ADAKAH ANAK-ANAK PEDULI? 5 Cara Memupuk Sifat Peduli Dan Empati

pclogo

Gempa bumi berskala Richter 7.8 melanda Nepal semalam. Setakat artikel ini ditulis 5000 nyawa dikhuatiri terkorban, 50000 lagi cedera dan lebih 1 juta kanak-kanak memerlukan bantuan (sumber: UNICEF). Keadaan di Syria juga semakin genting, berjuta-juta rakyat Syria menjadi pelarian. Rakyat Palestin pula terus ‘terpenjara’ dan dibunuh di negara sendiri dan berjuta-juta menjadi pelarian. Bangsa Rohingya terus dinafikan kerakyatan di negara sendiri dan ditekan dan dibunuh tanpa belas kasihan. Masih ramai rakyat Kelantan yang tinggal di dalam khemah kerana kehilangan tempat tinggal akibat bencana banjir beberapa bulan yang lalu. Mereka masih memerlukan bantuan.

Sejauh manakah kita dan anak-anak kita, biar yang kecil ataupun yang remaja, PEDULI tentang mereka yang tidak bernasib baik?

Kajian yang dilakukan oleh University of Missouri pada tahun 2011 mendapati bahawa remaja yang terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan lebih mudah terhindar dari gejala-gejala negatif. Walau bagaimanapun, menurut kajian yang diterbitkan oleh Journal of Personality and Social Psychology pula, generasi milenial (yang lahir pada tahun 80an ke atas) kurang berminat untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti amal dan kemasyarakatan kerana fokus hidup mereka sekarang lebih tertumpu kepada pencarian material dan populariti.

Anak-anak yang PEDULI sangat berbeza dan mereka biasanya mempunyai kualiti berikut:

  1. menghormati orang lain tanpa membezakan harta kekayaan, pangkat, bangsa dan agama
  2. sentiasa ingin membantu sesiapa jua yang di dalam kesusahan
  3. sentiasa berfikiran positif dan mensyukuri nikmat yang ada
  4. sensitif terhadap perasaan orang lain
  5. berfikiran terbuka dan cuba memahami perspektif orang lain
  6. daya kepimpinan yang terpupuk sejak kecil
  7. kreatif dan inovatif kerana sentiasa memikirkan bagaimana untuk membantu mereka yang kesusahan.

Bagaimanakah caranya melahirkan sifat PEDULI dan EMPATI dalam diri anak-anak dari kecil?

1) PEDULI Melalui Gaya Hidup Sekeluarga

Mulakan dengan peduli tentang alam sekitar seperti menjaga kebersihan, tidak merosakkan kemudahan awam, kitar semula, jimat elektrik dan air. Galakkan mesra haiwan dan tidak menganiaya sebarang hidupan (selagi tidak membahayakan kita). Galakkan mesra tumbuh-tumbuhan, contohnya tidak mencabut pokok, kelopak-kelopak bunga atau daun-daunan tanpa sebab.

Jadikan sifat PEDULI sebagai salah satu kayu ukur (milestone) perkembangan sosial anak-anak yang penting. Sebagaimana berkongsi atau ‘sharing’ dijadikan kayu ukur sosial, begitu juga peduli dan empati.

2. PEDULI Melalui Pembacaan Dan Penceritaan

Bahan bacaan adalah sumber yang paling berkesan dalam membentuk perkembangan karakter. Penggunaan buku cerita yang sesuai dapat merangsang emosi dan mewujudkan sifat peduli dalam diri kanak-kanak. Lebih baik sekiranya ibubapa bercerita kepada anak-anak (yang kecil terutamanya) kerana impaknya lebih besar berbanding anak-anak membaca sendiri buku tersebut. Tingkah laku positif watak-watak tertentu di dalam cerita, terutamanya yang menjadi hero/heroin anak-anak, boleh dijadikan idola mereka. Pilihlah cerita yang bertemakan kasih sayang, kemanusiaan dan kemasyarakatan yang jelas dan mudah difahami oleh anak-anak. Plot yang menarik juga perlu diambil kira supaya anak-anak boleh ‘relate’. Bincang dan tanyakan pendapat anak-anak tentang tema kemasyarakatan tersebut dan galakkan anak-anak berkongsi pendapat dan perasaan mereka.

Tonton dokumentari televisyen yang memaparkan kesusahan dan pahit getir yang dilalui oleh orang lain supaya lebih terkesan.

(Tidak perlulah menunjukkan kepada anak-anak gambar kanak-kanak yang berlumuran darah akibat kekejaman atau peperangan seperti yang selalu terpampang di media sosial. Ini hanya akan mewujudkan sindrom ‘Schadenfreude’ iaitu ketagihan melihat gambar-gambar sedemikian tanpa mewujudkan sebarang rasa peduli dan simpati).

Jika anak kecil merasa sedih dan menangis kerana membaca atau menonton cerita tentang kesusahan orang lain, janganlah diejek atau diketawakan. Cakaplah “Sedihkan?” “Kesiankan?”. Tanyalah “Bagaimana kita boleh membantu mereka yang dalam situasi demikian?”.

3. PEDULI Melalui Teladan Ibubapa.

Ibu bapa adalah teladan terbaik untuk anak-anak. Kita adalah guru pertama dan utama mereka. Mulakan sifat peduli dalam diri kita untuk dicontohi oleh anak-anak. Apa saja yang menjadi prioriti hidup kita akan menjadi acuan bagi anak-anak. Bila kita menunjukkan sifat peduli contohnya terhadap mereka yang ditimpa bencana, ditindas, fakir miskin dan anak yatim lebih-lebih lagi tanpa mengira bangsa dan agama, itu akan mewujudkan peduli dan empati dalam diri anak-anak.

Bila kita menunjukkan sifat peduli, anak-anak juga akan turut sama peduli tentang mereka dan ingin membantu.

4. PEDULI Melalui Nilai Material.

Didiklah anak-anak akan nilai wang walaupun kewangan bukanlah masalah dalam keluarga kita. Ajari anak-anak tentang perbezaan barang-barang keperluan (needs) dan kemahuan (wants) supaya mereka tahu prioriti material. Galakkan anak-anak untuk menabung kiranya ada barang kemahuan (wants) yang ingin mereka miliki. Contohnya dengan menggunakan duit poket atau duit Raya walaupun kita mampu menyediakan barang tersebut untuk mereka. Ajari anak-anak menabung dan berjimat-cermat supaya mereka faham bagaimana rasanya menahan diri dari berbelanja dan boros. Ajari anak-anak supaya tidak membazir makanan supaya mereka faham keadaan mereka yang kebuluran. Galakkan anak-anak menabung, bersedekah dan menyumbang kepada aktiviti kebajikan.

5. PEDULI Melalui Pengalaman.

Kajian menunjukkan bahawa sifat peduli itu lahir secara berperingkat. Ia terbentuk melalui pengalaman yang dilalui seorang individu bersama individu lain yang berada di dalam kesusahan. Pengalaman adalah guru yang terbaik untuk sesiapa sahaja, terutamanya kanak-kanak. Pembacaan, penceritaan dan pendedahan akan lebih bermakna jika mereka berpeluang turun padang menyaksikan sendiri kesusahan orang lain.

Sekali sekala bawalah anak-anak keluar dari kelompok kita dan merasai realiti di luar kelompok. Bawa anak-anak bersama meredah kampung dan pedalaman bagi tujuan memberi bantuan dan sumbangan, walaupun anak itu masih kecil. Jadikan ia aktiviti keluarga. Sentiasa galakkan anak-anak terlibat dengan aktiviti kebajikan melalui sekolah, pertubuhan, persatuan ataupun inisiatif sendiri bersama kawan-kawan.
Untuk kanak-kanak menjadi individu yang PEDULI, mereka memerlukan perhatian, galakan dan penglibatan orang-orang dewasa yang penting dalam hidup mereka terutamanya ibu bapa dan juga guru. Aktiviti kebajikan dan kemasyarakat perlu bermula dari peringkat pra sekolah lagi. Sifat PEDULI tidak wujud dengan sendirinya. Apabila anak-anak menunjukkan sifat peduli dan empati, nyatakan (point out), pujilah dan hargailah supaya mereka tahu mereka sebenarnya berupaya untuk PEDULI.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s