Amirul Afiq Sebagai ‘Role Model’

Amirul Afiq, anak muda yang boleh dijadikan ‘role model’ untuk anak-anak kita dalam mengejar impian dan cita-cita.

afiq

Kredit Gambar: Utusan

Cita-citanya hanya satu, ingin belajar di luar negara. Dengan latar belakang keluarga yang tidak harmoni, ayah seorang penagih dadah, kalau difikirkan memang ‘tidak logik’ impiannya itu akan tercapai. Namun dia membuktikan sebaliknya.

APA YANG BOLEH DIPELAJARI DARI KISAH AFIQ?

Afiq mempunyai GROWTH MINDSET.
Individu yang mempunyai growth mindset percaya bahawa intelligence (kepandaian) itu tidak tetap.
Individu yang mempunyai growth mindset percaya walau bagaimana latar belakang diri atau keluarga sekalipun, keadaan boleh diubah dengan usaha dan keazaman.

Saudara-mara Afiq yang menasihatinya mempunyai FIXED MINDSET.

Kata Afiq, “Saya masa kecil dulu hanya mampu mendengar tanpa mampu berfikir. Bila saudara mara tanya UPSR nak berapa? Saya jawab nak 5A.”
“Saya ingat lagi mereka cakap, “jangan ‘target’ tinggi sangat, biasa-biasa sahaja cukup.”

Yalah suruh realistik sikit mungkin sebab keluarga kami tidak pandai.

Contoh kata-kata FIXED MINDSET.
“Jangan target tinggi sangat, biasa cukup.”
“Realistik sikit, keluarga kita tidak pandai”
“Kamu di kelas hujung, kalau kamu dapat A saya makan kasut saya.”
“Tak payah lah study sangat, level kita C saja.”
“Alaa mustahil boleh score Math.”

Kisah Afiq ini bukan tentang bilangan A dalam peperiksaan, tetapi tentang GROWTH MINDSET, usaha dan keazaman.

Syabas anak muda.

Boleh google growth mindset, fixed mindset, Carol Dweck untuk info lanjut.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

http://m.utusan.com.my/berita/nasional/kabel-saya-ada-di-atas-sana-afiq-1.680992

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Cinta Tiga Segi

Anda sedang tekun membaca berita-berita pasca PRU di media sosial. Banyak yang perlu anda teliti dan ambil tahu kerana banyak perubahan baru yang berlaku dan bakal berlaku. Banyak juga komen yang perlu anda lontarkan di media sosial sebagai tanda setuju ataupun tidak setuju dengan pengguna media sosial yang lain.

Dari tadi lagi anak memanggil-manggil anda kerana inginkan biskut yang dibeli semalam. Biskut itu diletakkan di kabinet atas yang tidak tercapai oleh anak.
Anda acuh tak acuh, dengar tak dengar kerana seluruh tumpuan otak anda adalah pada isu yang menjadi panas di media sosial.

Anak datang menghampiri dan menarik telefon yang berada di genggaman anda lalu telefon terhempas ke lantai.

Apakah yang berlaku selepas itu?
Kita bertenang, senyum dan mesra dengan anak atau kita menyinga kerana anak kita dikatakan tidak ‘behave’?
Adakah kita peluk anak kita atau kita hukum dia?

chictribu


 

Kadang-kadang kita merungut, anak zaman sekarang tidak sama seperti anak zaman dahulu yang lebih patuh dan taat. Kita mula membandingkan anak-anak sekarang dengan diri kita yang lebih baik semasa kecil dahulu.
Pernahkah kita terfikir mungkinkah perubahan pada gaya hidup dan sikap ibubapa itu sendiri juga menyebabkan sikap anak-anak zaman sekarang tidak sama seperti anak-anak zaman kita kecil dulu?

Ibubapa kita zaman dahulu tidak ada gajet.
Mereka tidak melekat dan ketagih telefon pintar.
Mereka tidak ada whatsapp, Facebook dan Instagram untuk mengisi masa senggang dan masa bosan mereka.
Mereka tidak ketagih gajet sehinggakan sentiasa wujud ‘orang ketiga’ ketika waktu yang sepatutnya diluangkan untuk bermain dengan anak, makan dengan anak, berlibur dengan anak, dan ‘bonding’ dengan anak.

‘Orang ketiga’ inilah menyebabkan renggangnya ‘connection’ kita dengan anak dan kurangnya ‘eye contact’ kita dengan anak.

Kita lebih connect dengan orang ketiga berbanding anak-anak kita. Kita lebih banyak ‘eye contact’ dengan ‘orang ketiga’ berbanding dengan anak-anak kita.

Cuba renung kembali, adakah cinta tiga segi ini wujud dalam perhubungan antara kita dan anak-anak kita?

Kurangnya ‘connection’ fizikal dan emosi dan kurangnya ‘eye contact’ inilah yang menjadi permulaan kepada sikap dan tingkah laku anak-anak yang menguji kesabaran kita. Bahasa tubuh kita akan menceritakan kepada anak akan nilai mereka kepada kita dan sejauh mana mereka penting buat kita.

Kita selalu bercakap tentang kanak-kanak dan gajet tetapi kita jarang bercakap tentang ibubapa dan gajet.

Ingat:

1) ‘CONNECTION’ FIZIKAL DAN EMOSI
2) ‘EYE CONTACT’

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy.

Berita penuh: http://www.chicagotribune.com/…/ct-parents-technology-addic…

Imam, Kanak-kanak dan ‘Sticker’

Mereka cuma anak-anak kecil berusia di antara 5 hingga 7 tahun. Masjid di kawasan perumahan di Wakra, Doha menjadi tumpuan yang tidak asing lagi bagi mereka. Apabila azan berkumandang mereka akan memenuhi saf-saf sebagai makmum. Tidak ada sesiapa yang melarang mereka dari berdiri bersama-sama dengan makmum dewasa yang lain walaupun di saf paling hadapan. Mereka bebas memilih tempat mereka tanpa arahan daripada orang dewasa untuk ke tepi, ke belakang atau ke ruang khas hanya kerana mereka anak-anak kecil.

doha

Usai solat berjemaah, mereka kalut mendapatkan buku kecil masing-masing yang disimpan di dalam almari khas berhampiran dengan Imam. Mereka berebut-rebut untuk bersalam dengan Imam sambil memegang buku kecil masing-masing. Imam yang berusia lingkungan 60 tahun tidak jemu melayan anak-anak kecil yang menjadi makmumnya. Dengan jari jemari yang tidak lagi muda, Imam mengopek ‘sticker’ kartun untuk dilekatkan di dalam buku-buku anak-anak kecil ini. ‘Sticker’ itu menjadi motivasi mereka untuk solat berjemaah di masjid itu. Di kala kanak-kanak lain mungkin masih bertatih bersolat sendirian, mereka lebih maju ke hadapan dengan belajar bersolat berjemaah di masjid dengan konsisten. Insya-Allah, apabila anak-anak ini makin membesar, mereka akan terus konsisten solat berjemaah di masjid walaupun tidak lagi teruja untuk mendapatkan ‘sticker’ semata-mata.

Ada yang berpendapat bahawa motivasi intrinsik atau motivasi dalaman diri akan memberi kesan yang berkekalan berbanding motivasi ekstrinsik (luaran) seperti ‘sticker’. Bagi anak-anak kecil, apa saja yang menyukakan dan menggembirakan hati mereka akan menjadi dorongan untuk mereka belajar. Paksaan dan tekanan akan hanya menambahkan hormon kortisol dalam otak yang akan membantutkan proses pembelajaran kerana stres.

Learning must be fun for it to be effective.

Faktor pendidik yang ‘sporting’ dan memahami jiwa kanak-kanak juga penting sebagai motivasi pembelajaran. Siapa kata hanya orang muda sahaja yang memahami kanak-kanak? Orang tua, waima Imam sekalipun akan memahami keperluan dan jiwa kanak-kanak jika dia berusaha untuk mendekati dan menyantuni mereka.

Imam di kawasan perumahan saya pernah berpesan kepada ibubapa yang membawa anak untuk bersolat di masjid agar mengajak anak masing-masing berdiri di sebelah ibu atau ayah bersama makmum yang lain. Kata Imam, anak-anak kecil ini akan berpeleseran dan mengganggu Jemaah lain jika mereka diletakkan di belakang sesama kanak-kanak. Oleh kerana itulah adalah lebih baik untuk mereka berada di dalam saf bersama orang dewasa.

Itulah Imam yang memahami kanak-kanak.

Ganjaran luaran seperti ‘sticker’ ada kalanya diperlukan untuk membentuk atau mengubah tingkah laku kanak-kanak. Apabila tabiat sudah mula terbentuk, pemberian ‘sticker’ bolehlah dihentikan. Menurut Jessica Lahey dalam buku “The Gift of Failure”, ganjaran yang berlebihan akan melunturkan kembali motivasi dalaman yang telah terbina. Oleh itu berpada-padalah dalam memberi ganjaran kerana ia kemungkinan hanya akan memudaratkan anak-anak. Apabila anda meminta anak melakukan sesuatu tugasan dan anak bertanya apakah ganjarannya, Itu bermakna anda harus menilai kembali kaedah keibubapaan anda.

Refleksi dari Doha, Qatar.
Disember 2017

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Melentur Buluh Dari Rebungnya

brain

SITUASI 1
Pernahkah bayi anda menendang-nendang kakinya dan mengepak-ngepakkan tangannya dengan reaksi gembira apabila anda pakaikan bib untuknya?

Pernahkah terlintas di fikiran anda bahawa reaksi itu terhasil kerana bayi anda sedang berfikir?

Apabila kita pakaikan bib, bayi meramalkan (predict) bahawa sekejap lagi dia akan disuapkan makanan.

Ramalan ini dibuat berdasarkan pengalaman yang sudah dilaluinya sebelum ini. Bayi mengumpulkan maklumat yang ada dan meramal.
Meramal adalah salah satu elemen berfikir.

SITUASI 2
Pernahkah anak kecil anda mencampakkan sudu dari ‘high chair’ di meja makan dan merengek supaya anda mengutipnya? Apabila dikutip dia jatuhkan sudu semula dan merengek untuk dikutip? Dan mungkin proses ini berterusan sehingga anda biarkan saja tanpa mengutipnya dan dia pun berhenti merengek?

Pernahkah terlintas di fikiran anda bahawa anak kecil anda bukannya sengaja menguji kesabaran anda? Dia juga sedang berfikir.

Anak kecil ini cuba memahami proses kesan dan akibat (cause and effect).
“Apakah yang berlaku jika saya lakukan sebegini?”
“Adakah kesannya sama setiap kali?”

Memahami ’cause and effect’ adalah satu elemen berfikir yang ada dalam diri anak secara semulajadi dan perlu sentiasa dipupuk. Bukankah elemen ini perlu sehingga ke tua?

SITUASI 3
Pernahkah anak kecil anda menangis kerana kecewa dia gagal menyambungkan blok-blok binaannya? Apabila anda menunjukkan kepadanya cara melakukannya dia akhirnya tahu bagaimana caranya dengan meniru langkah-langkah yang ditunjukkan?

Meniru (imitation) juga adalah satu elemen berfikir. Dalam konteks ini ia menggabungkan skil pemerhatian, skil motor halus, koordinasi, dan perancangan untuk menghasilkan sesuatu yang sama seperti dilihatnya.

SITUASI 4
Adakah anak anda bertanya banyak soalan kepada anda?
Adakah dia bertanya soalan-soalan pelik yang anda sendiri tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya seperti “Kenapa air basah?” dan sebagainya?

Pernahkah anda terfikir bahawa apabila dia menyoal tidak mengira masa dan tempat, tidak mengira anda letih atau tidak, itu tandanya otaknya sedang ligat berfikir.

Menyoal (questioning) adalah juga satu elemen berfikir. Anak sedang cuba untuk mengumpulkan maklumat-maklumat untuk membentuk pemahaman tentang persekitarannya.

Pada siapakah lagi dia akan bertanya jika bukan pada adiwira dalam hidupnya?

Ini adalah antara contoh-contoh dalam kehidupan seharian anak yang menunjukkan bahawa anak berfikir sejak bayi lagi. Proses berfikir ini sering dipamerkan melalui tindak tanduknya yang mungkin kira rasakan biasa-biasa saja atau mungkin kita naik angin kerana menguji kesabaran kita. Sebenarnya tidak ada satu pun perbuatan semulajadi anak kecil yang sia-sia jika anda belajar untuk memahaminya.

Menggalakkan anak kecil berfikir bukanlah dengan cara memberikannya latihan yang sukar diluar kemampuannya untuk membuktikan ‘kegeniusan’ sahaja. Proses berfikir ini banyak berlaku apabila anak kecil bermain. Bermain bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect