Cabaran Keibubapaan

Proses keibubapaan (parenting) bukan hanya tentang mendidik anak-anak. ‘Parenting’ adalah proses dua hala yang melibatkan kedua-dua ibubapa dan anak-anak. Dalam mendidik anak-anak kita juga mendidik diri kita sendiri supaya menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Setiap ibubapa tidak dapat lari dari melalui ‘low parenting moments’ atau masa-masa duka masing-masing. Ini adalah momen-momen di mana kita rasa gagal dalam memikul tanggungjawab sebagai ibubapa dengan sebaiknya. Ini adalah momen-momen di mana kita rasa kecewa dengan diri kita sendiri kerana kesilapan-kesilapan yang kita rasakan telah kita lakukan dalam mendidik anak-anak.
Sebagaimana nasihat kita kepada anak-anak, jadikan setiap kesilapan kita itu sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri dan bukannya untuk menghukum diri.

Don’t be too hard on yourself because there is no perfect parents.

Ini adalah senarai cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh ibubapa dalam proses keibubapaan. Melihat pada senarai ini, saya yakin setiap daripada kita telah melaluinya dan mungkin sedang melaluinya. Setiap peringkat usia anak mempunyai cabarannya yang tersendiri. Anda tidaklah bersendirian dalam ‘low parenting moments’ anda.

 

Sumber dari kajian oleh Emma Kenny, Pakar Psikologi kanak-kanak (Daily Mail, UK)

Dari senarai ini, yang manakah cabaran terbesar bagi anda dalam membesarkan dan mendidik anak anda ketika ini?
Atau mungkin ada cabaran lain yang ingin dikongsi?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Apa Yang Anak Mahukan Sebenarnya?

happychild

Kredit Gambar: freepik

Hadiah terbaik yang boleh diberikan kepada anak-anak bukanlah hanya sesuatu yang boleh disentuh, dipegang ataupun sesuatu untuk dibawa bermain dan bergembira. Walaupun hadiah itu mungkin berharga, keterujaan anak padanya mungkin tidak kekal lama.

Hadiahkanlah anak dengan kepercayaan kita kepada kemampuan diri mereka kerana itulah yang menjadikan anak yakin dengan diri sendiri dan sentiasa cuba untuk memperbaiki kekurangan diri.

Hadiahkanlah anak dengan rasa hormat kita kepada mereka kerana itulah yang membina maruah dan jati diri mereka, dan itu jugalah yang membentuk identiti mereka.

Hadiahkanlah anak dengan penghargaan kita kepada usaha dan pertolongan mereka kerana itulah yang menjadi bukti betapa bernilainya mereka kepada kita.

Hadiahkanlah anak dengan kehidupan yang penuh berkasih sayang kerana dalam dunia yang penuh huru-hara ini, tidak ada yang lebih mendamaikan dan membahagiakan dari keluarga yang penuh berkasih-sayang.

Anak-anak tidak memerlukan kekerasan, kekasaran, atau sindiran yang berterusan untuk dibentuk dan dibimbing, sebaliknya mereka lebih memerlukan pemahaman dan pertimbangan daripada orang yang mereka percaya dapat melindungi mereka.

Be There

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apa Yang Saya Pelajari Setelah 20 Tahun Menjadi Seorang Ibu

Jika ditanya apa yang saya pelajari setelah 20 tahun menjadi seorang ibu?

Jawapannya adalah, saya yakin betapa doa seorang ibu itu tiada hijabnya.
Berdoalah bersungguh-sungguh untuk anak-anak walaupun apa yang kita doakan itu adalah seremeh-remeh perkara bagi seorang manusia. Tidak ada doa yang remeh datangnya daripada seorang ibu untuk anak-anaknya dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segalanya.

Saya juga yakin siapa saya sekarang dan apa yang saya miliki sekarang juga adalah kerana doa ibu saya yang bersungguh-sungguh dan tidak pernah letih dan berputus asa selama 44 tahun ini walaupun saya tidak mendengar doa-doa itu.

doa

Jangan letih berdoa untuk anak-anak. 
When everything else fails, we have Allah. 
Yakinlah.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Tanggungjawab Keibubapaan Perlu Dipikul Bersama

kerjsama

Jika anda merasakan bahawa pasangan anda tidak memahami, pasangan anda tidak membantu, pasangan anda tidak peduli, pasangan anda tidak luangkan masa, pasangan anda serahkan semua tanggungjawab kepada anda, pasangan anda kedekut, pasangan anda hanya mahu ikut cara dia, pasangan anda tidak bertimbangrasa, dan pasangan anda tidak mengambil berat, maka sebagai ibubapa anda dan pasangan anda PERLU uruskan konflik dan ketidaksefahaman itu.

Ini kerana konflik antara suami dan isteri akan menyukarkan lagi proses mendidik dan membimbing anak-anak anda.


Tanggungjawab keibubapaan perlu dipikul bersama dengan bekerjasama.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apakah Skil Keibubapaan Yang Penting

Menurut Dr. Cynthia Keator, pakar neurologi di The John and Jane Justin Neurosciences Center, 60% tenaga pada bulan pertama seorang bayi digunakan untuk menjana aktiviti neural otak.

brain

Kredit Imej: Google

Menurut beliau lagi, jika fizikal bayi tumbuh pada KADAR yang sama dengan pertumbuhan otak bayi, maka berat bayi akan mencecah 77 kg ketika bayi berusia satu bulan.

Begitulah betapa pesatnya pertumbuhan otak bayi.

Jika tiba-tiba anda rasa “cepatnya baby Abah dan Mama membesar”, ketahuilah pesat lagi pertumbuhan otaknya.

Apakah skil keibubapaan yang penting untuk membantu perkembangan otak bayi yang pesat ketika ini?

  1. bercakap dengan bayi
  2. bacakan buku untuk/bersama bayi (bukan ajar bayi baca)
  3. menyanyi
  4. membelai, respon

Tidak perlu alat mainan khas, video, youtube, tv ataupun gajet bagi tujuan ini terutamanya bagi yang bawah usia 2 tahun.

Rujuk juga:
Kaedah Mudah Menghubungkan Sel-sel Otak

(Sumber: Center for Brain Health, The University of Texas, 2015)

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak-anak Memberikan Cabaran Yang Berbeza Pada Setiap Peringkat Usia

cabaranberbeza

Kredit Gambar: BeardoComic

Anak-anak memberikan cabaran yang berbeza pada setiap peringkat usia mereka.

Ketika bayi, kita diuji dengan kepenatan fizikal menguruskan anak yang bergantung sepenuhnya kepada kita. Tidur sering terganggu dan tidak cukup. Kitaran menyusukan anak, membersihkan anak dan menenteramkan anak sangat meletihkan. Memastikan bayi dijaga oleh pengasuh yang baik juga adalah cabaran yang besar ketika usia ini.

Semasa usia ‘toddler’, kita perlu berhadapan pula dengan anak yang sering meragam kerana inginkan otonomi. Anak mula mempunyai pendirian untuk melakukan sesuatu mengikut caranya sendiri walaupun kurang pengalaman. Membantah atau tidak menurut apa yang anak inginkan sering menimbulkan konflik dalam bentuk ‘tantrum’.

Ketika usia persekolahan kita perlu pula berhadapan dengan cabaran akademik yang terpaksa dilalui oleh anak. Adakalanya risau kita melebihi kerisauan anak. Pada usia ini juga anak melalui cabaran sosial kerana mula berkawan. Anak mungkin mula meniru tingkah laku yang tidak elok dan membawa pulang ke rumah. Kita pula perlu menyokong dan membimbing anak dan pada masa yang sama menetapkan batasan dan peraturan supaya anak berpegang kepada nilai keluarga kita. Peraturan ini adakalanya tidak menggembirakan anak tetapi bukanlah tugas kita untuk memastikan anak gembira sentiasa tanpa peraturan.

Dengan anak remaja, cabaran akademik dan sosial semakin memuncak. Pada peringkat usia inilah kita perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah anak yang banyak bermain dengan emosi. Pada usia ini jugalah rakan-rakan adalah segalanya bagi mereka. Mereka ingin bebas dari label kanak-kanak dan mahu berdikari. Pada masa yang sama mereka juga masih perlukan bimbingan. Mengimbangi antara memberikan mereka kebebasan dan menggalakkan mereka bertanggungjawab ke atas diri sendiri seumpama menarik rambut dalam tepung.

Proses keibubapaan ada pasang dan ada surutnya. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Fasa baru usia anak adalah pelajaran baru juga bagi kita. Rasa risau itu normal, rasa sedih itu normal, rasa kecewa itu normal, rasa bersalah itu normal, rasa marah itu normal.

Hargailah seribu satu kegembiraan dan kebahagiaan yang kita lalui sebagai ibubapa.
Carilah dan hargailah kebaikan anak-anak yang sudah pastinya ada, kerana itulah yang akan memberikan semangat buat kita di waktu kita rasa ‘gagal’ sebagai ibubapa.

Do’a.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Ayah dan Ibu Juga Adalah Anak

parentsarechildren

Kredit Gambar: Google

Jangan lupa…sebagai ayah dan ibu, kita juga adalah seorang anak kepada ibubapa kita. Sebagaimana pelukan kita memberikan ketenangan kepada anak-anak kita, pelukan kita juga dapat memberikan ketenangan kepada ayah dan ibu kita di kala mereka buntu.
Dalam hidup ini, kita saling melengkapi.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect