Benarkah Kita Menghukum Anak Kerana Mendidik. 7 Faktor

Apabila anak menunjukkan tingkah laku yang tidak menyenangkan kita dan menimbulkan kemarahan kita, perasaan geram itu akan membuatkan kita ingin menghukum. Hukuman itu dirasakan perlu bagi tujuan mendidik. Sebelum
menghukum, adakah jelas dalam hati dan pemikiran kita akan tujuan kita menghukum?
hukum
Kredit Gambar: Google

Hukuman yang mendidik adalah hukuman yang:
  1. menyedarkan IBUBAPA tentang tanggungjawab yang perlu atau belum ditunaikan kepada anak. (Bukan tentang tingkah laku anak semata-mata)
  2. menghentikan tingkah laku negatif anak. (Tidak semestinya serta-merta dan semalaman)
  3. memberi pengajaran tentang cabaran kehidupan kepada anak.
  4. membimbing anak untuk membuat keputusan dan pilihan tindakan yang lebih baik pada masa akan datang.

 

SEBELUM MENGHUKUM PERLULAH:

1) MENGAMBIL KIRA TAHAP PERKEMBANGAN ANAK

Kebanyakan tingkah laku anak kecil yang menyebabkan kita sering melabel mereka sebagai nakal dan degil, berlaku kerana perkembangan fizikal, emosi, kognitif (pemikiran), dan sosial mereka belum berkembang. Kiranya dihukum dengan tidak wajar, anak-anak ini tidak faham di mana silapnya mereka. Hukuman itu mungkin hanya menyakitkan fizikal mereka, menakutkan mereka dan mengganggu emosi mereka tetapi tidak mendidik mereka untuk berfikir dan belajar dari kesilapan.

Contohnya anak yang sering tumpahkan air atau pecahkan pinggan, berkemungkinan belum matang perkembangan motor halus dan motor kasarnya ataupun kemungkinan belum mencapai koordinasi tangan dan mata yang sempurna. Faktor perkembangan perlulah diambil kira sebelum menghukum.

Anak kecil yang menggigit rakannya atau tidak mahu berkongsi permainan, berada dalam fasa perkembangan sosial dan emosi yang belum lagi terbentuk sepenuhnya. Anak ini harus dibantu dan dibimbing terlebih dahulu. Menghukum dengan menampar tangannya atau pipinya tidak membantu perkembangan sosial dan emosi anak tersebut. Hukuman itu sudah tentulah tidak mendidik. Tunjukkan apa yang perlu dilakukan jika marah, kecewa, sedih dan sebagainya.

2) MENYEDIAKAN KEPERLUAN ASAS

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk menyediakan keperluan asas anak supaya mereka dapat berkembang dengan sihat dan cerdas. Tertunai atau tidak keperluan asas ini juga menentukan tingkah laku anak-anak. Keperluan asas bukanlah hanya makanan, pakaian, rehat, tidur dan tempat tinggal.

Keperluan asas seorang anak juga termasuk perhatian, ‘connection’, keselamatan, rasa kekitaan (belonging), peluang untuk bermain dan peluang eksplorasi. Apabila keperluan asas ini tertunai, anak-anak merasa selamat, sihat, disayangi dan dihargai.

Apabila keperluan asas ini tidak tertunai, anak akan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan meluahkan emosi. Anak akan berkomunikasi melalui perbuatan seperti berkelakuan tidak tentu arah, menjadi kaget, tidak mengikut arahan dan peraturan, menguji batasan, lasak tidak bertempat, sering mengomel dan sebagainya.

Menghukum anak disebabkan keperluan asas anak yang tidak mencukupi, akan menghasilkan tentangan dan pemberontakan. Hukuman tersebut tidak akan berjaya mendidik anak supaya berkelakuan baik kerana ada keperluan asas yang kurang dalam hidup anak tersebut. Sebelum menghukum anak, fikirkanlah dahulu tentang kesempurnaan tanggungjawab kita sebagai ibubapa.

3) TIDAK MEMBANDINGKAN-BANDINGKAN ANAK

Hukuman yang dikenakan kerana tingkah laku anak tidak sama seperti kakaknya, atau tidak sama seperti adiknya atau tidak sama seperti anak si fulan dan si fulan atau tidak sama seperti kita masa kecil dahulu, dengan jelas bukanlah hukuman yang mendidik.

Hukuman yang sedemikian tidak memberi fokus kepada tingkah laku anak yang memerlukan bimbingan, fokus sebaliknya diberikan kepada individu. Yang mengecewakan kita adalah tingkah lakunya bukannya orangnya. Apabila perbandingan dibuat, hukuman itu sudah lari dari matlamat mendidik.

Setiap anak adalah berbeza, tidak perlu dibanding-bandingkan. Ibubapa perlu meluangkan masa untuk mengenali kelebihan dan kekurangan anak. Hanya dengan cara itu kita dapat berlaku adil kepada anak. Tanpa mengenali anak, dan tanpa memahami kenapa anak tersebut berkelakuan tidak sama seperti orang lain, hukuman itu hanyalah satu kekejaman dan penderaan terhadap anak.

4) TIDAK MELABEL

Dari masa ke semasa, seorang anak membentuk imej dan kepercayaan tentang diri sendiri. Cara yang paling berkesan untuk anak mengenali dirinya adalah melalui kata-kata dan gambaran-gambaran yang diberikan oleh individu-individu di sekeliling anak terutamanya ibubapa, guru, saudara-mara dan rakan-rakan rapat.

Gunakanlah perkataan-perkataan yang menyakinkan anak bahawa mereka sememangnya baik dan boleh menjadi baik dan lebih baik. Ingatkanlah anak tentang kebaikan yang pernah mereka lakukan dan tingkah laku positif yang pernah mereka tunjukkan. Tunjukkanlah bahawa kita menghargai dan mengharapkan kebaikan daripada anak.

Memaki hamun, memperkecil-kecilkan dan melabel dengan panggilan yang tidak elok akan mematikan semangat anak. Ia juga akan menjadi suara-suara dalam diri anak yang akan menghalang mereka untuk membuat kebaikan. Suara-suara dalaman itu akan membentuk diri dan keperibadian mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘Kata-kata adalah suatu doa’.

5) DAHULUI DENGAN BIMBINGAN, SUSULI DENGAN BIMBINGAN

i) Adakah ibubapa menjadi model tingkah laku yang baik? Contohnya: Jika kita ingin menghukum anak kerana berbohong, cuba fikirkan kembali, pernahkah kita berbohong kepada anak dengan istilah ‘bohong sunat’ yang sering kita gunakan?

ii) Adakah di rumah sudah ada peraturan untuk membentuk disiplin anak? Peraturan membuatkan anak merasa selamat. Peraturan juga memberi isyarat bahawa ibubapa memberi perhatian dan peduli tentang keselamatan dan perkembangan anak. Tanpa rasa selamat itu, anak akan membentuk sempadan dan batasan sendiri untuk mereka meneroka keupayaan diri sendiri.

iii) Adakah kita meluangkan masa dan membimbing anak melalui kisah-kisah teladan yang boleh menyentuh naluri mereka? Kisah-kisah inilah yang akan mengajar mereka tentang erti kehidupan. Tanpa kisah-kisah untuk diteladani ini, dunia anak terpisah dari realiti. Anak yang terpisah dari realiti mempunyai sifat individualistik yang tinggi. Sifat ini menyebabkan anak tidak dapat berkelakuan dan berinteraksi dengan baik dengan individu lain di sekitar anak, termasuklah ibubapa sendiri.

iv) Adakah ibubapa memberi arahan dan peringatan dengan cara yang berkesan supaya anak mahu mendengar kata? Atau adakah arahan itu diberi sambil lewa dan tidak konsisten ibarat melepaskan batuk di tangga?

v) Adakah hukuman itu juga disusuli dengan bimbingan (follow through) yang konsisten? Atau adakah hukuman itu hanya mewujudkan rasa puas hati dalam diri ibubapa kerana telah berjaya ‘mendisiplinkan’ anak?

6) TIDAK MENGGUNAKAN ALLAH S.W.T DAN NERAKA UNTUK MENGUGUT ANAK

Ibubapa sepatutnya memainkan peranan untuk mendekatkan diri anak kepada Allah swt supaya anak ingin patuh kepada perintah Allah SWT dan berbuat kebaikan kerana Allah SWT.

Anak-anak kecil cepat merasa takut. Ketakutan tidak membantu anak untuk berkelakuan lebih baik malah anak akan menjauhkan diri dari faktor yang menakutkan anak. Berikanlah anak khabar gembira tentang betapa penyayang, pengasih dan pengampunnya Allah SWT. Apabila mereka berbuat walau sekecil-kecil kebaikan, yakinkanlah bahawa Allah SWT sayangkan mereka dan kasihkan mereka yang berbuat kebaikan. Ucapkanlah bahawa Allah SWT menjanjikan syurga buat mereka yang berbuat kebaikan. Janganlah ditunggu sehingga anak melakukan kesilapan untuk mengugut bahawa ‘Allah marah, nanti masuk neraka’ kepada anak. Kaedah ini bukan sahaja tidak mendidik tingkahlaku malah tidak mendidik anak untuk mengenal Allah SWT. Lebih parah lagi menjauhkan anak dari Allah SWT.

7) ‘CONNECTION’

Akhir sekali, hukuman yang mendidik adalah hukuman yang lebih merapatkan ibubapa dan anak dari segala aspek. Jika hukuman tersebut hanya menimbulkan kebencian dan mempengaruhi ‘connection’ dan komunikasi antara ibubapa dan anak, hukuman itu tidaklah mendidik. Hukuman itu memudaratkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Leave a comment