Berdasarkan kajian dalam artikel ini, anak remaja perempuan yang berusia antara 10-15 tahun lebih terkesan dan tertekan dengan penggunaan media sosial berbanding anak remaja lelaki.
Jika dilihat dalam negara kita sendiri, hantaran (posting) berkaitan kecantikan, penggayaan tudung, dan ‘make up’ sangat menarik perhatian bukan saja remaja, malah kanak-kanak perempuan juga.
Remaja perempuan lebih mengharapkan ‘like’ dan pengiktirafan daripada orang lain. Mereka juga lebih terdorong untuk membanding-bandingkan diri mereka dengan remaja yang lain.
Saya pernah berbincang dengan para ibu tentang pengaruh media sosial ini dan ada di antara orang dewasa juga yang merasakan media sosial seperti Facebook dan Instagram memberi tekanan kepada orang dewasa sendiri terutamanya apabila melihat kehidupan orang lain yang dipaparkan. Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi orang dewasa juga dan mereka mengambil keputusan untuk ‘deactivate’ akaun mereka untuk beberapa ketika.
Keupayaan untuk mengawal diri seperti orang dewasa ini belum dimiliki sepenuhnya oleh anak remaja ditambah lagi mereka berada dalam fasa membina persahabatan. Rakan adalah segala-galanya bagi mereka. Mereka ingin turut serta (fit in) dan tidak mahu ketinggalan (fear of missing out – FOMO). ‘Deactive’ akaun media sosial sukar bagi mereka kerana ini bermakna mereka akan kehilangan rakan-rakan ini.
Anak remaja perempuan juga lebih terdedah kepada buli siber berbanding anak remaja lelaki.
Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memantau penggunaan media sosial oleh anak-anak remaja kerana tekanan ini akan memberi kesan kepada tingkah laku, pembelajaran, tidur dan ‘mood’ mereka.
Saya sering juga melihat ayah atau ibu yang berkongsi bergelak ketawa dengan anak remaja apabila melihat sesuatu hantaran (posting) di media sosial. Perbincangan dan interaksi berkisar media sosial dan kandungannya antara ibubapa dan anak-anak remaja adalah amat penting untuk mewujudkan hubungan yang rapat dan secara tidak langsung juga dapat memantau penggunaannya pada masa yang sama.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy