Leka 3 Saat. Keselamatan Anak-anak

Leka 3 saat sahaja.
Lagi lagi telefon.

Kejadian yang diberitakan berlaku di negara China ini patut menjadi pengajaran buat kita juga kerana menjadi trend kini di kalangan ibubapa dan datuk nenek untuk menyediakan kolam mandi ‘inflatable’ yang dipasang di rumah.

Pemantauan setiap saat adalah sangat penting apabila kita membenarkan kanak-kanak berada di dalam air. Jika dari dulu lagi kecelakaan berlaku, apatah lagi sekarang ini dengan kewujudan telefon pintar yang menjadikan orang dewasa kurang pintar dalam mengawas.

Tahukah anda, kanak-kanak boleh lemas walaupun dalam air sedalam 5 cm sahaja? Ya 5 cm, bukan 5 kaki.

Biasa dengar berita tentang anak yang lemas dalam baldi?

Di Australia, 1 dalam 5 kanak-kanak yang lemas adalah yang menggunakan kolam mandi ‘inflatable’.

Kids Health Australia menjalankan kempen yang dikenali sebagai ‘Kids drown without a sound’ (Kanak-kanak lemas tanpa suara) bagi mewujudkan kesedaran tentang keselamatan kanak-kanak ketika bermain di air. Kanak-kanak yang lemas tidak boleh bersuara meminta tolong.

Pantaulah dan berpesan-pesanlah.

Jika kita tidak sanggup berpisah dengan telefon walau sesaat, jangan biarkan anak di dalam air kerana risiko kita akan ‘berpisah’ dengan anak adalah sangat tinggi.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

10 Sebab Alam Sekitar Penting Untuk Kanak-Kanak (Dan Orang Dewasa)

Berdasarkan kajian:

  1. Kanak-kanak yang kerap bermain dalam alam semulajadi mempamerkan keupayaan motor yang lebih maju termasuk koordinasi, keseimbangan dan ketangkasan. Mereka juga jarang jatuh sakit (Grahn, et al. 1997, Fjortoft & Sageie 2001).
  2. Apabila kanak-kanak bermain dalam alam semulajadi, permainan mereka lebih pelbagai dengan imaginasi dan kreativiti yang menggalakkan perkembangan bahasa dan skil kolaborasi. (Moore & Wong 1997, Taylor, et al. 1998, Fjortoft 2000).
  3. Pendedahan kepada alam sekitar memupuk perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memperbaiki tahap kepekaan, penaakulan dan pemerhatian (Pyle 2002).
  4. Alam sekitar mengurangkan kesan tekanan ke atas kanak-kanak dan membantu mereka menghadapi kesukaran. Semakin banyak pendedahan pada alam, semakin besar manfaatnya (Wells & Evans 2003).
  5. Bermain dalam persekitaran yang pelbagai mengurangkan risiko dan kecenderungan dibuli dan membuli (Malone & Tranter 2003).
  6. Alam semulajadi mewujudkan ketenangan dengan melahirkan rasa bersatu dengan alam dan persekitaran (Crain 2001).
  7. Pengalaman awal dengan alam semulajadi mempunyai perkaitan yang positif dengan perkembangan imaginasi dan perasan ingin tahu (wonder) (Cobb 1977, Louv 1991).  Rasa ingin tahu adalah motivasi untuk pembelajaran yang berterusan seumur hidup (Wilson 1997).
  8. Kanak-kanak yang bermain di luar mempunyai perasaan yang lebih positif terhadap satu sama lain (Moore 1996).
  9. Alam semulajadi memupuk interaksi sosial antara kanak-kanak (Moore 1986, Bixler et al. 2002).
  10. Persekitaran luar adalah penting untuk membina autonomi dan keupayaan untuk berdikari (Bartlett 1996).

Adakah anda memerhatikan kesan-kesan ini pada anak-anak anda?
Orang dewasa juga perlu keluar berinteraksi dengan alam sekitar untuk mengurangkan tekanan.

 Video:
5 September 2018
Anak kecil dalam cuaca panas terik 42 darjah Celsius kota Mekah tetap teruja dan aktif berinteraksi dengan alam sekitarnya.
Tanpa gajet.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Ibu & Tidur

Ibu-Ibu letih kurang tidur?
Anda tidak keseorangan.

New parents lose sleep

Menurut kajian Assistant Professor Sullivan dari College of Public Health Georgia Southern University, Ibu kehilangan:

2 jam tidur setiap malam apabila anak berusia 0-5 bulan.
1 jam tidur apabila anak berusia 5 Bln-2thn.

Kajian Di UK pula mendapati Ibu kehilangan 44 hari tidur dalam tahun pertama usia anak.

Patutlah ibu keletihan.

KESAN KURANG TIDUR KRONIK:

1) Meningkatkan risiko kemalangan
2) Mengganggu keupayaan untuk fokus (mengingatkan saya pada sindrom tertinggal anak dalam kereta)
3) Prestasi kerja menurun
4) Gangguan kesihatan
5) Penambahan berat badan (hmm…tahulah kita kenapa ya)

Ramai ibu yang berjaya merancang tidur yang lebih baik apabila:

SUAMI turut sama mengambil giliran mengasuh dan menguruskan anak.

Semoga ayah dan ibu bekerjasama untuk mengelakkan mudarat ke atas anak dan keluarga.

Membesar dan mendidik anak adalah tanggungjawab bersama.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Checklist Buat Ibubapa Dan Penjaga Tentang Keselamatan Anak

Pemilik, pengusaha, pengasuh dan pendidik di taska, tadika, pusat perkembangan kanak-kanak dan sekolah yang bertanggungjawab adalah:

  1. Mereka yang dengan pantas akan memberitahu ibubapa jika sesuatu kecederaan atau kemalangan berlaku kepada anak-anak di bawah jagaan mereka.
  2. Mereka tidak menyembunyikan walaupun kecederaan atau luka yang ringan pada anak-anak.
  3. Mereka tidak tunggu sehingga ibubapa bertanya kenapa ada luka-luka atau lebam-lebam di badan anak.
  4. Mereka tidak tunggu sehingga ‘dikantoikan’ oleh ibubapa atau penjaga barulah tergagap-gagap hendak mencari punca.
  5. Mereka mempunyai polisi yang jelas tentang perlindungan dan keselamatan kanak-kanak di premis mereka yang dikongsi dan dihebahkan kepada ibubapa ketika pendaftaran.
  6. Mereka memastikan ibubapa faham akan polisi ini dengan meminta ibubapa menandatangani surat sebagai pengesahan.
  7. Mereka sentiasa peka tentang kebajikan, kesihatan dan keselamatan anak-anak di bawah jagaan mereka.
  8. Mereka sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi memastikan keselamatan fizikal, emosi dan mental anak-anak di bawah jagaan mereka terjaga.

ADAKAH TASKA/TADIKA/SEKOLAH ANAK ANDA MEMPUNYAI CIRI-CIRI DI ATAS?

Pengasuh dan pendidik di taska, tadika dan pusat perkembangan kanak-kanak yang mendera kanak-kanak di bawah jagaan mereka terdiri daripada:

  1. Mereka yang percaya bahawa kanak-kanak perlu disakiti dan dicederakan sebagai kaedah untuk mendidik.
  2. Mereka yang percaya hanya hukuman fizikal yang paling sesuai dan efektif untuk mengubah tingkah laku anak.
  3. Mereka yang membesar atau tinggal dalam persekitaran yang ganas dan tidak harmoni.
  4. Mereka yang menggunakan kaedah yang sama ke atas anak-anak kandung/tiri/angkat mereka sendiri di rumah.
  5. Mereka yang tidak tahu kaedah lain selain hukuman fizikal.
  6. Mereka tidak faham perkembangan kanak-kanak.
  7. Mereka tidak melalui latihan yang sepatutnya dan secukupnya tentang penjagaan, pendidikan, perlindungan dan keselamatan kanak-kanak.
  8. Mereka yang tertekan atau mengalami masalah kesihatan mental yang memerlukan rawatan.

SANGGUPKAH ANDA MELETAKKAN ANAK-ANAK DI BAWAH JAGAAN MEREKA?

IBUBAPA:

  1. Jika anak dengan KONSISTEN tidak suka ke taska, tadika atau sekolah, siasatlah dulu kenapa. Janganlah terus dipaksa anak juga hanya kerana anda sudah lewat ke tempat kerja atau kerana anda perlu bekerja.
  2. Jika terdapat luka-luka dan lebam pada badan anak tetapi pengasuh atau pendidik tidak memberitahu anda ataupun tidak tahu kenapa, maka anda perlu merasa curiga.
  3. Jika anak menceritakan sesuatu yang tidak baik berlaku di taska, tadika atau sekolah, jangan terus didiamkan anak. Wujudkan juga rasa curiga dan tertanya-tanya dalam diri untuk menyiasat.
  4. Jika anak anda berkelakuan ganas atau menuturkan perkataan yang tidak elok, pantaulah juga keadaan dan budaya di taska/tadika kerana anak-anak akan meniru perbuatan yang mereka lihat dan dengar.

JANGAN TUNGGU SEHINGGA TERHANTUK BARU TERNGADAH.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/