Ramadhan adalah bulan yang sangat istimewa untuk umat Islam. Walaupun tidak diwajibkan bagi anak-anak kecil berpuasa, ramai yang teruja meraikan Ramadhan dan turut berpuasa bersama ibubapa, abang, dan kakak yang telah dewasa.
Ramadhan adalah bulan ibadah dan bulan berbuat kebaikan.
Selain solat fardu, sunat tarawih, tadarus Al Quran, dan berpuasa yang menjadi ibadah dan amalan yang sangat diberi penekanan pada bulan Ramadhan ini, pembentukan akhlaq dan karakter anak-anak (dan ibubapa) juga perlu diberi tumpuan.. Banyak aktiviti dan amalan pada bulan ramadhan yang menyediakan peluang untuk melatih karakter positif yang diharapkan dapat berterusan sehingga lepas bulan Ramadhan.
1) PATUH
Sebelum melatih anak untuk berpuasa, latihlah anak bersolat terlebih dahulu. Solat menjadi lambang kepatuhan seorang Muslim kepada suruhan Allah SWT. Mendidik anak untuk berpuasa kerana kepatuhan kepada Allah SWT lebih bermakna berbanding berpuasa kerana inginkan ganjaran semata-mata. Wujudkan motivasi intrinsik di dalam diri anak untuk berpuasa kerana Allah SWT.
Pujilah sebarang usaha anak ketika bulan ramadhan ini baik dari segi solatnya atau puasanya yang dilakukan kerana Allah SWT.
Wujudkan juga connection dengan anak-anak melalui ibadah yang boleh dilakukan bersama-sama sebagai satu keluarga, contohnya solat berjemaah, tarawih di masjid bersama-sama (jika berpeluang kerana mungkin ada kesukaran jika anak masih terlalu kecil). Bagi anak kecil yang berpuasa, layanlah kerenah mereka, fahamilah kesukaran yang mungkin mereka lalui walaupun puasa mereka adalah secara sukarela dan tidak kita paksa. Jadikan puasa ibadah yang menyenangkan dan menggembirakan anak-anak terutamanya ketika waktu berbuka. Sediakanlah juadah yang menjadi kegemaran anak, baik yang baru berlatih ataupun anak dewasa.
Berbukalah bersama-sama tanpa gangguan dari televisyen atau gajet kerana inilah peluang untuk kita ‘bond’ bersama anak-anak. Kajian yang dibuat oleh The National Center on Addiction and Substance Abuse, Columbia University mendapati bahawa keluarga yang sering makan bersama-sama melahirkan anak-anak yang tinggi jati diri, kurang depresi, kurang penglibatan dengan penyalahgunaan dadah, dan berprestasi tinggi dalam pembelajaran. ‘Connection’ yang diwujudkan melalui ibadah dan amalan kerana Allah SWT insya-Allah akan mewujudkan kepatuhan anak kepada kita juga sebagai ibubapa. Tanpa connection, kepatuhan agak sukar untuk dibentuk. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
2) BERTANGGUNGJAWAB
Anak-anak akan kenal erti tanggungjawab apabila dari kecil lagi mereka diamanahkan dengan tanggungjawab.
Pada bulan Ramadhan, wujudkan kerjasama di antara anak-anak dalam menyelesaikan tugasan di rumah. Akui rasa letih, lapar dan dahaga yang mungkin dialami oleh anak-anak dan salinglah memberi sokongan antara satu sama lain. Apabila ahli keluarga saling memahami, akan wujud perasaan ingin saling membantu dan bekerjasama untuk meringankan kepenatan yang dirasai. Wujudkan jadual tugasan yang diperbincangkan dan dipersetujui bersama dalam mesyuarat keluarga. Tugasan merangkumi aktiviti mengemas, membantu dalam pembelajaran, ‘babysit’ adik yang masih kecil, persediaan untuk berbuka, persediaan untuk sahur, membasuh, menyidai dan melipat kain, dan sebagainya.
Bahagi-bahagikan tugasan mengikut kesesuaian usia supaya semua terlibat. Pembahagian tanggungjawab di dalam keluarga akan mewujudkan ‘sense of belonging’ yang akan sentiasa mendorong anak-anak bekerjasama dan ingin membantu antara satu-sama lain.
Oleh kerana aktiviti bulan Ramadhan adalah berbeza dari bulan-bulan yang lain, anak-anak juga perlu dididik untuk bertanggungjawab terhadap diri sendiri dengan mengadakan jadual khas untuk Ramadhan. Bincang dengan anak jadual harian yang merangkumi waktu untuk menyiapkan tugasan sekolah, waktu bertadarus, waktu bermain atau aktiviti bebas, waktu Tarawih dan aktiviti yang dirasakan sesuai untuk anak.
Rasa bertanggungjawab tidak boleh dipaksa. Ia hanya boleh terbina dalam diri anak dengan sandaran sistem nilai utuh yang dibina di dalam keluarga dan masyarakat.
3) JUJUR
Pada bulan Ramadhan, terdapat banyak mesej dan teladan yang baik di persekitaran kita yang menjadi pendorong untuk berbuat kebaikan. Galakkan anak-anak untuk memfokuskan kepada segala yang positif di persekitaran mereka untuk diambil iktibar. Bahagian otak manusia yang dinamakan Recticular Activating System akan berfungsi untuk menyaring perkara-perkara positif untuk diamalkan (rujuk posting terdahulu).
Galakkan anak-anak untuk berlaku jujur dalam perkataan dan perbuatan. Tekankan tentang kepentinggan untuk bercakap benar dan tidak berbohong. Amalan berpuasa itu sendiri menggalakkan kita untuk ikhlas dan jujur dalam menjalankan ibadah berpuasa. Kiranya anak yang berpuasa minum air dengan sengaja ketika mandi atau melakukan lain-lain perkara yang membatalkan puasa, kita mungkin tidak akan tahu, namun Allah Maha Mengetahui. Berpuasa kerana kepatuhan kepada Allah SWT akan mewujudkan kejujuran dan keikhlasan dengan sendirinya.
Ingatkan kepada anak-anak hadith Rasulullah SAW,
“ Dari Ibnu Mas’ud ra. Berkata, Rasulullah saw. Bersabda: “sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan, Dan kebaikan itu membawa ke syurga. Seseorang akan selalu bertindak jujur sehingga ia ditulis di sisi Allah swt sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang akan selalu berdusta sehingga ia ditulis di sisi Allah swt sebagai pendusta”
(Bukhari dan Muslim)
Pujilah anak sekiranya mereka berlaku jujur dan sebutkan dengan terperinci tentang kejujuran yang diamalkan supaya menjadi motivasi kepada mereka untuk terus jujur dalam perbuatan dan perkataan.
Rasululah SAW sendiri dikenali sebagai Al Amin iaitu seorang yang amanah dan jujur. Berkongsi cerita sirah Rasulullah SAW, para Rasul dan sahabat pada bulan Ramadhan dapat mendorong anak-anak untuk mencontohi tingkah laku mereka.
4) BERSEDERHANA
Ramadhan adalah bulan yang penuh ujian dalam mengawal nafsu terutamanya nafsu makan. Jika tidak dikawal, Ramadhan akan menjadi pesta makan dan minum yang membawa kepada pembaziran. Walaupun kita tidak makan dan minum dari Subuh sehingga ke Maghrib, ada kalanya apa yang kita jamah dari Maghrib sehingga ke Subuh adalah berlebih-lebihan dari yang kita sering makan ketika di luar bulan Ramadhan. Didiklah keluarga kita dan anak-anak kita untuk bersederhana ketika berbuka. Sebelum mengunjungi Pasar Ramadhan, rancang dengan anak-anak terlebih dahulu apa yang hendak dibeli mengikut citarasa masing-masing supaya kita dapat membataskan nafsu kita dari berbelanja berlebih-lebihan. Berlebih-lebihan ini akan membawa kepada pembaziran. Ini juga adalah satu amalan yang tidak sepatutnya berlaku baik di bulan Ramadhan atau bulan-bulan lainnya.
Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Rakyat Malaysia membuang makanan sehingga 8,000 tan atau 800,000 kilogram sehari dan jumlah itu mampu menampung bekalan makanan untuk enam juta orang (sumber BERNAMA).
Rancangkan juga keperluan Hari Raya dengan anak-anak supaya anak-anak nampak kepentingan bersederhana yang kita titikberatkan menjelang Aidilfitri. Ibubapa adalah role model yang terbaik anak-anak, kiranya dari kecil mereka didididk untuk besederhana dan hidup dengan sederhana, amalan itu juga akan menjadi ikutan mereka apabila dewasa kelak.
5) MENEPATI MASA
Ramadhan adalah satu-satunya bulan di mana masa adalah sangat dihargai dan dihormati oleh semua. Kita akan sentiasa pastikan yang kita tidak lewat walau sesaat pun untuk berbuka puasa. Kita juga akan sentiasa pastikan yang kita tidak melepasi walau sesaat selepas waktu Subuh supaya puasa kita tidak terbatal.
Galakkan amalan menepati masa ini di dalam keluarga kita. Jadikan amalan “tidak lewat walau sesaat” sebagai amalan yang berterusan walau di luar Ramadhan. Berbicaralah dengan anak-anak tentang kepentingan masa di dalam Islam kerana Allah SWT telah berjanji dengan masa di dalam Surah Al Asr.
Ajarilah anak bahawa menepati masa bukanlah hanya untuk diri kita sahaja, malah kita juga patut menghormati masa orang lain. Latihlah diri supaya menepati masa kiranya berjanji dengan seseorang atau berjanji untuk menyelesaikan sesuatu tugasan.
6) MERENDAH DIRI
Ramadhan adalah bulan yang menyaksikan umat Islam seluruh dunia menunaikan rukun Islam yang ketiga. Wujudkan kesedaran di dalam diri anak bahawa umat Islam tidak kira miskin, kaya, tua, muda dari pelbagai warna kulit dan bangsa semuanya turut sama berpuasa sebagaimana kita. Sedikit pelajaran Geografi dapat membantu anak-anak untuk memahami kepelbagaian etnik manusia, muka bumi ciptaan Allah SWT dan sempadan negara yang ditetapkan oleh politik manusia.
Sedikit pendidikan kemanusiaan dapat mendedahkan anak-anak kepada kesukaran dan penderitaan yang dialami oleh mereka yang melalui kehidupan yang tidak sebaik keluarga kita baik di dalam negara mahupun di luar negara.
Pada bulan Ramadhan ini, carilah peluang untuk membawa anak-anak melihat kehidupan mereka yang sukar supaya anak-anak faham dan cakna kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh orang lain. Pendedahan ini akan mewujudkan rasa merendah diri dan bersyukur dengan apa yang telah dimiliki. Pendedahan ini juga akan menggalakkan anak-anak untuk bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Galakkan anak-anak untuk membantu sesiapa sahaja tidak kira bangsa, warna kulit dan agama kerana Islam tidak membataskan amalan baik terhadap sesama Muslim sahaja.
7) HORMAT-MENGHORMATI
Mulakan hormat menghormati sesama ahli keluarga. Orang Asia secara umumnya mempunyai panggilan khas kepada orang yang lebih tua seperti pak cik, mak cik, abang, dan kakak yang mudah mewujudkan rasa hormat di dalam keluarga. Galakkan panggilan mengikut pangkat ini di dalam keluarga.
Anak-anak belajar untuk menghormati orang lain apabila mereka melihat kita sebagai ibubapa mengamalkan hormat menghormati sesama manusia. Sedarlah, dalam kita berurusan dengan orang ramai pada bulan Ramadhan, tidak kiralah di bazar Ramadhan ketika berbeli juadah berbuka, di bank ketika mengeluarkan wang atau sebagai pekerja bank, di sekolah sebagai guru atau sebagai ibubapa, di jalan raya ketika hantar atau ambil anak dari sekolah, di pasar raya membeli belah untuk Hari Raya, anak-anak memerhatikan tingkah laku kita sepanjang masa.
Walaupun kita menggalakkan anak-anak untuk menghormati orang lain, perbuatan kita akan lebih menjadi ikutan berbanding perkataan kita. Dalam bulan penuh barakah ini, didiklah diri kita supaya menjadi suri teladan terbaik untuk anak-anak. Sebagai manusia, kadang-kadang kita juga melakukan kesilapan di hadapan anak-anak, contohnya ketika stres di jalan raya. Cepat-cepatlah akui kesilapan kita itu dan nasihatilah anak supaya tidak melakukan kesilapan yang sama.
Didiklah anak kecil untuk mengucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang memberi bantuan atau perkhidmatan contohnya pekedai, penghantar surat khabar, pekerja dobi, peniaga kantin, polis trafik, pemandu teksi dan sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat dan darjat.
8) SABAR
Ramadhan dan sabar tidak dapat dipisahkan. Sabar yang sering dikaitkan dengan Ramadhan adalah dalam konteks menahan lapar dan dahaga. Bagi anak-anak, berpuasa adalah baik untuk melatih delayed gratification atau ganjaran yang tertunggak. Ganjaran yang ditunggu-tunggu setelah bersabar berpuasa selama 13 jam (di Malaysia) adalah berbuka puasa dengan juadah dan hidangan yang lazat. Ganjaran ini cukup menggembirakan anak kecil yang baru berlatih untuk berpuasa.
Bagi anak yang lebih dewasa, berpuasa kerana Allah dapat melatih sabar dan istiqomah beribadah dan berbuat kebaikan untuk menuju pengakhiran yang baik dan syurga Allah.
Sabar ini jugalah dapat melatih anak-anak untuk bersyukur dengan segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada keluarga kita. Galakkan juga anak-anak untuk bersabar dalam berhadapan dengan kesukaran yang mungkin dihadapi bersama kawan-kawan ataupun di sekolah pada bulan Ramadhan ini. Bersabar bukanlah bermakna kita hanya berdiam diri, sebaliknya sabar ini bermaksud tidak bertindak secara impulsif dan melulu dan memikirkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
Jangan dipandang ringan keupayaan anak kecil untuk menyelesaikan masalah. Kids are natural problem solver. Bimbinglah mereka. (rujuk posting terdahulu).
9) SOPAN
Keletihan berpuasa pada bulan Ramadhan dapat mendidik anak-anak untuk berbicara hanya perkara yang sepatutnya sahaja. Ingatkan anak-anak bahawa terlalu banyak berbicara akan menggunakan tenaga yang lebih dan memenatkan lagi. Nasihatilah anak-anak untuk menggunakan bahasa dan perkataan yang elok ketika berbicara apabila berpuasa.
Jika sebelum ini kita bimbang dan buntu kerana anak membawa pulang perkataan yang tidak enak didengar, ambillah peluang pada bulan Ramadhan ini untuk mengingatkan dan menasihati anak. Basahilah bibir anak dengan ayat-ayat Al Quran dan zikir yang menjadi amalan umum pada bulan Ramadhan ini agar menjadi amalan yang berterusan.
Ambillah peluang untuk mendidik anak bersopan santun dalam tingkah laku. Tingkah laku yang tidak menyenangkan seringkalinya hanya menambah letih anak. Fokus pada kebaikan dan tingkahlaku positif yang dilakukan oleh anak. Berilah pujian supaya anak rasa bermotivasi untuk berterusan menunjukkan tingkah laku yang positif.
10 ) MURAH HATI
Ramadhan mendidik kita dan anak-anak untuk merasai penderitaan dan kesusahan orang lain. Berkongsilah cerita dengan anak-anak tentang mereka yang berpuasa sepanjang masa, walau di luar Ramadhan kerana ketiadaan makanan dan minuman untuk dijamah. Terangkan kepada anak-anak penekanan Islam kepada pemberian zakat yang merupakan rukun Islam yang keempat. Saidina Abu Bakar r.a sendiri memerangi mereka yang tidak menunaikan zakat. Zakat dapat membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukan bantuan.
Galakkan juga anak-anak untuk bersedekah walaupun sedikit. Jadikan Ramadhan bulan latihan yang akan membentuk sifat bermurah hati dan memberi yang berkekalan. Ramai anak-anak kecil dan besar yang dilihat mensedekahkan sebahagian duit Raya mereka kepada individu dan pertubuhan yang membantu mereka yang di dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.
Disamping menyumbangkan zakat dan sedekah melalui para amil, masjid dan sebagainya, anak-anak boleh dibawa untuk bersama-sama terus memberikan sumbangan kepada orang-orang miskin dan yang memerlukan. Impak pengalaman melihat sendiri nasib mereka yang kurang bernasib baik ini sangat tinggi ke atas hati anak-anak. Insya-Allah mereka akan lebih prihatin dan sentiasa mahu terus membantu dan bermurah hati
Galakkan juga anak-anak untuk bermurah hati menyumbangkan tenaga yang mereka miliki untuk digunakan di jalan kebaikan. Berbuat baik dan tolong menolong sesama insan adalah fitrah manusia. Anak-anak kecil secara semulajadinya sangat bermurah hati dan suka membantu. Amalan tersebut perlu sentiasa dipupuk dan digalakkan sehingga dewasa.
Samalah-samalah kita mengambil peluang pada bulan Ramadhan yang mulia ini untuk membentuk akhlaq dan karakter anak-anak dan juga diri kita sendiri. Semoga keluarga kita dan semua umat Islam di seluruh dunia memperolehi baraqah dari Ramadhan kali ini.
Ramadhan Kareem.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect