(Suntingan, transkripsi dan terjemahan ceramah Ustaz Nouman Ali Khan)
Menjadi ibubapa pada zaman sekarang sangat berbeza dari menjadi ibubapa 20 tahun lalu.
Para bapa zaman sekarang tidak boleh lagi menjadi sekadar ‘authority’ (penguasa) ke atas anak-anak.
Ayah pada zaman sekarang perlu menjadi ‘authority’ dan juga kawan kepada anak-anak.
Dahulu peranan ayah hanya sebagai ‘authority’. Anak-anak zaman dahulu tidak ajak ayah bermain bolasepak bersama-sama mereka. Anak-anak perlu diam dan serius apabila ayah ada. Ayah juga diam dan serius.
Anak-anak sekarang tidak lagi sebegitu dan mereka tidak boleh dipaksa untuk hidup begitu.
KENAPA?
Kerana anak-anak kita hidup pada tahun 2013 (tahun ceramah). Anak-anak zaman ini terdedah kepada pelbagai pengaruh dan anasir di persekitaran mereka, berbeza dari dahulu.
Pengaruh itu sama sahaja tidak kira anda berada di negara orang Islam ataupun negara bukan Islam.
Nilai kita tetap sama.
Anak-anak perlu menghormati ibubapa.
Walau bagaimanapun, ibubapa perlu ingat bahawa anak-anak perlu belajar tentang (nilai) Islam daripada kita. Kita adalah pendidik utama anak-anak.
Anak-anak sekarang tidak akan belajar dan tidak akan hormat jika kita hanyalah figura ‘authority’ semata-mata.
Jika anda izinkan anak-anak bermain ‘game’, anda juga perlu pakar tentang game tersebut.
Mengizinkan anak-anak bermain ‘game’ boleh menjadi satu masalah tetapi jika anda tidak mahu anak-anak menghentikan permainan ‘game’ tersebut, anda perlu bermain ‘game’ dengan anak-anak dan bukan hanya membiarkan anak-anak bermain sendiri.
Jika tidak, anda dan anak-anak akan berhadapan dengan masalah yang besar kerana ‘game’ tersebut.
Surah Al Furqan 25:74
وَالَّذِيۡنَ يَقُوۡلُوۡنَ رَبَّنَا هَبۡ لَـنَا مِنۡ اَزۡوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعۡيُنٍ وَّاجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِيۡنَ اِمَامًا
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Al Furqan 25:74)
Dari ayat di atas,
Keluarga sepatutnya membuatkan kita sentiasa menangis kegembiraan.
Apabila anak-anak membaca Al Quran kita menangis kegembiraan.
Apabila ibu melihat ayah membawa anak-anak ke masjid bersolat Subuh, ibu ingin menangis kegembiraan.
Apabila ayah melihat ibu membesarkan anak-anak dengan baik, ayah ingin menangis kegembiraan.
Tetapi kita selalu menangis atas sebab-sebab yang menyedihkan dalam keluarga.
Apabila pulang dari tempat kerja, bermainlah dengan anak-anak. Buat kerja sekolah bersama-sama dengan anak.
Bersembanglah dengan anak-anak.
Bawa anak-anak ke masjid.
Jika ayah tidak berbuat begini, kita akan kehilangan ummah.
Kita akan kehilangan generasi yang akan datang.
Perubahan dalam diri anak-anak datangnya daripada kita sebagai ibubapa.
(Suntingan, transkripsi dan terjemahan ceramah Ustaz Nouman Ali Khan)
Oleh:
Noor Afidah Abu Bakar
Licensed & Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect