Melangkah Dari Zaman Kanak-kanak Ke Remaja. Risaukah anda?

Sejak akhir-akhir ini ramai yang melahirkan kebimbangan kepada saya kerana memikirkan anak yang akan menginjak ke usia remaja. Kisah-kisah yang tidak enak yang sering dipaparkan tentang remaja membuatkan ibubapa kepada anak yang akan melangkah keluar dari zaman kanak-kanak berasa gusar.

Nasihat saya, melangkahlah ke usia remaja anak anda dengan minda yang positif. Apa yang anda dengar dan lihat tidak mewakili semua remaja dan tidak semestinya anak anda sebegitu.

daughter-mother

Kredit Imej: QuoteAmbition

Percayalah mempunyai anak-anak remaja sangat menyeronokkan kerana:

1. Anda mempunyai rakan karib yang bukan saja tidak perlu anda cari, malah yang telah anda bentuk sendiri selama ini.

2. Anda mempunyai ‘bodyguard’ yang sanggup menemani anda ke mana-mana saja malah sanggup melindungi anda dari sebarang bahaya.

3. Anda mempunyai teman bercerita yang boleh berbual-bual tentang hal sosial, ekonomi, politik, agama, sains, gosip, sukan, hiburan, fesyen dan apa saja.

4. Anda mempunyai penghibur yang boleh membuatkan anda ketawa di kala kesedihan.

5. Anda mempunyai teman yang boleh menjadi bahan senda gurauan anda dan anda juga menjadi bahan senda gurauannya.

6. Anda mempunyai pembantu yang boleh membantu anda di dapur dan boleh juga memasak, membakar, dan mengemas di dapur.

7. Anda mempunyai pembantu yang boleh meringankan kerja-kerja di rumah yang tidak pernah habis.

8. Anda mempunyai pengasuh yang boleh tolong mengasuh adik-adik yang lebih kecil.

9. Anda mempunyai ‘fitness partner’ yang saling memberi semangat kepada satu sama lain.

10. Anda mempunyai teman bercuti yang akan memeriahkan lagi suasana dan menghilangkan segala letih dan lesu – dan boleh tolong mengangkat beg yang berat.

11. Anda mempunyai teman mengopi atau mengeteh pada bila-bila masa saja.

12. Anda mempunyai pendengar setia jenaka-jenaka anda yang tidak kelakar sangat tetapi sentiasa disambut dengan gelak-tawa (kadang-kadang membuat anda tertanya-tanya samada yang digelakkan adalah jenaka anda atau diri anda sendiri).

13. Anda mempunyai pemandu peribadi yang sentiasa sanggup memandu anda ke mana sahaja terutamanya bagi yang baru mendapat lesen memandu.

14. Anda mempunyai teman ke masjid yang walaupun kadang-kadang agak liat, tetapi ada masanya mengingatkan anda bila anda terlupa.

15. Anda mempunyai rakan ‘shopping’ yang sentiasa seronok membelanjakan duit anda.

16. Anda mempunyai rakan bercerita tentang filem-filem terbaru, drama-drama kegemaran anda dan juga novel-novel pilihan anda (walaupun kadang-kadang dengan tidak sepenuh hati)

17. Anda mempunyai juru pam peribadi setiap kali mengisi minyak di stesen minyak (tentunya menggunakan kad kredit anda).

18. Anda mempunyai perunding imej peribadi yang sentiasa peka dengan perkembangan semasa di kalangan anak muda (dan sentiasa tidak segan silu untuk mengkritik dan memberi khidmat jururunding tanpa diminta).

19. Anda mempunyai teman yang sentiasa meluahkan segala cabaran dan masalah serta kegembiraan dan keseronokan kepada anda.

20. Anda mempunyai teman yang akan membuatkan anda berasa sangat kosong dan sunyi tanpa mereka di sisi.

21. Anda mempunyai penasihat yang menegur dan memperbetulkan anda jika tersilap. (Kredit: Puan Wan Erni Suria)

Bahagia kan?

Mantapkan komunikasi dengan anak dari awal.
Wujudkan rasa hormat-menghormati dari awal.
Bina kerjasama dari awal.

Membesarkan anak-anak remaja pada zaman sekarang memang mencabar. Perjalanan tidak sentiasa indah dan lancar tetapi dengan ‘mindset’ yang positif, ilmu pengetahuan dan do’a yang tidak putus, pengalaman membesarkan mereka akan menjadi lebih mengujakan.

Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Kenapa Anak Remaja Menjadi Ganas?

Kenapa anak remaja menjadi ganas?

remaja

Tentang media:

Menurut American Academy of Pediatrics, 

  1. Anak-anak usia pra sekolah yang menonton kartun selama 2 jam sehari, terdedah kepada 10 000 insiden keganasan setahun melalui kartun.
  2. Anak-anak yang ‘average’ tontonannya menyaksikan 8000 pembunuhan dan 200,000 aksi ganas sepanjang usia sekolah rendah.

Cerita-cerita aksi dan lasak yang menjadi pilihan remaja dan anak muda pula memaparkan – Sumber: M.Borba: Building Moral Intelligence

  1. 1/3 dari watak jahat dan ganas tidak dihukum.
  2. 70% dari watak ganas ini tidak menunjukan sedikit pun rasa bersalah atau menyesal ketika melakukan keganasan.
  3. 50% aksi ganas ini menunjukkan mangsa tidak mengalami sebarang kesakitan.
  4. 40% aksi keganasan ini disertakan dengan lawak jenaka.
  5. 40% watak ganas dipegang oleh pelakon yang ‘attractive’ dan ‘hero-type’ – sado dalam bahasa kita.
  6. Kurang dari 5% cerita ganas menyampaikan mesej anti-keganasan.
  7. Kebanyakan aksi ganas dipaparkan sebagai satu keperluan dan tidak menyakitkan.

Ini statistik di Amerika Syarikat.

Apakah pula yang ditonton oleh anak-anak Malaysia melalui media dan skrin?
Adakah berbeza dari anak-anak di Amerika?

Cuba kaitkan 7 ciri-ciri di atas dengan insiden keganasan di kalangan remaja yang berlaku dalam negara kita sendiri. Tidak hairanlah perbuatan mereka seakan tidak ada akal.

Memantau apa yang ditonton oleh anak-anak tidak kira kecil atau remaja adalah juga sebahagian dari ‘parenting’.

Children See Children Do

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Teladan Daripada Gergasi Teknologi

Dua tahun selepas iPad dilancarkan, pengasas Apple mendiang Steve Jobs memberitahu wartawan bahawa anak-anak beliau belum lagi menggunakan iPad.

Beliau melahirkan kerisauan beliau tentang ketagihan gajet.

gergasitek

Pengasas Microsoft, Bill Gates, menetapkan bahawa anak beliau hanya boleh memiliki telefon pintar apabila berusia 14 tahun walaupun anak beliau merungut kerana semua rakan memilikinya.


 

Anak-anak mula merasakan ‘peer pressure’ dan mula membanding-bandingkan peraturan di rumah sendiri dan peraturan di rumah kawan ketika berusia dalam lingkungan 9 tahun.

Inilah usia mereka nampak apa yang rakan ada dan apa yang mereka tiada.
Inilah usia mereka mahu apa yang rakan ada.
Inilah usia mereka mula merasakan peraturan di rumah tidak adil.
Inilah usia mereka takut ketinggalan berbanding rakan.

Sebelum mereka mula meminta-minta, merayu-rayu, memujuk-mujuk.
Sebelum mereka mula membanding-bandingkan.
Sebelum mereka berkata “It’s not fair”, “Kenapa kawan boleh?”, eloklah kita tetapkan bila waktunya mereka boleh memiliki telefon pintar.

Beritahu anak dari awal supaya mereka tahu. Biarlah mereka menunggu. Ini namanya ‘delayed gratification’ yang banyak faedahnya untuk perkembangan peribadi seorang manusia.

Apabila sudah diberi tanpa pertimbangan yang wajar oleh ibubapa, amat sukar untuk ditarik balik jika anak-anak menyalahgunakannya.

Berapakah usia yang patut/ingin anda tetapkan untuk anak-anak memiliki telefon pintar?

Kenapa?

Noor Afidah Abu Bakar
Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Meniru: Antara Realiti dan Fantasi

1) Pernahkah anda melihat bayi menjelirkan lidahnya kembali setelah bayi melihat kita menjelirkan lidah kepadanya?

2) Pernahkah anda melihat anak kecil menggoyang-goyangkan badannya apabila melihat kita bergerak mengikut alunan muzik?

3) Pernahkah anda melihat anak kecil meletakkan telefon bimbit di telinganya walaupun anda tidak pernah mengajar anak tersebut tentang kedudukan telefon?

 

meniru

Kredit Gambar: Youtube

Kajian yang dibuat oleh Meltzoff dan Marshall dari Institute for Learning and Brain Science University of Washington mendapati bahawa apabila anak kecil memerhatikan perbuatan kita, otak mereka bertindak balas seolah-olah mereka turut melakukan aktiviti yang sama.

Contohnya, apabila bayi memerhatikan kita menjelirkan lidah, bahagian otak bayi yang mengawal lidah bertindakbalas seolah-olah bayi sendiri yang melakukannya. Apabila kita menggerakkan kaki dan bayi memerhatikan kita, bahagian otak bayi yang mengawal kakinya akan bertindakbalas seolah-olah bayi itu sendiri melakukannya.
Begitulah ajaibnya otak.

Ini adalah tindakbalas yang berlaku disebabkan oleh mirror neuron. Mirror neuron bertindak sebagai cermin kepada apa yang diperhatikan.

ANAK-ANAK BELAJAR MELALUI MENIRU.

Meniru adalah fasa pertama dalam proses pembelajaran anak-anak. Mereka meniru apa saja yang mereka lihat. Mereka meniru apa saja yang menjadi budaya yang diamalkan dalam rumah, sekolah, dalam masyarakat dan juga di skrin tv dan komputer.

4) Pernahkah anda terfikir kenapa anda turut sama menangis apabila melihat pelakon menangis ketika adegan sedih meruntun jiwa? Adakah kerana pelakon tersebut pandai menjiwai watak atau adakah kerana penulis skrip pandai bermain dengan emosi penonton?

Sebenarnya ini juga berlaku disebabkan oleh mirror neuron. Sebarang tindakan yang mencuit emosi kita akan lebih mudah mengaktifkan mirror neuron dan mewujudkan jaringan dalam otak yang menyebabkan kita meniru aksi tersebut. Selain meniru, mirror neuron juga menjadi asas kepada empati atau keupayaan untuk memahami perasaan orang lain (‘Mirror, Mirror in the Brain’, Science Daily, 2007).

Anak kecil mempunyai kecenderungan semulajadi untuk meniru perbuatan orang lain. Walau bagaimanapun mereka belum mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan untuk menilai sama ada perbuatan itu patut atau tidak ditiru. Mereka belum berupaya untuk menganalisa, dan menilai sama ada sesuatu perbuatan itu bermoral ataupun tidak.
Mereka akan meniru apa saja yang dilihat termasuklah perbuatan yang salah, negatif, ganas, vandalisme dan merosakkan pada pandangan orang dewasa. Sebarang perbuatan yang melahirkan emosi akan lebih cenderung untuk ditiru oleh anak-anak.

ANTARA REALITI DAN FANTASI

5) Pernahkah anda melihat anak-anak berguling, menendang, menolak, memukul dan sebagainya selepas melihat aksi lasak atau ganas dalam rancangan yang ditonton mereka di skrin TV atau komputer?

6) Pernahkah anda mendengar bahasa yang tidak elok dipertuturkan anak selepas menonton sesuatu rancangan TV?

Perbuatan meniru sebegini berlaku kerana mereka belum berupaya untuk membezakan antara realiti dan fantasi.

Apa yang ‘real’ pada anak-anak kecil adalah apa yang mereka dapat lihat dengan mata mereka. Keganasan yang mereka tonton di skrin adalah juga real bagi mereka. Jika ‘real’, maka apa salahnya jika mereka tiru? Walaupun mereka mengalami kecelaruan kognitif (cognitive confusion), itu tetap tidak menghalang mereka untuk meniru aksi tersebut.

Oleh itu fikirkanlah:

Cerita dan rancangan yang bagaimanakah ditonton anak-anak melalui skrin TV dan komputer?

Iklan bagaimanakah yang disajikan untuk menjadi tontonan anak setiap hari?
Perbuatan ibubapa dan guru-guru yang bagaimanakah ditiru oleh anak-anak?
Aksi kawan-kawan yang bagaimanakah dibawa balik oleh anak ke rumah?

Anak-anak belajar melalui meniru.
Sajikanlah mereka dengan sesuatu yang baik untuk ditiru.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Adik Natasha Qisty dan Sindrom ‘Tall Poppy’

Sudah lama saya mendengar tentang Sindrom ‘Tall Poppy’ yang sering diperkatakan di Australia ketika saya tinggal di sana lebih kurang 15 tahun lalu. ‘Tall poppy’ adalah bahasa slanga di Australia yang merujuk kepada orang yang berjaya.

