Bagi yang berkata “Cepatlah anak besar” ataupun “Untunglah anak dah besar” kerana mengandaikan bahawa anak yang sudah besar adalah sinonim dengan kemudahan dan ketenangan dalam menjadi ibubapa, kajian membuktikan bahawa andaian anda adalah tidak tepat.
Ibu-ibu kepada anak yang berusia 10-13 tahun (rendah atas) didapati paling tertekan dalam proses keibubapaan, diikuti oleh ibu-ibu kepada bayi. Bayi masih boleh dikawal 100% oleh ibu bapa tetapi anak usia pra remaja tidak lagi.
Ini disebabkan oleh perubahan pada sikap anak yang memasuki fasa usia tersebut yang sukar difahami, tidak seperti ketika zaman kanak-kanak mereka. Ibu-ibu (dan ayah juga saya pasti) tertekan memikirkan sejauh manakah kebebasan yang harus diberikan kepada anak agar layang-layang berupaya terbang tinggi tanpa terputus talinya.
Jika terdapat banyak page Facebook dan laman web yang memberi panduan dan sokongan kepada ibubapa kepada anak-anak usia awal (early years), cabaran anak-anak pra remaja dan remaja agak kurang dibincangkan.
Sistem sokongan yang kuat perlu bagi ibubapa kepada anak-anak usia pra remaja dan remaja bagi mengurangkan beban tekanan yang dihadapi ibubapa dalam memahami konflik dalam diri anak-anak ini.
Ada di kalangan anak-anak ini yang membawa bebanan dari kecil dan memberontak disebabkan faktor tersebut.
Adakah anda ibu dan ayah kepada kedua-dua anak usia 10-13 tahun dan juga bayi?
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect