Apalah Yang Anak Sekecil Ini Tahu?

Apalah yang anak sekecil ini tahu?

Anak sekecil ini belum berupaya untuk menilai yang baik dan yang buruk.
Anak sekecil ini belum berupaya untuk membezakan antara realiti dan fantasi.
Namun hatinya bersih dan suci seumpama kain putih.
Dia menyangka ini adalah permainan yang biasa dilihatnya.

Jika anak sekecil ini sering dibawa ayahnya ke masjid untuk bersolat, itu bermakna anak kecil ini berasal dari keluarga yang mementingkan penerapan asas Islam melalui amalan dan teladan.
Jika anak sekecil ini dilayan baik oleh abangnya yang lebih berusia, itu bermakna mereka mempunyai hubungan yang akrab dan saling mempercayai sesama ahli keluarga.

Anak ini hidup di dalam keluarga dan lingkungan masyarakat yang sangat dipercayainya. Anak sekecil ini suci hatinya dan langsung tidak terdetik di hatinya akan adanya manusia yang akan berlaku kejam ke atas dirinya, keluarganya, dan mereka di sekelilingnya.
Mungkinkah juga dia meluru ke arah pelaku itu kerana ingin menghentikan kekejaman yang dilakukan ke atas insan sekeliling yang disayanginya?

Hanya Allah yang tahu niatmu, Wahai Anak.

Seluruh dunia meratapi pemergianmu, Mucad.
Seluruh dunia menangisi kekejaman ke atasmu.
Semoga Syurga menantimu, dan kedua ibubapamu yang sedang melalui ujian getir ini.

Daripada Abu Hassan, beliau berkata: Aku bertanya kepada Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah SAW yang akan melegakan diri kami di atas kematian dua anak kami?

Abu Hurairah menjawab: 

Ya. Kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ayahnya ke dalam syurga. 

[Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no: 2635].

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Artikel penuh