Bapa Ketagih Pornografi

Agak kerap saya mendengar rintihan para isteri dan ibu yang diluahkan kepada saya tentang ketagihan pornografi oleh si suami yang juga ayah kepada anak-anak. Isteri kecewa, menjeruk rasa, putus harapan dan rasa tidak bernilai bagi suami.

Sebagaimana dadah dan alkohol, ketagihan pornografi juga melalui proses yang sama. Ketagihan tetap ketagihan.

suamiporno

Saya pernah bertanya pakar dalam NGO yang banyak menguruskan kes penderaan seksual, adakah pornografi sesuatu yang peribadi dan tidak melibatkan orang lain? Adakah pornografi hanya ‘merosakkan’ individu yang ketagih dan bukannya orang lain?

Jawapannya, TIDAK.
Pada awalnya ia bersifat aktiviti individu tetapi mereka yang ketagih ini tidak akan pernah puas dengan apa yang ditonton. Sebagaimana ketagihan dadah, semakin lama ketagih, semakin tinggi dos yang diperlukan, begitu juga dengan pornografi. Ada yang melampiaskan nafsu pada darah daging sendiri apabila berada di kemuncak ketagihan. Isteri sudah tidak memberi apa-apa makna lagi. Isteri hanyalah pada lafaz “Aku terima nikahnya…”

Bagaimana ayah yang ketagih pornografi boleh berfungsi sebagai seorang ayah yang baik? Saraf otak mereka rosak, karakter mereka berubah disebabkan pornografi, dan mereka juga hilang minat untuk menjadi seorang ayah. Minat mereka hanyalah pada ketagihan mereka sahaja. Usaha mereka hanyalah mencari apa yang dapat memenuhi keinginan serakah mereka sahaja. Mereka tidak dapat berfungsi sebagai manusia yang normal.

Menjadi ibubapa memerlukan komitmen yang sangat tinggi.
Menjadi ibubapa memerlukan kita menjadi ‘role model’ yang baik bagi anak-anak.
Menjadi ibubapa memerlukan kita menjadi pemimpin dan imam dalam keluarga.
Menjadi ibubapa menuntut kita melindungi anak-anak daripada pengaruh yang merosakkan anak, walau dengan nyawa kita sekalipun.

Jika demikian, di mana kedudukan keluarga dan anak-anak dalam kehidupan suami dan ayah yang ketagih pornografi?
Emosi isteri dan ibu juga terganggu disebabkan ketagihan ini.
Anak-anak sudah tentunya akan terkesan dengan tiadanya harmoni.

Jangan malu untuk mendapatkan bantuan pakar. Malulah dengan Allah SWT jika tiada usaha untuk memperbaiki diri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Gaya Keibubapaan Anda – Slideshow

Karakter dan tingkah laku seorang anak bukanlah ditentukan sepenuhnya oleh anak itu sendiri.

Faktor utama yang akan menentukan tingkah laku seorang anak adalah gaya keibubapaan yang dipraktikkan untuk membesarkan dan mendidik seorang anak.

Saya pernah menulis bahawa keibubapaan yang efektif bukanlah bergantung kepada betapa garang atau lembut ibubapa terhadap anak. Garang atau lembut hanyalah salah satu dari amalan keibubapaan yang membentuk gaya keibubapaan. Garang atau lembut bukanlah penentu tingkah laku anak.

Gaya keibubapaan merujuk kepada peten keseluruhan tindakbalas ibubapa dan bukannya bergantung kepada satu faktor sahaja.

Terdapat 4 gaya keibubapaan yang utama berdasarkan kajian yang dibuat oleh pakar-pakar perkembangan kanak-kanak. Ia bergantung kepada:

1) Responsif – sejauh mana ibubapa menerima, memahami dan bertindak balas terhadap keperluan emosi dan perkembangan individu seorang anak.

2) Tuntutan – Sejauh mana ibubapa membimbing, mengawal dan menuntut tingkah laku yang baik dalam diri anak.

Kedua-dua faktor ini mempunyai kesan yang signifikan terhadap karakter, dan tingkah laku anak.

Kajian juga pernah dibuat di negara kita untuk melihat gaya keibubapaan yang manakah lebih efektif untuk menerapkan pendidikan dan amalan Islam dalam diri anak-anak.

Yang manakah gaya keibubapaan anda selama ini?

This slideshow requires JavaScript.

Kredit Gambar Latar: Google

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Janji Ditepati

“Kalau menangis ayah tinggal kamu di sini!!”

Dalam amalan dan perbualan seharian kita dengan anak -anak terdapat dua jenis janji yang sering kita buat dengan anak-anak:

  1. Janji hendak memberi ganjaran kepada anak apabila dia melakukan sesuatu yang baik.
  2. Janji hendak menghukum anak apabila anak melakukan kesalahan.

Janji yang tidak ditepati oleh ibubapa bukan sahaja boleh mengelirukan anak-anak malah akan juga membentuk karakter anak itu sendiri.

janji

JANJI GANJARAN

Apabila berjanji hendak memberikan ganjaran kepada anak, pastikan ganjaran yang dijanjikan itu diberikan dan bukan hanya janji kosong. Sebelum memberi ganjaran pastikan ganjaran itu dalam kemampuan kita. Jangan hanya berjanji tetapi kita sendiri tidak mampu dari segi material, tenaga dan masa untuk tunaikan.

Jika kita hendak menjanjikan ganjaran yang mahal, fikirkan dulu adakah kita mampu? Jangan berjanji sesuatu di luar kemampuan kita ataupun terlampau mahal sehingga terpaksa korbankan benda lain yang lebih penting.

Jika kita menjanjikan masa untuk diluangkan dengan anak, fikir dahulu adakah kita mampu peruntukkan masa dan korbankan masa kerja dan rehat kita? Jika kita sibuk sepanjang masa, ‘meeting’ tidak putus, ‘outstation’ ke sana ke mari, jangan berjanji dengan anak.

Jika kita berjanji hendak menolong anak dengan sesuatu tugasan, fikirkan dahulu adakah tenaga yang kita ada mampu untuk mengerjakannya?

Janji yang tidak dikotakan akan mempengaruhi karakter dan personaliti anak juga. Bukankah kita ‘role model’ terbaik anak? Jika kita tidak kotakan janji, berkemungkinan besar anak akan meniru kita. Jangan mengeluh bila tiba hari tua kita nanti anak tidak mengotakan janji-janjinya kepada kita.

JANJI HUKUMAN

Selalu sangat saya mendengar gertak si ayah atau ibu yang hendak merotan anak.

Contohnya:

“Kalau bising lagi ayah rotan”,
“Kalau sebut perkataan macam itu lagi mama cili mulut”.
“Kalau mengamuk mama balik dan tinggal kamu di sini.”

Gertak yang sebegini juga termasuk dalam kategori ‘janji’.
Jika tidak tergamak, jangan janji hukuman yang sedemikian kepada anak kerana lama-kelamaan anak tidak makan saman.

Anak tahu “Eleh! Selalu cakap nak rotan tapi tak rotan pun. Ayah tak marah pun. Jom buat lagi.”
“Tak cili mulut pun, tak ada hal.”

Itulah sebenarnya mesej yang secara kita tidak sedar sampai kepada anak.

Walaupun mungkin hukuman itu adalah sesuatu yang rasional, jangan berjanji jika kita tidak akan tunaikan. Fikirkan dahulu.

Kedua-dua jenis janji ini jika tidak ditepati akan juga menghilangkan hormat anak kepada ibubapa. Mereka tidak akan peduli dengan kata-kata kita lagi.

Dan yang paling penting, dalam mendidik anak dan mendisiplinkan anak, gunalah kaedah yang menanam nilai yang baik dalam diri anak.
Menepati janji adalah satu nilai yang perlu diamalkan dan juga digalakkan dalam agama.

Salah satu ciri seorang Mukmin adalah mereka yang berpegang kepada janji.

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;”
(Al-Mu’minun 23:8)

Berhati-hatilah dalam berjanji

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

“Be A Man” & “Boys Don’t Cry”

BE A MAN!!

“Boys sepatutnya ‘tough’”
“Boys mana boleh merengek. Lembik”.
“Tak ‘macho’ lah kalau boys tak patah tangan kaki”. “Paling-paling pun luka”.
“Biasalah boys kena buli. Barulah anak jantan”.
“Boys don’t cry”.

manup

Kita sering berkata “Boys will be boys”, “Boys memang macam tu”.

Itu adalah sebuah penerimaan tentang ‘boys’ dalam masyarakat. Berpandukan kata-kata ini, anak lelaki dari usia kecil lagi akan membina konsep diri (self concept/self belief), nilai dan persepsi tentang bagaimana seharusnya mereka berkelakuan dan bagaimana seharusnya mereka respon kepada situasi yang menekan. Mereka terpaksa jadi ‘tough’, ‘be like a man’ sehingga terpaksa mengorbankan sisi sensitif dalam diri mereka.

Mereka dipaksa menyembunyikan emosi negatif kerana tidak mahu dikatakan lembik sedangkan sisi lembut dan sensitif inilah yang sangat diperlukan dalam membina perhubungan yang sihat apabila berkahwin dan berkeluarga kelak.

Sisi sensitif inilah yang menjadi benteng dari menjadi pelaku keganasan rumahtangga dan apa saja bentuk kezaliman fizikal, mental, emosi dan seksual dalam keluarga dan masyarakat. Akibat dari penindasan sisi sensitif inilah boys malu untuk mendapatkan bantuan apabila emosi mereka terganggu, baik daripada ibu, ayah, guru, kaunselor, kawan, atau sesiapa saja yang rapat dengan mereka kerana bukankah mereka tidak patut rasa sedih? Bukankah mereka tidak ‘macho’ apabila beremosi?

Kita selalunya lebih terbuka untuk berbicara tentang isu perasaan dengan anak perempuan. Kita tidak bercakap tentang perasaan dengan anak lelaki.
Menangis adalah urusan orang perempuan, kata kita.
Orang perempuan suka beremosi, kata kita.
Anak lelaki lantas menyembunyikan perasaan mereka kerana adalah menjadi satu kesalahan apabila anak lelaki menunjukkan emosi dan berbicara tentang perasaan mereka.

Mereka tidak meluahkan kesedihan, kekecewaan dan kemarahan mereka dan membiarkan ia terus membarah dalam jiwa. Lama-kelamaan mereka menjadi tertekan kerana tidak tertanggung perasaan itu. Dalam keadaan tertekan itu akan ada yang mencuba penyelesaian pintas mengambil nyawa sendiri. Ada juga yang menjadi pembuli kerana mereka perlu buktikan kepada orang lain yang mereka ‘tough’ dan ‘be a man’ untuk menutup kesedihan mereka.

Anak-anak tidak dilahirkan dengan skil untuk mengurus emosi. Mereka perlu diajar cara untuk mengendalikan emosi mereka. Emosi mereka perlu diakui. Mereka harus faham apa yang mereka rasa. Emosi yang tidak dilayan hanya akan meletup suatu masa nanti. Dan apabila ia meletup, mereka tidak bersedia untuk menghadapinya kerana mereka tidak pernah diajar cara untuk mengendalikannya.

Menurut Dr. Christia Brown, seorang pakar dalam bidang Developmental Psychology dari University of Kentucky, sebelum usia baligh, kanak-kanak lelaki lebih terdedah kepada depresi berbanding kanak-kanak perempuan. Kita selalu menekan dan menidakkan perasaan mereka.

‘Boys don’t cry’ adalah berlawanan dengan perkembangan semulajadi emosi manusia.

“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.”
(Surah An Najm : 43)

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Harian Metro – Komunikasi & Gajet

Artikel yang padat dengan fakta dan konten.
Terima kasih wartawan segmen IT@Harian Metro, yang turut memuatkan pandangan saya dalam artikel ini.

Kita banyak membincangkan tentang penggunaan gajet dan kesannya ke atas kanak-kanak.

metro
Bagaimanakah pula penggunaan gajet oleh ibubapa sendiri, adakah ia membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Antara Suka Berkhayal dan Kreatif, Pemalu dan Berhati-hati. Yang mana Satu Anak Anda?

ANTARA SUKA BERKHAYAL DAN KREATIF, PEMALU DAN BERHATI-HATI. Yang mana satu anak anda?

Anak-anak dilahirkan dengan sifat semulajadi yang membezakan setiap seorang daripada mereka. Kadang-kadang apabila kita membanding-bandingkan mereka, secara tidak sengaja kita menggunakan label yang ‘negatif’ sebagai diskripsi diri mereka contohnya malas, kedekut, lembap, lembik, serabut, cemerkap, degil, buas dan bermacam-macam lagi kosa kata negatif yang sudah sebati dalam masyarakat.
Adakalanya kita menggunakan label negatif ini dengan tujuan untuk memotivaasikan anak supaya anak berubah. Ini adalah kaedah yang salah.

“A child will behave better when the child feels better”.

Seorang anak akan berkelakuan baik jika dia merasa senang dengan dirinya dan bukannya dengan merasakan dirinya tidak berguna.

Kepercayaan dan konsep diri seorang anak terbentuk sejak anak berusia lingkungan 5 tahun lagi. Jika label negatif ini diberikan oleh individu yang terdekat dan dipercayai oleh anak, anak akan percaya dengan label tersebut dan akan merasakan diri tidak mempunyai harapan untuk berubah. Berpandukan label-label ini, anak akan percaya apa yang diperkatakan tentang dirinya.

“Itulah saya!”

Lihatlah pembawaan anak dari kaca mata yang positif. Gunakanlah label yang positif untuk menerangkan tentang anak tersebut apabila berada di hadapan anak dan apabila menceritakan perihal anak kepada orang lain di hadapan anak. Ini bukanlah bermakna anda perlu bercerita berlebih-lebihan tentang anak sehingga membosankan orang lain.

‘Be realistic’.

positive

Kredit Gambar: Google

TUKARKAN LABEL:

1) BUAS KEPADA BERTENAGA

Semua kanak-kanak mempunyai banyak tenaga. Malah kita perlu memupuk keupayaan fizikal anak sehingga boleh mencapai tahap yang maksima kerana perkembangan fizikal adalah penting untuk perkembangan-perkembangan yang lain.
Walau bagaimanapun sesetengah anak mempunyai tenaga yang lebih berbanding anak yang lain. Mereka dilahirkan dengan keupayaan fizikal yang berbeza dan luar biasa. Bagi anak yang sebegini, ibubapa perlu membantu anak menyalurkan tenaganya melalui saluran yang betul.

Jika anak suka memanjat, bawalah dia ke taman permainan atau pusat rekreasi yang sesuai. Tahukah anda semua kanak-kanak mempunyai kecenderungan fizikal untuk memanjat, berguling, melompat, dan berlari? Itu sifat yang normal pada kanak-kanak. Jika kecenderungan ini tidak dibimbing dengan betul, sudah tentulah dia melompat atas sofa rumah atau memanjat gril pintu rumah.

Marah atau menengking tidak akan menyelesaikan masalah tersebut. Makin dihalang makin dibuatnya. Lebih membahayakan jika anak memanjat apabila kita tidak melihatnya. Ibubapa yang bijak dan kreatif tahu bagaimana mempositifkan setiap cabaran dan situasi supaya dapat dimanfaatkan oleh anak. Ibubapa yang bijak akan melengkapkan diri dengan ilmu perkembangan kanak-kanak kerana mereka ingin memahami kenapa tingkah laku anak mereka sedemikian. Ibubapa yang bijak akan berfikir, “Adakah anak saya mempunyai kecerdasan kinestetik tubuh badan?”

2) SUKA BERKHAYAL KEPADA KREATIF

Keperluan yang penting bagi anak yang suka berkhayal adalah pensil, kertas, blok binaan, berus, warna, kertas lukisan, dan alat muzik.
Mereka selalunya memiliki kecerdasan bahasa atau linguistik, kecerdasan visual atau artistik, atau kecerdasan muzik. Kenalpasti apakah yang mengisi khalayan mereka dan beri anak-anak ini peluang untuk meluahkannya melalui saluran kreativiti. Beri anak peluang untuk meluahkan apa yang dikhayalkan. Mungkin mereka memikirkan satu inovasi atau falsafah yang boleh mengubah dunia satu hari nanti.

Apa yang penting adalah memastikan masa yang diambil untuk anak berkhayal tidak berlanjutan sehingga mengabaikan rutin harian yang perlu dilunaskan. Biarlah khayalan itu ada kandungan dan batasannya.
Kenalpasti potensi anak melalui tingkah laku anak yang mungkin tidak menyenangkan kita. Lihatlah potensi itu sebagai satu kelebihan anak yang harus dipupuk. Jika kita mencari dan melihat yang positif, maka positiflah yang akan kita jumpa sebaliknya jika ia dilihat sebagai negatif, kita akan gagal untuk menyaring potensi anak.

3) DEGIL KEPADA TEGAS (ASSERTIVE)

Satu sifat penting yang perlu ada pada anak-anak kita adalah ‘assertive’. Anak yang ‘assertive’ adalah anak yang teguh mempertahankan pendiriannya dan tidak mudah dipermain-mainkan oleh orang lain.
Anak yang kita labelkan sebagai degil merupakan seorang yang kental apabila berhadapan dengan cabaran dan mempunyai percaya diri yang tinggi.

Bagi anak yang sebegini, peraturan memainkan peranan yang sangat besar untuk memastikan mereka degil bertempat. Ibubapa tidak boleh menjadi permisif iaitu mengizinkan apa saja yang ingin dilakukan anak. Batasan perlu diwujudkan untuk memastikan mereka selamat dari segi fizikal dan mempunyai pemikiran dan amalan yang bersesuaian dengan nilai dan budaya. Tanpa peraturan, anak ini boleh menjadi degil yang biadap dan tidak kena tempat.

Pemikiran mereka harus diasah dan dipupuk supaya mereka berupaya menjadi seorang yang tegas dengan prinsip yang dipegang.
Anak yang ‘assertive’ ini perlu dipuji dan sifat mereka harus digalakkan lagi kerana itulah diri mereka.
Beri mereka peluang untuk membuat keputusan kerana peluang yang sebegini akan membantu memperkayakan proses pemikiran mereka.

Bagi anak yang sering berbeza pendapat dengan kita terutamanya yang sudah remaja, itu adalah perkembnagan yang normal kerana peringkat pemikiran mereka melangkah ke tahap ‘Formal operational stage’ dari ‘Concrete operational stage’. Mereka berupaya untuk menganalisa dan mengamati sesuatu yang abstrak.

Jika mereka ‘assertive’, bekalkan mereka dengan adab kiranya tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat dan bimbinglah mereka dengan adab untuk berdebat secara berhikmah.
Anak-anak sebegini perlu dilatih untuk mempunyai empati yang tinggi supaya dapat menjadi seorang individu yang mempertahankan hak dan maruah orang lain yang ditindas dalam masyarakat.

4) KEDEKUT KEPADA BERJIMAT-CERMAT

Usah terlampau ringan mulut melabelkan anak sebagai seorang yang kedekut jika amalan berbelanja anak tidak sama seperti diri kita. Mungkin anak mempunyai tafsiran yang berbeza tentang berbelanja dan berkongsi. Ingatlah anak-anak bukan kita. Ramai kanak-kanak yang suka menabung walaupun tanpa disuruh oleh ibubapa. Sifat itu seakan-akan lahir dengan sendirinya dalam diri anak. Inilah yang dinamakan pembawaan. Mereka lahir dengan sifat sebegitu walaupun ayah dan ibu adalah dari kalangan mereka yang suka berbelanja tanpa batasan. Mungkin juga anak belajar dari ibubapa dan bertekad mahu mengamalkan sesuatu yang berbeza.

Individu yang berjimat cermat sifatnya tidak membazir. Dia berbelanja untuk keperluan dan bukannya kemahuan semata-mata. Dia berjaya mengekang keinginan untuk memiliki sesuatu dengan ‘delayed gratification’. Dia sabar menunggu ganjaran.
Latihlah anak-anak ini untuk memberi dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan. Latih mereka membantu dengan apa saja kelebihan yang dimiliki.
Melabel mereka dengan label ‘kedekut’ hanyalah satu penghinaan buat anak ini kerana mereka mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Cuba fahami agenda mereka walaupun ia mungkin bertentangan dengan agenda kita. Ada pelbagai sebab manusia berjimat cermat.

5) PEMALU KEPADA BERHATI-HATI

Jika dilihat pada otak mereka, anak yang pemalu mempunyai aktiviti yang lebih pada otak kanan mereka. Mereka lebih cenderung kepada aspek kreativiti dan aestetik. Mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri, tidak selesa dalam situasi yang baru dan selalunya sangat sensitif. Mereka berbeza daripada anak-anak yang mudah berkawan dan sesuaikan diri. Mungkin mereka bukan ‘ekstrovert’ seperti ibubapa, namun itu tidaklah bermakna mereka tidak berupaya untuk keluar menyumbang dalam masyarakat. Terimalah diri mereka seadanya.

Ibubapa perlu mengingatkan diri sendiri bahawa anak-anak ini adalah pemerhati yang sangat baik. Itu kelebihan mereka. Anak-anak ini mendekati orang lain dan menyesuaikan diri dengan sesuatu situasi dengan lebih berhati-hati. Mereka tidak terburu-buru dalam mengambil keputusan. Itu juga adalah satu kelebihan. Anak memerlukan peluang untuk melatih diri sendiri untuk lebih ke hadapan. Ramai anak yang pemalu dan tidak banyak bercakap tetapi mereka berupaya berada di atas pentas apabila perlu tanpa sebarang ketakutan.

Mereka memerlukan kaedah latihan yang berbeza. Ibubapa haruslah kreatif dan tidak memaksa mereka untuk menjadi seperti anak yang lain. Paksaan hanya akan meletihkan mereka dan membuatkan mereka berputus asa kerana merasakan diri gagal. Dengan memberi penekanan kepada kelebihan anak, anak akan lebih yakin dengan diri sendiri.

6) CEREWET KEPADA MEMPUNYAI CITARASA

Setiap individu mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menyukai sesuatu yang kita suka. Anak-anak yang cerewet dalam memilih sesuatu adalah anak yang mempunyai citarasa dan gaya yang tersendiri. Mereka mungkin lebih kreatif atau menilai sesuatu dari kaca mata yang berbeza daripada kita. Mungkin juga cara berfikir mereka dan persepsi mereka berbeza. Gaya pembelajaran mereka juga mungkin berbeza daripada orang lain. Perbezaan ini tidaklah menjadikan anak itu anak yang tidak baik. Fahami pemikiran anak tersebut dengan banyak bersoal jawab dan berinteraksi dengan anak.

Jika perspektif mereka cuba untuk difahami, dan berlakunya toleransi dua hala, anak akan menjadi lebih terbuka untuk menerima pilihan dari perspektif orang lain. Anak yang cerewet tentang pemakanan perlu dilatih dengan adab supaya bersyukur dengan rezeki yang ada. Dengan itu walaupun makanan itu bukannya citarasa anak, dia tetap menjamahnya kerana perspektifnya telah berubah.
Anak yang cerewet ini selalunya sukar untuk menjadi seorang pengikut atau ‘follower’ secara membabi buta. Mereka tidak ada sindrom FOMO (Fear Of Missing Out) atau takut ketinggalan berbanding orang lain kerana citarasa mereka berbeza. Lihatlah sifat ini sebagai satu kelebihan pada diri anak.

KESIMPULANNYA

Ibubapa perlu positif dan kreatif dalam menilai sifat semulajadi anak. Lebih mudah untuk anak membina jati diri dan keyakinan diri apabila label yang digunakan untuk menerangkan tentang anak adalah sesuatu yang positif seperti kreatif, bertenaga dan berprinsip. Perkataan yang menggambarkan imej yang positif akan menjadi benteng dan memberi kekuatan untuk anak dalam menangkis pengaruh yang negatif. Anak yang sayangkan diri sendiri kerana kekuatan yang dimilikinya tidak akan merosakkan diri sendiri dengan tingkah laku dan pengaruh yang tidak sepatutnya.
Dengan menukar label ini kita memfokuskan pada kebaikan dan kekuatan dalam diri anak berbanding kelemahan yang dimilikinya.
Didik anak untuk melihat kekuatan pada diri orang lain dan mengagumi kelebihan orang lain juga. Ini dapat menghindari anak dari sifat cemburu dan iri hati yang hanya akan membawa kepada tabiat buli dan memakan diri.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect