(Screenshot mesej yang dihantar kepada saya, dengan izin pengirim. Terima kasih).
Anak yang dimaksudkan ini berusia 4 tahun. Ugutan itu dibuat oleh guru TASKA anak.
Saya kira guru ini berbuat demikian kerana ingin ‘mendisiplinkan’ anak tersebut. Selalunya itulah sebab/alasan yang diberikan.
Pertama sekali kita perlu faham apa maksud disiplin.
Disiplin bukannya menakut-nakutkan.
Disiplin bukannya menghukum.
Disiplin adalah membimbing.
Untuk mendisiplinkan anak dan murid, kita perlu terlebih dahulu faham perkembangan seorang anak yang merangkumi fizikal, emosi, kognitif, sosial, moral dan spiritual. Kita perlu ada ilmu.
Anak usia ini masih memerlukan bimbingan kerana mereka masih tiada pengalaman. Mereka masih rasa insecure dengan persekitaran mereka dan orang di sekeliling mereka.
Dengan kata mudah, mereka masih belajar.
- Mereka sedang membina persepsi tentang dunia mereka dan orang di sekeliling mereka.
- Mereka juga sedang membina imej diri mereka. Siapa saya? Kenapa saya ada di sini? Apakah sifat-sifat saya?
APAKAH YANG KITA AJAR DENGAN MENGUGUT ANAK BEGINI?
- Kita mengajar bahawa dunia ini penuh dengan hukuman, keganasan, ketakutan, tiada belas, tiada empati.
- Kita mengajar bahawa inilah caranya untuk selesaikan masalah dan untuk mendapat apa yang kita mahu.
Adakah anak kecil ini akan lebih berdisiplin? TIDAK.
Jika dilihat pada screenshot ini, anak ini trauma dan hilang keyakinan diri.
Kaedah ini hanya membuatkan bahagian otak yang berfungsi untuk membuat keputusan, menaakul, dan berfikiran rasional akan ‘shut down’. Disiplin memerlukan bahagian otak ini aktif. Sebaliknya anak jadi takut, anak trauma, tidak boleh berfikir dan tidak boleh belajar.
Lebih buruk lagi jika anak sekecil ini sering ditakut-takutkan dengan neraka dan kata-kata ‘Allah marah’. Ini membuatkan anak takut dan trauma (bukan taqwa) kepada Allah dan tidak boleh ‘connect’ dengan Allah SWT.
DISIPLIN SEPATUTNYA:
- mengajar anak berfikir kesan dan akibat kesilapannya ke atas dirinya, orang sekelilingnya, keluarganya dan masyarakatnya.
- (ini akan) mengajar anak erti tanggungjawab.
- membuatkan anak lebih rapat dengan orang yang mendisiplinkannya bukannya takut dan trauma.
Jika kaedah ini terus menerus diamalkan dalam masyarakat kita, maka tidak hairanlah kita akan melahirkan lebih ramai buli di sekolah-sekolah, pendera isteri dan anak-anak di rumah dan juga pembuli di atas jalan raya.
Guru-guru perlu dilatih untuk memahami Child Development.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect