1) I AM HERE (Saya ada).
Faktor utama yang membina ‘connection’ antara ibubapa dan anak adalah ‘trust’ (percaya) dan ‘respect’ (hormat). Kata-kata “I am here” akan memberi keyakinan kepada anak bahawa walau dalam apa jua situasi dan walau menghadapi apa jua masalah dan kerumitan, ibubapa akan tetap ada di sisi anak. Berada di sisi anak bukanlah bermakna sentiasa hadir secara fizikal. Ibubapa juga perlu bekerja dan menyelesaikan urusan seharian. Pada zaman sekarang ini ibubapa boleh hadir dalam hidup anak setiap masa yang diperlukan melalui panggilan telefon, e-mail, whatsapp, telegram, dan pelbagai medium komunikasi yang ada. Ibubapa perlu sentiasa memberi indikasi bahawa mereka akan sentiasa juga hadir secara emosi untuk turut sama merasai setiap kegembiraan dan kesedihan yang dialami anak pada bila-bila masa sahaja. Jika ibubapa penuh dengan pelbagai alasan kerana tidak dapat hadir ketika waktu suka duka anak, anak akan mula hilang ‘trust’ tersebut dan mulalah mencari sumber lain yang sentiasa ada di sisi anak termasuklah di internet.
Kata-kata “I am here” ini menyedarkan anak-anak tentang betapa bernilainya mereka kepada ibubapa.
2) I HEAR YOU (Saya mendengar).
“I hear you” bukanlah bermaksud menurut apa saja kemahuan anak. Ibubapa perlu bersifat terbuka untuk mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh anak tanpa cepat mengkritik anak. Cubalah untuk mendengar sampai habis apa yang hendak diluahkan oleh anak tanpa terlalu cepat memberi cadangan. Mendengar adalah skil yang paling penting dalam komunikasi. Jika kita ingin anak mendengar cakap kita, kita hendaklah menjadi role model yang baik dalam mendengar apa saja permasalahan dan kerumitan yang mungkin dihadapi oleh anak. Apabila kita mendengar, kita juga tahu apa yang diperlukan oleh anak. Kita juga akan tahu apa tanggungjawab kita yang tidak dan belum tertunai terhadap anak. Kadang-kadang perkara yang hendak diperkatakan anak adalah amat remeh bagi kita tapi perkara itu sudah tentu besar bagi anak. Jika kita tidak mendengar, anak akan mencari sumber lain yang sudi mendengar. Jadikanlah diri kita tempat untuk anak meluahkan perasaan dan masalah.
Kata-kata “I hear you” ini mengajar anak tentang erti hormat-menghormati antara ibubapa dan anak.
3) HOW CAN I HELP? (Bagaimana boleh saya bantu?)
Anak-anak juga ada masalah mereka yang tersendiri. Sebagai orang dewasa yang berpengalaman, ada kalanya kita sendiri lemah dan buntu apabila berhadapan dengan masalah. Apabila anak menghadapi sebarang masalah, mereka mungkin menghadapi tekanan yang lebih berat disebabkan pengalaman hidup mereka yang kurang. Siapa lagi yang boleh mereka harapkan untuk membantu selain ibubapa yang merupakan orang terdekat dengan mereka. Ringan-ringanlah mulut, masa dan tenaga membimbing anak dan bersama-sama fikirkan caranya untuk menyelesaikan kekusutan mereka. Penyelesaian masalah (problem solving) adalah skil penting yang akan sentiasa diperlukan seumur hidup anak.
Kata-kata “How can I help?” ini akan mengajar anak tentang erti kerjasama antara ibubapa dan anak terutamanya ketika menghadapi konflik dan kesukaran. Ia juga membina ‘trust’ dan ‘respect’ anak terhadap ibubapa yang menjadikan anak-anak prioriti dalam hidup.
Anak-anak yang sudah biasa mendengar 3 kata-kata ‘magis’ ini dalam keluarga akan menjadi individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi, hormat-menghormati, mempunyai empati dan mudah menghulurkan bantuan dan sentiasa bekerjasama dalam masyarakat.
Insya Allah.
Segalanya bermula dari rumah.
Kata-kata ini juga perlu diamalkan oleh para pendidik di sekolah untuk memupuk skil sosial dan emosi dalam diri pelajar-pelajar.

Parent Connect Consultancy