Anak Sering Bertukar Penjaga

babysitter

Kredit Gambar: Google

Ini adalah antara cabaran yang kerap dikemukakan oleh ibubapa, penjaga dan guru kepada saya.

Tahukah anda anak kecil yang sering bertukar-tukar penjaga atau bertukar-tukar nurseri/taska menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri secara sosial (social adjustment)?

Sebuah kajian yang dijalankan oleh Frank Porter Graham Child Development Institute (FPG) pada tahun 2014 menunjukkan bahawa gangguan atau ketidakstabilan dalam penjagaan awal kanak-kanak memberi kesan yang negatif kepada perkembangan sosial kanak-kanak dari seawal usia 4 tahun. Kesukaran sosial ini ditunjukkan melalui tingkah laku anak yang sukar dikawal, membantah dan memberontak terutamanya apabila mula memasuki alam persekolahan formal.

Kenapakah ini boleh berlaku?

Antaranya:

1) Kecenderungan utama anak kecil adalah untuk mendapatkan perhatian penjaga utamanya (primary caregiver). Apabila penjaga sering bertukar-tukar, anak kecil perlu menukar cara mendapatkan perhatian, berinteraksi dan berkomunikasi dengan penjaga yang baru. Anak perlu membina kepercayaan terhadap penjaga yang baru. Semua ini mengambil masa. Jika penjaga berterusan bertukar, anak akhirnya berputus asa untuk mempercayai sesiapa pun.

2) Anak kecil merasa lebih selamat dan stabil apabila penjaga menetapkan batasan atau peraturan yang melindungi anak tersebut. Apabila penjaga sering bertukar, anak perlu menyesuaikan diri dengan nilai dan peraturan yang ditetapkan oleh penjaga yang baru pula.

Nilai dan peraturan yang tidak konsisten menyebabkan anak kecil memberontak kerana rasa tidak selamat dan keliru.

3) Setiap penjaga mempunyai pembawaan, personaliti dan teknik yang tersendiri sewaktu menjaga dan mendidik anak-anak. Apabila penjaga sering bertukar-tukar, anak perlu menyesuaikan diri dengan pembawaan, personaliti dan teknik yang digunakan oleh penjaga yang baru pula yang sudah tentunya berbeza dari sebelum ini.
Mencari penyesuaian ini mengambil masa dan membebankan bagi anak kecil.

Bertukar dari satu penjaga ke penjaga yang lain bukanlah proses yang mudah untuk perkembangan sosial dan emosi anak kecil yang masih baru hendak berkembang. Emosi mereka terganggu dan terbeban. Apabila emosi terganggu, perkembangan sosial mereka juga terjejas. Inilah yang menyebabkan anak menunjukkan tingkahlaku anti-sosial terutamanya apabila mereka tidak tahu bagaimana untuk meluahkan kekecewaan, kekeliruan dan rasa kehilangan dalam diri mereka.

Ayah dan ibu perlu memahami apa yang sedang mereka lalui tanpa menghukum. Bimbinglah emosi dan tingkahlaku anak. Anda perlu sentiasa hadir secara fizikal dan juga memberi sokongan emosi kepada anak kerana jika keadaan ini berterusan, anak akan menghadapi kesukaran untuk membina perhubungan yang positif apabila dewasa kerana hilangnya kepercayaan kepada orang sekeliling sejak kecil.

Anak kita tanggungjawab kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s