Pada zaman Greek purba, anak-anak yang tidak disukai akan kelahirannya ataupun anak-anak yang cacat akan ditinggalkan keseorangan di kawasan-kawasan tertentu seperti dalam hutan atau di tebing sungai. Anak-anak ini dibiarkan dengan harapan dia mati kerana kesejukan, lapar dan dahaga, dibaham binatang buas ataupun diambil dan dijaga oleh ‘Tuhan’ atau sesiapa yang lalu lalang.
Pada zaman Jahiliyah sebelum Islam, anak-anak perempuan ditanam hidup-hidup oleh bapa-bapa mereka kerana kelahiran mereka adalah sesuatu yang memalukan dalam masyarakat. Amalan ini berleluasa sehinggakan Allah berfirman sebagai satu peringatan kepada kita semua:
“Dan apabila anak-anak perempuan yang ditanam hidup-hidup, ditanya – Dengan dosa apakah ia dibunuh?”
(At Takwir 81: 8-9).
Amalan kuno dan jahiliah ini bukannya sesuatu yang ditinggalkan pada masa lampau tetapi ia masih lagi diamalkan walau beribu-ribu dan beratus-ratus tahun berlalu.
Jiwa dan hati yang bagaimanakah dimiliki oleh orang dewasa yang tergamak berlaku kejam terhadap kanak-kanak yang kehadirannya seumpama Qurrata A’yun atau penyejuk mata buat seluruh ummat manusia?
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Criminal Justice and Behaviour pada March 2017*, individu yang membunuh kanak-kanak (tidak semestinya ibubapa) terdiri daripada mereka yang memiliki tahap kecerdasan (intelligence) yang rendah, memiliki skil komunikasi yang rendah, memiliki keupayaan penyelesaian masalah yang rendah, dan mempunyai masalah kesihatan mental. Ada juga di antara mereka yang biasa didera semasa kecil.
Tindakan mereka lebih banyak didorong oleh emosi dan bukannya dengan akal. Profail ini dijadikan panduan oleh pihak autoriti yang melindungi kanak-kanak untuk mengenalpasti kanak-kanak yang terdedah pada penderaan dan bahaya yang disebabkan oleh orang dewasa.
Ayah dan ibu yang hendak menghantar anak untuk dijaga dan diasuh oleh orang lain, perhatikanlah.
Hanya apabila hati seseorang itu dapat merasakan bahawa Allah melihat, mendengar dan mengetahui setiap tindak tanduk kita, maka kejahatan dan penderaan ini dapat dibendung. Selagi perasaan ini tidak wujud dalam diri, selagi itulah kita sangkakan kita boleh melarikan diri agar terlepas dari sebarang hukuman di dunia.
“Dengan dosa apakah dia dibunuh?”
(At Takwir 81:9)
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/
* Azores-Gococo, Brook, Teralandur, Hanlon. Killing A Child. Criminal Justice and Behavior, 2017