AEON Tebrau – Pokok Pangkalnya Adalah Empati (Empathy)

aeon

Kredit Gambar: NST

Empati adalah keupayaan manusia untuk mengenalpasti, memahami dan menyelami perasaan dan kesusahan orang lain.
Adanya empati ini membantu manusia untuk memiliki tingkah laku prososial yang datangnya dari dalam diri sendiri dan tanpa dipaksa oleh sesiapa. Empati inilah yang menjadikan manusia bertamadun sifatnya.

Sifat ini bermula dari kecil lagi. Banyak kajian menunjukkan ia bermula dari peringkat usia awal kanak-kanak.
Inilah usia kritikal di mana tingkah laku prososial dipupuk sehingga terpateri di jiwa seorang insan sebagai satu nilai.
Inilah usia kritikal bila mana sel-sel otak atau jaringan neural terbentuk. Apabila jaringan neural yang membentuk empati ini dihubungkan dari kecil melalui aktiviti-aktiviti yang menggalakkannya dan berterusan digalakkan oleh ibubapa dan guru untuk diamalkan oleh anak-anak, sifat empati ini akan kekal sehingga tua. Tetapi kiranya dipupuk waktu kecil tetapi tidak diamalkan, jaringan neural ini akan dicantas apabila memasuki usia remaja bilamana otak manusia melalui proses penstrukturan semula.

Menurut kajian psikologi ada banyak sebab empati ini boleh hilang atau tidak pernah ada langsung dalam diri seseorang. Walau bagaimanapun saya tertarik dengan satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji dari University of Cardiff dan dibentangkan di konferens tahunan Society for Endocrinology pada tahun 2016.

Dalam kajian tersebut, mereka menganalisa tingkah laku pesakit-pesakit yang menghidap penyakit yang menyebabkan turunnya paras hormon oksitosin. Hormon oksitosin ini juga dikenali sebagai ‘love hormone’ atau hormon kasih sayang. Sejurus selepas lahir, kita mendapat bekalan oktison atau hormon kasih sayang ini daripada sentuhan dan belaian ibu kita dan juga melalui susu ibu. Sesungguhnya kasih sayang dan ibu tidak dapat dipisahkan.

Walau bagaimanapun, setelah dikaji, pesakit-pesakit yang mempunyai kadar oksitosin yang rendah ini juga didapati tidak dapat menyempurnakan tugasan yang melibatkan empati atau memahami perasaan orang lain, dengan baik. Pengkaji mencadangkan agar mereka diberikan penambahan ataupun gantian oktison untuk membantu kesihatan psikologi mereka supaya dapat dikembalikan empati itu dalam diri mereka.

Bila dikaitkan kajian tersebut dan kejadian di AEON Tebrau semalam, maka marilah kita cukupkan malah limpah ruahkan kasih sayang kepada anak-anak kita supaya mereka membesar malah menua sebagai generasi yang mempunyai empati yang tinggi terhadap orang lain. Anak-anak memerlukan banyak sentuhan, pelukan dan ciuman tidak kiralah lelaki atau perempuan, kecil, remaja atau dewasa. Tidak ada hukum yang mengatakan haram memeluk dan mencium anak sebagai seorang ayah dan ibu yang waras akal fikirannya.

Galakkan anak-anak kita supaya banyak berinteraksi dengan manusia dan bukannya dengan mesin supaya mereka lebih peka dan memahami perasaan dan kesusahan manusia.

Kiranya berlaku lagi kejadian seumpama di AEON Tebrau satu hari nanti, anak kita yang mempunyai empati yang tinggi ini akan berfikir :
“Kasihan dengan pekerja-pekerja di sini. Aku tidak boleh menyusahkan mereka. Mereka juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan.”

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Link berita: https://www.nst.com.my/news/nation/2018/04/356368/aeon-tebrau-city-left-shambles-after-tmj-sponsored-shopping-binge

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s