Hari ini kita menyaksikan bagaimana Sindrom Tall Poppy ini berlaku di negara kita sendiri apabila adik Natasha Qisty Mohd Ridzuan yang memperolehi keputusan cemerlang 9A+ dalam peperiksaan SPM 2016 dikecam dengan hebat oleh segelintir netizen kerana penampilannya. Wajarkah?

 

tallpoppy

Saya difahamkan adik Natasha menutup akaun media sosialnya kerana menjadi mangsa pembuli siber.

Ada dua isu di sini sebenarnya

1) Sindrom Tall Poppy
2) Buli siber (Cyber bullying).

Sindrom Tall Poppy (STP) ini bukanlah isu orang Melayu sahaja. Sindrom ini juga dikenali sebagai ‘The politics of envy’. Ia berkaitan dengan psikologi dan tingkah laku manusia yang tidak boleh melihat orang berdiri lebih tinggi daripadanya dan tidak senang melihat adanya ‘tall poppies’. Orang yang berjaya akan diperlekehkan dan dibuli dengan kecaman-kecaman yang tidak berasas dan tiada kena mengena dengan kejayaan yang mereka capai.

Artikel ini mendedahkan bahawa ada pelajar di Australia dibuli secara fizikal dan verbal sehingga mengalami gangguan mental dan emosi yang berpanjangan.
Adalah juga menjadi lumrah apabila dua ‘tall poppies’ dibanding-bandingkan oleh pengidap sindrom untuk membuktikan kebenaran hujah mereka yang tidak tercapai dek akal itu.

APA MASALAH PENGIDAP SINDROM TALL POPPY?

Menurut kajian yang dibuat di Flinders University of South Australia dan diterbitkan oleh Australian Journal of Psychology pada tahun 1989, mereka yang mengalami STP ini terdiri daripada mereka yang tidak meletakkan prioriti yang tinggi pada aspek kejayaan tersebut. Dalam konteks ini, mereka yang membuli adik Natasha tidak menjadikan akademik sebagai prioriti mereka sebelum ini.

Dalam kajian tersebut juga didapati STP ini banyak dihadapi oleh mereka yang mempunyai percaya diri (self esteem) yang rendah. Mereka merasa inferior. Percaya diri yang rendah boleh berlaku apabila kayu ukur yang digunakan untuk mengukur kelebihan seseorang adalah terlampau sempit. Ia bermula apabila orang dewasa hanya memfokuskan pada kelemahan anak, dan menghukum kelemahan tanpa mempunyai inisiatif dan keinginan untuk melihat pada kelebihan seseorang anak itu. Individu ini akan membesar sebagai seorang yang akan meneruskan tradisi yang sama.

Mereka mencapai kepuasan dengan merendah-rendahkan orang lain supaya ‘tall poppy’ ini berdiri sama rendah dengan mereka. Kelakuan yang sebegini akan mengurangkan kekecewaan mereka dengan diri mereka sendiri. Mereka lebih merasa puas jika dapat menyebarkannya kepada orang lain – di alam siber yang ‘public’. Sedih bukan?
Mereka yang mempunyai percaya diri yang tinggi dan yakin dengan kelebihan yang dimiliki selalunya terhindar dari menghidap STP ini.

OLEH ITU :

1) Latihlah diri kita sebagai orang dewasa untuk melihat kelebihan yang dimiliki oleh seseorang anak dan pelajar supaya mereka juga berupaya untuk melihat kelebihan dan kejayaan orang lain tanpa iri. Allah itu Maha Adil, setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing. Cari kelebihan tersebut, raikan kelebihan tersebut dan gunakan kelebihan tersebut bagi membantu mereka mengatasi apa saja kelemahan yang mungkin mereka miliki kerana manusia itu sifatnya tidak sempurna. Jangan menggunakan kelemahan seorang anak untuk menidakkan kelebihan mereka.

2) Latihlah anak-anak untuk mengagumi dan meraikan kelebihan rakan-rakan dan percaya bahawa mereka juga mempunyai kelebihan yang tersendiri.

3) Bimbinglah juga anak-anak supaya menjadi seorang yang berhemah dan bertanggungjawab di alam siber.

Selepas ini setiap kali apabila kita menyaksikan buli siber berlaku terhadap mereka yang berjaya dalam bidangnya seperti adik Natasha Qisty, tahulah kita bahawa ini adalah SINDROM TALL POPPY.

Tahniah diucapkan kepada semua yang mendapat keputusan peperiksaan SPM 2016 baru-baru ini. Ini adalah satu permulaan. Semoga menjadi individu yang boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan ummah dengan kelebihan masing-masing.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Kita Juga Pernah Remaja

remajaanakmuda

Selagi pre-frontal cortex belum berkembang sepenuhnya, begitulah mereka.
Selagi mereka sendiri keliru dengan diri mereka kerana penstrukturan otak mereka dan kecelaruan kerana hormon, begitulah mereka.
Kita yang tua ini tiada beza pun dengan mereka ketika seusia mereka dulu.
Kita melalui perkembangan yang sama sebagai manusia.
Mungkin kita lupa. 


Kita yang lebih tua ini suatu masa dulu juga dikeluh kesahkan oleh generasi lebih tua ketika itu dengan “Apa nak jadi dengan anak-anak zaman sekarang…”.

 

Jangan cepat menghukum dan mencemuh generasi muda.
Fahami apa yang berlaku dalam diri mereka.
Dengar. ‘Emphatise’. Bimbing.

Jangan cepat hendak memalukan mereka (di media sosial) dengan membuka aib mereka.

Semakin kita kecam, semakin mereka menjauhkan diri.
Itukah yang kita mahu?

Noor Afidah Abu Bakar
(Ibu kepada 3 orang anak remaja/muda).
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Middle school years – 11-15 tahun

Setiap anak (setiap ibubapa juga) melalui perkembangan yang berfasa bermula dari lahir lagi. Setiap fasa mempunyai cabarannya yang tersendiri.

11-15

Adakah anda juga dapat mengesan perubahan pada diri anak ketika usia ini? (Middle school years – 11-15 tahun)

Semasa anak sulung saya kecil 20 tahun dulu, saya sering berseloroh “Cepat-cepatlah besar, tak perlu lagi Ummi fikir tentang feeding, potty training, TANTRUM, keselamatan fizikal, school readiness dan sebagainya”.

Ketika itu saya fikir bila anak sudah boleh berlari, menguruskan diri sendiri, sudah boleh 3M, sudah boleh membaca Al Quran, maka tiadalah cabaran besar. Rupa-rupanya cabaran datang dalam bentuk yang berbeza terutamanya apabila bermula usia 10/11 tahun.

Ketika usia ini bukan ibubapa saja yang keliru dengan apa yang sedang berlaku dalam diri anak, anak juga keliru dengan perubahan yang sedang mereka alami. Ia bukan hanya melibatkan hormon seperti yang kita faham selama ini, malah kajian selama 30 tahun kebelakangan ini – kerana kepesatan teknologi perubatan, neurologi, psikologi dan sebagainya-mendapati berlakunya perubahan dan penstrukturan semula dalam otak juga ketika usia ini. TANTRUM, kiranya ada, berlaku dalam bentuk yang berbeza.

Binalah ‘connection’ yang kukuh dengan anak dari kecil, luangkan masa dan amalkan komunikasi terbuka dengan anak supaya apabila kita dan anak masing-masing keliru, kita boleh berkompromi dan cuba memahami antara satu sama lain.
Pelajarilah dan fahamilah Child Development.

Semoga Allah SWT permudahkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Mendidik Anak Remaja

Jika anak anda berusia dalam lingkungan 11 tahun, mungkin anda sudah dapat mengesan perubahan dari segi cara anak berfikir dan bertindak. Anak sudah mula cuba untuk lari dari identiti kanak-kanak dan juga inginkan ‘control’ dan ‘authority’.

Proses untuk membesarkan dan mendidik seorang remaja yang ‘connected’ dan ‘cooperative’ bermula sebelum seorang anak melangkah ke usia remaja. Jika ‘connection’ itu tidak dibina dari awal, sukar untuk ibubapa dan anak untuk saling faham memahami antara satu sama lain.

Ayah dan ibu kepada anak-anak kecil, jom bersedia.

10 Parenting Habits to Develop Before Your Child Becomes a Teen

Noor Afidah Abu Bakar
(Ibu kepada anak remaja berusia 13, 16 dan 19 tahun)

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak-anak Sukakan Cabaran: 4 Tahun & 14 Tahun

PERSAMAAN ANAK 4 TAHUN DAN 14 TAHUN

Kedua-duanya sukakan cabaran.

14vs4

Bagi anak yang berusia 4 tahun, apabila dia tidak dapat apa yang diinginkan, dia mula meragam, protes atau ada yang masih dalam fasa ‘tantrum’.

Bagi yang berusia 14 tahun pula, jika dia tidak dapat apa yang diinginkan, dia akan meragam dan protes juga tetapi mungkin dalam bentuk diam membisu atau dia bersoal-jawab dengan kita.

Pada usia 4 tahun kecenderungan anak adalah untuk bermain dan meneroka (play and explore).

Anak bukan hanya meneroka persekitaran, dia juga meneroka diri sendiri dan orang sekeliling. Dia cuba membina keyakinan diri melalui peluang yang diberikan kepadanya.

Pada usia 14 tahun pula kecenderungan anak adalah untuk mengambil risiko (risk taking). Anak cuba membebaskan diri dari label ‘kanak-kanak’. Dia juga cuba mencari identiti diri dan ruang dalam masyarakat.

Kecenderungan untuk ‘play and explore’ dan ‘risk taking’ bukanlah sesuatu yang negatif.

Untuk menyokong kecenderungan tersebut,kita perlu:

i) Memahami itu adalah sifat semulajadi seorang manusia.

ii) Menyediakan persekitaran yang kondusif dan selamat.

Kedua-dua sifat itu memerlukan pemantauan dan peraturan. Jika kita tidak sediakan persekitaran yang selamat, anak 4 tahun yang ingin ‘play dan explore’ mudah terdedah kepada bahaya. Apabila anak tercedera, kerisauan kita akan menghalang anak dari terus ‘play and explore’. Kecederaan yang sedikit adalah normal.

Jadikan usia 4 tahun sebagai persediaan untuk melangkah ke peringkat ‘risk taking’ ketika berusia 14 tahun. Biar anak belajar mengambil risiko yang bersesuaian dengan usia dari usia awal.

Jika anak biasa ‘explore’ dan tahu apa yang selamat dan apa yang kurang selamat, mereka akan menjadi lebih matang dan berhati-hati apabila berhadapan dengan cabaran. Mengetahui yang baik dan buruk, selamat dan tidak selamat memerlukan bimbingan dan panduan daripada orang dewasa.

iii) Memberikan peluang yang sewajarnya untuk diterokai.

Jika anak 4 tahun tidak diizinkan untuk ‘play dan explore’, kita menekan naluri semulajadi mereka. Inilah yang menyebabkan lebih banyak ‘tantrum’ berlaku kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk menyalurkan tenaga dan menguruskan emosi yang tertekan.

‘Play dan explore’ menyediakan ruang untuk stimulasi otak, cetusan pemikiran, kreativiti, luahan emosi dan juga memupuk skil sosial. Semua ini penting untuk membina perkembangan yang sihat anak-anak. Jika kecenderungan ini ditekan ketika berusia 4 tahun, maka ketika usia 14 tahun anak akan menghadapi kesukaran dari aspek sosial dan emosi.

Walau bagaimanapun jangan sedih dan berputus asa, teruskan menyediakan ruang dan peluang untuk anak 14 tahun kerana otak mereka sensitif pada stimulasi.

‘Neuroplasticity’ otak membolehkan otak untuk mengubah, menyesuai, dan mendawai semula sepanjang umur kita.

iv) Memberikan sokongan pada minat dan kelebihan mereka.

Anak 4 tahun masih meneroka minat mereka. Oleh itu dedahkan anak kepada pelbagai pengalaman dan persekitaran. Usah biarkan anak terlalu asyik dengan skrin sahaja. Adakalanya anak perlu dibiarkan kebosanan kerana kebosanan dapat menjadikan anak berusaha untuk memenuhi masa dengan aktiviti kreatif dan inovatif.

Bagi anak 14 tahun pula, sokonglah minat dan kecenderungan mereka. Fokuskan pada kelebihan mereka bukannya kekurangan mereka. Jadikan sifat ‘risk taking’ itu satu motivasi diri untuk memperkembangkan bakat dan menggandakan usaha. Jika kelebihan dan bakat tidak dipedulikan, mereka akan menggunakan kecenderungan ‘risk taking’ di saluran yang negatif. Inilah sebabnya remaja mudah terdedah kepada unsur negatif jika tidak dipantau dan dibimbing.

Fahamilah perkembangan setiap anak.

Berikan perhatian dan sokongan yang berterusan dan tidak putus kepada anak walaupun anak telah meningkat remaja dan tidak perlu dimandikan, dipakaikan dan disuapkan lagi.

‘Connection’ dan komunikasi antara ibubapa dan anak-anak boleh membantu anak-anak untuk berjaya.
Noor Afidah Abu Bakar

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect