Bagaimana Dunia Daripada Kacamata Kanak-kanak?

belajar

Kredit Gambar: Google

Kanak-kanak melihat dunia dengan pandangan yang segar setiap hari. Mereka teruja dengan setiap sesuatu di sekeliling mereka kerana ia memberi pengalaman yang baru dan berbeza.

Pernahkah anda berjumpa dengan kanak-kanak yang tidak mahu tidur kerana asyik bermain? 

Kanak-kanak sayang hendak melepaskan setiap detik pengalaman yang terlalu berharga bagi mereka.

Pernahkah anda berjumpa dengan kanak-kanak yang teruja bangun di awal pagi dan terus segar?
Kanak-kanak sentiasa tidak sabar untuk menempuh episod baru dalam hidup mereka.

Kanak-kanak melihat dunia dengan lensa baru setiap hari.
Luaskanlah penerokaan mereka supaya mereka dewasa dengan pengalaman yang pelbagai.

Pernahkah anda merasa lemas dengan soalan yang tidak putus-putus ditanya oleh kanak-kanak?

Kanak-kanak sentiasa dahagakan jawapan bagi setiap sesuatu yang dikesan oleh deria mereka. Jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ seringkali tidak memadai bagi mereka. Mereka mahukan jawapan terperinci yang akan memberi kepastian dan kebenaran. Mereka tidak akan berputus asa meneroka sehinggalah bertemu dengan jawapan yang dicari. Mereka sentiasa tertanya-tanya.

Kanak-kanak melihat dunia sebagai seorang pengkaji.
Layanlah setiap pertanyaan mereka dengan penuh sabar supaya mereka dewasa sebagai seorang yang berfikir.

Tidak seperti orang dewasa yang penuh skeptik, kanak-kanak sentiasa positif apabila berhadapan dengan situasi yang baru. Pemikiran mereka suci tanpa andaian yang buruk tentang orang lain. Mereka tidak menilai kanak-kanak lain berdasarkan warna kulit yang berbeza. Setiap kanak-kanak yang ditemui akan didekati supaya menjadi kawan mereka.

Kanak-kanak melihat dunia tanpa prejudis.
Didiklah kanak-kanak supaya meraikan perbezaan dan kepelbagaian supaya mereka dewasa sebagai seorang yang berprinsip dan berfikiran terbuka.

Ingatkah kekerapan anda bertukar cita-cita ketika kecil dulu?
Adakah cita-cita dan impian anak anda juga sering bertukar-tukar? Impian kanak-kanak tidak terbatas oleh realiti. Mereka yakin bahawa diri mereka boleh menjadi apa saja. Mereka yakin mereka boleh mencapai apa saja impian tanpa halangan. Mereka sentiasa bersedia untuk mencuba sesuatu cabaran baru tanpa keluh kesah. Mereka optimistik.

Kanak-kanak melihat dunia sebagai medan yang dipenuhi dengan peluang.
Raikanlah setiap usaha dan kejayaan kecil mereka supaya mereka dewasa dengan keyakinan diri yang tidak pernah pudar.

Suatu masa dahulu kita juga adalah kanak-kanak itu.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Postive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s