Kredit Gambar: Google
Ketika berbincang tentang kesan gajet kepada kanak-kanak baru-baru ini, seorang ayah bertanya saya tentang seorang anak berusia 4 tahun. Anak tersebut sering dibiarkan menggunakan gajet tetapi dia tetap mendapat no. 1 dalam kelas. Jika begitulah pencapaiannya, bukankah gajet itu tidak membawa keburukan kepada anak tersebut?
Begini,
Sebagai ibubapa, matlamat yang hendak kita capai dengan anak berusia 4 tahun bukanlah hanya untuk melihat anak mendapat nombor 1 dalam kelas. Mendapat nombor 1 atau nombor berapa sekali pun dalam kelas usia 4 tahun bukanlah penanda aras bahawa anak tersebut sudah cukup berkembang dan terdidik.
Sepatutnya tadika berusia 4 tahun tidak ada sistem pernomboran sebagai penilaian keupayaan seorang murid. Sistem sebegini adalah salah sama sekali. Pernomboran ketika usia ini tidak mencerminkan keupayaan sepenuhnya seorang anak malah mewujudkan ‘fixed mindset’ pada ibubapa itu sendiri yakni “Anak saya sudah cukup pandai dan bijak. Anak saya tidak memerlukan apa-apa didikan lagi.”
Dalam menilai dan menganalisa kesan penggunaan gajet kepada anak-anak, ibubapa dan guru harus melihat dari pelbagai sudut perkembangan kanak-kanak bukan hanya dari sudut pandai dalam peperiksaan.
Antara aspek yang perlu diberi penekanan adalah:
1) KEUPAYAAN KOMUNIKASI DAN BAHASA.
- Bagaimanakah penguasaan komunikasi verbal anak?
- Berapakah kosa kata yang dimiliki anak?
- Adakah anak banyak bersoal jawab?
- Bagaimanakah komunikasi sosial anak?
- Bagaimanakah tingkah laku ‘non verbal’ anak?
2) KEUPAYAAN KOGNITIF
- Bagaimanakah corak pemikiran anak?
- Adakah dia mula memahami konsep kesan dan akibat?
- Bagaimanakah keupayaan menaakul anak?
- Bagaimanakah skil penyelesaian masalah anak?
- Adakah anak kreatif?
- Bagaimanakah keupayaan imaginasi anak?
3) KEUPAYAAN FIZIKAL
- Bagaimanakah skil motor halus anak?
- Adakah anak boleh menggunakan gunting, sudu, garfu, memegang pensil, peralatan lukisan dengan betul?
- Bagaimanakah skil motor kasar anak?
- Bolehkah anak menggunakan fizikal untuk berlari, melompat, merangkak, menyusur, memanjat tanpa pergerakan yang kekok?
4) KEUPAYAAN SOSIAL
- Adakah anak mahu dan berupaya membina persahabatan?
- Bagaimanakah skil kepimpinan anak?
- Adakah anak boleh mengikut giliran?
- Adakah anak memiliki skil pengurusan konflik apabila berkelahi dengan kawan, contohnya?
- Adakah anak berupaya untuk bekerja dalam kumpulan?
- Adakah anak memahami peraturan dan batasan yang ada?
- Adakah anak boleh mengikut arahan yang diberikan?
5) KEUPAYAAN EMOSI
- Adakah anak boleh melabelkan emosi?
- Adakah anak faham emosi yang dirasainya?
- Adakah anak boleh menyatakan apakah yang sedang dirasa?
- Adakah anak berupaya memahami emosi orang lain?
- Adakah anak mempunyai empati?
- Adakah anak mahu dan suka membantu orang lain?
- Adakah anak melihat sesuatu dengan pandangan yang positif?
- Adakah anak berupaya menjadi dirinya sendiri?
Semua di atas adalah di antara skil yang perlu dipupuk pada kanak-kanak berusia 4 tahun oleh ibubapa dan juga guru di tadika. Panjang lagi senarainya jika hendak ditulis. Oleh kerana semua skil itu masih berkembang, maka tidak ada nombor yang dapat digunakan untuk menilainya kerana ia begitu subjektif.
Dalam menilai kesan gajet kepada kanak-kanak berusia 4 tahun, ibubapa harus melihat gambaran keseluruhan yang merangkumi semua perkembangan kanak-kanak, bukan setakat pandai dapat nombor 1.
Perjalanan anak berusia 4 tahun masih jauh lagi. Berilah anak peluang dan stimulasi yang sepatutnya dalam membina perkembangan holistik anak.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect