Pendidikan Bermula Dari Rumah

pendidikandarirumah

 

1. LUANGKAN MASA BERSAMA ANAK.

Disiplin berkait rapat dengan perhatian yang diberikan ibubapa kepada anak-anak.
Bagi ibubapa yang bekerja ‘shift’ atau bekerja luar kawasan atau anak tinggal di asrama, tiada alasan sekarang untuk tidak dapat meluangkan ‘masa’ bersama-sama dengan anak-anak. Teknologi semakin canggih sekarang ini dan teknologi menyediakan pelbagai medium untuk kita berhubung dengan anak-anak melalui video dan panggilan.
Sibuk mencari duit bukan lagi alasan.
‘Outstation’ bukan lagi penyebab hubungan yang renggang.

Terdapat juga ibubapa yang “present but absent” terutamanya dalam zaman gajet dan media sosial ini. ‘Technoference’ atau godaan teknologi mengurangkan lagi masa ibubapa yang sudah sememangnya kurang bersama anak-anak.
Bukan sahaja anak ketagih gajet, ibubapa juga tidak boleh meninggalkan gajet.

Ada ibubapa yang menjadi PERMISIF dengan anak kerana merasa bersalah tidak dapat meluangkan masa dengan anak. Mereka takut kiranya mereka tegas dan berkeras anak akan memberontak, anak akan kecil hati, anak akan lari kerana mereka tidak luangkan masa secukupnya.
Anak-anak ini menjadi besar kepala.

Ada juga ibubapa yang menjadi AUTORITARIAN, garang tanpa pertimbangan tidak bertempat kerana ingin membuktikan kepada sesetengah pihak yang dia sebenarnya ibubapa yang peduli, sedangkan dia tidak langsung faham keperluan anak kerana tidak pernah meluangkan masa.
Anak-anak ini memberontak

2. RUMAH PERLUKAN STRUKTUR DAN PERATURAN.

Ibubapa perlu TEGAS DAN KONSISTEN tentang waktu bangun anak, waktu tidur anak, waktu makan, waktu solat, waktu bermain, waktu belajar dan waktu bersama keluarga. Rutin yang sudah dibiasakan dari kecil inilah yang akan mendisiplinkan anak remaja agar tidak keluar malam berpeleseran tanpa haluan. Apabila dari kecil anak dibiarkan atau sering dibawa keluar malam-malam, maka siang atau malam tidak ada bezanya bagi anak.

Jika anak tidak biasa dari kecil dengan hidup berperaturan dalam rumah, maka di sekolah pun dia tidak tahu hidup berperaturan ataupun tidak kisah dan tidak peduli akan peraturan, tidak peduli kesan tindakannya terhadap orang lain.

Kata mereka
“Jika ibubapa saya di rumah pun tidak kisah, kenapa kamu harus kisah?” ataupun
“Ibubapa saya tahu apa yang saya buat, kenapa kamu peduli?”

Apabila anak mengikut peraturan di rumah, perlulah ada pujian dan ganjarannya.
Jika melanggar peraturan di rumah perlulah ada hukumannya.
Peraturan tanpa ganjaran dan hukuman hanyalah senarai yang kelihatan cantik di kertas dan tidak berupaya untuk membentuk tingkah laku anak.

3. DI MANA ADAB?

Banyak adab yang semakin terhakis dalam masyarakat hari ini. Perilaku yang tidak beradab, bahasa yang tidak beradab galak ditularkan dan menjadi kebanggan bagi sesetengah pihak.

Mereka yang lembut dan beradab di anggap lembik dan cengeng, sedangkan mereka yang tidak beradab tidak segan silu mengangkat diri mereka sendiri sebagai hero yang gagah dan pembela.
Bercelaru sungguh masyarakat kita.

Moto “Mati kubur lain-lain” dan “Ini antara saya dengan Allah” dalam konteks yang salah, kian menjadi amalan bagi orang dewasa dan juga remaja yang tidak segan silu memaparkan kehidupan yang tidak beradab dan tidak berakhlak di media sosial.

Walau teknologi berkembang sepesat mana sekalipun, walau ‘urban’ sekalipun diri kita ini, nilai dan adab harus terus ditanam dan dikekalkan dalam rumah. Anak-anak yang belum cukup akal mudah terpengaruh dengan pegangan yang sebegini apabila mereka melihatnya di televisyen dan media sosial.

Bertegaslah dengan adab.
Latih dan bimbing anak untuk menilai amalan yang beradab dan tidak beradab di persekitaran dan di media.

Jika kehidupan ibubapa sendiri penuh kesombongan dan tidak beradab sesama manusia, bagaimana kita mengharapkan agar adab itu ada pada kanak-kanak dan remaja kita?

4. HORMATILAH KANAK-KANAK DAN REMAJA.

Hormat adalah proses dua hala.
Hormat melibatkan orang dewasa menghormati kanak-kanak dan kanak-kanak menghormati orang dewasa.

Disiplin anak berkait rapat dengan rasa hormat anak kepada orang di sekelilingnya.

Dengar pendapat anak, dengar cerita anak, dengar luahan hati anak, dengar rasa tidak puas hati anak, dengar kegembiraan anak, dengar tentang kisah anak di sekolah, kisah anak di tadika, kisah anak di taska, kisah kawan-kawan anak, dan dengar untuk fahami tentang kesukaran dan kekurangan anak.

Kenapa ini penting?
Jika kita mendengar cakap anak, anak akan mendengar cakap kita.
MENDENGAR BUKANLAH MENURUT.

Jikalau anak-anak rasa dihormati oleh ibubapa dan orang dewasa di sekeliling, dia akan tahu bagaimana caranya untuk menghormati orang lain.

Anak yang tidak menghormati orang lain adalah anak yang tidak pernah dihormati. Dia hanya sering dikritik, disindir dikasari, diherdik, dicemuh, dimarah, dan diejek.
Itulah sahaja corak komunikasi dalam kehidupan seharian.

Dia memilih rakan dari kalangan anak-anak lain yang senasib dengannya juga sehingga wujudlah ‘herd mentality’ di mana masing-masing saling menyokong tindakan yang salah dan tidak baik.

5. ANAK PERLUKAN TANGGUNGJAWAB.

Berilah kerja rumah yang bersesuaian dengan usia anak, walaupun anak itu masih kecil.

Anak remaja perlu diberi tanggungjawab. Tanpa tanggungjawab, mereka akan hanya berkurung dalam bilik dengan gajet, dan dengan ‘earphone’ dan akhirnya keluar dengan kawan-kawan apabila kebosanan di rumah.

Apabila anak sudah remaja dan dewasa baru hendak disuruh itu ini, mereka tidak mahu, kerana mereka tidak biasa dilatih dari kecil.

Meminta anak membantu dengan kerja rumah akan membina hubungan yang rapat antara ibubapa dan anak-anak. Walaupun kita ada kudrat dan tenaga untuk melakukan sesuatu tugasan, minta tolonglah dengan anak-anak, beri arahan kepada mereka untuk membantu.

Anak yang tidak diberi tanggungjawab tidak akan faham erti tanggungjawab terhadap diri sendiri, terhadap keluarga, terhadap guru dan terhadap masyarakat. Mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri sehingga membawa kerosakan dan kemudaratan.

6. PANTAU KONTEN SKRIN ANAK.

Terlalu banyak bahan dan konten yang tidak sesuai di media dan internet yang mempromosikan perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan adab masyarakat kita.
Pendedahan kepada konten di media akan menjadi asas disiplin dan tingkah laku kanak-kanak dan remaja. Jika anak-anak dibiarkan menggunakan gajet tanpa tapisan dan pemantauan, mereka akan menjadi sepertimana idola mereka yang ditonton, ditatap dan dikagumi saban hari.

Bahasa yang mereka gunakan juga ditiru sepertimana idola mereka, isyarat tubuh (gesture) juga seperti yang ditunjukkan oleh idola mereka, gaya hidup juga seperti yang diamalkan oleh idola mereka.
Jika positif perilaku idola mereka, maka positiflah perilaku anak-anak juga.

Ibubapa dan orang dewasa perlu menjadi idola yang baik bagi kanak-kanak dan remaja. Mereka memerhatikan kita dan mereka meniru kita.

“Jika orang dewasa boleh, kenapa kami tidak boleh?” soal mereka.
“Jika bahasa dan perangai orang dewasa yang kami lihat tidaklah baik, jadi kenapa kami dihukum jika bahasa dan perangai kami begitu?” soal mereka lagi.

Kemenjadian seorang anak bukanlah bergantung pada satu faktor sahaja. Semua faktor di atas berkait rapat antara satu sama lain dan semuanya terletak di bahu ibubapa sebagai guru dan pendidik utama anak-anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Teknik Disiplin Yang Berkesan

rightwrong

Tidak ada SATU teknik disiplin yang berkesan ke atas setiap anak dalam setiap situasi yang mencabar. Ibubapa perlu tahu kepelbagaian teknik dan pilih yang paling efektif ke atas anak tersebut pada satu masa tertentu.
Anak berbeza perlukan pendekatan berbeza.
Situasi berbeza mungkin memerlukan kaedah berbeza.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Disiplin dan Connection

0-7 tahun bermainlah dengan anak.
8-14 tahun disiplinkanlah anak.

Jika ibubapa rajin meluangkan masa bermain dengan anak ketika anak berusia 0-7 tahun, secara tidak langsung ibubapa juga sedang membina asas untuk peringkat 7 tahun seterusnya.

discipine

Kredit Gambar: Aha Parenting

Disiplin memerlukan ‘connection’ yang kukuh di antara ibubapa dengan anak. Bermain membina ‘connection’ yang diperlukan ini dari peringkat awal lagi.

Apabila ibubapa meluangkan masa bermain dengan anak, anak rasa dihargai, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa turun padang bermain seperti kanak-kanak, anak rasa kebersamaan, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa mengajak anak merancang permainan, anak rasa yakin diri, anak rasa ‘connected’.
Apabila anak kalah atau pun menang dalam perlumbaan ketika bermain bersama, anak pelajari kelebihan dan kelemahan diri, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa tetapkan batasan ketika bermain, anak rasa selamat dan dilindungi, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa bergelak ketawa ketika bermain, anak rasa gembira, anak rasa ‘connected’.

‘Connection’ inilah yang membina hormat anak kepada ibubapa dari peringkat awal lagi. Apabila anak hormat kepada ibubapa, anak akan lebih mudah untuk menurut dan mendengar kata ibubapa terutamanya apabila tiba peringkat usia 8-14 tahun. Ini merupakan peringkat usia yang mencabar untuk mendidik anak-anak kerana mereka lebih mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan.
‘Connection’ jugalah yang mengekalkan ‘authority’ ibubapa kerana anak tahu ibubapa peduli.

Begitulah besarnya impak bermain dengan anak kepada proses mendisiplinkan anak.
Oleh itu jika ibubapa menghadapi masalah dalam menguruskan tingkah laku anak, cuba renung kembali ‘connection’ bagaimanakah yang telah dibina dengan anak sejak usia anak 0-7 tahun.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

“Ada Peraturan Atau Tidak Di Rumah?”

“Ada peraturan atau tidak di rumah?”

Inilah soalan yang sering saya tanya apabila ada ibubapa yang meminta pandangan tentang anak yang sukar dikawal.

Ada ibubapa yang mengangguk dan ada yang menggeleng apabila ditanya.

rules

Mungkin peraturan itu bunyinya keras dan menghukum, jadi ada ibubapa yang kurang selesa mengadakan peraturan.
Ada yang takut peraturan akan mematikan semangat dan membunuh kreativiti dan sifat meneroka pada kanak-kanak.
Tambahan lagi di sekolah sudah banyak peraturan, guru pula ramai yang garang, jadi ramai yang merasakan anak-anak perlu diberi kebebasan mutlak di rumah supaya mereka lebih ‘chill’ dan ‘relax’.
Bagi yang tidak banyak masa untuk diluangkan dengan anak pula, mereka lebih suka gaya keibubapaan yang permisif tanpa peraturan kerana ingin mengelakkan konflik dengan anak.

Takut anak sentap.
Takut anak merajuk.
Takut anak berkecil hati.

Jika ‘peraturan’ dikaitkan dengan hukuman, kemarahan, kritikan, dan konflik, maka peraturan itu akan dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

“Parenting is not to decide what to do when children step outside the boundary. Parenting is to guide children on how to live within the boundary.”

Anak-anak memerlukan had dan batasan untuk memastikan mereka ‘safe and secure’ untuk terus meneroka dan mencapai potensi diri. Tanpa had dan batasan – peraturan – mereka akan membuang masa tercari-cari ruang yang selamat kerana persekitaran mereka tidak dapat dijangka (unpredictable). Perasaan ‘safe and secure’ ini penting untuk proses pembelajaran dan latihan untuk menghadapi kehidupan bermasyarakat.

BAGAIMANA MEMBINA PERATURAN DI RUMAH?

Faktor paling penting yang perlu ada untuk menggubal peraturan dalam rumah adalah kerjasama antara kedua ibubapa.

Langkah pertama untuk menggubal peraturan adalah kedua ibubapa duduk berbincang tentang aspek yang memerlukan peraturan di rumah. Seeloknya peraturan itu digubal sebelum sesuatu masalah timbul. Oleh itu ibubapa perlu peka akan perkembangan anak, persekitaran anak dan pengaruh dalam hidup anak.

Adakah perlu peraturan berkaitan penggunaaan teknologi?
Adakah perlu peraturan berkaitan waktu tidur?
Adakah perlu peraturan berkaitan kerja sekolah?
Adakah perlu peraturan berkaitan rutin seharian?
Adakah perlu peraturan berkaitan menonton tv?
Adakah perlu peraturan berkaitan waktu makan?

Setiap keluarga mempunyai masalah dan cabarannya yang tersendiri, oleh itu terserah kepada ibubapa untuk menentukan aspek dalam keluarga yang memerlukan peraturan.

Nilai dalam setiap keluarga adalah berbeza-beza.
Jika satu hari nanti anak bertanya “Kenapa di rumah kawan boleh, di rumah kita tidak boleh?”.
Terangkan kepada anak kenapa ‘keluarga kita’ memerlukan peraturan tersebut.
Terangkan tentang nilai keluarga kita.

Contohnya sebelum memberi keizinan untuk anak menggunakan internet, ibubapa perlu tetapkan:

-Bilakah penggunaan internet dibenarkan,
-Berapa lamakah ia boleh digunakan,
-Bagi tujuan apakah internet itu boleh digunakan.

Jika anak mengikut peraturan untuk sesuatu jangkamasa apakah ganjaran yang akan diberikan – ganjaran tidak semestinya bersifat material.

Jika melanggar peraturan, apakah akibat (consequence) terhadap yang melanggar peraturan?

Semua ini perlu ditetapkan terlebih dahulu.
Selepas berbincang, ibubapa perlu menyampaikan kepada anak apakah peraturan tersebut dan kenapakah ahli keluarga memerlukan peraturan tersebut.

Ada juga peraturan yang fleksibel mengikut tahap perkembangan atau usia anak.

Contohnya anak yang bersekolah menengah boleh tidur lewat kerana banyak ulangkaji atau kerja sekolah yag perlu disiapkan.
Anak pra sekolah tidak ada kerja sekolah (sepatutnyalah) maka perlu tidur awal supaya anak tidak membuang masa dengan gajet atau menonton TV sahaja.

“RUMAH SAYA ADA PERATURAN TETAPI ANAK TIDAK IKUT. KENAPA?”

Anak tidak ikut peraturan kerana,

1) Ibubapa tidak konsisten.
Peraturan hanyalah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Anak tahu ibubapa tidak serius. Jika ibubapa tidak serius tentang nilai, anak-anak juga tidak peduli tentang nilai dan peraturan.
Kita perlu konsisten sehinggalah amalan menjadi tabiat dan tabiat kemudiannya menjadi nilai yang dibawa sampai bila-bila.

2) Apabila anak ikut peraturan, tidak ada apa-apa respon daripada ibubapa.
Tiada pengakuan, tiada senyuman, tiada pujian, tiada ganjaran.
Anak jadi malas dan bosan.

3) Apabila anak tidak ikut, tidak ada apa-apa respon daripada ibubapa.
Tiada ‘consequence’, tiada implikasi kerana tidak ikut peraturan.
Anak tidak hairan.

Peraturan akhirnya hanyalah satu hiasan yang ‘nice to have’ sahaja.

Apabila anak biasa hidup dalam nilai dan peraturan yang ditetapkan di rumah, anak juga akan mengamalkan nilai dan peraturan dalam masyarakat. Insya Allah.
Bukankah kita ingin melihat masyarakat yang lebih bertamadun?
Mulakanlah dari rumah.

Apakah aspek yang memerlukan peraturan di rumah anda?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

7 Perkara Penting Dalam “Mendisiplinkan” Anak

pclogoPerkataan ‘disiplin’ sering membawa konotasi yang negatif bukan sahaja kepada ibubapa malah kepada anak-anak juga. Ada ibubapa yang takut hendak mengaku bahawa mereka mendisiplinkan anak. Ibubapa ini bimbang orang ramai beranggapan bahawa mereka mendera anak-anak mereka. Ada pula anak-anak yang fobia dengan perkataan disiplin sebab apa yang mereka faham, disiplin itu adalah hukuman.

Mendisiplinkan anak-anak sepatutnya :

  1. merapatkan hubungan ibubapa dengan anak. Ibubapaperlu memastikan anak faham bahawa ibubapa mendisiplinkan perbuatan anak dan bukan kerana kita membenci anak tersebut. Disiplin mewujudkan ‘connection’ dan bukannya ‘disconnection’ dengan anak – FOKUS PADA PERILAKU.
  2. mewujudkan rasa hormat anak dan bukannya perasaan memberontak. Ketika mendisiplinkan anak, kita memberikan peluang anak untuk bersuara namun dengan beradab – DENGAR PERSPEKTIF ANAK.
  3. melahirkan dan mengekalkan hubungan yang positif antara ibubapa dengan anak. Proses disiplin perlu berjalan dengan penuh kasih-sayang seperti dengan pujian dan adakalanya ganjaran – POSITIFKAN.
  4. fokus proses disiplin seharusnya berkaitan dengan pembaikan diri ibubapa juga, bukan hanya diri anak. Tingkah laku anak seringkali merupakan cerminan ibubapa sendiri – MUHASABAH DIRI KITA.
  5. mengekalkan air muka ibubapa dan air muka anak. Pastikan kita lebih sensitif kepada persekitaran dan tidak memarahi atau menengking anak di khalayak ramai – JAGA AIR MUKA.
  6. peluang untuk membina skil penyelesaian masalah bagi ibubapa dan anak. Cari solusi agar kesilapan tidak berulang – FOKUS CARI SOLUSI.
  7. disiplinkan anak dengan sikap yang tegas, perlaksanaan yang konsisten, dan jiwa yang penuh empati – DIA TETAP ANAK KITA 🙂
Oleh itu jika kita fahami makna disiplin sebenarnya, ia bukanlah sesuatu yang negatif.
Tukar persepsi kita. Anggaplah ia satu keperluan bukan sahaja untuk membentuk akhlak anak-anak malah yang lebih penting lagi dapat mengeratkan hubungan antara ibubapa dan anak. Ia juga dapat membina skil penyelesaian masalah. Insya Allah.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy