‘Meroyan’ Yang Disalahgunakan

Saya lihat sekarang ini perkataan ‘meroyan’ digunakan sewenang-wenangnya dalam pelbagai konteks yang tidak kena sehingga menenggelamkan maksud sebenar perkataan tersebut.
Meroyan adalah isu kesihatan mental yang sangat serius dan tidak seharusnya dibuat bahan gurauan.

Apabila si ibu sampai ke peringkat ‘halusinasi’ seperti dalam kes ini, ia menunjukkan bahawa si ibu sudah sampai ke tahap ke 3 atau tahap paling kronik dalam meroyan atau dikenali sebagai Postpartum Psychosis.

Melahirkan anak bukanlah proses yang mudah. Hanya yang melaluinya yang tahu dan faham trauma yang dialami ketika bersalin. Ia bukan sahaja melibatkan fizikal si ibu, malah juga melibatkan emosi dan mental ibu.

Beberapa tahun lalu dalam sebuah sesi yang saya hadiri, seorang Pakar perbidanan dan sakit puan menerangkan bahawa emosi seorang ibu mengambil masa lebih lama dari fizikal si ibu untuk pulih sepenuhnya selepas bersalin. Ini untuk proses mengandung dan kelahiran yang biasa dan normal, belum lagi mengambil kira proses mengandung dan kelahiran yang sukar dan bermasalah.

APA DAN SIAPA YANG PENTING?

1) Sokongan suami sangat sangat sangat penting. Tidak ada perkataan yang dapat saya gunakan untuk menggambarkan kepentingan peranan dan sokongan si suami.
Layanlah si isteri seperti permaisuri. Kalau sebelum ini sudah pun dilayan seperti permaisuri, layanlah seperti permaisuri segala permaisuri.
Pikullah tanggungjawab menjaga bayi bersama-sama.
Bukanlah isteri sengaja mengada-ngada dengan kerenah dan permintaan. Perubahan hormon boleh mempengaruhi sikap dan tangkah laku isteri. Ini hanyalah sementara.
Bersabarlah. Bukankah anak kamu juga yang dilahirkan wahai ayah.

2) Ayah, ibu, mertua, adik beradik, ipar duai juga memainkan peranan yang penting. Janganlah memberi pelbagai tekanan dari pelbagai sudut kepada ibu yang baru bersalin. Janganlah diganggu jiwa dan emosi ibu dengan kerenah anda yang macam-macam. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaannya. Ibu baru bersalin sifatnya hypersensitive. Anda yang sepatutnya menjadi lebih sensitif dengan keadaan si ibu bukannya dia yang perlu menjaga hati anda sepanjang masa.

3) Mak cik-mak cik dan rakan-rakan pula janganlah terlampau galak dengan nasihat dan kritikan yang pelbagai sehingga membebankan emosi si ibu yang sudah semulajadinya terkesan dengan proses kelahiran. Berilah ruang dan peluang untuk si ibu berehat dan memikirkan sendiri halatuju keluarganya. Jika dia memerlukan nasihat, dia akan bertanya. Jika dia tidak bertanya, dia tidak memerlukan khidmat sukarela anda. Simpanlah dulu.

Postpartum depression (PPD) atau meroyan boleh dialami oleh sesiapa saja. Walau bagaimanapun wanita yang berisiko tinggi adalah mereka yang*:

*Pernah melalui episod meroyan atau PPD sebelum ini.
*Mengalami kemurungan ketika mengandung.
*Mempunyai sejarah kemurungan (depression) atau isu kesihatan mental yang lain.
*Melalui kehidupan atau pengalaman yang menekan.
*Tidak mempunyai sokongan sosial yang kuat dari orang terdekat.
*Mempunyai masalah rumahtangga.

Pantaulah isteri, anak/menantu, adik/kakak, dan rakan anda dan bawa si ibu untuk mendapatkan rawatan pakar kesihatan jika kemurungan atau kesedihan ibu berpanjangan sehingga mengganggu tugasan dan fungsi harian mereka.
Jangan ditunggu sehingga dia berhalusinasi kerana jika sampai ke tahap itu ia bermakna bahawa bebanan emosi dan mental itu sudah terlalu lama ditanggungnya.

meroyan

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

*Sumber: MGH Center for Women’s Mental Health.

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kanak-kanak-maut-dikelar-ibu-kandung-178363

Mendidik Anak-anak Lelaki Menghormati Kanak-kanak Perempuan – Video

Ini adalah usaha yang proaktif oleh Kenya dalam menangani gejala rogol dalam masyarakat mereka.

Tahukah anda di negara kita seramai 13,272 kanak-kanak di bawah usia 16 tahun dilaporkan telah di rogol di antara tahun 2010 sehingga Mei 2017?

Dalam menangani apa saja gejala, isu atau masalah dalam masyarakat, mencegah adalah lebih baik dari mengubati. 
Anak-anak lelaki harus dididik untuk menghormati kanak-kanak perempuan supaya mereka membesar menjadi lelaki yang menghormati wanita.
Gurauan, sindiran, siulan dan komen di media sosial yang berbau seksual dan mengobjektifikasikan wanita seharusnya dikecam oleh masyarakat umum.

Banyak program yang diadakan di negara kita lebih memfokuskan kepada pemerkasaan kanak-kanak dan remaja perempuan supaya mereka dapat melindungi diri mereka dari gejala ini.
Program-program pemerkasaan kanak-kanak dan remaja lelaki untuk menghormati dan melindungi wanita juga harus diadakan supaya mereka dapat memahami kepentingan dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat.

Jom perkasakan anak lelaki dan anak perempuan kita menuju negara yang lebih harmoni.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

AEON Tebrau – Pokok Pangkalnya Adalah Empati (Empathy)

aeon

Kredit Gambar: NST

Empati adalah keupayaan manusia untuk mengenalpasti, memahami dan menyelami perasaan dan kesusahan orang lain.
Adanya empati ini membantu manusia untuk memiliki tingkah laku prososial yang datangnya dari dalam diri sendiri dan tanpa dipaksa oleh sesiapa. Empati inilah yang menjadikan manusia bertamadun sifatnya.

Sifat ini bermula dari kecil lagi. Banyak kajian menunjukkan ia bermula dari peringkat usia awal kanak-kanak.
Inilah usia kritikal di mana tingkah laku prososial dipupuk sehingga terpateri di jiwa seorang insan sebagai satu nilai.
Inilah usia kritikal bila mana sel-sel otak atau jaringan neural terbentuk. Apabila jaringan neural yang membentuk empati ini dihubungkan dari kecil melalui aktiviti-aktiviti yang menggalakkannya dan berterusan digalakkan oleh ibubapa dan guru untuk diamalkan oleh anak-anak, sifat empati ini akan kekal sehingga tua. Tetapi kiranya dipupuk waktu kecil tetapi tidak diamalkan, jaringan neural ini akan dicantas apabila memasuki usia remaja bilamana otak manusia melalui proses penstrukturan semula.

Menurut kajian psikologi ada banyak sebab empati ini boleh hilang atau tidak pernah ada langsung dalam diri seseorang. Walau bagaimanapun saya tertarik dengan satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji dari University of Cardiff dan dibentangkan di konferens tahunan Society for Endocrinology pada tahun 2016.

Dalam kajian tersebut, mereka menganalisa tingkah laku pesakit-pesakit yang menghidap penyakit yang menyebabkan turunnya paras hormon oksitosin. Hormon oksitosin ini juga dikenali sebagai ‘love hormone’ atau hormon kasih sayang. Sejurus selepas lahir, kita mendapat bekalan oktison atau hormon kasih sayang ini daripada sentuhan dan belaian ibu kita dan juga melalui susu ibu. Sesungguhnya kasih sayang dan ibu tidak dapat dipisahkan.

Walau bagaimanapun, setelah dikaji, pesakit-pesakit yang mempunyai kadar oksitosin yang rendah ini juga didapati tidak dapat menyempurnakan tugasan yang melibatkan empati atau memahami perasaan orang lain, dengan baik. Pengkaji mencadangkan agar mereka diberikan penambahan ataupun gantian oktison untuk membantu kesihatan psikologi mereka supaya dapat dikembalikan empati itu dalam diri mereka.

Bila dikaitkan kajian tersebut dan kejadian di AEON Tebrau semalam, maka marilah kita cukupkan malah limpah ruahkan kasih sayang kepada anak-anak kita supaya mereka membesar malah menua sebagai generasi yang mempunyai empati yang tinggi terhadap orang lain. Anak-anak memerlukan banyak sentuhan, pelukan dan ciuman tidak kiralah lelaki atau perempuan, kecil, remaja atau dewasa. Tidak ada hukum yang mengatakan haram memeluk dan mencium anak sebagai seorang ayah dan ibu yang waras akal fikirannya.

Galakkan anak-anak kita supaya banyak berinteraksi dengan manusia dan bukannya dengan mesin supaya mereka lebih peka dan memahami perasaan dan kesusahan manusia.

Kiranya berlaku lagi kejadian seumpama di AEON Tebrau satu hari nanti, anak kita yang mempunyai empati yang tinggi ini akan berfikir :
“Kasihan dengan pekerja-pekerja di sini. Aku tidak boleh menyusahkan mereka. Mereka juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan.”

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Link berita: https://www.nst.com.my/news/nation/2018/04/356368/aeon-tebrau-city-left-shambles-after-tmj-sponsored-shopping-binge

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Al-Hijrah – Beratnya Bahu Along

Saya dijemput ke Segmen Kekeluargaan program Assalamulaikum di TV Al Hijrah pagi tadi untuk membincangkan topik berkaitan anak sulung, “Beratnya Bahu Along”.

Saya tertarik dengan soalan hos rancangan berkaitan anak sulung yang seringkali mengalah dengan adik-adik. Benarkah begitu?
Secara umumnya, ya, tetapi tidak semua begitu.

alhijrahalong

Sebagai ibubapa, kita seharusnya pandai menilai situasi dan tidak terlalu cepat meminta anak sulung mengalah hanya kerana dia lebih tua. Selain dari cuba membentuk sifat bertanggungjawab dalam diri anak sulung, kita juga seharusnya membentuk sikap dan akhlak anak yang lain juga.

Jika anak sulung seringkali disuruh mengalah setiap kali berlakunya konflik antara anak-anak, kita sebenarnya tidak membantu untuk membentuk karakter anak yang lain. Kita harus mendidik anak-anak untuk menguruskan konflik dengan penyelesaian masalah (problem solving) dan bukannya lari dari masalah.

Banyak faktor yang membentuk keperibadian anak-anak. Susun atur kelahiran (birth order) adalah salah satu daripadanya. Anak sulung selalunya mendapat perhatian 100% daripada ibubapa kerana mereka tidak perlu ‘berkongsi’ perhatian selagi mereka belum ada adik. Perhatian ini membantu perkembangan emosi dan membentuk keperibadian mereka juga.

Selain itu jarak usia antara adik beradik, jantina, layanan dan harapan ibubapa, persekitaran dan harapan masyarakat juga membentuk keperibadian seorang anak.

Kajian yang dibuat oleh Fakulti Pendidikan UKM dan diterbitkan dalam World Applied Sciences Journal pada tahun 2011 mendapati bahawa kualiti dan corak komunikasi antara ibubapa dan anak, dan juga agihan tugasan dalam keluarga oleh ibubapa dapat mendidik anak-anak untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, tidak kira sama ada anak sulung, tengah ataupun bongsu.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Menyoal Bukan Petanda Biadap

Anak-anak yang biasa diasuh dan diasah pemikirannya oleh ibubapa dan guru-guru akan menyoal.

soalan

Kredit Gambar: Google

Akan tiba satu tahap di mana anak akan mula berfikir secara abstrak. Mereka tidak lagi melihat sesuatu yang hanya ada di depan mata sahaja malah dapat membayangkan segala kemungkinan yang tidak kelihatan.

Apabila sampai ke tahap ini mereka akan banyak menyoal dan mempersoalkan.
Mereka akan punya idea dan pemikiran mereka yang tersendiri mungkin berbeza daripada kita.

Galakkan dan sokonglah perkembangan pemikiran ini dan bukannya menekan dengan menyuruh mereka diam.

Menyoal bukan petanda biadap.
Menyoal bermakna pemikiran mereka berkembang mengikut aturan yang normal.
Ajari mereka adab menyoal.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak-anak Kecil Sifatnya Taat

 

Anak-anak kecil sifatnya taat.

Dia sanggup buat apa saja asalkan dapat pengiktirafan (approval) daripada ayah dan ibu.
Ayah hukum anak berusia 3 tahun tidur lewat untuk cantikkan tulisan huruf A pun dia akur.
Ibu daftar tiusyen sana sini untuk ‘pandaikan’ dia pun dia ikut.
Ayah hantar kelas itu ini supaya dia dapat bersaing pun dia redha.
Bukannya tidak boleh, tetapi fizikal, mental dan emosi yang masih mentah itu perlukan juga rehat.
Mereka berkembang dengan baik (thrive) apabila mereka cukup rehat.
Bermain adalah merehatkan bagi kanak-kanak.

Anak-anak remaja saya pernah memberi pendapat bahawa remaja perlu diberi ruang yang sesuai untuk beriadhah. Apabila remaja tiada ruang dan peluang yang betul, mereka akan mencari ruang dan peluang yang tidak sepatutnya untuk melepaskan tenaga yang terpendam. Kerana itulah kita melihat pelbagai masalah seperti berbasikal di tempat yang tidak sepatutnya ataupun memanjat papan tanda dan membawa kepada masalah sosial yang lain.

Orang dewasa pun kalau sepanjang hari di ofis mengadap kerja, sesak nafas juga dibuatnya.

Bacalah apa kata Imam Ghazali.

taat

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Krisis Hormat Dalam Masyarakat Kita

respect

Kredit Imej: Shutterstock

Saya terdengar seorang ibu di kaunter pembayaran meminta anak kecilnya mengucapkan terima kasih kepada kashier yang menyerahkan bungkusan coklat kepada anak kecil itu.

Saya terdengar seorang ayah menyuruh anaknya mengucapkan terima kasih kepada pekerja yang menyapu sampah kerana mengutip mainan anaknya yang terjatuh.

Saya terdengar seorang ibu meminta anak-anaknya mengucapkan terima kasih kepada pelayan sebuah restoren apabila dia membawa makanan yang mereka pesan.

Saya terdengar seorang ibu bertanya anaknya “Cakap thank you tak pada teacher?”. Tanpa sempat menjawab anak itu terus berlari ke arah seorang wanita dan berkata sesuatu kepada wanita tersebut. “Thank you” saya rasa.

Tahukah anda di UK dan di Jepun (dan mungkin beberapa negara lagi) pemandu mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pemandu di belakang yang memberi laluan, dengan mengelipkan ‘hazard light’ sebanyak dua/tiga kali?

Begitu sekali keinginan mereka mengucapkan terima kasih walaupun dalam keadaan tidak boleh berkata-kata.

Kerana sudah terbiasa di UK, saya selalu mengamalkannya di Malaysia sekarang dan beberapa kali juga menerima ‘ucapan’ tersebut dari kenderaan di hadapan.
Seronok rasanya.


Kita banyak mendengar tentang krisis hormat dalam masyarakat kita.

Asas memupuk rasa hormat dalam diri anak-anak adalah dengan mendidik anak untuk mengucapkan ‘Terima kasih’ kepada sesiapa saja yang memberikan bantuan, perkhidmatan ataupun sesuatu seperti contoh ibubapa mithali di atas.

Simple.

Perkataan ‘terima kasih’ dalam apa bahasa sekalipun sepatutnya menjadi antara perkataan pertama yang diajar kepada anak sebaik sahaja anak boleh berkata-kata supaya menjadi satu tabiat dan lama kelamaan menjadi nilai yang diamalkan tanpa disuruh.

Usah dijadikan “Anak saya malu” sebagai satu alasan untuk membiarkan anak tidak mengucapkan terima kasih.

Jika ibubapa sendiri sombong dan kedekut untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang dirasakan lebih ‘rendah’, lebih miskin, lebih hina walaupun mereka memberi bantuan dan perkhidmatan, kita hanya akan melahirkan generasi yang bodoh sombong.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Hentikan Menular Wajah dan Identiti Suspek Kanak-kanak

Dengan apa yang berlaku, ramai yang berpendapat bahawa kita kini perlu ‘menjaga tepi kain orang’ untuk sama-sama memantau dan mendidik anak-anak kita.
Walau bagaimanapun keghairahan menular di media sosial telah menggalakkan sesetengah pihak ‘menyingkap dan melondehkan kain orang’ hingga merumitkan apa yang sudah sedia sukar.

vend

Hentikan menular wajah dan identiti suspek kanak-kanak kerana sebagai orang dewasa akal kita sepatutnya lebih panjang daripada mereka.

Terima Kasih

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apabila Anak Orang Lain Mengamuk

Secara umumnya terdapat dua jenis amukan kanak-kanak yang biasa kita lihat di  tempat awam atau pun apabila berkunjung ke majlis-majlis atau rumah rakan dan saudara-mara.

1. Amukan kerana tidak mendapat apa yang diingini. Ini adalah ‘tantrum’ yang sering kita alami dan lihat berlaku kepada anak orang lain juga.

2. Amukan kerana anak terlalu terbeban dengan pelbagai stimulasi di persekitaran seperti terlalu ramai orang, terlalu bising, terlalu berwarna-warni ataupun suhu tempat yang tidak sesuai. Ini dikenali sebagai ‘sensory meltdown’ yang berlaku apabila sensori atau deria anak terlalu terbeban dengan stimulasi berlebihan.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi di mana anda melihat anak orang lain mengamuk di depan mata anda. Apa yang anda lakukan? Adakah anda hanya berlalu seolah-olah tidak nampak? Adakah anda memberi nasihat? Adakah anda membantu? Adakah anda senyum? Atau adakah anda bersyukur itu bukannya anak anda yang mengamuk?

 

anakorang

 

APABILA ANAK ORANG LAIN MENGAMUK.

1) Tidak perlulah memberi nasihat kepada ayah atau ibu anak tersebut jika anda tidak tahupun sebab anak itu mengamuk.

Jangan membuat andaian.

Jika anak kita sering mengamuk kerana inginkan sesuatu, anak orang lain mungkin mengamuk kerana stimulasi yang berlebihan. Memberi nasihat seperti “Jangan beri muka sangat pada anak tu!” mungkin tidak berkaitan langsung dengan asbab amukan anak tersebut.
Nasihat seperti “Anak ini mengantuk ni. Tidurkanlah dia.” adalah sama sekali tidak releven kiranya anak tersebut cukup tidurnya tetapi amukannya disebabkan oleh lapar.
Andaian anda mungkin tidak betul.

BAGAIMANA ANDA BOLEH MEMBANTU?

Berilah nasihat hanya apabila diperlukan.

Jangan menambahkan tekanan yang sedia ada dengan nasihat berbau kritikan, sindiran atau ‘holier-than-thou’.
Amukan anak bukanlah disebabkan kegagalan ‘parenting’ semata-mata, ia berlaku kerana anak belum atau tidak pendai meluahkan kekecewaan dengan cara yang betul.

2) Tidak perlulah merenung (stare) anak beranak tersebut sehingga mewujudkan perasaan tidak selesa mereka. Cukuplah sekadar memandang sekali lalu. Jika bertentang mata secara tidak sengaja, senyumlah kepada ayah atau ibu yang sedang berhempas pulas itu dengan senyuman memahami bukannya dengan senyuman sinis atau senyuman lega “Alhamdulillah itu bukan anak saya!”

Tidak perlu juga memandang dengan pandangan “Oh comelnya anak itu mengamuk” kerana Tuhan saja yang tahu comel atau tidak situasi sebegini kepada kedua ayah dan ibu anak tersebut.

BAGAIMANA ANDA BOLEH MEMBANTU?

Jika ayah atau ibu tersebut memerlukan bantuan bersifat fizikal contohnya kerana air tertumpah, atau barang terlalu banyak untuk dibawa atau perlu bantuan menolak stroller atau perlu bantuan membuka pintu dan sebagainya, hulurkanlah bantuan tersebut. Atau mungkin ketika di rumah rakan atau saudara-mara ayah atau ibu tersebut memerlukan seseorang untuk tengok-tengokkan anak yang tidak mengamuk sementara menguruskan anak yang mengamuk, anda mungkin boleh membantu.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Terdapat 4 Jenis Penderaan Kanak-kanak

1) Penderaan fizikal
Seorang kanak-kanak dikira sebagai mengalami penderaan fizikal jika terdapat tanda-tanda kecederaan yang boleh dilihat di tubuh kanak-kanak dan kecederaan ini bukan disebabkan oleh kemalangan. Terdapat bukti seperti luka, calar, melecet, berparut, patah atau kecederaan tulang, terseliuh, pendarahan, luka di kulit, kebakaran, melecur, hilang kewarasan atau hilang fungsi psiko logikal atau kehilangan rambut dan gigi.
(Akta kanak-kanak 2001)

2) Penderaan emosi
berlaku apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.
(Akta Kanak-kanak 2001)

3) Penderaan seksual
berlaku apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dan menjadi mangsa dari segi seks. Jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.
(Akta kanak-kanak 2001)

4) Pengabaian (Neglect)
kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.

There’s no such thing as someone else’s child. Semua kanak-kanak adalah anak-anak kita.

violence

#‎ENDViolence‬

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect