Seminar Rumahku Syurgaku 2019 anjuran JAKIM

Pembentangan saya di Seminar Rumahku Syurgaku 2019 anjuran JAKIM bertempat di Kompleks Islam Putrajaya.

Bersama Ustaz Zul Ramli, pendakwah bebas dan Dr. Mohd Izwan bin Mohd Yusof, Penolong Pengarah (Kanan) Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti JAKIM.

Jakim

Tahukah anda dalam laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga 2016 oleh LPPKN, kawalan gajet dalam keluarga di negara kita masih berada pada tahap sederhana. Ketagihan gajet ini didapati telah meninggalkan kesan kepada keluarga. Kiranya amalan penggunaan gajet tidak diperbaiki, ia boleh meruntuhkan institusi keluarga.

Dapatan ini selari dengan laporan The State of Digital LIfestyle 2018 yang mendapati bahawa pengguna di Malaysia dan India adalah yang paling ketagih peranti digital (gajet).

Perceraian juga banyak berlaku disebabkan oleh krisis yang berpunca dari perhubungan di media sosial terutamanya Facebook dan Whatsapp. Ini merupakan satu cabaran yang besar kepada institusi keluarga.

Malaysia juga berada di tempat paling tinggi di antara negara-negara Asia Tenggara dalam mencari bahan-bahan pornografi di internet. 20 000 visual pornografi di muat naik dan turun dalam sehari. Pornografi akan mempengaruhi pemikiran dan sikap seseorang. Ia bukanlah sesuatu yang peribadi sebaliknya akan membawa implikasi buruk kepada individu di sekeliling mereka yang ketagihan pornografi.

Remaja dan kanak-kanak juga terdedah kepada sexual grooming dan pencerobohan privasi kerana kurang pemantauan oleh ibubapa dan tidak diberi pendidikan oleh ibubapa tentang keselamatan di internet.

Banyak kebaikan yang boleh kita perolehi dari media pada era teknologi digital ini. Walau bagaimanapun jika kita tidak berusaha untuk mengawal jangkamasa penggunaannya dan kontennya, baik oleh suami, isteri ataupun anak-anak, ia akan lebih membawa kemudaratan berbanding kebaikan kepada keluarga kita.

Berusahalah mencari keseimbangan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Nyawa Untuk Telefon Pintar

TradePhone

Luahan seorang anak terhadap ayahnya.

Ayah… 
Yang saya perlukan bukanlah sebuah rumah yang dipenuhi dengan makanan yang enak, telefon bimbit yang paling canggih dan tidak sama sekali barang permainan yang mewah. Apa yang saya harapkan adalah agar ayah dapat meletakkan telefon ayah dan bermain dengan saya. Itulah perkara yang paling menggembirakan dalam hidup saya.

Ayah…
Saya sanggup mempertaruhkan nyawa saya agar ayah dapat meletakkan telefon ayah.
Saya sayangkan Ayah.”
Anak-anak memerlukan masa, perhatian, tumpuan dan kasih sayang seorang ayah.
Keibubapaan bukanlah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh ibu sahaja. Ia merupakan satu perkongsian.Semoga luahan anak ini menjadi iktibar buat saya dan anda juga.  Elakkan ‘Cinta Tiga Segi’.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

Anak Meraung Mahukan Gajet

Ada ayah yang merungut,

“Cakap senanglah jangan bagi gajet. Anak (kecil) dah meraung minta fon, sanggup ke dengar?”

Begini,

Setiap kali apabila anak meraung, kita bagi, anak meraung, kita bagi, anak meraung, kita bagi, maka dia akan terus meraung sebab dia tahu kita akan mengalah dan tidak tegas.

Anak-anak kita dilahirkan bijak.
Sebagai ibubapa kita perlu menjadi dua kali ganda lebih bijak untuk menguruskan anak-anak bijak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

10 Sebab Alam Sekitar Penting Untuk Kanak-Kanak (Dan Orang Dewasa)

Berdasarkan kajian:

  1. Kanak-kanak yang kerap bermain dalam alam semulajadi mempamerkan keupayaan motor yang lebih maju termasuk koordinasi, keseimbangan dan ketangkasan. Mereka juga jarang jatuh sakit (Grahn, et al. 1997, Fjortoft & Sageie 2001).
  2. Apabila kanak-kanak bermain dalam alam semulajadi, permainan mereka lebih pelbagai dengan imaginasi dan kreativiti yang menggalakkan perkembangan bahasa dan skil kolaborasi. (Moore & Wong 1997, Taylor, et al. 1998, Fjortoft 2000).
  3. Pendedahan kepada alam sekitar memupuk perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memperbaiki tahap kepekaan, penaakulan dan pemerhatian (Pyle 2002).
  4. Alam sekitar mengurangkan kesan tekanan ke atas kanak-kanak dan membantu mereka menghadapi kesukaran. Semakin banyak pendedahan pada alam, semakin besar manfaatnya (Wells & Evans 2003).
  5. Bermain dalam persekitaran yang pelbagai mengurangkan risiko dan kecenderungan dibuli dan membuli (Malone & Tranter 2003).
  6. Alam semulajadi mewujudkan ketenangan dengan melahirkan rasa bersatu dengan alam dan persekitaran (Crain 2001).
  7. Pengalaman awal dengan alam semulajadi mempunyai perkaitan yang positif dengan perkembangan imaginasi dan perasan ingin tahu (wonder) (Cobb 1977, Louv 1991).  Rasa ingin tahu adalah motivasi untuk pembelajaran yang berterusan seumur hidup (Wilson 1997).
  8. Kanak-kanak yang bermain di luar mempunyai perasaan yang lebih positif terhadap satu sama lain (Moore 1996).
  9. Alam semulajadi memupuk interaksi sosial antara kanak-kanak (Moore 1986, Bixler et al. 2002).
  10. Persekitaran luar adalah penting untuk membina autonomi dan keupayaan untuk berdikari (Bartlett 1996).

Adakah anda memerhatikan kesan-kesan ini pada anak-anak anda?
Orang dewasa juga perlu keluar berinteraksi dengan alam sekitar untuk mengurangkan tekanan.

 Video:
5 September 2018
Anak kecil dalam cuaca panas terik 42 darjah Celsius kota Mekah tetap teruja dan aktif berinteraksi dengan alam sekitarnya.
Tanpa gajet.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/