Perlukah Hantu Dalam Hidup Anak?

Saya dan suami tidak pernah menakut-nakutkan anak kami dengan hantu semasa mereka kecil dahulu. Kami beruntung kerana ketika mereka kecil kami tinggal di Melbourne, Australia, negara maju yang tidak takutkan hantu dan tidak menakut-nakutkan kanak-kanak dengan hantu. Manusia yang perangai seperti hantu juga tidak ramai di daerah kami ketika itu. Kes jenayah terlalu rendah. Saya faham bagaimana perasaannya bila takutkan hantu.

hantu

Semasa kecil dahulu kawasan perumahan saya bersebelahan dengan tanah perkuburan Islam. Bayangkan cerita-cerita yang berlegar-legar sesama kawan sepermainan dan juga cerita-cerita orang-orang tua yang menakut-nakutkan kanak-kanak dengan hantu supaya kami berkelakuan baik. Ketakutan yang saya alami itu sungguh mengganggu, dan saya masih ingat bagaimana ketakutan itu menghalang pergerakan dan membantutkan eksplorasi sebagai kanak-kanak. Semua kerana takutkan hantu.

Anak-anak kami yang kecil ketika itu langsung tidak takutkan gelap. Berbeza dengan saya sewaktu kecil. Gelap menimbulkan ‘anxiety’ dalam diri saya. Lari lintang pukang bila gelap sebab takutkan hantu, peluh membasahi tubuh sehingga tidur pun terganggu. Saya tidak mahu perkara yang sama dialami oleh anak-anak saya. Anak-anak kami tidak faham apa itu hantu dan tidak kaitkan kegelapan dengan hantu. Walaupun dalam masyarakat Barat, konsep ‘monster under the bed’ itu biasa, tetapi anak-anak tidak terkesan dengan konsep itu sebab kami tidak pernah sebut dan mungkin rakan-rakan di sekolah juga tidak bangkitkan.

Hanya beberapa bulan selepas pulang ke Malaysia dan bersekolah di sini, mereka mula takutkan gelap. Mereka tidak pernah sebut takutkan ‘hantu’ tetapi mereka mula menemani sesama sendiri apabila perlu turun ke tingkat bawah rumah pada waktu malam. Kami kecewa. Bertahun-tahun pupuk perasaan berani dan tidak takutkan hantu dalam diri anak-anak tetapi sekelip mata keberanian itu lenyap. Itu adalah lumrah berkawan. Apabila mula berkawan dan bersosial, pelbagai pengaruh mula meresap ke dalam diri anak-anak kita, termasuklah nilai dan amalan yang bertentangan dengan nilai keluarga kita.

Walaupun takut atau ‘fear’ adalah salah satu dari emosi asas yang dirasai oleh manusia tetapi itu tidak bermakna kita perlu menggalakkan lagi emosi takut itu dengan hikayat hantu. Margee Kerr, seorang pakar sosiologi dan penulis buku Scream: Chilling Adventures in the Science of Fear mendapati bahawa perasaan takut mempengaruhi kanak-kanak pada kadar dan skala yang lebih besar berbanding ketakutan yang dialami oleh orang dewasa. Tahap pemikiran atau kognitif kanak-kanak belum berupaya untuk menjastifikasikan keadaan dan ketakutan. Keupayaan berimaginasi kanak-kanak sangat tinggi maka ketakutan amat menghantui dan amat mempengaruhi emosi mereka. Mereka masih belum berupaya untuk membezakan antara realiti ataupun fantasi, belum berupaya untuk menilai apa yang nyata dan apa yang karut.


Hari ini kita melihat anak kecil yang takutkan “Hantu Kak Limah” divideokan ketakutan dan esakkannya oleh si ibu dan ditularkan di media sosial untuk dijadikan bahan jenaka oleh orang dewasa. Di manakah akal dan fikiran orang dewasa?

Hari ini juga kita melihat orang dewasa beramai-ramai mentertawakan anak kecil yang meraung dalam video tular kerana takutkan ‘screen display’ telefon dengan imej hantu yang dipasang oleh orang dewasa. Bukan itu sahaja, ramai juga yang bersetuju kaedah itu patut digunakan untuk menghentikan ketagihan skrin pada kanak-kanak.
Orang dewasa yang menyebabkan ketagihan itu dan orang dewasa jugalah yang cuba menghentikannya dengan kaedah yang tidak menggunakan akal dan fikiran.

BERHENTILAH MENJADIKAN KETAKUTAN KANAK-KANAK SEBAGAI BAHAN JENAKA.
KANAK-KANAK BUKANNYA BADUT.

Adakah kita begitu ‘clueless’ dalam mendidik anak-anak sehinggakan kita perlu menggunakan ‘hantu’ sebagai autoriti dalam keibubapaan?

Jika ingin membentuk kelakuan dan tabiat anak bukankah kita perlukan ilmu, akal dan fikiran dan bukannya hantu?
Ilmu itu perlu dicari.
Belajar.

Jika kita tidak mahu anak mengganggu malam kita, bukankah kita yang perlu mendisiplinkan anak untuk tidur, bukannya menggunakan hantu sebagai medium.

Jika kita tidak mahu anak keluar merayau ke tempat yang merbahaya, bukankah kita perlu tetapkan peraturan dan terangkan kepada anak akan bahayanya dan bukannya menggunakan hantu sebagai alasan.

Bagaimana anak-anak ingin meneroka dan bereksperimen kiranya hantu membantutkan perkembangan pemikiran mereka?

Zaman sudah berubah. Sekarang ini hantu yang takutkan manusia kerana manusia itu lebih aneh berbanding hantu itu sendiri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Hari Yang Suram Bagi Malaysia

suram.jpg

Kredit Gambar: Remaja

Hari yang suram bagi Malaysia.
Hancur hati.
Luluh jiwa.

Semua memainkan peranan.

Kerajaan
Penggubal undang-undang
Penguatkuasa
Pihak berkuasa tempatan
Pengurusan perumahan
Media
Sekolah

Di manakah peranan ibubapa dalam pembentukan akhlak dan sikap anak-anak?

Sejauh manakah slogan mudah “Jangan membuang sampah di merata-rata tempat” menjadi amalan, budaya dan nilai dalam keluarga dan masyarakat kita?

Pernahkah kita terfikir slogan mudah yang tidak dipedulikan itu boleh meragut nyawa dengan begitu tragis sekali?

Ini bukan hanya isu PPR.
Yang berkereta mewah juga mencampakkan plastik sampah keluar dari kenderaan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Hujan Batu Di Negara Sendiri

Salah satu cabaran yang besar bagi anak-anak saya ketika bersekolah di London dahulu adalah apabila tibanya musim sejuk. Pada musim sejuk waktu solat rapat-rapat kerana waktu siang adalah pendek. Apabila tamat waktu persekolahan pada pukul 3.30 petang, ia sudah pun menghampiri waktu Maghrib. Oleh itu anak-anak perlu bersolat Zohor dan Asar di sekolah sebelum pulang. Alhamdulillah sepanjang anak-anak bersekolah di sana, baik ketika di International School mahupun National School, pihak sekolah sangat terbuka memberi ruang masa dan tempat untuk anak-anak bersolat.

Walaupun tempat yang disediakan ada yang tidak sempurna seperti surau atau masjid, tetapi kami bersyukur atas keterbukaan pihak sekolah di mana majoriti kakitangan dan pelajarnya adalah terdiri daripada bukan Islam.
Pihak sekolah sendiri gusar kiranya ruang yang disediakan terlalu kecil atau tidak sesuai tetapi ia sudah cukup sempurna bagi seorang Muslim yang hendak mendirikan solat. Kami tidak mengeluh malah berbesar hati dan berterima kasih kepada mereka.

Kadang-kadang ada rakan-rakan Muslim yang menyertai anak-anak saya dan mereka solat berjemaah.
Kadang-kadang ada juga rakan bukan Islam yang mengikut gerakan solat di belakang mereka kerana ‘curious’.

Tidak ada langsung masalah atau isu ditimbulkan oleh ibubapa bukan Islam di sekolah-sekolah tersebut. Tiada aduan kepada pihak sekolah atau pun kepada saya sendiri kerana bimbang kiranya solat anak-anak saya akan menghilangkan identiti anak mereka atau memecahbelahkan para pelajar. Malah hubungan saya dengan kakitangan sekolah, guru-guru dan ibubapa adalah sangat baik.
Guru-guru memuji kerana apabila mereka bersolat, mereka tidak mengganggu orang lain dengan berpeleseran atau membuat bising seperti segelintir pelajar lain.

Itu adalah secebis pengalaman kami sekeluarga ketika menetap di London.
Allah telah mempermudahkan urusan solat kami dan anak-anak di negara bukan Islam yang disangkakan tidak semudah di Malaysia.


 

Sebenarnya saya teringatkan pengalaman itu apabila saya berbincang dengan seorang guru yang telah lebih 15 tahun berpengalaman mengajar di 4 buah sekolah menengah di Malaysia. Saya suka mendapatkan pandangan guru-guru juga apabila berbincang isu keibubapaan kerana mereka banyak meluangkan masa bersama anak-anak kita. Menurut beliau usia menengah adalah usia yang sangat mencabar untuk membentuk pelajar jika ia tidak dimulakan dari usia awal lagi.

Dari pemerhatian dan pengalaman beliau selama mengajar, pelajar Muslim yang mudah dididik dan dibentuk mempunyai dua ciri-ciri yang sama.

Ciri-cirinya:

1) Pelajar tersebut tidak meninggalkan solat.
Ini dapat diperhatikan dengan jelas apabila pelajar bersekolah sesi petang.
2) Ibubapa pelajar sentiasa mengambil berat, meluangkan masa dan terlibat dengan pendidikan anak.

Menurut guru tersebut lagi, sekarang ini ramai pelajar yang bukan sahaja tidak bersolat malah tidak tahu cara bersolat walaupun sudah berada di peringkat menengah. Lebih menyedihkan apabila ibubapa sendiri tidak mendidik dan memberi penekanan dalam keluarga.

Apabila dibandingkan dengan pengalaman kami di London, adalah satu kerugian kiranya berada di negara Malaysia yang mudah untuk bersolat tanpa sebarang tekanan atau kekangan, negara yang mempunyai banyak surau dan masjid di setiap penjuru, tetapi kita tidak menjadikan solat itu sebagai satu keutamaan dalam keluarga dan juga tidak dipupuk dan diamalkan di sekolah-sekolah, malah mendapat tentangan apabila ingin diamalkan seperti yang dilaporkan dalam berita.

Tidakkah kita mahu supaya anak-anak kita mudah dididik dan dibentuk?

Fikirkanlah.

 

lhsolat

Gambar menunjukkan ruang yang disediakan untuk anak saya bersolat di sekolah ketika dia berusia 9 tahun di London.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

Bagaimana Melahirkan Anak Yang Jujur?

Berita sebegini selalunya tidak menjadi bahan tular mungkin kerana ketiadaan elemen emosi, sensasi dan provokasi padanya.

sinarjujur

Walau bagaimanapun ia adalah bahan dan teladan yang baik yang boleh digunakan oleh ibubapa, guru-guru, ustaz dan ustazah untuk mendidik anak-anak tentang erti kejujuran.

Membaca berita ini mengingatkan saya pada satu eksperimen sosial yang pernah saya kongsikan di beberapa sesi keibubapaan sebelum ini.

Apakah yang menyebabkan anak-anak muda ini memulangkan wang yang dijumpai?
Kenapakah mereka tidak tergoda dengan wang sebanyak itu?
Salah satu komen yang ditinggalkan mempersoalkan adakah wang dipulangkan kerana adanya CCTV di situ?

KISAH EKSPERIMEN DOMPET HILANG.

Pada tahun 2001, majalah Reader’s Digest telah menjalankan sebuah eksperimen sosial yang dikenali sebagai “The Lost Wallet Experiment”. Eksperimen ini melibatkan bandar-bandar kecil dan besar di Amerika Syarikat, Amerika Latin, Eropah, Asia (termasuk Malaysia), Canada, Australia, dan New Zealand.

Dalam eksperimen ini, 1100 buah dompet dengan sengaja ditinggalkan di merata-rate tempat seperti di tepi jalan, di pondok telefon, di hadapan bangunan, di pasaraya, di tempat beribadat, kawasan parkir dan restoren. Dompet-dompet itu berisi wang $50 mengikut matawang negara yang terlibat. Identiti ‘pemilik’ dompet bersama alamat dan nombor telefon juga diselitkan dalam setiap dompet.

Dari jumlah dompet yang sengaja ditinggalkan itu,

56% dompet telah dipulangkan oleh mereka yang jujur di negara-negara terbabit.
44% lagi mungkin dianggap ‘tuah’, ‘luck’, ataupun mungkin juga dianggap ‘rezeki’, maka disimpan oleh individu yang menjumpainya.

Norway dan Denmark mengungguli eksperimen ini dengan 100% dompet dipulangkan kepada ‘pemilik’ dompet.

Bagaimana pula respon rakyat Malaysia pada tahun 2001 dahulu?
50% dari jumlah dompet telah dikembalikan di Malaysia.

KENAPA MEREKA JUJUR? 
(PANDUAN UNTUK IBUBAPA DAN GURU)

Apabila ditanya kepada individu-individu jujur dalam eksperimen ini akan sebab mereka memulangkannya, respon mereka dapat disimpulkan kepada tiga faktor

FAKTOR UTAMA: IBUBAPA.

Seperti yang dijangka, dalam apa jua perbincangan yang melibatkan akhlak dan tingkah laku, ibubapalah yang bertanggungjawab menjadi guru pertama.

Ramai yang mengembalikan dompet kerana mereka mempelajari tentang kejujuran daripada ibubapa mereka. Dari kecil lagi mereka melihat sifat ini diamalkan oleh ibubapa. Ibubapa mereka juga memupuk sifat jujur itu dalam diri mereka.

Seorang anak kecil yang menjumpai dompet tersebut di sebuah taman di Seattle menyerahkan dompet kepada ayahnya. Ayahnya kemudian menasihati anak kecil itu agar memulangkan dompet kepada tuannya dan mereka bersama-sama mencari alamat ‘pemiliknya’.

Ini adalah satu contoh bagaimana kejujuran dipelajari daripada ibubapa.
Bukankah ibubapa guru pertama anak?
Bukankah rumah adalah sekolah pertama anak?

Sebagai ibubapa, jika kita melihat ketidakjujuran pada anak kita, muhasabahlah diri kita terlebih dahulu.
Adakah sifat jujur menjadi amalan kita?
Adakah sifat jujur ditanamkan pada diri anak-anak?
Apabila kita menjumpai sesuatu di tempat awam yang bukan milik kita adakah kita mengambil, menyimpan dan menggunakannya tanpa rasa bersalah? ataupun
Adakah kita berusaha untuk mencari pemiliknya atau membawanya ke balai polis?

Dalam eksperimen yang sama di Thailand, seorang kanak-kanak lelaki yang membeli belah bersama ibu dan adiknya menjumpai dompet tersebut lalu menyerahkan kepada ibunya. Ibunya dilihat dengan pantas menyumbat dompet ke dalam tas tangannya dan terus meluru menaiki bas.
Berita tentang dompet itu tidak didengari lagi.

Apakah yang dipelajari oleh kedua beradik tersebut?

FAKTOR KEDUA: PEGANGAN AGAMA

Di Malaysia, salah seorang individu yang memulangkan dompet adalah seorang peniaga gerai buah-buahan di Kajang. Apabila ditanya, dia memberitahu bahawa dia memulangkan kerana sebagai seorang Muslim dia perlu mengawal dirinya dari mengambil sesuatu yang bukan miliknya.
Bukankah begitu ajaran Islam?

Selain itu, individu yang memulangkan dompet di negara-negara yang terlibat juga terdiri daripada penganut agama Buddha dan Kristian yang berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing. Mereka meletakkan kejujuran sebagai sifat penting yang harus dimiliki oleh penganut agama mereka.

Walau bagaimanapun di Mexico terdapat juga individu yang kelihatan seperti kuat pegangan agamanya dari tindak-tanduk dan penampilannya, mengambil dompet tanpa memulangkan dompet yang dijumpai.

Persoalannya sejauh manakah pegangan dan kepercayaan agama kita menghalang kita dari bersifat tidak jujur?
Sejauh manakah kita menerapkan dalam diri anak-anak tentang akhlak yang dituntut dalam agama?
Atau adakah sebagai seorang yang beragama kita bersikap acuh tidak acuh dengan apa yang menjadi tuntutan?

FAKTOR KETIGA: EMPATHY

Sejauh mana kita berupaya untuk meletakkan diri kita di tempat orang lain?
Sejauh manakah kita dapat memahami apa yang dirasakan oleh orang lain?
Sejauh manakah kita dapat membayangkan bagaimana susahnya jikalau kita kehilangan dompet?

Ramai yang memulangkan dompet yang dijumpai kerana mereka meletakkan diri mereka di tempat individu yang kehilangan dompet tersebut.
Mereka mempunyai ’empathy’.

Di Switzerland, salah seorang individu yang memulangkan dompet adalah pelayan restoren berbangsa Albania. Dia merupakan seorang rakyat Kosovo yang berjaya melarikan diri dari peperangan yang berlaku pada tahun 1990an. Walaupun kehidupannya sukar, dia memulangkan dompet tersebut kerana dia faham betapa susahnya bekerja untuk mendapatkan wang sejumlah itu.

Beberapa individu yang memulangkan dompet pernah kehilangan dompet pada suatu masa oleh itu mereka faham bagaimana perasaannya apabila kehilangan.

Itulah empathy yang seharusnya dipupuk di rumah dan juga diajarkan di sekolah-sekolah supaya ia menjadi satu budaya dalam masyarakat.

FAKTOR KEEMPAT: BUDAYA

Dalam satu kupasan yang dibuat oleh Thomas Lickona dalam buku ‘Character Matters’, beliau berpendapat bahawa budaya setempat juga memainkan peranan penting dalam pembentukan sifat jujur ‘Lost Wallet Experiment’ ini.

Penduduk di Negara Scandinavia seperti Norway, Denmark dan Finland terkenal dengan karakter positif yang dimiliki oleh mereka. Apabila karakter positif menjadi satu tabiat, maka ramai yang akan memaksa diri untuk turut sama mengamalkannya sehingga menjadi satu budaya. Karakter yang positif akan mudah ‘berjangkit’, begitu juga yang negatif. Oleh itu terpulanglah kepada kita budaya yang bagaimanakah yang hendak kita tularkan dalam masyarakat.

“Lost Wallet Experiment” ini dijalankan sekali lagi oleh majalah Readers Digest pada tahun 2013. Kali ini ia melibatkan 16 buah bandar di seluruh dunia. Dalam eksperimen kali ini, Finland berada di tangga teratas dengan 92% dompet dikembalikan.

Kata seorang rakyat Finland:
“We are a small, quiet, closely-knit community. We have little corruption, and we don’t even run red lights.”

“We don’t even run red lights” – jauh lagi perjalanan kita nampaknya.

Syabas diucapkan kepada anak muda di Kuala Kangsar, Perak yang dipaparkan dalam berita Sinar Harian ini.
Walaupun berita ini hanya berita daerah, amalan yang positif begini patut ditularkan dan mendapat tempat dalam laporan berita di media cetak, elektronik dan media sosial supaya ia menjadi ikutan seluruh rakyat Malaysia.

Terlalu banyak bahan tular yang menyesakkan dada sekarang ini sedangkan yang positif juga banyak namun kurang mendapat tempat.

Tularkan kebaikan supaya ia berjangkit.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Memberi Salam Kepada Anak-anak: Amalan Kecil Yang Mempunyai Impak Yang Besar Dalam Masyarakat

Hadith dan huraian di bawah saya ‘copy dan paste’ dari laman web JAKIM.

“Daripada Anas RA, satu ketika dia berjalan melalui kumpulan kanak-kanak lalu dia memberi salam kepada mereka dan dia berkata : “Bahawa Rasulullah SAW sentiasa lakukan seperti yang aku lakukan ini (iaitu memberi salam kepada kanak-kanak).”

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith:
Sunat memberi salam kepada kanak-kanak untuk mengajar mereka kelebihan salam, mendidik mereka dan membaikkan hati mereka.
Kanak-kanak merupakan sebahagian anggota masyarakat yang perlu kepada didikan yang secukupnya untuk membantu mereka menjadi orang yang berguna kepada ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.

Sumber : “Kitab Riyadhus Salihin”


Memberi Salam: Amalan kecil yang mempunyai impak yang besar dalam masyarakat.

salam

Berapa ramai daripada kita yang memberi salam kepada anak-anak yang kita kenali dan tidak kita kenali apabila bertembung dengan mereka?
Atau adakah kita mengharapkan mereka yang memberi salam kepada kita kerana kita tua dan makan garam terlebih dahulu?

Kadang-kadang kita terlampau memerah otak memikirkan kaedah yang canggih untuk mendekati kanak-kanak dan remaja sehinggakan kita terlepas pandang kaedah mudah yang sedia ada untuk menyantuni mereka.

Kanak-kanak adalah sebahagian dari anggota masyarakat.
Bagaimana kita melayan dan menyantuni mereka menunjukkan setinggi atau serendah mana kita meletakkan nilai mereka dalam masyarakat.

Jika benar kita ingin mengubah masyarakat dan melahirkan golongan muda yang berkualiti, kita mulakan dengan amalan ini.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Jangan Takut Untuk Berkata NO Kepada Anak

Tidak semua NO itu adalah negatif dan membantutkan perkembangan kreativiti anak. Banyak NO yang membantu perkembangan sosial, emosi dan moral anak-anak.

sayingnobook

1) Ada NO yang mengajar anak tentang erti bahaya. Bahaya berlaku dalam sekelip mata. Kadang-kadang kemalangan berlaku tanpa sempat pun kita mengelipkan mata. Anak juga perlu diajar untuk berfikir tentang bahaya tindakannya kepada orang sekeliling juga.

2) Ada NO yang mengajar anak tentang empati. Ia mengajar anak bahawa orang lain juga mempunyai perasaan, hak dan keperluan mereka. Orang lain itu termasuklah kita sebagai ibubapa yang perlukan masa untuk diri sendiri juga. NO dalam konteks ini bermakna kita mesti menghormati hak dan keperluan orang lain.

3) Ada NO yang mengingatkan anak tentang erti ‘cukup’. Terlalu bermewah-mewah dengan kuantiti yang tidak perlu akan memudaratkan anak kerana dia tidak akan pernah merasa cukup dengan apa sahaja. Tidak faham erti cukup hanya menambahkan tekanan dalam jiwa seorang individu.

4) Ada NO yang mengajar anak tentang hak milik. Anak perlu tahu bahawa dia tidak boleh mengambil sesuatu yang bukan haknya dengan sewenang-wenangnya. Dia perlu tahu bahawa dia juga perlu mempertahankan apa yang menjadi miliknya melainkan diberi dan diambil dengan keizinan.

5) Ada NO yang memberi peluang kepada anak menjadi lebih kreatif. Jika anak tidak selalu mendapat sesuatu permainan yang diingininya, anak boleh menjadi lebih kreatif dengan mencipta permainan sendiri dengan bahan-bahan yang ada.
Artikel:
https://mobile.nytimes.com/…/to-raise-better-kids-say-no.ht…

6) Ada NO yang mendidik anak untuk menghargai masa dan menetapkan prioriti. Ada kalanya anak terlampau asyik dengan sesuatu sehingga mengambil ruang masa untuk rutin penting yang lain.

7) Ada NO yang mengajar anak erti berdikari. Walaupun sebagai ibubapa kita mempunyai wang ringgit, kepintaran dan tenaga untuk melakukan semuanya untuk anak-anak, anak juga perlukan ruang untuk menjalankan tanggungjawabnya tanpa pertolongan daripada kita sentiasa (atau pertolongan pembantu rumah). Beri anak ruang otonomi untuk membina skil-skil penting dalam hidup.

8) Ada NO yang melahirkan seorang individu yang tegas, asertif dan berprinsip. Anak belajar daripada kita. Jika NO kita kepada anak adalah konsisten dan menunjukkan ketegasan, anak juga akan belajar untuk menjadi seorang yang tegas terutamanya terhadap pengaruh-pengaruh yang negatif atau orang yang mengambil kesempatan ke atasnya suatu hari nanti.

Walaupun NO itu bunyinya negatif dan kita seharusnya mengelakkan perkataan-perkataan yang negatif kepada anak-anak, NO boleh membawa kepada nilai-nilai yang positif.

Apa yang paling penting adalah corak komunikasi kita dengan anak-anak. Jika kita sentiasa meluangkan masa untuk bersembang, menerang dan mendengar, insya Allah anak faham bahawa NO kita adalah NO yang positif.

Selepas NO, fikir bersama anak kaedah atau tindakan alternatif yang lebih baik.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect