Beg Sekolah Terlalu Berat?

Tahukah anda American Academy of Pediatrics menyarankan berat beg sekolah yang digalas sepatutnya dalam lingkungan 10% dari berat badan murid sahaja.

Contohnya jika berat badan murid darjah 3 adalah 30kg, maka berat beg dan isinya sepatutnya 3kg.

Berapakah berat beg anak anda yang sepatutnya?
begberat

Banyak negara yang mengikut saranan ini kerana memikirkan kesejahteraan fizikal pelajar.

Jika sakit belakang sering dikaitkan dengan orang tua, berat beg melebihi limitasi sepatutnya akan menyebabkan sakit belakang dari kanak-kanak lagi. Ini akan mempengaruhi perkembangan sosial, emosi dan intelektual murid juga.

Jika sekolah mengikut saranan Kementerian untuk kurangkan homework bagi mengurangkan bebanan beg sekolah, maka ibubapa bertanggungjawab memastikan masa lapang itu diisi dengan aktiviti yang memantapkan fizikal, meringankan tulang, membina minda dan memanusiakan anak-anak.  Itu adalah homework terbaik sebenarnya.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Ketagih Gajet Tetap Dapat Nombor 1

smart-child

Kredit Gambar: Google

Ketika berbincang tentang kesan gajet kepada kanak-kanak baru-baru ini, seorang ayah bertanya saya tentang seorang anak berusia 4 tahun. Anak tersebut sering dibiarkan menggunakan gajet tetapi dia tetap mendapat no. 1 dalam kelas. Jika begitulah pencapaiannya, bukankah gajet itu tidak membawa keburukan kepada anak tersebut?

Begini,

Sebagai ibubapa, matlamat yang hendak kita capai dengan anak berusia 4 tahun bukanlah hanya untuk melihat anak mendapat nombor 1 dalam kelas. Mendapat nombor 1 atau nombor berapa sekali pun dalam kelas usia 4 tahun bukanlah penanda aras bahawa anak tersebut sudah cukup berkembang dan terdidik.

Sepatutnya tadika berusia 4 tahun tidak ada sistem pernomboran sebagai penilaian keupayaan seorang murid. Sistem sebegini adalah salah sama sekali. Pernomboran ketika usia ini tidak mencerminkan keupayaan sepenuhnya seorang anak malah mewujudkan ‘fixed mindset’ pada ibubapa itu sendiri yakni “Anak saya sudah cukup pandai dan bijak. Anak saya tidak memerlukan apa-apa didikan lagi.”

Dalam menilai dan menganalisa kesan penggunaan gajet kepada anak-anak, ibubapa dan guru harus melihat dari pelbagai sudut perkembangan kanak-kanak bukan hanya dari sudut pandai dalam peperiksaan.

Antara aspek yang perlu diberi penekanan adalah:

1) KEUPAYAAN KOMUNIKASI DAN BAHASA.

  • Bagaimanakah penguasaan komunikasi verbal anak?
  • Berapakah kosa kata yang dimiliki anak?
  • Adakah anak banyak bersoal jawab?
  • Bagaimanakah komunikasi sosial anak?
  • Bagaimanakah tingkah laku ‘non verbal’ anak?

2) KEUPAYAAN KOGNITIF

  • Bagaimanakah corak pemikiran anak?
  • Adakah dia mula memahami konsep kesan dan akibat?
  • Bagaimanakah keupayaan menaakul anak?
  • Bagaimanakah skil penyelesaian masalah anak?
  • Adakah anak kreatif?
  • Bagaimanakah keupayaan imaginasi anak?

3) KEUPAYAAN FIZIKAL

  • Bagaimanakah skil motor halus anak?
  • Adakah anak boleh menggunakan gunting, sudu, garfu, memegang pensil, peralatan lukisan dengan betul?
  • Bagaimanakah skil motor kasar anak?
  • Bolehkah anak menggunakan fizikal untuk berlari, melompat, merangkak, menyusur, memanjat tanpa pergerakan yang kekok?

4) KEUPAYAAN SOSIAL

  • Adakah anak mahu dan berupaya membina persahabatan?
  • Bagaimanakah skil kepimpinan anak?
  • Adakah anak boleh mengikut giliran?
  • Adakah anak memiliki skil pengurusan konflik apabila berkelahi dengan kawan, contohnya?
  • Adakah anak berupaya untuk bekerja dalam kumpulan?
  • Adakah anak memahami peraturan dan batasan yang ada?
  • Adakah anak boleh mengikut arahan yang diberikan?

5) KEUPAYAAN EMOSI

  • Adakah anak boleh melabelkan emosi?
  • Adakah anak faham emosi yang dirasainya?
  • Adakah anak boleh menyatakan apakah yang sedang dirasa?
  • Adakah anak berupaya memahami emosi orang lain?
  • Adakah anak mempunyai empati?
  • Adakah anak mahu dan suka membantu orang lain?
  • Adakah anak melihat sesuatu dengan pandangan yang positif?
  • Adakah anak berupaya menjadi dirinya sendiri?

Semua di atas adalah di antara skil yang perlu dipupuk pada kanak-kanak berusia 4 tahun oleh ibubapa dan juga guru di tadika. Panjang lagi senarainya jika hendak ditulis. Oleh kerana semua skil itu masih berkembang, maka tidak ada nombor yang dapat digunakan untuk menilainya kerana ia begitu subjektif.

Dalam menilai kesan gajet kepada kanak-kanak berusia 4 tahun, ibubapa harus melihat gambaran keseluruhan yang merangkumi semua perkembangan kanak-kanak, bukan setakat pandai dapat nombor 1.

Perjalanan anak berusia 4 tahun masih jauh lagi. Berilah anak peluang dan stimulasi yang sepatutnya dalam membina perkembangan holistik anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Ala Bola – Pendidikan anak-anak adalah tanggungjawab kita bersama

Saya menghadiri perjumpaan di antara Pengetua dan ibubapa di sekolah anak saya beberapa hari lalu. Saya tertarik dengan analogi yang digunakan oleh Pengetua tentang kepentingan hubungan yang baik antara sekolah dan ibubapa.

bola

Kredit Gambar: WWSC

Kata beliau,

Kita seumpama sebuah tim pasukan bola sepak.
Tuan Puan sebagai ibubapa adalah pemilik pasukan.
Saya sebagai Pengetua adalah pengurus yang menguruskan pasukan dan memastikan semuanya berjalan dengan lancar.
Guru-guru adalah jurulatih yang dilantik untuk melatih pemain-pemain.
Jika kita inginkan kejayaan buat anak-anak kita yang diumpamakan sebagai pemain, kita mesti pastikan adanya kerjasama yang positif di antara semua pihak untuk mencapai kemenangan itu.

Jika pemilik pasukan mengabaikan pasukannya, pengurus dan jurulatih tidak akan ada fungsinya.

Jika pengurus tidak memastikan kelancaran pasukan, tentulah prestasi pasukan akan merudum.

Jika jurulatih tidak menjalankan tugas dengan cemerlang, tahap prestasi dan skil para pemain akan menurun.

Pendidikan anak-anak adalah tanggungjawab kita bersama

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Kecil dan Penerokaan

Cuba perhatikan gelagat anak-anak kecil.

Mereka seumpama saintis yang gemar meneroka. Dari penerokaan, mereka membuat pelbagai eksperimentasi untuk membuktikan idea atau hypotesis yang telah mereka bina berkaitan persekitaran mereka dengan menggabungkan pelbagai pengalaman sensori.
Apabila mereka melangkah ke alam persekolahan yang penuh tekanan untuk mengikut skima jawapan, minat untuk meneroka dan bereksperimentasi ini lama-kelamaan akan hilang.

 

pressure

Matthew Lipman dalam penulisan beliau ‘Thinking in Education’ menyatakan bahawa sebelum memasuki alam persekolahan, kanak-kanak bersifat ‘innately inquisitive, imaginative, and curious’. Walau bagaimanapun apabila mula bersekolah, sifat-sifat ini semakin terhakis.

Benarkah?

Saya sedang menelaah kembali dissertation saya yang bertajuk “Nurturing Critical Thinking Skills in Young Children Through Literacy”

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Bagaimana Untuk Menjadikan Anak-anak Suka ke Sekolah?

Adakah sekolah bertanggungjawab sepenuhnya ataupun ibubapa juga mempunyai peranannya?

“Apa? Guru perlu ingat semua nama pelajar? Ramai sangat pelajar untuk diingat.”

Kalau anak dapat markah yang rendah, adakah bermakna dia tidak suka belajar dan tidak ada masa depan?

Adakah anak yang suka ke sekolah semestinya dapat semua A?

Kenapakah pelajar ‘misbehave’ di sekolah?

Adakah betul dia ‘misbehave’ atau kita yang tidak faham tentang pelajar tersebut?

‘Research shows that our children, no matter what their age, ethnic background, or where they live, want to feel engaged at school. They want to feel like they belong and that what they do at school matters. Not just to themselves, but to their parents and teachers too.’

Bacalah. “Why kids like going to school…?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect