Rumah dan sekolah, dua institusi yang paling rapat dengan anak-anak tetapi menjadi institusi yang paling menggugat kesihatan mental anak-anak. Ini bukan hanya berlaku di Malaysia, fenomena ini berlaku di seluruh dunia.
Kita tidak boleh membanding-bandingkan kehidupan riang ria kita ketika kecil 20-30 tahun dulu dengan kehidupan anak-anak sekarang. Anak-anak sekarang menghadapi tekanan dari pelbagai sudut dari peringkat pra sekolah lagi termasuk daripada kita, ibubapa.
Zaman dulu anak-anak keluar bermain di padang, di sawah, terjun sungai, harung lumpur, panjat pokok, kayuh basikal keliling taman dan kampung. Aktiviti sebegini dapat menghindari dan mengurangkan stres pada kanak-kanak jika ada.
Zaman sekarang anak bertambah stres kerana hanya mengadap skrin kecil dan besar. Apabila anak kecil tantrum, kita hulurkan gajet, apabila anak stres dengan gajet kita tukar dengan gajet lain pula.
TERDAPAT DUA JENIS STRES:
1) STRES POSITIF
Dihadapi oleh anak sekali sekala. Stres ini dapat membina resilien dalam diri anak. Anak belajar untuk menghadapi kesukaran dan mengambil risiko. Ini adalah skil yang penting untuk perkembangan kanak-kanak.
Contoh: Hari pertama persekolahan, melawat doktor gigi, menghadiri kem sekolah dan sebagainya yang menjadi sebahagian dari perkembangan normal individu.
2) STRES TOXIC
Berlaku secara berpanjangan dalam hidup anak. Stres ini mempengaruhi sistem badan anak dan juga merubah struktur otak anak secara negatif. Ia juga menyebabkan perubahan fizikal dan tingkahlaku anak.
Contoh: Ujian demi ujian, peperiksaan demi peperiksaan, perbandingan demi perbandingan, pertandingan demi pertandingan dari peringkat pra sekolah lagi.
Contoh yang lebih besar adalah buli dan penderaan (abuse) fizikal, emosi, mental dan seksual yang berpanjangan dalam hidup anak.
Anak memerlukan bantuan dan bimbingan orang yang lebih dewasa dan matang kerana fizikal dan emosi mereka tidak cukup pengalaman dan ketahanan untuk menghadapi stres toksik ini.
Jika terlampau kronik, anak memerlukan bantuan pakar kesihatan.
Ibubapa dan guru perlu peka dan kenalpasti jika anak menunjukkan tingkahlaku yang pelik atau menghadapi kemurungan.
Jangan ingat anak tidak perlu bekerja, tidak menghadapi ‘jam’ di jalanraya, tidak perlu fikir soal kewangan keluarga, tidak perlu fikir masalah negara, maka anak tidak stres.
Adakalanya kita memindahkan stres kita kepada anak-anak secara tidak kita sedar melalui perbuatan dan perkataan kita.
Artikel penuh: http://www.nst.com.my/…/mental-health-malaysian-students-ca…
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect