Robot Di Meja Makan

Anak kecil itu diam tanpa sebarang pergerakan. Dia juga langsung tidak bersuara. Matanya memandang tepat ke hadapan tanpa berkelip. Dia terpaku dengan apa yang dilihatnya. Segala yang berlaku di sekeliling seolah-olah tidak memberi makna apa-apa kepada anak itu. Sebarang bunyi, sebarang pergerakan mahupun sebarang keajaiban yang berlaku di sekelilingnya seperti tidak langsung menimbulkan tanda tanya dalam dirinya. Perkara yang menjadi tumpuan utama dalam hidupnya dan dalam dunianya ketika itu hanyalah apa yang sedang ditonton di hadapannya.

robotdimejamakan

Sudah berkali-kali saya melihat anak-anak yang diprogramkan oleh skrin yang berada di hadapan mereka ketika waktu makan. Anak-anak ini seumpama robot yang mengunyah, tanpa menunjukkan sebarang emosi dan tanpa interaksi. Mereka dinafikan hak untuk menjadi kanak-kanak yang memerlukan didikan dan bimbingan oleh orang dewasa ketika waktu makan.

Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan lahir dalam keadaan sempurna akhlaknya tanpa bimbingan yang mengambil masa.

Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan agar berupaya untuk memenuhi harapan dan jangkaan orang dewasa dengan serta merta.

Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan agar berupaya menyuapkan makanan dengan sendiri tanpa mensepahkannya.

Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan agar dapat memberi tumpuan pada makanan tanpa mengganggu.

Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan agar melekat di tempat duduk mereka tanpa berganjak.

Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan agar dapat membisukan mulut mereka dari bersuara.

MUSTAHIL.

Kata si Ibu “Jika saya tidak beri skrin kepada anak saya, anak saya tidak mahu makan.”

Persoalannya siapakah yang mula memberikan anak skrin?
Siapakah yang tidak melatih anak makan tanpa kebergantungan pada skrin dari awal lagi?

Waktu makan yang sepatutnya menjadi:
momen yang mewujudkan perhubungan yang rapat antara ibubapa dan anak, momen penerapan adab dan akhlak,
momen berinteraksi dan bergurau senda antara ahli keluarga,
momen memerhatikan persekitaran yang menimbulkan sifat ingin tahu,
momen memahami emosi,
momen memahami komunikasi verbal dan tidak verbal,
momen memantapkan skil motor halus dan motor kasar,
momen mengembangkan skil bahasa dan menambahkan kosa kata,
momen memahami nilai dalam keluarga dan masyarakat,
kini hanya menjadi momen mengisi perut dan membasahkan tekak sambil dihiburkan oleh watak-watak yang ditonton di skrin.

Tiada latihan pengucapan Bismillah, dan tiada doa di awal makan untuk diamalkan anak kerana anak-anak ini terlalu asyik dihiburkan.
Tiada ucapan penghargaan dan terima kasih yang diucapkan anak kepada ayah atau ibu yang berusaha menyuapkan makanan dengan penuh kasih sayang kerana anak-anak ini terlalu leka.
Tiada senyuman di antara ibu atau ayah yang menyuap dan anak yang disuap.
Tiada pandangan mata diantara ayah atau ibu dan anak,
Tiada ekspresi wajah yang menggambarkan kegembiraan, kekecewaan dan tegahan daripada ayah atau ibu untuk difahami oleh anak.
Tiada luahan emosi di antara ibubapa dan anak.
Semuanya menjadi hambar tanpa sebarang keintiman dan emosi sesama manusia.
Sedangkan perkara yang diabaikan inilah yang membezakan di antara MANUSIA dan ROBOT.

Anak-anak yang menyentuh, melihat, merasa, menghayati dan menikmati setiap butir dan suapan makanan yang masuk ke mulut mereka lebih mudah untuk mempelajari erti bersyukur akan nikmat rezeki yang dilimpahkan ke atas mereka oleh Allah SWT.
Apabila tontonan skrin dipaksakan ke atas anak ketika waktu makan dari usia awal, seluruh sensori yang melahirkan rasa kesyukuran ini akan mati kerana fokus mereka bukannya pada pengalaman menghayati rezeki yang disuapkan ke mulut mereka tetapi fokus mereka kepada pengalaman menghayati skrin.

Latihlah anak menjadi manusia yang memuliakan adab dan akhlak ketika makan, menghargai ibubapa atau orang dewasa yang menyuapkan mereka makanan, memahami bahasa kasih sayang ibubapa, menghormati perhubungan sesama manusia, peka dengan sekelilingnya dan mensyukuri rezeki pemberian Allah kepadanya walaupun anak mungkin kurang menggemarinya.

Anak-anak kita dilahirkan sebagai manusia.
Usah diubah mereka menjadi robot tanpa kerelaan mereka hanya kerana kita sangkakan itu lebih mudah.

Dalam gambar adalah anak kembar yang tidak diberikan skrin oleh ayah dan ibu mereka ketika waktu makan. Saya sendiri kagum dengan usaha ayah dan ibu ini untuk memanusiakan anak mereka walaupun sudah tentunya mencabar.

Syabas diucapkan kepada ayah dan ibu lain yang turut sama berusaha.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Advertisements