiada belas, tiada empati.
  2. Kita mengajar bahawa inilah caranya untuk selesaikan masalah dan untuk mendapat apa yang kita mahu.

Adakah anak kecil ini akan lebih berdisiplin? TIDAK.
Jika dilihat pada screenshot ini, anak ini trauma dan hilang keyakinan diri.

Kaedah ini hanya membuatkan bahagian otak yang berfungsi untuk membuat keputusan, menaakul, dan berfikiran rasional akan ‘shut down’. Disiplin memerlukan bahagian otak ini aktif. Sebaliknya anak jadi takut, anak trauma, tidak boleh berfikir dan tidak boleh belajar.

Lebih buruk lagi jika anak sekecil ini sering ditakut-takutkan dengan neraka dan kata-kata ‘Allah marah’. Ini membuatkan anak takut dan trauma (bukan taqwa) kepada Allah dan tidak boleh ‘connect’ dengan Allah SWT.

DISIPLIN SEPATUTNYA:

  1. mengajar anak berfikir kesan dan akibat kesilapannya ke atas dirinya, orang sekelilingnya, keluarganya dan masyarakatnya.
  2. (ini akan) mengajar anak erti tanggungjawab.
  3. membuatkan anak lebih rapat dengan orang yang mendisiplinkannya bukannya takut dan trauma.

Jika kaedah ini terus menerus diamalkan dalam masyarakat kita, maka tidak hairanlah kita akan melahirkan lebih ramai buli di sekolah-sekolah, pendera isteri dan anak-anak di rumah dan juga pembuli di atas jalan raya.

Guru-guru perlu dilatih untuk memahami Child Development.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Harapan Ibubapa

Di Malaysia, kanak-kanak menghabiskan hanya 27% * masa dalam setahun di sekolah dan selebihnya (73%) di rumah atau dalam komuniti.

Oleh itu rumah (ibubapa, keluarga/ penjaga) dan masyarakat mempuyai impak yang sangat besar terhadap perkembangan seorang kanak-kanak.

harapan

Banyak kajian ** mendapati bahawa anak-anak yang berjaya dan memiliki tingkahlaku yang positif adalah anak-anak yang mempunyai:

  1. ibubapa yang menaruh harapan yang tinggi untuk anak berjaya dan berkelakuan baik.
  2. ibubapa yang menyampaikan harapan tersebut kepada anak melalui komunikasi yang positif.
  3. ibubapa yang mempunyai hubungan yang rapat dengan anak dari segi fizikal dan emosi.

Contoh harapan –
“kamu mesti berjaya dalam pelajaran, ye nak.” atau
“kamu mesti berkelakuan baik, ye nak”.

  1. Harapan (expectation) yang positif hendaklah disusuli dengan galakan, panduan, pelukan, ciuman, pujian, dan ganjaran yang sewajarnya. (Marah sekali sekala biasalah)
  2. Harapan yang disusuli dengan ugutan, tekanan, melabel, hukuman, perbandingan, dan memperkecil-kecilkan tidak akan membuahkan hasil yang diinginkan.
  3. Harapan yang tiada susulan juga bukanlah harapan yang positif.
  4. Harapan mestilah mengambil kira perkembangan individu seseorang anak dan bukannya membuat generalisasi.

 

IBUBAPA ADALAH PENDIDIK NO.1 ANAK-ANAK.

*Statistik dari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025)

** RUJUKAN
1. Redd, Z., Guzman, L., Lippman, L., Scott, L., and Matthews, G. (2004). Parental expectations for children’s educational attainment: A review of the literature. Prepared by Child Trends for the National Center for Education Statistics.

2. Fan, X. (2001). Parental involvement and students’ academic achievement: A growth modeling analysis. The Journal of Experimental Education, 70(1): 27-60.

3. Jeynes, W.H. (2005). A meta-analysis of the relation of parental involvement to urban elementary school student academic achievement. Urban Education, 40(3): 237-269.

4. Jeynes, W.H. (2007). The relationship between parental involvement and urban secondary school student academic achievement: a meta-analysis. Urban Education, 42(1): 82-110.

Noor Afidah Abu Bakar

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Checklist Preschool

Checklist sebagai panduan.

preschchecklist

Preschool yang baik untuk anak-anak adalah preschool yang mengolah pembelajaran mengikut perkembangan semulajadi kanak-kanak.

Penting juga untuk ibubapa memahami bagaimana kanak-kanak berkembang supaya kita tidak terlalu menekan anak dengan ‘expectation’ yang bukan-bukan dan tidak realistik.

Bagi yang ingin menghantar anak ke Islamic preschool supaya anak menghafal Al Quran, mahir berbahasa Arab dan sebagainya, checklist ini juga penting. Apa yang perlu kita lahirkan bukan hanyal anak-anak hafiz dan hafizah semata-mata tetapi juga menjadi hufaz Ulul Albab yang boleh berfikir dengan kritis dan kreatif, yang penuh empathy dan juga memiliki skil penting dalam kehidupan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect