Anak Yang Sering Meminta-minta

Anak-anak sekarang hidup pada zaman di mana ‘sense of entitlement’ individu sangat tinggi. Dengan budaya ‘entitlement’ ini, jika anak mahukan sesuatu, dia perlu dapatkan serta merta dan tidak boleh tidak. Dengan budaya ‘entitlement’ ini juga, anak mempunyai harapan yang melampau tentang apa yang dia perlu ada dan perlu dapat daripada orang lain.

Jika orang lain dapat, saya juga perlu dapatkannya.
Jika orang lain ada, saya juga kena ada.

Ciri-ciri individu yang mempunyai ‘sense of entitlement’ yang tinggi antaranya adalah:

  • Mengharapkan ganjaran atau ‘rasuah’ apabila berkelakuan baik atau apabila memberikan pertolongan.
  • Jarang mahu membantu sebaliknya sentiasa mengharapkan bantuan orang lain.
  • Lebih memikirkan diri sendiri berbanding orang lain.
  • Menuding jari kepada orang lain setiap kali perancangan tidak seperti yang diharapkan.
  • Tidak dapat menghadapi kekecewaan dan kegagalan.
  • Perlu diupah jika mahukan dia berkelakuan baik apabila bersama kemana-mana.
  • Mengharapkan agar diselamatkan jika melakukan kesilapan.
  • Berbuat sesuka hati dan tidak mengikut peraturan dan batasan yang ditetapkan
  • Meminta itu, ini, lagi dan lagi.

anak meminta

Kredit Imej: Google

Budaya ‘entitlement’ ini dapat kita kurangkan dan hindari dengan menerapkan rasa bersyukur dalam diri kita dan anak-anak.

Ajarlah anak-anak untuk bersyukur (grateful) kepada Allah dengan apa yang dimiliki. Ibubapa perlu terlebih dahulu menjadi contoh mengamalkan sifat bersyukur ini kepada anak-anak. Jika ayah dan ibu sentiasa sibuk dari subuh hingga ke jauh malam dengan alasan ‘untuk memberi kesenangan’ kepada anak-anak sehingga anak diabaikan sedangkan semuanya sudah lebih dari cukup, maka anak akan belajar bahawa kebendaan itu tiada batasannya dan tidak pernah cukup. Anak akan belajar bahawa prioriti itu terletak pada nilai kebendaan.

Basahilah lidah kita dan anak-anak dengan ucapan Alhamdulillah apabila mendapat sesuatu yang diidamkan ataupun sesuatu yang tidak disangka-sangka. Secara psikologinya pengucapan itu melahirkan rasa kehambaan dan rasa cukup atas apa yang ada.

Elakkan dari menasihati anak agar berbuat kebaikan supaya kita akan dibalas dengan kebaikan juga. Sebaliknya nasihatilah anak agar berbuat kebaikan sebagai rasa bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah selama ini. Dengan ini walaupun sesuatu yang tidak diharapkan menimpa, kita tetap melihat ujian sebagai hikmah dan pengajaran. Ini akan mengelakkan kekecewaan yang berlebihan sebaliknya mendorong anak untuk terus berusaha.

Didiklah anak dengan budaya khidmat kepada ibubapa, khidmat kepada ahli keluarga, khidmat kepada guru, khidmat kepada orang tua, dan khidmat kepada yang memerlukan. Ini akan menyedarkan anak bahawa setiap kelebihan, keupayaan, kekuatan dan kemahiran yang dimiliki adalah untuk dimanfaatkan ke jalan kebaikan. Mudah-mudahan budaya khidmat ini akan melatih anak untuk tidak meminta-minta tanpa batasan sebaliknya akan juga memberi untuk kebaikan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Astro Prima – Pentingkah Ilmu Keibubapaan?

astroprima mingguan wanita

Rancangan Mingguan Wanita di ASTRO Prima semalam.
Topik yang dibincangkan oleh pengacara Nurul Syuhada dan Azzura bersama saya dan Amyra Rosli adalah ‘IBU MUDA.’

Soalan pertama yang ditanya oleh Azzura kepada saya adalah tentang hubungkait antara penderaan dan kurangnya ilmu keibubapaan.

Kebetulan pagi semalam saya membaca keluhan yang ditulis di FB sifu saya, Ibu Zarah, tentang anak kecil yang didera. Saya menghubungi Ibu bertanya kes manakah yang dimaksudkan Ibu kerana tidak ada apa-apa berita atau video tular yang melintas di newsfeed saya. Ibu Zarah mengirimkan kepada saya video dua orang bayi kembar yang didera. Kejadian berlaku di Jeddah, Arab Saudi.

Kedua-dua anak tersebut diketuk, dipukul, ditampar, digolek, diangkat dan dicampak ke lantai oleh ibu mereka sendiri. Yang anehnya, perbuatan kejam ibu itu divideokan sendiri oleh si ibu. Menurut maklumat yang ada setakat ini, si ibu memvideokan perbuatannya untuk hantar kepada ayah anak-anak tersebut, suaminya. Suami dan isteri itu dipercayai sedang menghadapi masalah keluarga.

Alhamdulillah kedua-dua bayi tersebut sekarang ini berada di dalam perlindungan dan penjagaan kerajaan Arab Saudi.


Kes penderaan kanak-kanak berlaku di mana-mana saja. Hanya kerana anak kecil terpaksa akur, terpaksa hormat, terpaksa pasrah, tidak boleh dan tidak dapat melawan, ada yang diperlakukan sesuka hati tidak mengikut adab dan akhlak yang sepatutnya.

Di Malaysia seramai 2000 orang kanak-kanak menjadi mangsa penderaan dan pengabaian setiap tahun. Jumlah ini semakin meningkat dari setahun ke setahun. Ada juga kes yang tidak dilaporkan.

Ilmu keibubapaan bukanlah hanya pengetahuan tentang bagaimana menjaga, mengasuh, mengurus dan mendidik anak sahaja. Proses keibubapaan melibatkan tiga pihak iaitu ayah, ibu dan anak-anak. Oleh itu ilmu keibubapaan juga melibatkan penjagaan, pengasuhan, pengurusan dan pendidikan ayah dan ibu.

Proses keibubapaan adalah ‘partnership’ atau kerjasama yang positif antara ketiga-tiga pihak.

Ilmu keibubapaan yang paling penting yang harus kita miliki adalah:

1) Skil untuk menguruskan perhubungan antara suami dan isteri.

Pepatah Melayu mengatakan “Sedangkan lidah lagi tergigit”. Krisis dan konflik adalah normal dalam perhubungan. Tetapi jika suami dan isteri tidak pandai menguruskan perhubungan, tidak tahu menjalankan tanggungjawab masing-masing dan tidak tahu dan tidak mahu memahami dan bertolak ansur, anak-anak juga akan terkesan dengan ketidakharmonian itu. Ramai kanak-kanak yang didera bukan kerana salah mereka, tetapi kerana ketidakharmonian itu.

Selain skil mengurus perhubungan suami isteri, antara skil keibubapaan yang perlu ada adalah

2) Skil mengurus diri dan emosi ibubapa dan juga penjaga.
3) Skil mengurus kewangan dan ekonomi keluarga.

Jika diteliti kes-kes penderaan, banyak yang berlaku kerana ibubapa tidak memiliki skil-skil ini. Anak didera kerana kekurangan ibubapa sendiri bukannya kerana faktor anak tersebut.

Kita tidak mungkin menjadi ibubapa yang sempurna. Anak-anak kita juga tidak sempurna. Tetapi kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk mewujudkan keharmonian dan kerjasama yang baik dan positif dalam keluarga.

Ayah mempunyai tanggungjawab dan haknya.
Ibu mempunyai tanggungjawab dan haknya
Anak-anak juga mempunyai tanggungjawab dan haknya.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

11 Skil ‘Parenting’ Penting Abad Ke-21

digital

Kredit Imej: Google

Semasa kita kecil dulu, jika ibubapa kita tidak mahu kita berkawan dengan kumpulan budak-budak yang tidak elok perangainya atau budak-budak yang dikhuatiri akan mempengaruhi kita dengan perangai yang tidak baik, ibubapa boleh menghalang kita dari keluar rumah. Ibubapa juga boleh menghalang kita dari bercampur dengan budak-budak kampung A, tidak pergi ke kawasan flet B atau tidak ke kawasan kedai C sebab di situlah ‘port’ atau tempat budak-budak tersebut berkumpul. Dengan melakukan begitu, kita tidak bercampur dengan anasir yang negatif tersebut dan kita terlindung dari menjadi seperti mereka. Itu usaha ibubapa kita suatu masa dulu untuk melindungi kita.

Itu dulu.

Anak-anak sekarang tidak ada masalah itu lagi. Ibubapa tidak perlu menghalang anak-anak dari keluar dan bercampur dengan A, B, atau C yang membawa pengaruh yang tidak elok itu. Kita tidak menghalang bukan kerana kelompok sebegitu sudah tidak wujud, tetapi kerana kelompok sebegitu sudah menyelinap masuk ke dalam rumah kita. Malah mereka masuk ke bilik anak-anak kita, berada di tempat tidur anak-anak kita, sehinggakan diajak ke mana-mana saja oleh anak-anak kita.

Kita menjemput mereka dengan sukarela ke dalam hidup anak kita apabila anak-anak kita diberi telefon pintar tanpa dipantau.

Inilah perbezaan dulu dan sekarang yang sangat ketara dan menuntut supaya kita mendidik anak mengikut zaman di mana dia dibesarkan.

Skil penting yang perlu ada pada ibubapa zaman sekarang adalah skil untuk mendidik dan membimbing anak tentang literasi internet dan media. Ini adalah skil keibubapaan yang penting untuk melindungi anak-anak kita daripada anasir yang tidak baik pada zaman mereka dibesarkan sekarang.

Ibubapa perlu cakna dan peka terlebih dahulu. Jika kita sendiri ‘buta IT’ bagaimana mungkin kita melindungi anak-anak kita yang kebanyakannya lebih ‘advanced’ daripada kita?


APA YANG PERLU DILAKUKAN?

  1. Pasang atau install ‘parental control’ pada peranti yang digunakan oleh anak-anak. Ia dapat menyekat ataupun membataskan pendedahan anak-anak kepada konten yang tidak elok di internet. Apabila ditanya, masih ramai ibubapa yang tidak tahu apakah ‘parental control’ dan tidak tahu pun wujudnya ‘parental control’ untuk melindungi anak-anak ketika online. Anda perlu tahu. Anda boleh ‘google’ untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
  2. Terangkan kepada anak-anak bahawa tidak semua yang mereka baca online adalah betul ataupun baik. Ada kandungan yang bunyinya baik dan mungkin berunsur keagamaan tetapi nilai dan kandungannya tidak betul. Malah ada yang diputar belitkan. Ibubapa sendiri perlu berilmu dan berfikiran kritis supaya dapat membimbing anak untuk berfikiran kritis juga dalam menilai sesuatu maklumat di internet.
  3. Pantau penggunaan enjin carian oleh anak-anak. Kanak-kanak sifatnya sentiasa ingin tahu atau ‘curious’. Sifat ingin tahu ini selalunya akan membawa mereka ke ‘google’.  Pak Cik Google akan memberi semua maklumat yang ada. Mungkin ada maklumat yang tidak bersesuaian dengan usia anak, tidak bersesuaian dengan tahap pemikiran anak dan tidak bersesuaian dengan nilai yang dipegang oleh kita. Oleh itu pantaulah ‘history’ pencarian anak-anak ketika menggunakan enjian carian.  Jika tidak tahu caranya, ibubapa sendiri boleh ‘google’ untuk mengetahui bagaimana untuk memantau ‘history’ carian.
  4. Ingatkan anak-anak tentang iklan-iklan online yang boleh membawa dari satu perkara yang dilihat baik kepada satu perkara yang tidak elok. Anak-anak akan leka dan mungkin seronok ‘click’ dari satu iklan ke satu iklan. Ramai kanak-kanak yang terjebak dengan laman sesawang berunsur keganasan dan juga pornografi secara tidak sengaja.
  5. Ajar anak-anak apa yahg perlu dilakukan jika terlihat imej yang tidak senonoh melalui ‘pop up’ yang muncul di skrin. ‘Pop Up’ sifatnya sangat mengundang bagi kanak-kanak. Mereka akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Pop sana, pop sini, akhirnya terjebak dengan laman yang tidak elok.
  6. Ajar anak untuk lebih terbuka memberitahu sekiranya terlihat perkara yang tidak elok atau tidak senonoh di internet. Jangan menjadikan perbincangan perkara yang tidak elok itu sebagai sesuatu yang taboo. Jika kita tidak bercakap dan membimbing anak tentangnya, anak akan mencari sumber yang lain untuk bertanya. Sumber yang lain itu belum tentu memberikan maklumat yang betul dan mengikut nilai yang sepatutnya.
  7. Pesan kepada anak supaya tidak memberi maklumat peribadi kepada sesiapa saja di internet. Maklumat tentang tempat tinggal, sekolah, umur dan sebagainya tidak seharusnya dikongsi dengan sesiapa yang dijumpai online. Ramai pemangsa yang menunggu-nunggu dan mencari mangsa dari kalangan kanak-kanak yang mereka tahu tidak dipantau oleh ibubapa.
  8. Bertegas dengan anak supaya tidak mempercayai individu yang baru dikenali di internet. Sesiapa saja boleh menyamar dan tidak memberi maklumat yang benar tentang diri mereka.
  9. Ajar anak untuk menggunakan nama atau identiti pada ‘username’ yang tidak menggambarkan maklumat yang sebenar.
  10. Pesan kepada anak untuk menolak ‘friend request’ daripada individu yang tidak dikenali. Ibubapa juga perlu berpesan kepada diri sendiri tentang hal ini. Jangan terlampau ghairah untuk mengumpul beribu-ribu ‘friends’ sehinggakan kita sendiri tidak kenal dan tidak tahu siapa yang melihat gambar anak-anak yang kita share. Kita sendiri tidak tahu siapa yang mengumpul maklumat yang kita share di media sosial kita.  Tanya diri sendiri, kenalkah kita semua ‘friends’ kita di media sosial.  Jika kita sendiri tidak sensitif tentang privasi, bagaimana kita hendak membimbing anak-anak kita?
  11. Ibubapa juga perlu tahu tentang istilah ‘DIGITAL FOOTPRINTS’.  Ini adalah istilah yang tidak perlu diketahui oleh ibubapa kita dulu kerana dunia dulu berbeza. Footprints maksudnya jejak-jejak.  Apa saja gambar, maklumat, dan cerita yang kita dan anak kita muatnaik di internet akan terus kekal di internet sampai bila-bila. Ia menjadi jejak-jejak yang kita tinggalkan dan boleh dicari semula oleh sesiapa saja satu hari nanti.  Satu hari nanti maklumat atau gambar yang dimuatnaik mungkin akan mengaibkan anak-anak kita atau membuka pekung di dada keluarga kita.  Pesan kepada diri kita dan anak-anak kita supaya berhati-hatilah dengan ‘digital footprints’ yang kita tinggalkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apabila Kita Memilih Untuk Berkahwin

kahwin

Kredit Imej: BHarian

Apabila kita memilih untuk berkahwin, kita perlu tetapkan minda dari awal yang kita akan mempunyai anak atau anak-anak.

Insya Allah.

Mungkin rezeki kita akan mempunyai anak kurang dari setahun selepas bernikah. ‘Honeymoon’ berdua pun mungkin tidak sempat, sudah muncul ‘orang ketiga’ iaitu anak.
Oleh itu persediaan untuk menjadi suami dan isteri seharusnya juga disertai dengan persediaan untuk belajar menjadi ayah dan ibu yang bertanggungjawab ke atas anak-anak kelak.

Menjadi ibubapa tidak perlu belajar.
Menjadi ibubapa yang bertanggungjawab perlukan keazaman dan pendidikan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Bengkel Kerangka Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak (4-6 Julai 2018)

upsi

Bersama-sama dengan kumpulan pakar dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) dari pelbagai agensi untuk membincangkan penambahbaikan bagi Kurikulum PAKK Malaysia.
Pendidikan adalah proses yang berpanjangan dan berterusan melibatkan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial, bukan setakat pandai membaca dan mengira sahaja.
Jika kita ingin melihat proses itu membuahkan hasil yang baik bagi anak-anak kita, ia mestilah melibatkan kerjasama antara Kerajaaan, TASKA/Tadika/Sekolah, pendidik, ibubapa dan juga masyarakat umum.
Semua pihak mesti memainkan peranan masing-masing, bukan hanya mengharapkan keajaiban dari satu pihak sahaja.

Doakan kerangka yang dibincangkan dan akan dibentangkan oleh pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kepada YB Menteri Pendidikan ini akan diterima baik.
Demi anak-anak kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect