Peluklah Anak

KADANG-KADANG apabila kita menjadi buntu kerana anak meragam, anak menguji kesabaran, dan anak tidak mendengar kata, penyelesaian terbaik ketika itu bukanlah memarahi dia, cubit dia, pukul dia atau hukum dia, sebaliknya penyelesaian terbaik pada ketika itu adalah memeluk dia.

Peluk bukan kerana anak memerlukan pelukan, tetapi peluk kerana KITA yang lebih memerlukan pelukan di saat menghadapi kekecewaan dan kebuntuan dalam menguruskan anak itu.

Tidak ada manusia yang lebih baik untuk dipeluk ketika itu melainkan anak yang menjadi ujian buat kita.

Peluk kerana kita sayangkan dia bukannya kita benci dia. Yang mengecewakan kita adalah tingkah laku dia. Yang kita marah adalah tingkah laku dia yang menguji kesabaran kita.

Peluklah kerana mungkin tingkah laku itu disebabkan kerenggangan hubungan kita dengan dia selama ini.

Tautkanlah kembali dengan pelukan itu.

Peluklah dan berdoalah semoga Allah melembutkan hati dia dan juga menenangkan hati kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Advertisements

Remaja

Mereka inginkan kebebasan.
Berikan mereka kebebasan dengan batasan.

Mereka ingin bersuara.
Berikan mereka suara tanpa mengabaikan adab.

Mereka ingin berkawan.
Izinkan mereka berkawan dengan mengekalkan nilai dan prinsip.

Mereka ingin menyumbang.
Sumbangkan kelebihan yang mereka ada ke saluran sepatutnya.

Mereka mencari identiti.
Dedahkan mereka pada pelbagai pengalaman untuk mengenali diri dan Pencipta.

Mereka mahukan kuasa.
Berilah mereka peluang untuk memikul tanggungjawab.

Mereka mahu membuat keputusan.
Bimbing mereka berfikir solusi yang tidak memudaratkan diri, orang sekeliling dan harta benda.

Mereka ingin difahami.
Sediakan telinga untuk mendengar dan kuncikan mulut dari berkata-kata buat seketika.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Remaja Agresif

“Tahap agresif yang tinggi dalam kalangan belia Malaysia mencerminkan tingkah laku agresif orang dewasa dalam masyarakat.”Pakar kriminologi USM, Prof Madya Dr P. Sundramoorthy (2017).

Wahai orang dewasa, cerminlah diri kita dulu.

Selagi kita tidak mengubah diri kita supaya menjadi contoh yang baik kepada kanak-kanak, remaja dan orang muda, selagi itulah kita akan melihat kes buli dan keganasan terus berlaku di kalangan mereka.

Adakah hanya mereka yang perlu dihukum?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Remaja Bermasalah dan P Ramlee

Sejak kebelakangan ini negara kita (dan juga newsfeed) tidak sunyi dengan isu remaja yang bukan saja bermasalah, malah juga ganas termasuk terhadap ibu sendiri.

Menurut Prof Dr Khaidzir Ismail, pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM dalam artikel The Star 24 September 2017, keganasan yang melibatkan remaja telah berlaku untuk sekian lama, cumanya masalah ini kelihatan meruncing sekarang kerana ia lebih mendapat liputan media terutamanya media sosial, berbanding dahulu.

Ini adalah kupasan saya 2 tahun lalu. P. Ramlee juga mengketengahkan cabaran yang sama tentang remaja pada zaman itu. Ini bermakna ia bukanlah sesuatu yang baru.

pramlee

Aspek Keibubapaan Dalam Filem Anakku Sazali

Hanya bila kita tahu puncanya, kita boleh mencari solusinya. Insya Allah.
Bagi ibubapa yang mempunyai anak kecil, binalah hubungan yang kukuh dengan anak sejak dari usia sehari. Jangan jadi ibubapa yang ‘present but absent’.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Melangkah Dari Zaman Kanak-kanak Ke Remaja. Risaukah anda?

Sejak akhir-akhir ini ramai yang melahirkan kebimbangan kepada saya kerana memikirkan anak yang akan menginjak ke usia remaja. Kisah-kisah yang tidak enak yang sering dipaparkan tentang remaja membuatkan ibubapa kepada anak yang akan melangkah keluar dari zaman kanak-kanak berasa gusar.

Nasihat saya, melangkahlah ke usia remaja anak anda dengan minda yang positif. Apa yang anda dengar dan lihat tidak mewakili semua remaja dan tidak semestinya anak anda sebegitu.

daughter-mother

Kredit Imej: QuoteAmbition

Percayalah mempunyai anak-anak remaja sangat menyeronokkan kerana:

1. Anda mempunyai rakan karib yang bukan saja tidak perlu anda cari, malah yang telah anda bentuk sendiri selama ini.

2. Anda mempunyai ‘bodyguard’ yang sanggup menemani anda ke mana-mana saja malah sanggup melindungi anda dari sebarang bahaya.

3. Anda mempunyai teman bercerita yang boleh berbual-bual tentang hal sosial, ekonomi, politik, agama, sains, gosip, sukan, hiburan, fesyen dan apa saja.

4. Anda mempunyai penghibur yang boleh membuatkan anda ketawa di kala kesedihan.

5. Anda mempunyai teman yang boleh menjadi bahan senda gurauan anda dan anda juga menjadi bahan senda gurauannya.

6. Anda mempunyai pembantu yang boleh membantu anda di dapur dan boleh juga memasak, membakar, dan mengemas di dapur.

7. Anda mempunyai pembantu yang boleh meringankan kerja-kerja di rumah yang tidak pernah habis.

8. Anda mempunyai pengasuh yang boleh tolong mengasuh adik-adik yang lebih kecil.

9. Anda mempunyai ‘fitness partner’ yang saling memberi semangat kepada satu sama lain.

10. Anda mempunyai teman bercuti yang akan memeriahkan lagi suasana dan menghilangkan segala letih dan lesu – dan boleh tolong mengangkat beg yang berat.

11. Anda mempunyai teman mengopi atau mengeteh pada bila-bila masa saja.

12. Anda mempunyai pendengar setia jenaka-jenaka anda yang tidak kelakar sangat tetapi sentiasa disambut dengan gelak-tawa (kadang-kadang membuat anda tertanya-tanya samada yang digelakkan adalah jenaka anda atau diri anda sendiri).

13. Anda mempunyai pemandu peribadi yang sentiasa sanggup memandu anda ke mana sahaja terutamanya bagi yang baru mendapat lesen memandu.

14. Anda mempunyai teman ke masjid yang walaupun kadang-kadang agak liat, tetapi ada masanya mengingatkan anda bila anda terlupa.

15. Anda mempunyai rakan ‘shopping’ yang sentiasa seronok membelanjakan duit anda.

16. Anda mempunyai rakan bercerita tentang filem-filem terbaru, drama-drama kegemaran anda dan juga novel-novel pilihan anda (walaupun kadang-kadang dengan tidak sepenuh hati)

17. Anda mempunyai juru pam peribadi setiap kali mengisi minyak di stesen minyak (tentunya menggunakan kad kredit anda).

18. Anda mempunyai perunding imej peribadi yang sentiasa peka dengan perkembangan semasa di kalangan anak muda (dan sentiasa tidak segan silu untuk mengkritik dan memberi khidmat jururunding tanpa diminta).

19. Anda mempunyai teman yang sentiasa meluahkan segala cabaran dan masalah serta kegembiraan dan keseronokan kepada anda.

20. Anda mempunyai teman yang akan membuatkan anda berasa sangat kosong dan sunyi tanpa mereka di sisi.

21. Anda mempunyai penasihat yang menegur dan memperbetulkan anda jika tersilap. (Kredit: Puan Wan Erni Suria)

Bahagia kan?

Mantapkan komunikasi dengan anak dari awal.
Wujudkan rasa hormat-menghormati dari awal.
Bina kerjasama dari awal.

Membesarkan anak-anak remaja pada zaman sekarang memang mencabar. Perjalanan tidak sentiasa indah dan lancar tetapi dengan ‘mindset’ yang positif, ilmu pengetahuan dan do’a yang tidak putus, pengalaman membesarkan mereka akan menjadi lebih mengujakan.

Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Kenapa Anak Remaja Menjadi Ganas?

Kenapa anak remaja menjadi ganas?

remaja

Tentang media:

Menurut American Academy of Pediatrics, 

  1. Anak-anak usia pra sekolah yang menonton kartun selama 2 jam sehari, terdedah kepada 10 000 insiden keganasan setahun melalui kartun.
  2. Anak-anak yang ‘average’ tontonannya menyaksikan 8000 pembunuhan dan 200,000 aksi ganas sepanjang usia sekolah rendah.

Cerita-cerita aksi dan lasak yang menjadi pilihan remaja dan anak muda pula memaparkan – Sumber: M.Borba: Building Moral Intelligence

  1. 1/3 dari watak jahat dan ganas tidak dihukum.
  2. 70% dari watak ganas ini tidak menunjukan sedikit pun rasa bersalah atau menyesal ketika melakukan keganasan.
  3. 50% aksi ganas ini menunjukkan mangsa tidak mengalami sebarang kesakitan.
  4. 40% aksi keganasan ini disertakan dengan lawak jenaka.
  5. 40% watak ganas dipegang oleh pelakon yang ‘attractive’ dan ‘hero-type’ – sado dalam bahasa kita.
  6. Kurang dari 5% cerita ganas menyampaikan mesej anti-keganasan.
  7. Kebanyakan aksi ganas dipaparkan sebagai satu keperluan dan tidak menyakitkan.

Ini statistik di Amerika Syarikat.

Apakah pula yang ditonton oleh anak-anak Malaysia melalui media dan skrin?
Adakah berbeza dari anak-anak di Amerika?

Cuba kaitkan 7 ciri-ciri di atas dengan insiden keganasan di kalangan remaja yang berlaku dalam negara kita sendiri. Tidak hairanlah perbuatan mereka seakan tidak ada akal.

Memantau apa yang ditonton oleh anak-anak tidak kira kecil atau remaja adalah juga sebahagian dari ‘parenting’.

Children See Children Do

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Teladan Daripada Gergasi Teknologi

Dua tahun selepas iPad dilancarkan, pengasas Apple mendiang Steve Jobs memberitahu wartawan bahawa anak-anak beliau belum lagi menggunakan iPad.

Beliau melahirkan kerisauan beliau tentang ketagihan gajet.

gergasitek

Pengasas Microsoft, Bill Gates, menetapkan bahawa anak beliau hanya boleh memiliki telefon pintar apabila berusia 14 tahun walaupun anak beliau merungut kerana semua rakan memilikinya.


 

Anak-anak mula merasakan ‘peer pressure’ dan mula membanding-bandingkan peraturan di rumah sendiri dan peraturan di rumah kawan ketika berusia dalam lingkungan 9 tahun.

Inilah usia mereka nampak apa yang rakan ada dan apa yang mereka tiada.
Inilah usia mereka mahu apa yang rakan ada.
Inilah usia mereka mula merasakan peraturan di rumah tidak adil.
Inilah usia mereka takut ketinggalan berbanding rakan.

Sebelum mereka mula meminta-minta, merayu-rayu, memujuk-mujuk.
Sebelum mereka mula membanding-bandingkan.
Sebelum mereka berkata “It’s not fair”, “Kenapa kawan boleh?”, eloklah kita tetapkan bila waktunya mereka boleh memiliki telefon pintar.

Beritahu anak dari awal supaya mereka tahu. Biarlah mereka menunggu. Ini namanya ‘delayed gratification’ yang banyak faedahnya untuk perkembangan peribadi seorang manusia.

Apabila sudah diberi tanpa pertimbangan yang wajar oleh ibubapa, amat sukar untuk ditarik balik jika anak-anak menyalahgunakannya.

Berapakah usia yang patut/ingin anda tetapkan untuk anak-anak memiliki telefon pintar?

Kenapa?

Noor Afidah Abu Bakar
Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect