TIADA Istilah Anak Nakal

pclogo

Adalah salah untuk melabelkan anak kecil sebagai ‘anak nakal’.
Kita perlu lebih spesifik dalam memahami kerenah anak kecil jika kita ingin mencari penyelesaian.

Tiada ‘anak nakal’.  Yang ada hanyalah:

Anak yang meragam bila tidak dibelikan mainan.
Anak yang cerewet makan – ‘picky eater’
Anak yang melompat di atas sofa rumah saudara-mara
Anak yang asyik bermain sehingga tidak mahu pulang
Anak yang tidak boleh lekang dengan gajet
Anak yang tidak minat membaca
Anak yang sukar tidur
Anak yang suka conteng dinding
Anak yang sepahkan mainan
Anak yang sering menggigit dan memukul
Anak yang menangis bila bangun pagi
Anak yang bercakap bohong
Anak yang menggunakan bahasa kasar
Anak yang suka menjerit
Anak yang tidak siapkan homework
Anak yang tidak mahu mandi
dan bermacam-macam lagi kerenah anak yang lebih spesifik.

Apabila ibubapa dan orang dewasa ‘generalise’ dan melabelkan anak kecil sebagai ‘anak nakal’, kita tidak akan dapat mencari punca kenapa anak kecil berkelakuan sedemikian.
Apabila ibubapa tiada empati dan tidak cuba untuk memahami, kelakuan itu akhirnya tidak akan dibendung dan masalah akan lebih merebak.

Apakah kesan terhadap anak itu jika ibubapa tidak memahami tetapi sering menyebut anak itu sebagai ‘anak nakal’?

Fikirkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

7 Perkara Penting Dalam “Mendisiplinkan” Anak

pclogoPerkataan ‘disiplin’ sering membawa konotasi yang negatif bukan sahaja kepada ibubapa malah kepada anak-anak juga. Ada ibubapa yang takut hendak mengaku bahawa mereka mendisiplinkan anak. Ibubapa ini bimbang orang ramai beranggapan bahawa mereka mendera anak-anak mereka. Ada pula anak-anak yang fobia dengan perkataan disiplin sebab apa yang mereka faham, disiplin itu adalah hukuman.

Mendisiplinkan anak-anak sepatutnya :

  1. merapatkan hubungan ibubapa dengan anak. Ibubapaperlu memastikan anak faham bahawa ibubapa mendisiplinkan perbuatan anak dan bukan kerana kita membenci anak tersebut. Disiplin mewujudkan ‘connection’ dan bukannya ‘disconnection’ dengan anak – FOKUS PADA PERILAKU.
  2. mewujudkan rasa hormat anak dan bukannya perasaan memberontak. Ketika mendisiplinkan anak, kita memberikan peluang anak untuk bersuara namun dengan beradab – DENGAR PERSPEKTIF ANAK.
  3. melahirkan dan mengekalkan hubungan yang positif antara ibubapa dengan anak. Proses disiplin perlu berjalan dengan penuh kasih-sayang seperti dengan pujian dan adakalanya ganjaran – POSITIFKAN.
  4. fokus proses disiplin seharusnya berkaitan dengan pembaikan diri ibubapa juga, bukan hanya diri anak. Tingkah laku anak seringkali merupakan cerminan ibubapa sendiri – MUHASABAH DIRI KITA.
  5. mengekalkan air muka ibubapa dan air muka anak. Pastikan kita lebih sensitif kepada persekitaran dan tidak memarahi atau menengking anak di khalayak ramai – JAGA AIR MUKA.
  6. peluang untuk membina skil penyelesaian masalah bagi ibubapa dan anak. Cari solusi agar kesilapan tidak berulang – FOKUS CARI SOLUSI.
  7. disiplinkan anak dengan sikap yang tegas, perlaksanaan yang konsisten, dan jiwa yang penuh empati – DIA TETAP ANAK KITA 🙂
Oleh itu jika kita fahami makna disiplin sebenarnya, ia bukanlah sesuatu yang negatif.
Tukar persepsi kita. Anggaplah ia satu keperluan bukan sahaja untuk membentuk akhlak anak-anak malah yang lebih penting lagi dapat mengeratkan hubungan antara ibubapa dan anak. Ia juga dapat membina skil penyelesaian masalah. Insya Allah.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

PEDOFILIA: Perlukah Kita Kisah?

danger internet

Pedofilia adalah seorang dewasa atau remaja yang mempunyai kecenderungan dan keinginan seksual terhadap kanak-kanak. Pedofilia telah lama terlepas bebas di negara kita.

Ingatkah lagi pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pada tahun 2007 dulu? Kegagalan pihak berkuasa menangkap pembunuh adik Nurin sejak 8 tahun lalu membuktikan bahawa sekurang-kurangnya seorang pedofilia tegar masih bebas. Pedofilia dalam kes ini memperolehi kepuasan dengan mendera anak kecil secara seksual dengan kejamnya. Pedofilia yang masih bebas itu mungkin pernah mendukung anak kecil kita yang dipuji comel, dia mungkin adalah ‘friend’ Facebook kita, dia mungkin seorang ‘jaga’ di apartment kita, dia mungkin juga peniaga kantin sekolah anak kita dan dia sudah pastinya saudara mara salah seorang daripada kita. Pelbagai kemungkinan.

Dua hari lepas, kita digemparkan dengan berita tertangkapnya seorang pedofilia yang merupakan pelajar Malaysia di universiti terkemuka London. Pelajar ini menyimpan, menghasilkan dan mengedar gambar dan video pornografi kelas A yang hakikatnya adalah penderaan seksual kanak-kanak yang ekstrim. Berapa ramai lagikah mereka ini di Malaysia?

Pada awal tahun 2015, ibubapa di UK dikejutkan dengan penemuan website pedofilia berpengkalan di Rusia yang mengandungi 41 juta keping gambar kanak-kanak. Gambar-gambar tersebut disalin dari akaun media sosial milik peribadi/keluarga mangsa dan dimuatnaik ke website tersebut yang mempunyai beratus-ratus ribu pengunjung dari seluruh dunia. Petikan dari laporan, “Most of the images are accompanied by inappropriate comments from users across the world, which show they are being used for sexual gratification.” (Kebanyakan gambar-gambar tersebut disertai dengan komen-komen yang tidak sepatutnya dari serata dunia, yang menunjukkan bahawa gambar-gambar ini digunakan untuk kepuasan seksual).
Bayangkan jika gambar anak-anak kecil kita juga dimuatnaik ke situ.

Kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia adalah yang belum baligh (prepubescent), lelaki dan perempuan. Di Malaysia, pada awal tahun ini, seorang bayi berusia 7 bulan dirogol suami pengasuh di Kepong. Ini bukanlah satu-satunya kes di Malaysia yang melibatkan bayi. Ada lagi yang telah dilaporkan. Beginilah betapa jahat dan sakitnya seorang pedofilia. Adakah kita tidak perlu kisah?

BAGAIMANAKAH IBUBAPA BOLEH MELINDUNGI ANAK-ANAK DARI PEDOFILIA?

  1. Sentiasa ‘connect’ dengan anak-anak dan bina kepercayaan supaya kita menjadi tempat bercerita dan mengadu.
  2. Ingatkan anak-anak kecil untuk tidak menyimpan sebarang rahsia antara anak dan orang dewasa yang lain. Pedofilia selalunya memujuk anak untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka.
  3. Hentikan sifat malu dan segan untuk bercakap soal seksual dengan anak-anak. Setiap hari anak-anak kita terdedah kepada unsur seksual di media, internet, iklan, sekolah dan paling menghampakan, di muka hadapan suratkhabar utama. Rancangan TV kanak-kanak dan siri kartun juga ada yang mengandungi unsur seksual dan menggunakan bahasa yang berunsul seksual. Kita mesti bersedia dan bersifat terbuka untuk mendidik anak-anak tentang isu seksual apabila perlu. Berbicaralah mengikut kesesuaian umur anak dengan bahasa yang difahami anak.
  4. Sentiasa peka dengan gerak tubuh anak-anak yang mungkin mempamirkan sebarang ketidak-selesaan atau kegelisahan. Ambil tahulah.
  5. Berhati-hati dengan paparan gambar dan video anak-anak di media sosial dan internet secara umumnya. Kenalkah kita siapa ‘friend’ dan ‘follower’ kita? Gambar-gambar anak kita mungkin di antara 41 juta gambar di website pedofilia yang disebut di atas. Sekarang ini mungkin ada pedofilia yang sedang berfantasi seksual melihat gambar anak-anak kita.
  6. Ajar anak kecil tentang “appropriate and inappropriate touch”. Pesan kepada anak-anak lelaki dan perempuan, bahawa tubuh-badan mereka adalah milik mereka dan tidak boleh disentuh oleh orang lain termasuklah saudara-mara terdekat ataupun mereka yang berada di rumah pengasuh/nurseri/tadika.
  7. Kenalpasti urusan-urusan yang membabitkan keadaan berisiko kepada anak-anak seperti membersihkan diri selepas ke tandas, bersalin pakaian, mandi dan sebagainya dan selalulah bertanyakan mereka dalam perbualan tentang siapakah yang terlibat. Contohnya, kalau tiba-tiba anak kecil bercerita bahawa pada hari ini anak penjaga yang membersihkan dirinya selepas ke tandas, atau ada orang mengambil gambar mereka mandi, anda perlu bertindak segera.
  8. Ajar anak-anak teknik YELL RUN AND TELL (JERIT, LARI DAN CERITA) sekiranya mereka disentuh oleh sesiapa yang membuatkan mereka rasa tidak selesa seperti yang telah kita tunjukkan (di atas).
  9. Jangan biarkan anak kecil ke tandas awam bersendirian. Iringilah anak dan tunggu sehingga anak selesai ‘berurusan’ di tandas. Kiranya kita perlu ke tandas dan anak kita berseorangan dengan kita, apa yang boleh dilakukan adalah mencari tandas awam yang mempunyai banyak unit tandas dan suruh anak kita masuk ke dalam sebuah unit tandas. Pesan kepada anak supaya terus berada di dalam unit tandas mereka yang berkunci, sehinggalah kita mengetuk dan memanggil.
  10. Pasanglah ‘parental control software’ dan perisian saringan di komputer yang digunakan oleh anak-anak. Bersembanglah dengan anak-anak tentang bahaya ‘chat’ dengan sesiapa sahaja yang dikenali di internet. Pedofilia sentiasa mencari mangsa dengan merayau-rayau di internet. Mereka pandai memujuk dan bermanis kata. Mereka juga menggunakan identiti palsu supaya mudah dipercayai oleh kanak-kanak.
  11. Adakan peraturan yang mewajibkan anak-anak menggunakan komputer hanya di ruang keluarga/umum di dalam rumah. Elakkan dari membenarkan anak-anak menyimpan dan menggunakan komputer di dalam bilik tidur mereka kerana sukar untuk dipantau. Ini membuka peluang untuk pedofilia ‘masuk jarum’ kerana mereka tahu anak kita tidak diawasi.
  12. Elakkan memberikan telefon pintar dengan keupayaan ber’chat’ kepada anak-anak kecil.
  13. Pastikan kita kenal siapa kawan-kawan rapat anak-anak kita, begitu juga guru-guru, jurulatih dan semua remaja dan orang dewasa yang terlibat dengan anak-anak kita.
  14. Jangan biarkan anak kecil ke mana-mana berseorangan walaupun destinasi yang berdekatan seperti kedai, pasar malam dan sebagainya. Pedofilia mungkin telah lama memerhatikan rutin dan gerak geri anak kita. Mereka mungkin telah pun merancang sesuatu dan hanya menunggu masa untuk bertindak jahat.
  15. Bekerjasama dengan pihak nurseri/pra sekolah/sekolah anak untuk melindungi anak-anak dari pedofilia.

 

BAGAIMANA PIHAK NURSERI/PRA-SEKOLAH/SEKOLAH BOLEH MELINDUNGI KANAK-KANAK DARI PEDOFILIA?

  1. Tidak memaparkan gambar pelajar di akaun media sosial peribadi guru dan kakitangan. Yakinkah kita ‘friend’ guru-guru bukannya pedofilia? Jika ada ibubapa yg menjadi ‘friend’ guru, biarlah hanya gambar anak ibubapa itu sahaja yang dipaparkan jika dibenarkan, bukannya seluruh kelas.
  2. Paparan gambar di website dan media sosial rasmi pihak sekolah perlu mendapat persetujuan (consent) ibubapa terlebih dahulu.
  3. Mengawal pengambilan gambar dan video pelajar oleh guru dan kakitangan sekolah. Di sesetengah negara, guru tidak dibenarkan membawa kamera, malah telefon bimbit guru yang berkamera ditinggalkan di pejabat sepanjang waktu persekolahan untuk memastikan gambar dan video tidak dirakam sewenang-wenangnya bukan kerana urusan rasmi.
  4. Banyak negara mempunyai sistem daftar-rujukan yang membolehkan sekolah dan organisasi yang terlibat dengan kanak-kanak memeriksa latar belakang mereka yang bekerja dengan kanak-kanak. Sistem ini diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak.
  5. Memantau kiranya ada kakitangan yang gemar berseloroh dengan unsur yang tidak appropriate/lucah. Ini adalah salah satu indikasi gangguan jiwa.
  6. Memastikan pintu kelas mempunyai bahagian berkaca untuk melihat ke dalam kelas.
  7. Tiada urusan di lakukan antara guru dan kanak-kanak di dalam bilik yang tertutup. Pintu mesti sentiasa dibuka.
  8. ‘Educate’ guru, ibubapa dan pelajar tentang pedofilia bagi menunjukkan keseriusan masalah tersebut.

Prihatinlah wahai ibubapa, guru-guru dan penggubal polisi. Ambil tahulah.
Sejauh mana sesuatu masyarakat itu melindungi keselamatan anak-anak melalui kesedaran, polisi dan undang-undang, membuktikan sejauh mana masyarakat tersebut menghargai kanak-kanak.

Marilah juga kita sama-sama ‘connect’ dengan anak-anak remaja supaya mereka tidak menjadi seorang pedofilia. Semoga Allah melindungi anak-anak kita yang merupakan amanah dari Allah SWT.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

6 Cara Mengatasi Masalah Anak Tidak Suka Membaca

Saya lihat ramai yang teruja dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung sekarang. Alhamdulillah.

books.JPG

Dulu kita selalu dengar orang berkata “Membaca jambatan ilmu”. Lama dah tak dengar perumpamaan itu disebut. Membaca adalah gerbang maklumat dan jambatan ilmu. Kadang-kadang bila kita dengar atau baca pendapat seseorang, kita boleh tahu sejauh mana individu itu membaca kerana pengetahuan individu yang membaca selalunya adalah lebih luas dan terbuka. Anak-anak yang banyak membaca juga dapat memberi pendapat dengan baik kerana selain ilmu, membaca juga dapat membina perkembangan bahasa dan pertuturan anak-anak. Jika anak itu bukan seorang yang banyak bercakap atau introvert, dia akan dapat meluahkan pemikiran dan kreativiti melalui penulisan dengan lebih baik.

Fokus kita sebagai ibubapa bukan hanya membantu supaya anak-anak pandai membaca melalui kaedah apa pun yang kita pilih, tetapi juga supaya anak-anak suka membaca setelah pandai membaca. Salah satu faedahnya yang saya lihat, membaca menjadi salah satu aktiviti yang boleh lakukan apabila ada masa terluang, tak kisahlah di rumah atau di dalam perjalanan atau ketika menunggu, di taman dan mana-mana saja. Oleh itu ruang untuk ‘boring’ itu kurang. Ruang untuk terlampau bergantung kepada teknologi dan televisyen untuk hiburan juga kurang. Ruang untuk berpeleseran juga kurang.

KENAPA ANAK TIDAK SUKA MEMBACA?

1) Tiada Contoh Teladan.
Anak-anak akan mengikut apa saja yang dibuat oleh ibubapa.

2) Perbandingan
Pada saya ini adalah halangan yang utama. Mungkin ibubapa sangkakan anak akan bersemangat jika dibanding-bandingkan, ibubapa berniat baik. Walau bagaimanapun, perlu diingat setiap anak adalah berbeza. Ada anak yang akan patah semangat bila usaha kecil mereka tidak dipedulikan. Ada anak ‘late bloomers’. Perkembangan mereka agak perlahan berbanding adik beradik atau rakan yang lain.

3) Habuan/Hukuman
Jangan menjadikan membaca sebagai batu loncatan untuk anak-anak mendapatkan habuan. Membaca sepatutnya menjadi aktiviti yang sangat penting dengan sendirinya.

Contohnya apabila anak ingin menonton televisyen, ibubapa mengugut, “Jika tidak membaca buku, tidak boleh menonton televisyen”. Dalam konteks ini, membaca tidak ditanam sebagai satu aktiviti yang penting dengan sendirinya. Membaca akan dilihat sebagai satu batu loncatan untuk mendapat habuan. Lebih buruk lagi dalam konteks ini jika anak-anak melihat membaca sebagai satu hukuman.

4) Leteran
Jikalau ibubapa asyik berleter supaya anak membaca, kesannya belum tentu positif kepada anak-anak.

5) Kritikan
Jikalau ibubapa rasakan yang anak-anak boleh berusaha dengan lebih baik lagi, cuba fahami kenapa anak tidak berusaha? Mengkritik anak dengan kata-kata yang melemahkan selalunya tidak membuahkan hasil yang positif. Kritikan tanpa empati hanya membuatkan anak tertekan.

6) Melabel
Menggunakan perkataan negatif seperti malas atau bodoh tidak akan memotivasikan anak untuk rajin atau suka membaca. Bukan itu sahaja, tindakan itu juga akan memudaratkan hubungan antara ibubapa dan anak.

KAEDAH UNTUK MEMUPUK MINAT:

1) Kelilingi Anak-anak Dengan Buku Dari Awal Lagi

Biasakan anak dengan perpustakaan, bawa anak ke kedai-kedai buku, kunjungi pameran dan ekspo buku. Galakkan anak-anak bertukar-tukar buku dan meminjam buku dari kawan-kawan. Biar ada keseimbangan antara pembelian buku dan ‘toys’ untuk anak-anak. Biar anak-anak memilih buku mengikut minat mereka. Mereka lebih tahu apa yang akan buatkan mereka ‘enjoy’ membaca. Begitu juga majalah yang bersesuaian dengan umur dan minat mereka. Memberi elaun buku kepada anak-anak meningkat remaja/remaja juga dapat membantu mereka menjadikan buku sebagai prioriti dalam hidup kerana itu ‘value’ yang cuba kita tanamkan dalam diri mereka.

2) Jadikan Pengalaman Membaca Itu Selesa

Bagi anak-anak, ruang yang paling selesa adalah di atas riba ibubapa ataupun melingkar di atas katil bersama ibubapa atau di mana-mana saja asalkan bersama ibubapa. Selain itu, adanya ruang khas untuk membaca di dalam rumah boleh menjadikan anak-anak lebih bersemangat untuk membaca. Jadikan ruang tersebut sentiasa ‘memanggil-manggil’ mereka untuk datang. Walau bagaimanapun, ini bukanlah satu keperluan. Yang pentingnya, biar anak-anak bebas dengan pilihan ruang mereka sendiri asalkan selesa buat mereka. Jika mereka tidak selesa, aktiviti itu hanyalah membebankan mereka. Sebaiknya buku-buku disusun kemas di atas rak yang sesuai dengan ketinggian anak-anak. Disiplinkan anak-anak supaya menghargai buku dengan menjaga, menyusun dan meletakkan buku di tempat yang disediakan. Ruang yang kemas dan teratur membuatkan diri lebih tenang untuk menghayati apa yang dibaca.

3) Jadikan Pengalaman Membaca Itu Istimewa

Sesuatu aktiviti itu akan menjadi istimewa untuk anak-anak sekiranya mendapat sentuhan dan sokongan daripada ibubapa. Itulah nilai yang paling bermakna dalam diri seorang anak. Jadikan aktiviti membaca sebagai aktiviti untuk ‘connect’ dengan anak-anak. Jika membaca disandarkan pada emosi yang positif ini, insya Allah anak-anak akan minat untuk membaca. Ketika anak-anak belum boleh membaca dengan sendiri, bacakan buku untuk mereka. Pilih masa yang sesuai untuk bacakan buku buat mereka. Jadikan ‘shared reading’ satu aktiviti wajib setiap hari. Anak-anak akan sentiasa ‘look forward’. Untuk ‘independent readers’, bacakan juga untuk mereka sekali sekala dan galakkan mereka bercerita tentang apa yang telah mereka baca. Berbincang dengan mereka tentang isi kandungan buku. Perhatian yang kita berikan kepada anak-anak walau untuk usaha yang kecil, akan menaikkan semangat mereka untuk terus berusaha dan kekalkan minat untuk terus membaca.

4) Hidupkan Aktiviti Membaca

Untuk menghargai aktiviti membaca, anak-anak perlu didedahkan kepada kehidupan seharian yang penuh dengan teks untuk dibaca. Anak-anak perlu kaitkan membaca dengan kehidupan mereka. Membaca tidak boleh menjadi aktiviti yang ‘isolated’, iaitu tiada perkaitan. Dari umur 1-2 tahun lagi, dedahkan mereka kepada ‘environmental prints’.

Contoh ‘environmental prints’ adalah papan tanda, label pada kotak,tin, botol, tanda isyarat, papan iklan, banner, flyers , instructions, manual, menu dan sebagainya. Ini semua adalah bahan-bahan percuma yang banyak membantu proses awal membaca. Apabila anak-anak sedar yang semua ‘prints’ ini memberi makna (meanings) dalam kehidupan, mereka akan teruja dan ‘curious’ untuk membaca. Ambillah kesempatan ini, terutamanya ketika memandu bersama anak-anak, membeli belah di pasaraya, atau berkunjung ke taman, di sekeliling penuh dengan environmental prints.

‘Be creative’, adakan projek khas dengan environmental prints contohnya seperti ‘scrapbook’, ataupun adakan ‘treasure hunt’ dengan anak-anak berpandukan kepada ‘environmental prints’.

5) Add Some Fun

‘Reading aloud’ kepada anak-anak sangat digalakkan. Anak saya membaca dengan sendirinya ketika berusia 2 tahun kerana setiap hari saya pastikan ada sesi ‘read aloud’ bersamanya. Dia tidak dibantu oleh sebarang kaedah yang ada di pasaran. Ketika ‘read aloud’, gunalah intonasi dan memek muka atau ekspresi dengan sepenuh hati supaya anak dapat ‘relate’ dengan cerita. Jangan lupa juga ‘sound effect’. Jangan terkejut jika satu hari anak anda akan mengulangi bacaan anda dengan menggunakan intonasi dan ekspresi yang sama. Inilah yang berlaku antara saya dan anak saya.

‘Personalise’ kisah yang dibaca dengan menggantikan nama watak dan tempat dengan nama anak anda dan tempat yang ‘familiar’ bagi dia. Dia pasti akan tersenyum gembira insya Allah. Tanya pendapat anak tentang jalan cerita yang lebih sesuai menurut pendapat anak, begitu juga dengan ending, biar anak memikirkan ending yang berbeza untuk kisah yang dibaca. Apabila anak-anak diizinkan untuk menggunakan kreativiti sendiri, buku dan membaca akan lebih menarik perhatian dia. Sebaliknya jika membaca itu hambar, tiada yang akan berminat.

6) Menulis Buku Sendiri

Yakinkan anak-anak yang mereka juga boleh menulis. Galakkan anak-anak menulis dengan disertakan illustrasi dan sebagainya mengikut kreativiti dan imajinasi anak tersebut. Jika mereka lebih cenderung menggunakan komputer, sediakan peralatan untuk anak-anak seperti software dan printer. Jika berkemampuan, boleh dicetak hasil penulisan anak itu dan diedar kepada saudara mara dan rakan. Jika anak masih belum pandai menulis, lukisan juga dapat menyampaikan cerita yang tersendiri. Biar anak mellukis dan beri peluang untuk anak bercerita melalui lukisan. Ini adalah usaha kecil yang apabila digalakkan dan dipuji akan membuahkan hasil yang lebih besar insya Allah.

Banyak lagi sebenarnya sebab kenapa anak tidak suka membaca dan banyak lagi yang boleh kita praktikkan dengan anak-anak supaya mereka minat membaca. Walau bagaimanapun dari pengalaman saya sendiri, ibubapa adalah role model yang paling penting kepada anak-anak. Sukar untuk anak minat membaca jika mereka jarang-jarang melihat ibubapa membaca.

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Anak Takut Buat Silap. Wajarkah?

Kredit Imej: Google

Pernahkah kita terfikir kenapa kanak-kanak begitu mahir menggunakan gajet seperti telefon pintar dan tablet walaupun tidak pernah diajar?

Menurut kajian yang dijalankan di University of California, Berkeley untuk membandingkan penggunaan gajet antara kanak-kanak 4/5 tahun dan pelajar universiti, kemahiran anak-anak kecil ini didapati berpunca dari kecenderungan semulajadi anak-anak kecil untuk menyelesaikan masalah. Penggunaan gajet memerlukan ‘trial and error’. Anak-anak tidak takut untuk menekan ‘icons’ dan mencuba pelbagai strategi untuk membuatkan gajet berfungsi. Anak-anak kecil juga lebih kreatif dalam penyelesaian masalah. Inilah yang membezakan anak kecil dan pelajar-pelajar universiti dalam kajian tersebut.

Jika beginilah sifat semulajadi anak-anak kecil, apakah yang boleh menyebabkan anak-anak ini hilang kecenderungan semulajadi itu dan menjadi takut melakukan kesilapan?
Apabila kanak-kanak takut melakukan kesilapan, pemikiran dan pembelajaran mereka tidak dioptimumkan. Mereka akan terdorong untuk sentiasa berada di zon selamat dan mengelakkan diri dari eksplorasi pemikiran dan pembelajaran.

Sebab-sebabnya:

1) Budaya kesempurnaan (perfectionism)

Apabila kanak-kanak semakin membesar, mereka semakin menyedari bahawa melakukan kesilapan sering dianggap sebagai satu kekurangan dan lebih buruk lagi sebagai satu ‘kebodohan’. Kanak-kanak kian takut melakukan kesilapan apabila ibubapa dan guru kecewa dan marah apabila mereka melakukan kesilapan. Kiranya ini berlaku, mereka akan mengaitkan kesilapan dengan ketakutan dan kegagalan.

2) Harapan ibubapa.

Memang menjadi lumrah untuk semua ibubapa mempunyai harapan dan impian terhadap anak-anak. Walau bagaimanapun, harapan yang tidak bersesuaian dengan usia dan perkembangan anak memberikan tekanan yang besar terhadap anak. Kanak-kanak sentiasa inginkan perhatian ibubapa. Harapan ibubapa yang tidak dapat ditunaikan menyedihkan mereka dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap keyakinan diri seorang anak. Rendahnya keyakinan diri menyebabkan anak takut untuk keluar dari zon selamat. Ada juga ibubapa yang melakukan semua perkara untuk anak-anak kerana tidak percayakan anak dan tidak mahu mereka melakukan kesilapan. Ini memberi implikasi yang buruk terhadap persepsi anak-anak berkaitan ‘kesilapan’.

3) Salah faham.

Semua kanak- kanak memandang tinggi terhadap ibubapa mereka. Untuk memotivasikan anak-anak, ada ibubapa yang hanya menceritakan tentang kepandaian dan kejayaan mereka kepada anak-anak. Ibubapa ini tidak pernah menyebut tentang kesilapan yang telah mereka lakukan sebagai manusia biasa.

Apabila ini kaedah motivasi yang kita pilih, anak-anak takut untuk mencuba kerana bimbang tidak berjaya seperti ibubapa yang dianggap hebat dan sempurna. Ini sudah cukup untuk membuatkan mereka takut melakukan kesilapan.Ceritakanlah juga tentang kesilapan dan kegagalan kita, emosi kita ketika itu dan bagaimana cara kita mengatasinya.

4) Definisi kejayaan.

“Papa dan mama mahu anak-anak papa dan mama berjaya”. Itulah kata-kata semangat yang sering kita sebut.

Jikalau definisi berjaya yang dimaksudkan ibubapa adalah mendapat nombor 1 dan mendapat semua A dalam peperiksaan, adakah anak-anak gagal jika mereka tidak dapat menepati definisi kejayaan itu? Adakah kita akan menilai usaha-usaha anak atau hanya hasilnya? Jelaskan maksud kejayaan kepada anak-anak. Jelaskan jika mereka belajar dari kesilapan, itu juga dianggap sebagai satu kejayaan. Sebagai seorang Muslim, jelaskan juga jika kesilapan yang anak lakukan akhirnya boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT, itu juga satu kejayaan.

Oleh itu biarlah anak-anak mencuba dan melakukan eksplorasi. Bimbinglah mereka dan berilah semangat kepada mereka. Pantaulah supaya mereka berada di dalam batas yang sepatutnya selagi tidak membantutkan perkembangan pemikiran dan pembelajaran mereka.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

How Many Right Things Did Your Child Do Today? List Them Down.

How many right things did your child do today?  List them down.

child attention


Children are programmed to:

  1. seek parents’ attention and
  2. please parents.

It is instinctive.

When parents give attention to the right things that children do, children are more likely to please parents with the right things and other positive behaviours.

When parents give attention only to the mistakes that children do, negative attention is better than no attention at all. Negative behaviours are likely to intensify.

Children need to know that they are capable of behaving well and do the right things that please you.

Pay attention to them, catch them being good and praise them when their behaviour pleases you.

(Applicable to teachers too)

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Tiga Sebab Utama Menjadikan Anak-anak Sekarang Bermasalah

tantrum

1) Getting Too Much

Anak-anak dimewahkan dengan material yang berlebihan walaupun tidak perlu. Ini bukan hanya masalah orang kaya dan berada. Ramai parents yang bekerja keras siang malam untuk menyediakan keperluan dan kehendak anak-anak masani. Anak tidak akan menghargai material yang berlebihan. Apabila anak tidak menghargai harta benda sendiri, dia tidak akan menghargai harta benda orang lain kerana assume orang lain juga sepertinya. Dengan tidak menghargai harta benda orang lain, dia juga tidak menghormati orang lain dan tidak dapat ‘relate’ dengan permasalahan orang lain – tiada empathy.

Anak-anak juga didaftarkan menyertai terlalu banyak kelas dan aktiviti sehinggakan tiada keseimbangan dalam eksplorasi/refleksi diri sendiri untuk membina karakter. Ada juga anak yang get too much free time (idleness) yang tidak diisi dengan aktiviti berfaedah.

How much is enough?

2) Overnurtured

Parents buatkan semua untuk anak kerana “sayang” sehinggakan membantutkan perkembangan skil yang penting. Contohnya menyusun buku/ jadual sekolah akan melatih anak untuk menjadi organise. Ini adalah skil yang sangat penting sehingga dewasa. Kalau parents yang buatkan, anak-anak tiada tanggungjawab pada diri sendiri. Jika ibubapa buatkan homework untuk anak, anak belajar untuk menipu.

3) Tiada peraturan yang jelas dan konsisten.

Ibubapa tidak boleh mengharapkan wujud “common sense” dengan sendirinya pada anak-anak untuk tahu apa yang baik, buruk, bahaya. Perlu diberitahu apa peraturannya. Perlu dibincangkan apa implikasi perbuatan pada diri dan masyarakat supaya anak nampak gambaran keseluruhannya dan menjadikan anak lebih bertanggungjawab. Tanpa peraturan yang jelas anak akan sentiasa rasa insecure dan membina boundary mengikut ‘citarasa’ sendiri. COMMUNICATE.

Hanya dengan mengetahui sebabnya, kita akan lebih bijak dalam mencari penyelesaiannya. Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Berhubung (Connect)

pclogo

Sebagaimana sakit kepala yang disebabkan oleh ‘brain disorder’ seperti tumor dan intracranial hypertension tidak boleh diubati dengan hanya makan ubat penahan sakit, begitu jugalah dengan tingkahlaku kanak-kanak.

Tingkahlaku kanak-kanak adalah cerminan keperluan (needs) yang tidak dipedulikan ibubapa, kekeliruan, dan gangguan emosi (emotional state).
Mewujudkan kepatuhan dengan hanya menghukum tidak akan menyelesaikan masalah. Malah ia akan terus membarah.

Berhubunglah (connect) dengan anak tersebut dan ambil pedulilah keperluan emosi anak tersebut.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect