Rasa Bersalah Ibubapa Yang Positif vs Toksik

Seorang ibu meluahkan perasaannya kepada saya tentang rasa bersalah yang dialaminya setiap kali dia menghukum anaknya atas kesalahan yang dilakukan.
Dia merasakan ada kalanya perasaan bersalah itu menyebabkan dia membiarkan anak berbuat sesuka hati.


Perasaan bersalah adalah satu anugerah daripada Allah SWT.
Rasa bersalah dan menyesal adalah satu isyarat untuk memberitahu bahawa kita mungkin telah tergelincir dari landasan prinsip dan nilai yang kita pegang.
Ia seumpama satu mekanisme pertahanan diri.*

Sebagai ibubapa, kadang-kadang kita merasa bersalah kerana mengambil sesuatu tindakan tidak wajar ke atas anak-anak.
Rasa bersalah yang hadir kerana memarahi atau memukul anak secara keterlaluan adalah satu isyarat bahawa kita perlu fikirkan kaedah lain untuk membantu anak.
Rasa bersalah yang hadir kerana kerap hilang sabar dalam menguruskan keluarga dan anak-anak adalah isyarat bahawa kita perlu uruskan tahap stres kita terlebih dahulu.
Rasa bersalah yang hadir kerana tidak meluangkan banyak masa dengan anak-anak sepatutnya membuatkan kita berusaha untuk memberi lebih perhatian kepada mereka.
Rasa bersalah ini adalah isyarat bahawa kita perlu mengubah sikap kita dan memperbaiki perhubungan dengan anak-anak. Rasa bersalah yang POSITIF sebegini melibatkan EMOSI dan TINDAKAN SUSULAN untuk memperbaiki keadaan.

Rasa bersalah yang TOKSIK dialami apabila kita terlampau menyalahkan diri sendiri atas SEGALA yang berlaku ke atas anak. Kita sering membuat andaian bahawa masa hadapan anak akan musnah dan hancur disebabkan oleh tindakan kita. Rasa bersalah yang toksik ini tidak menggerakkan kita untuk berusaha memperbaiki keadaan sebaliknya membiarkan keadaan seadanya dan terus menjadi parah tanpa melakukan apa-apa perubahan.
Rasa bersalah toksik sebegini hanya melibatkan EMOSI TANPA USAHA.

Rasa bersalah yang toksik ini juga membuatkan kita:

-sukar untuk berkata TIDAK kepada anak, maka anak -menjadi melampaui batas.
-memberi material yang berlebihan kepada anak walaupun tidak diperlukan.
-mengalah dan menurut segala kehendak anak sehingga menjadi ibubapa yang permisif.
-menyakitkan atau menghukum diri sendiri kerana tidak menjadi ibubapa yang terbaik dan sempurna.
-membanding-bandingkan diri kita dengan ibubapa yang lain sehingga melahirkan kekecewaan kerana diri kekurangan.
-membazir banyak masa memikirkan kesilapan yang telah dilakukan.
-berfikir buruk ke atas diri sendiri kerana akan merosakkan masa hadapan anak.

Semua ini harus dielakkan.

Ada perkara yang boleh kita usahakan dan ada perkara yang di luar kawalan kita walaupun setelah kita berusaha sebaiknya.
Uruskan rasa bersalah supaya tidak menjadi toksik.

Tidak langsung merasa bersalah adalah juga sesuatu yang toksik.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

*HOW GUILT IS A GIFT – Ust. Nouman Ali Khan.

66 Hari Untuk Berubah

berealistic

Dalam kajian yang dibuat oleh Phillippa Lally, seorang pakar psikologi dari University College London, seorang individu mengambil masa sekurang-kurangnya 66 hari untuk berubah. *

Walau bagaimanapun jangkamasa perubahan itu berbeza-beza mengikut tingkah laku, pembawaan atau personaliti dan juga persekitaran individu.

Sesuatu perubahan boleh mengambil masa di antara 18 hari hingga ke 254 hari bergantung kepada individu.

Ini bermakna perubahan ke arah sesuatu yang negatif juga akan berlaku sekiranya anak dibiarkan terdedah kepada pengaruh negatif itu secara berterusan tanpa tindakan.

Be realistic.
Keep it up.
Don’t give up.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

*How are habits formed: Modelling habit formation in the real world, European Journal of Social Psychology, 2009

MINAT DINOSAUR – Baguskah untuk kanak-kanak?

dino

Kredit gambar: Google

Tahukah anda, menurut Kelli Chen, seorang Pakar Psikiatri Kanak-kanak di John Hopkins University, kanak-kanak yang mempunyai minat yang mendalam (intense interest) terhadap sesuatu objek, akan memiliki kebijaksanaan ‘above average’ atau kebijaksanaan lebih dari tahap biasa.

Menurut kajian juga, antara objek yang menjadi obsesi kanak-kanak yang berusia di antara 2 hingga 6 tahun adalah kenderaan seperti kapal terbang, keretapi, kereta dan juga DINOSAUR. Usia ini adalah fasa ‘imaginative play’ di mana tahap imaginasi kanak-kanak sangat tinggi.

Antara kebaikan minat yang mendalam terhadap dinosaur (dan objek lain yang disebutkan) kepada perkembangan kognitif dan sikap kanak-kanak adalah:

1) menambahkan pengetahuan
2) meningkatkan kegigihan
3) memperbaiki daya tumpuan.
4) membina skil memproses maklumat.

Oleh itu, ibubapa layanlah anak-anak yang main dinosaur, tidur dinosaur, menyanyi dinosaur, menonton dinosaur, bercakap dinosaur, membaca dinosaur dan segalanya dinosaur.
Ada kebaikannya kepada perkembangan kognitif atau otak mereka.

“Hairan saya, anak saya tahu nama-nama dinosaur. Dia boleh hafal semua. Nama yang panjang-panjang pun dia boleh hafal.”

Adakah anak anda begini?
Berapakah nama dinosaur yang anda sendiri hafal?

Menurut Kenneth Lacovara, seorang Paleontologis ataupun pakar pengkaji fossil, mengetahui nama-nama dinosaur merupakan masteri atau kepakaran yang sangat membanggakan bagi kanak-kanak. Kepakaran yang mereka miliki itu tidak dimiliki oleh ibubapa mereka. Inilah antara sebab yang mendorong kanak-kanak untuk menggali lebih maklumat tentang dinosaur dengan bermain, menyoal, menyiasat, meneroka dan membaca.

Walau bagaimanapun, didapati minat yang mendalam terhadap dinosaur ini hanya panas selama 6 bulan hingga 3 tahun sahaja. Salah satu sebab utama minat ini berkurangan adalah kerana kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan. Mereka perlu beri tumpuan kepada banyak lagi subjek dan penekanan tidak diberikan kepada DINOSAUR.

Jika ada di antara anak anda yang terus meminati dinosaur walaupun sudah bersekolah, kajilah laluan untuk menjadi seorang PALEONTOLOGIS.

Anak saya juga pernah meminati dinosaur dan saya pernah hafal nama dinosaur.
Saya pernah bercita-cita hendak menjadi seorang arkeologis tetapi cita-cita masih tinggal cita-cita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Ragam Hari Pertama- “JANGAN MENANGIS, Malulah!”

Ragam Hari Pertama- JANGAN MENANGIS, Malulah!”

Kanak-kanak menangis pada hari pertama persekolahan disebabkan oleh ‘SEPARATION ANXIETY’. Ini berlaku apabila anak resah kerana perlu berpisah dengan individu yang paling dia percayai untuk berada dalam persekitaran yang asing.

Bayangkan jika kita bertukar tempat kerja baru dan kita tidak kenal sesiapa. 
Resah atau tidak?

Perasaan ini adalah sesuatu yang normal dalam perkembangan kanak-kanak. Ia bukanlah sesuatu yang memalukan atau perlu dimalukan dengan mengambil video untuk ditularkan.

TETAPI RAMAI KANAK-KANAK YANG OK, TAK MENANGIS. Yang menangis tu mesti manja. Kita mesti ajar anak jadi kental.”

Bila kita bercakap tentang perkataan PERKEMBANGAN, ia merujuk kepada satu proses yang dicapai pada kadar yang berbeza-beza mengikut pembawaan kanak-kanak.

Orang dewasa juga mengalami separation anxiety cumanya orang dewasa sudah mempunyai ‘coping strategy’ yang dibina dari pengalaman dan kematangan.

Perasaan resah untuk berpisah itu juga boleh menjadi indikasi yang baik bahawa selama ini ayah dan ibu telah membina attachment yang positif dengan anak tersebut. Bukanlah kerana anak itu manja.

Seorang murid saya dulu menangis sebab dia tidak boleh lagi bermain bola sepak dengan ayahnya kerana perlu hadir ke sekolah.


Proses berpisah untuk memasuki sekolah adalah kombinasi perasaan TERUJA dan TAKUT bagi kanak-kanak.

Jika perasaan teruja kerana berjumpa kawan yang sudah dikenali atau teruja kerana guru baik, atau teruja kerana persekitaran sekolah yang mesra, melebihi rasa takut, maka ‘separation anxiety’ itu hanya sekejap.

Jika perasaan takut kerana tidak ada kawan dan sebagainya melebihi keterujaan, maka ‘separation anxiety’ itu mengambil masa untuk hilang.

Seorang lagi murid saya merasa takut kerana perlu memasuki ‘gate’ lain yang dia tidak biasa.

Ada pelbagai sebab mereka takut walaupun remeh bagi kita.

Cara orang dewasa memberi respon kepada ‘separation anxiety’ kanak-kanak juga menentukan sekejap atau lama perasaan itu.

ANAK SAYA DAH BERBULAN-BULAN MENANGIS setiap pagi tak nak ke sekolah. Normalkah?”

Jikalau ia berlarutan sampai berbulan-bulan hingga mengganggu aktiviti harian anak dan menyebabkan anak sentiasa sedih dan murung, ia sudah menjadi satu DISORDER yang perlukan intervensi dan perhatian pakar.

Mungkinkah anak dibuli, didera ataupun trauma?

Menurut Maria Montessori, pakar perkembangan dan pendidikan awal kanak-kanak, resah kerana berpisah adalah sebahagian dari proses ‘individuation’ yang penting bagi perkembangan sosial kanak-kanak.

Anak sedang belajar untuk mengenal persekitarannya. Dia kemudiannya akan membina kepercayaan dan keserasian dengan individu baru di sekitarnya. Akhirnya dia akan mula membina persahabatan.

Ini adalah proses yang mengambil masa dan tidak boleh dipaksa.

Fahamilah kanak-kanak. Mereka juga manusia yang perlu dihormati.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Setiap Anak Dilahirkan Dengan Kelebihan Untuk Dimanfaatkan

Jangan salahkan anak yang dari lahirnya lasak seumpama lipas kudung hingga menyebabkan kekecohan.

anaklasak
Kredit Gambar: Youtube

Salahkan diri sendiri yang tidak belajar bagaimana caranya menyalurkan tenaga anak yang banyak itu supaya menjadi satu kelebihan.
Tidak ada anak yang lahirnya untuk menyusahkan dan menyebabkan kerosakan.
Setiap anak dilahirkan dengan kelebihan untuk dimanfaatkan.

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Fokus Pada Usaha, Bukan Hanya Hasil

uk

Anak bongsu saya bersekolah di UK dari peringkat pra-sekolah sehinggalah ke Year 7 (Tingkatan 1). Apabila memulakan persekolahan di Malaysia dalam Tingkatan 2, subjek yang paling digeruninya sudah tentulah subjek Bahasa Melayu kerana dia tidak pernah belajar Bahasa Melayu secara formal ataupun dengan format yang betul. Dia boleh bertutur dalam Bahasa Melayu tetapi tidaklah fasih. Bahasa Melayu pertuturan adalah lebih kepada Bahasa/loghat Utara kerana kedua-dua saya dan suami adalah orang Utara.

Dalam ujian Bahasa Melayu yang pertama dia mendapat 25 markah daripada 100. Saya tidak mengharapkan apa-apa keajaiban dengan subjek Bahasa Melayu kerana faham betapa terhadnya kosa kata dan sukarnya elemen tatabahasa bagi anak itu. Dia tidak berputus asa, dia terus berusaha sedaya yang mungkin dalam keterbatasan itu.

Apabila mendapat markah ujian yang kedua, dia masih lagi di tahap ‘merah’.

“Do you want to know what the teacher said to me when she returned the paper Ummi?”, tanya anak saya.
Saya gugup.
“Yes, what did she say?”, tanya saya gementar.
Anak ini masih dalam kategori bawah paras lulus. Apa agaknya kata-kata guru Bahasa Melayu nya?
Saya khuatir kerana kata-kata inilah yang akan membentuk motivasi dalaman anak ini dan menentukan minatnya terhadap Bahasa Melayu yang tidak pernah dipelajarinya.

“My teacher said ‘”Masha Allah kamu sudah semakin mahir jawab soalan-soalan BM. Tahniah!” – because I got better marks than the first test, even though it is still not so good compared to my friends.”

“And you know what Ummi? The whole class cheered and clapped their hands when they heard that.”

Subhanallah, disebabkan respon guru tersebut kepada keputusannya yang semakin meningkat dan respon rakan-rakan sebaya yang turut sama memberi dorongan dan sokongan, Alhamdulillah anak saya berjaya mendapat 68 markah untuk peperiksaan akhir tahun.

Kata anak saya “Had the teacher responded differently or negatively or put me down or compared me with others, I would have given up because it would have made me feel hopeless and incompetent.”

Ini kisah anak saya. Terima kasih Cikgu atas kata-kata Cikgu.

Kejayaan tidak semestinya hanya terhasil dengan ‘drilling’ dan latih tubi. Usaha-usaha kecil yang dirai dengan kata-kata yang positif lebih bermakna dari kegagalan yang dicemuh dengan tujuan untuk memberi motivasi.

Jika anak atau murid jelas menunjukkan usaha, tetapi balasan kita adalah:

“Kerja kamu masih tidak memuaskan” atau
“Bukan ini yang saya mahu” atau
“Kenapa banyak kali buat pun tak boleh jugak lagi?” dan seumpamanya, maka kejayaan anak itu akan terus tertangguh.

Kejayaan yang besar adalah gabungan usaha-usaha kecil. Kejayaan usaha-usaha kecil inilah yang akan membuahkan hasil yang berpanjangan. Insya Allah.

Kata-kata boleh menghidupkan jiwa dan kata-kata jugalah yang mematikan jiwa.
Fokus pada usaha, bukan hanya hasil.
Fokus pada kelebihan, bukan hanya kelemahan.
Layanlah anak-anak seperti manusia.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect