Dalam sesi keibubapaan baru-baru ini, kami berbincang tentang peri pentingnya memberi perhatian kepada anak kerana PERHATIAN ibubapa merupakan keperluan penting anak-anak. Walaupun anak sudah meningkat remaja dan boleh menguruskan diri sendiri, mereka tetap inginkan perhatian dan ‘connection’ dengan ibubapa.
Apa yang berlaku sekarang ini, ramai kanak-kanak dihukum disebabkan tingkah laku mereka, sedangkan mereka adalah anak-anak yang ketandusan dan dahagakan perhatian ibubapa yang tidak memahami perkembangan mereka dan sentiasa sibuk untuk meluangkan masa.
Kredit gambar: Google
Seorang ibu meluahkan cabaran yang dihadapinya. Katanya,
“Kalau ada anak seorang senang, Puan.
Semua tumpuan boleh diberikan kepada dia.
Semua masa boleh diluangkan dengan dia sahaja terutamanya apabila pulang dari kerja.
Anak saya 4 orang. Yang sulung berusia 13 tahun, yang bongsu 2 tahun. Kadang-kadang 2-3 orang mahukan perhatian dengan serentak. Kalau mahukan perhatian dengan perangai elok ‘ok’ juga, Puan, tetapi ada yang mahukan perhatian dengan cara yang menguji kesabaran.”
Soalan ibu:
Kepada siapa harus diberikan perhatian?
Tidak dapat dinafikan, pulang dari kerja dengan waktu yang terhad ditambah lagi dengan kerja rumah bertimbun yang perlu diselesaikan, adalah waktu yang sangat mencabar bagi ibubapa untuk menguruskan anak-anak yang inginkan perhatian.
Ada masanya tingkah laku yang normal bagi kanak-kanak boleh menjadi sesuatu yang sangat mencabar bagi ibubapa kerana tahap kesabaran dan kewarasan yang ada adalah tipis disebabkan oleh pengalaman di tempat kerja dan sebagainya.
Anda perlu menilai sendiri tahap kesabaran dan kewarasan anda ketika itu kerana ini akan menentukan tindak balas anda terhadap tingkah laku anak.
Di sinilah pentingnya peranan dan kerjasama di antara kedua ibubapa.
Jika ayah lebih tenang berbanding ibu pada ketika itu, maka ayah lebih layak menguruskan ‘huru hara’ yang berlaku di rumah dan memberi peluang untuk ibu bertenang seketika. Begitu juga sebaliknya.
KEPADA SIAPA PERHATIAN HARUS DIBERIKAN?
1) Apabila beberapa orang anak meragam serentak kerana inginkan perhatian, berikan tumpuan kepada tingkah laku BIGGIES terlebih dahulu.
Apakah BIGGIES?
(BIG – besar).
BIGGIES adalah tingkah laku yang
1) membahayakan diri sendiri
2) memudaratkan orang lain di sekeliling ataupun
3) merosakkan harta benda
Tingkah laku BIGGIES boleh berlaku atas pelbagai sebab. Mungkin kerana isu kesihatan, kerana kurang kematangan, kerana inginkan autoriti ataupun kerana sudah lama tagihkan perhatian.
Tingkah laku mencari perhatian yang mempunyai unsur-unsur ini harus diberi perhatian terlebih dahulu kerana ia memudaratkan dan boleh membahayakan jika diabaikan.
Contohnya anak yang melompat atau memanjat di balkoni rumah kerana inginkan perhatian atau anak yang cuba menyakitkan adik kerana tahu ibu akan beri tumpuan ataupun anak yang menghempas pintu bilik berkali-kali kerana mengamuk.
Dalam kita memperbetulkan tingkah laku BIGGIES ini, kita juga secara tidak langsung mendidik mereka menjadi individu dalam masyarakat yang tidak mendatangkan mudarat kepada orang lain dan juga harta benda awam walaupun mereka mempunyai konflik dalaman diri. Sifat Ini harus dipupuk dari dalam keluarga.
Ibubapa juga harus menetapkan PERATURAN DAN HUKUMAN di rumah bagi membendung BIGGIES ini dari berlaku.
2) SMALLIES (SMALL- remeh) atau tingkah laku yang kurang mudarat boleh diuruskan kemudiannya. Antara contoh SMALLIES adalah merengek, meraung atau tantrum tanpa mengeluarkan air mata, ‘mogok lapar’, dan merajuk kerana inginkan perhatian.
TIDAK memberi perhatian pada SMALLIES akan mengurangkan SMALLIES lama kelamaannya kerana anak sedar bahawa ibubapa tidak akan mengalah kepada perkara yang remeh.
Perkelahian di antara adik beradik juga boleh dikategorikan sebagai SMALLIES. Anak-anak perlu dilatih untuk menguruskan konflik sesama mereka dengan sendiri asalkan ia tidak melibatkan peralatan yang membahayakan.
Satu kelebihan mempunyai anak yang ramai adalah, mereka boleh dilatih untuk saling membantu dan mengasuh antara satu sama lain. Ini juga adalah skil yang harus dipupuk.
PERHATIAN BAGAIMANAKAH HARUS DIBERIKAN?
Terdapat 2 jenis perhatian
1) PERHATIAN NEGATIF
2) PERHATIAN POSITIF
PERHATIAN NEGATIF
Pernahkah ibubapa melalui situasi di mana semakin ditegur, semakin dilarang, semakin dibebel, semakin dimarah, semakin anak melakukan perkara yang sama?
Ia seumpama mencurah air ke daun keladi.
Kenapakah begitu?
Sesetengah anak mencari perhatian melalui tingkah laku yang negatif.
Ini dilakukan kerana anak tidak mendapat perhatian ibubapa melalui tingkah laku positif yang dipamerkannya sebelum ini.
Mungkin ibubapa tidak sedar atau mungkin ibubapa hanya fokus pada yang negatif sahaja untuk diperbetulkan.
Ibubapa perlu tahu bahawa PERHATIAN NEGATIF ibubapa adalah satu bentuk GANJARAN dan BUKAN HUKUMAN. Ganjaran akan mendorong anak untuk mengulangi tingkah laku negatif ini kerana dia mendapat perhatian.
Perhatian negatif mengajar anak menjadi manipulatif dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dimahukannya walaupun dibebel, dimarah atau dipukul sekalipun.
PERHATIAN POSITIF
Di sebalik kekurangan setiap anak akan ada kelebihan dan kebaikannya.
Jika ibubapa memberikan PERHATIAN POSITIF dengan mencari kebaikan dan kelebihan anak, nescaya semakin banyak tingkah laku positif yang akan ditunjukkan anak kerana tingkah laku tersebut dihargai dan diiktiraf.
Jika selama ini kita boleh berusaha memberi PERHATIAN NEGATIF, maka kita juga boleh berusaha memberi PERHATIAN POSITIF untuk memperbaiki keadaan.
PERINGATAN:
Harus juga diingat, disebabkan kekangan masa dan tenaga, adakalanya kita terlalu fokus kepada anak yang memberi cabaran kepada kita sehinggakan kita mengabaikan anak-anak yang baik dan menurut kata. Berikan juga perhatian dan penghargaan kepada anak-anak ‘baik’ ini kerana pengabaian boleh menimbulkan rasa cemburu, rasa tidak senang dan rasa tidak berpuas hati di kemudian hari.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/