Ayah dan Ibu, Berdamailah

tenang

Kewarasan dan ketenangan diri ayah dan ibu sangat penting dalam membesarkan dan mendidik seorang anak.

Berdamailah dengan diri sendiri.
Berdamailah antara suami isteri.
Berdamailah dengan keluarga.
Berdamailah dengan mertua dan ipar duai.

Adakah benar masalah yang kita hadapi adalah dengan anak ataupun masalahnya adalah kerana diri kita sendiri tidak damai dan tidak tenang?

Jujurlah dengan diri sendiri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Untunglah Anak Dah Besar?

Bagi yang berkata “Cepatlah anak besar” ataupun “Untunglah anak dah besar” kerana mengandaikan bahawa anak yang sudah besar adalah sinonim dengan kemudahan dan ketenangan dalam menjadi ibubapa, kajian membuktikan bahawa andaian anda adalah tidak tepat.

growing

Ibu-ibu kepada anak yang berusia 10-13 tahun (rendah atas) didapati paling tertekan dalam proses keibubapaan, diikuti oleh ibu-ibu kepada bayi. Bayi masih boleh dikawal 100% oleh ibu bapa tetapi anak usia pra remaja tidak lagi.

Ini disebabkan oleh perubahan pada sikap anak yang memasuki fasa usia tersebut yang sukar difahami, tidak seperti ketika zaman kanak-kanak mereka. Ibu-ibu (dan ayah juga saya pasti) tertekan memikirkan sejauh manakah kebebasan yang harus diberikan kepada anak agar layang-layang berupaya terbang tinggi tanpa terputus talinya.

Jika terdapat banyak page Facebook dan laman web yang memberi panduan dan sokongan kepada ibubapa kepada anak-anak usia awal (early years), cabaran anak-anak pra remaja dan remaja agak kurang dibincangkan.

Sistem sokongan yang kuat perlu bagi ibubapa kepada anak-anak usia pra remaja dan remaja bagi mengurangkan beban tekanan yang dihadapi ibubapa dalam memahami konflik dalam diri anak-anak ini.

Ada di kalangan anak-anak ini yang membawa bebanan dari kecil dan memberontak disebabkan faktor tersebut.

Adakah anda ibu dan ayah kepada kedua-dua anak usia 10-13 tahun dan juga bayi?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

AEON Tebrau – Pokok Pangkalnya Adalah Empati (Empathy)

aeon

Kredit Gambar: NST

Empati adalah keupayaan manusia untuk mengenalpasti, memahami dan menyelami perasaan dan kesusahan orang lain.
Adanya empati ini membantu manusia untuk memiliki tingkah laku prososial yang datangnya dari dalam diri sendiri dan tanpa dipaksa oleh sesiapa. Empati inilah yang menjadikan manusia bertamadun sifatnya.

Sifat ini bermula dari kecil lagi. Banyak kajian menunjukkan ia bermula dari peringkat usia awal kanak-kanak.
Inilah usia kritikal di mana tingkah laku prososial dipupuk sehingga terpateri di jiwa seorang insan sebagai satu nilai.
Inilah usia kritikal bila mana sel-sel otak atau jaringan neural terbentuk. Apabila jaringan neural yang membentuk empati ini dihubungkan dari kecil melalui aktiviti-aktiviti yang menggalakkannya dan berterusan digalakkan oleh ibubapa dan guru untuk diamalkan oleh anak-anak, sifat empati ini akan kekal sehingga tua. Tetapi kiranya dipupuk waktu kecil tetapi tidak diamalkan, jaringan neural ini akan dicantas apabila memasuki usia remaja bilamana otak manusia melalui proses penstrukturan semula.

Menurut kajian psikologi ada banyak sebab empati ini boleh hilang atau tidak pernah ada langsung dalam diri seseorang. Walau bagaimanapun saya tertarik dengan satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji dari University of Cardiff dan dibentangkan di konferens tahunan Society for Endocrinology pada tahun 2016.

Dalam kajian tersebut, mereka menganalisa tingkah laku pesakit-pesakit yang menghidap penyakit yang menyebabkan turunnya paras hormon oksitosin. Hormon oksitosin ini juga dikenali sebagai ‘love hormone’ atau hormon kasih sayang. Sejurus selepas lahir, kita mendapat bekalan oktison atau hormon kasih sayang ini daripada sentuhan dan belaian ibu kita dan juga melalui susu ibu. Sesungguhnya kasih sayang dan ibu tidak dapat dipisahkan.

Walau bagaimanapun, setelah dikaji, pesakit-pesakit yang mempunyai kadar oksitosin yang rendah ini juga didapati tidak dapat menyempurnakan tugasan yang melibatkan empati atau memahami perasaan orang lain, dengan baik. Pengkaji mencadangkan agar mereka diberikan penambahan ataupun gantian oktison untuk membantu kesihatan psikologi mereka supaya dapat dikembalikan empati itu dalam diri mereka.

Bila dikaitkan kajian tersebut dan kejadian di AEON Tebrau semalam, maka marilah kita cukupkan malah limpah ruahkan kasih sayang kepada anak-anak kita supaya mereka membesar malah menua sebagai generasi yang mempunyai empati yang tinggi terhadap orang lain. Anak-anak memerlukan banyak sentuhan, pelukan dan ciuman tidak kiralah lelaki atau perempuan, kecil, remaja atau dewasa. Tidak ada hukum yang mengatakan haram memeluk dan mencium anak sebagai seorang ayah dan ibu yang waras akal fikirannya.

Galakkan anak-anak kita supaya banyak berinteraksi dengan manusia dan bukannya dengan mesin supaya mereka lebih peka dan memahami perasaan dan kesusahan manusia.

Kiranya berlaku lagi kejadian seumpama di AEON Tebrau satu hari nanti, anak kita yang mempunyai empati yang tinggi ini akan berfikir :
“Kasihan dengan pekerja-pekerja di sini. Aku tidak boleh menyusahkan mereka. Mereka juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan.”

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Link berita: https://www.nst.com.my/news/nation/2018/04/356368/aeon-tebrau-city-left-shambles-after-tmj-sponsored-shopping-binge

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Bapa Ketagih Pornografi

Agak kerap saya mendengar rintihan para isteri dan ibu yang diluahkan kepada saya tentang ketagihan pornografi oleh si suami yang juga ayah kepada anak-anak. Isteri kecewa, menjeruk rasa, putus harapan dan rasa tidak bernilai bagi suami.

Sebagaimana dadah dan alkohol, ketagihan pornografi juga melalui proses yang sama. Ketagihan tetap ketagihan.

suamiporno

Saya pernah bertanya pakar dalam NGO yang banyak menguruskan kes penderaan seksual, adakah pornografi sesuatu yang peribadi dan tidak melibatkan orang lain? Adakah pornografi hanya ‘merosakkan’ individu yang ketagih dan bukannya orang lain?

Jawapannya, TIDAK.
Pada awalnya ia bersifat aktiviti individu tetapi mereka yang ketagih ini tidak akan pernah puas dengan apa yang ditonton. Sebagaimana ketagihan dadah, semakin lama ketagih, semakin tinggi dos yang diperlukan, begitu juga dengan pornografi. Ada yang melampiaskan nafsu pada darah daging sendiri apabila berada di kemuncak ketagihan. Isteri sudah tidak memberi apa-apa makna lagi. Isteri hanyalah pada lafaz “Aku terima nikahnya…”

Bagaimana ayah yang ketagih pornografi boleh berfungsi sebagai seorang ayah yang baik? Saraf otak mereka rosak, karakter mereka berubah disebabkan pornografi, dan mereka juga hilang minat untuk menjadi seorang ayah. Minat mereka hanyalah pada ketagihan mereka sahaja. Usaha mereka hanyalah mencari apa yang dapat memenuhi keinginan serakah mereka sahaja. Mereka tidak dapat berfungsi sebagai manusia yang normal.

Menjadi ibubapa memerlukan komitmen yang sangat tinggi.
Menjadi ibubapa memerlukan kita menjadi ‘role model’ yang baik bagi anak-anak.
Menjadi ibubapa memerlukan kita menjadi pemimpin dan imam dalam keluarga.
Menjadi ibubapa menuntut kita melindungi anak-anak daripada pengaruh yang merosakkan anak, walau dengan nyawa kita sekalipun.

Jika demikian, di mana kedudukan keluarga dan anak-anak dalam kehidupan suami dan ayah yang ketagih pornografi?
Emosi isteri dan ibu juga terganggu disebabkan ketagihan ini.
Anak-anak sudah tentunya akan terkesan dengan tiadanya harmoni.

Jangan malu untuk mendapatkan bantuan pakar. Malulah dengan Allah SWT jika tiada usaha untuk memperbaiki diri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect