Kisah Seorang Anak Yang Mengada-ngada

Kisah ini diceritakan oleh seorang ibu kepada saya. Ibu tersebut mengizinkan saya untuk berkongsi supaya dapat dijadikan teladan buat semua ibubapa yang membaca.


Anak saya berusia 4 tahun.
Setiap kali menaiki tangga mesti hendak berdukung padahal dia boleh berjalan seperti kanak-kanak 4 tahun yang lain juga. Apabila ‘angin’ dia datang, mulalah dia mengeluh letih. Tak larat kononnya.

Sudahlah saya mengandung , dia pula minta didukung. Manalah saya ada tenaga untuk dukung anak berusia 4 tahun dalam keadaan saya macam ini.

Selepas mandi ataupun selepas mencangkung mesti minta didukung lagi. Katanya tak larat hendak berdiri. Pandai mereka-reka cerita yang kakinya patah.
Geram sungguh saya dengan perangai anak saya yang mengada-ngada itu.

Tidak lama selepas itu saya menyedari sesuatu tentang anak saya. Mukanya kelihatan sembab, mata menjadi sepet dan perut semakin membesar. Naluri keibuan saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya mula mengesyaki sesuatu.

Saya menceritakan keadaan anak saya kepada rakan yang merupakan seorang pakar kanak-kanak, untuk mendapatkan pendapat dan nasihat daripadanya. Setelah rakan memeriksa anak saya, dia meminta saya untuk ke hospital dengan segera membawa bersama saya pakaian. Anak saya perlu dimasukkan ke wad selama seminggu jugalah untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut.

Setelah pemeriksaan dibuat, doktor mengesahkan bahawa anak saya mengidap ‘nephrotic syndrome’ atau ginjal tidak berfungsi dengan sempurna. Penyakit ni menyebabkan pengidapnya sering keletihan. Inilah yang menyebabkan anak saya sering mengeluh letih dan tidak larat. Salah satu simptomnya adalah merasa berat pada kaki.
Anak saya juga hilang selera makan. Perutnya mengembung disebabkan air berlebihan atau water retention. Air berlebihan inilah punca mukanya sembab dan badan kelihatan semakin berisi.

Baru saya tahu, rupa-rupanya anak saya sakit.

Saya menyesal dengan sikap saya yang tidak cuba selidiki terlebih dahulu apa masalah anak saya. Bila dia mengadu tidak larat minta didukung, saya anggap dia mengada-ngada.

Tingkah laku dia ada sebabnya. Dia menahan kesakitan yang tidak dapat dia luahkan kepada saya.

Saya pula menutup hati dan perasaan saya dari cuba untuk memahami.

Apa yang paling menyedihkan saya, saya selalu ingatkan anak saya supaya kurangkan makan disebabkan perutnya yang kelihatan semakin membuncit. Saya juga mengawal pengambilan makanan dia kerana saya anggap dia gemuk. Saya membuat andaian yang anak saya makan banyak di sekolah. Saya tegur dia. Disebabkan tegahan dan teguran saya, dia kurang makan pada waktu makan malam. Katanya dia ok, sudah kenyang. Sedangkan pada hakikatnya dia sakit. Dia tidak ada selera makan.

Kasihan anak saya.

Saya juga sering memarahi anak saya kerana bermain sabun apabila ke tandas. Rupa-rupanya yang menderita penyakit ini air kencingnya kelihatan berbuih, bukan kerana anak saya bermain sabun.

Saya sungguh menyesal.

Paling merobek hati saya apabila mengenangkan bagaimana saya tergamak meninggalkan dia di tingkat bawah apabila dia minta didukung. Saya memarahi dia dan biarkan dia di situ. Dia menangis sampai dia tertidur. Saya sangat sedih mengenangkan perbuatan saya terhadap anak saya. Anak saya sakit. Dia bukannya mengada-ngada.
Bagaimana saya boleh tergamak berbuat begitu kepada anak saya?

Saya bersyukur kepada Allah kerana keadaan anak saya sekarang ini semakin baik.
9 hari berada di wad hospital bersama anak saya merupakan momen yang paling indah bagi kami berdua. Saya lebih memahami dan mengenali anak saya. Mungkin ini adalah peringatan buat saya supaya menjadi seorang ibu yang lebih baik. Saya bersyukur Allah SWT memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki diri.

Ibu manakah yang mampu menahan sebak apabila anak berusia 4 tahun berkata semua ini membuatkan dia belajar bersyukur kepada Allah kerana Allah menolong dia, kerana

Allah menjaga dia setiap masa.

Anakku…

Ampunilah hambamu ini, Ya Allah.


 

Ayah ibu sekelian, saya selalu ingatkan melalui penulisan saya bahawa setiap tingkah laku anak kecil ada sebabnya. Tidak dapat dinafikan memang ada sesetengah anak kecil yang ‘clingy’, yang sentiasa hendak melekat dengan kita dan sentiasa inginkan perhatian kita. Namun selidikilah terlebih dahulu adakah tingkah lakunya sesuatu yang normal. Sentiasalah rapat dengan anak untuk cuba memahami keperluan dan tingkah lakunya.

Jangan terlalu cepat melabel seorang anak itu sebagai mengada-ngada walaupun didesak oleh orang lain. Anak itu mungkin menyembunyikan sesuatu yang tidak dapat diluahkannya.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Cuti Bersalin 6 Bulan – CIMB

CIMBCutiBersalin

Syabas CIMB.
Semoga banyak lagi pihak yang akan memberi sokongan kepada ibubapa dalam era yang mencabar ini.

“Kami percaya setiap individu mempunyai keperluan berbeza dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kami juga percaya faedah yang diberikan dapat memupuk budaya keibubapaan tanpa perlu meninggalkan kerjaya sedia ada.”

“Malah, kami juga meneroka kemungkinan melanjutkan manfaat ini kepada semua kakitangan di seluruh kumpulan,” katanya.

Selain manfaat cuti bersalin bergaji, CIMB turut menjalankan inisiatif lain dalam menyokong keperluan keluarga kakitangannya termasuk memberi kelonggaran kakitangan yang mempunyai anak berusia kurang lima tahun atau berkeperluan khas untuk bekerja dari rumah sehari dalam seminggu.”

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Ibu & Tidur

Ibu-Ibu letih kurang tidur?
Anda tidak keseorangan.

New parents lose sleep

Menurut kajian Assistant Professor Sullivan dari College of Public Health Georgia Southern University, Ibu kehilangan:

2 jam tidur setiap malam apabila anak berusia 0-5 bulan.
1 jam tidur apabila anak berusia 5 Bln-2thn.

Kajian Di UK pula mendapati Ibu kehilangan 44 hari tidur dalam tahun pertama usia anak.

Patutlah ibu keletihan.

KESAN KURANG TIDUR KRONIK:

1) Meningkatkan risiko kemalangan
2) Mengganggu keupayaan untuk fokus (mengingatkan saya pada sindrom tertinggal anak dalam kereta)
3) Prestasi kerja menurun
4) Gangguan kesihatan
5) Penambahan berat badan (hmm…tahulah kita kenapa ya)

Ramai ibu yang berjaya merancang tidur yang lebih baik apabila:

SUAMI turut sama mengambil giliran mengasuh dan menguruskan anak.

Semoga ayah dan ibu bekerjasama untuk mengelakkan mudarat ke atas anak dan keluarga.

Membesar dan mendidik anak adalah tanggungjawab bersama.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Kisah Cinta Pertama Seorang Anak

cinta ibu

Kredit Gambar: Google

Seorang bayi dilahirkan ke dunia yang serba baru dalam keadaan yang sungguh ‘helpless’. Bayi yang baru dilahirkan sering rasa ‘insecure’ dan memerlukan perlindungan daripada ibu untuk mententeramkannya.

Kerana keperluan inilah, dan dengan kuasa dan rahmat Allah SWT, sejenis hormon yang dinamakan oxytocin dirembeskan ketika ibu mengandung dan menyusu dan juga ketika bayi dilahirkan, untuk membina pertalian dan kasih sayang (bond) semulajadi antara ibu dan anak.

Oxytocin inilah yang membuatkan kita tidak jemu-jemu dan ketagih mencium bayi kita, yang baunya kita katakan ‘bau syurga’

. Kadang-kadang kita rasa hendak gigit gigit bayi bukan kerana ‘abusive’ tetapi terlampau geram kerana sayang. Bayi juga sentiasa tercari-cari kita dan tidak boleh langsung kita berenggang sedikit daripada sisinya kerana bayi juga kenal dengan bau kita.

Inilah penangan Oxytocin.
Semakin banyak sentuhan kulit antara ibu dengan anak, semakin banyak oxytocin dirembeskan. Semakin kita menyusukan anak, semakin banyak oxytocin terbina.
Maka semakin membaralah kasih sayang antara kedua-duanya.

Inilah kisah cinta agung dan kisah cinta pertama seorang anak.
Kisah cinta ini akan berterusan insya Allah selagi ada sentuhan, belaian dan kasih sayang.

Oh ya, ayah jangan terasa hati. Sebenarnya tahap oxytocin ayah juga meningkat apabila ayah banyak membelai dan menyentuh bayi. Semakin membelai, oxytocin ini menyebabkan ayah menjadi semakin ‘involved’ dalam kehidupan bayi dan berterusan ‘involved’ sebagai ayah mithali. Insya Allah.

Tanpa sentuhan, tanpa belaian, tanpa kasih sayang, tanpa ‘connection’, muncullah hormon ‘antagonis’ yang menyebabkan ‘stress’ dalam bayi dan anak-anak, iaitu cortisol.

Noor Afidah Abu Bakar

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

(SHARElah dengan rakan, saudara mara yang baru melahirkan anak atau sedang cuba menyesuaikan diri dengan bayi, atau yang sedang mengandung, untuk memberi semangat.
🙂
)