You Only Have One Family…

“Every family has its issue but you only have one family.”
Kata-kata yang dipetik dari filem ‘Family Man’.

keluarga.JPG

Setiap keluarga mempunyai cabaran dan masalahnya yang tersendiri tetapi itulah satu-satunya keluarga yang kita ada. Kita tiada pilihan untuk tidak mempedulikannya. Jika selama ini kaedah yang kita gunakan tidak berjaya ataupun mungkin kita tiada apa-apa kaedah tertentu untuk membimbing keluarga dan anak-anak, sedarlah segala perubahan yang ingin kita lakukan untuk kebaikan keluarga dan anak-anak akan mengambil masa. Kita mungkin juga akan menerima tentangan.

Jika latihan untuk solat mengambil masa 3 tahun untuk diterapkan dalam diri anak sebelum tindakan keras boleh diambil apabila menjangkau usia 10 tahun, begitulah panduan betapa lamanya kita perlu bersabar dan konsisten dengan setiap bimbingan yang ingin kita berikan. Bimbingan ini tidak terhenti di situ sahaja, ia perlu berterusan dengan berpesan-pesan, selagi kita bernama ibubapa.

Perubahan dan bimbingan perlu

1) Sabar
2) Konsisten
3) Pengulangan

Masalahnya kadang-kadang bukannya dengan anak, tetapi dengan diri kita sendiri yang tidak konsisten dan tidak sabar. Sekejap kata “tidak”, sekejap kata “boleh”. Bila kita sibuk dan letih, kita pun jadi permisif, “Buatlah apa yang kamu suka, mintalah apa yang kamu mahu, Ayah letih, Ibu letih.”
Tidak konsisten.
Anak lantas mengambil kesempatan.
Kemudian kita juga yang kecewa dan berang dengan anak.

Kadang-kadang anak bukannya sengaja. Ada yang berbeza daripada anak-anak lain. Mereka perlu bantuan pakar seperti terapis, psikologis atau psikiatris untuk membantu mereka supaya lebih tenang dan teratur. Di sini juga kita perlu

1) Sabar
2) Konsisten
3) Pengulangan

dalam memberi sokongan dan bimbingan kepada anak-anak ini.

Sebarang perubahan tidak akan berlaku semalaman.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Ayah dan Ibu, Berdamailah

tenang

Kewarasan dan ketenangan diri ayah dan ibu sangat penting dalam membesarkan dan mendidik seorang anak.

Berdamailah dengan diri sendiri.
Berdamailah antara suami isteri.
Berdamailah dengan keluarga.
Berdamailah dengan mertua dan ipar duai.

Adakah benar masalah yang kita hadapi adalah dengan anak ataupun masalahnya adalah kerana diri kita sendiri tidak damai dan tidak tenang?

Jujurlah dengan diri sendiri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Pembelajaran di Usia Awal Terlalu Penting

Sedarkah anda, tidak ada lebih banyak pembelajaran (learning) yang berlaku dalam hidup seorang manusia berbanding pembelajaran ketika usia awal?

childdev

Kredit Imej: amazon

Ketika usia ini kita (dan juga anak-anak kita) belajar untuk
* guling
* meniarap 
* merangkak
* berdiri
* meniti
* bertatih
* berjalan
* makan
* buang air
* berlari
* baling
* sambut
* jengket
* lompat
* panjat
* berpakaian
* berkawan

dan pelbagai lagi tumbesaran atau ‘milestone’ yang dipelajari dan dicapai oleh anak-anak pada peringkat usia ini. Jika dirujuk pada carta atau senarai ‘milestone’ seorang manusia, peringkat usia inilah senarainya berderet-deret panjangnya.

Bagaimana anak usia awal ini belajar untuk mencapai ‘milestone’ tersebut?

Anak-anak usia ini mempunyai kecenderungan semulajadi untuk belajar tanpa paksaan dan tanpa perbandingan. Ingatkah lagi riak wajah anak ketika dia berupaya untuk mengorak langkah walau setapak? Ingatkah lagi kegembiraan dan senyuman di wajahnya apabila kita bersorak kerana dia berjaya? Ingatkah lagi keazamannya dan betapa dia tidak berputus asa untuk bangun kembali untuk berjalan walau terjatuh, waima terhantuk sekalipun?

Ingatkah lagi betapa nekadnya anak menyelesaikan sesuatu yang diminatinya walaupun tidak sempurna?

Kenapa begitu?

Ini kerana mereka tidak gentar dengan cabaran. Mereka menjadi semakin berani dan yakin apabila adanya sokongan, sorakan, pelukan dan ciuman yang kita berikan apabila mereka berjaya walaupun mengorak satu langkah kecil.

Mereka bersemangat jitu untuk belajar bagi mencapai matlamat.
Mereka tidak takut berbuat silap.
Mereka tidak gentar akan kegagalan.
Mereka tidak tercuit dengan sebarang perbandingan.
Mereka egosentrik – ‘saya adalah saya.’
Mereka tidak merasa kurang cerdik atau kurang pandai berbanding kanak-kanak lain.
Mereka mendepani proses pembelajaran dengan semangat dan tanpa merasa goyah dengan keupayaan diri sendiri untuk mengharungi cabaran.

Sebelum mereka memasuki alam persekolahan, mereka dimotivasikan dengan cabaran yang bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka dan bukannya dengan perbandingan, habuan ataupun gred.

Jangan dimatikan semangat untuk belajar ini dengan kaedah yang tidak bersesuaian.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Untunglah Anak Dah Besar?

Bagi yang berkata “Cepatlah anak besar” ataupun “Untunglah anak dah besar” kerana mengandaikan bahawa anak yang sudah besar adalah sinonim dengan kemudahan dan ketenangan dalam menjadi ibubapa, kajian membuktikan bahawa andaian anda adalah tidak tepat.

growing

Ibu-ibu kepada anak yang berusia 10-13 tahun (rendah atas) didapati paling tertekan dalam proses keibubapaan, diikuti oleh ibu-ibu kepada bayi. Bayi masih boleh dikawal 100% oleh ibu bapa tetapi anak usia pra remaja tidak lagi.

Ini disebabkan oleh perubahan pada sikap anak yang memasuki fasa usia tersebut yang sukar difahami, tidak seperti ketika zaman kanak-kanak mereka. Ibu-ibu (dan ayah juga saya pasti) tertekan memikirkan sejauh manakah kebebasan yang harus diberikan kepada anak agar layang-layang berupaya terbang tinggi tanpa terputus talinya.

Jika terdapat banyak page Facebook dan laman web yang memberi panduan dan sokongan kepada ibubapa kepada anak-anak usia awal (early years), cabaran anak-anak pra remaja dan remaja agak kurang dibincangkan.

Sistem sokongan yang kuat perlu bagi ibubapa kepada anak-anak usia pra remaja dan remaja bagi mengurangkan beban tekanan yang dihadapi ibubapa dalam memahami konflik dalam diri anak-anak ini.

Ada di kalangan anak-anak ini yang membawa bebanan dari kecil dan memberontak disebabkan faktor tersebut.

Adakah anda ibu dan ayah kepada kedua-dua anak usia 10-13 tahun dan juga bayi?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Beruntunglah Ibubapa Bila Anak Mengingatkan

solat

Kredit Gambar: Masjidku

Bersyukurlah jika kita dianugerahkan anak yang sering mengingatkan kita tentang kealpaan kita.

Anak yang mengingatkan kita tentang solat.
Anak yang mengingatkan kita tentang bahasa pertuturan kita.
Anak yang mengingatkan kita supaya bersabar.
Anak yang mengingatkan kita tentang riak dan kesombongan kita.
Anak yang mengingatkan kita tentang pakaian kita.
Anak yang mengingatkan kita untuk bersyukur dengan rezeki yang ada.
Anak yang mengingatkan kita untuk membantu orang yang memerlukan.
Dan anak yang mengingatkan kita tentang kematian.

Anak adalah ujian dan anak juga adalah rahmat buat kita. Kita bukan sahaja mendidik anak, anak juga banyak mendidik kita untuk menjadi insan yang lebih baik dan bertakwa.

Lapangkanlah dada menerima peringatan dan nasihat daripada anak walaupun anak itu adalah anak kecil kerana bukankah didikan kita jugalah yang menjadikan anak sebegitu?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

AEON Tebrau – Pokok Pangkalnya Adalah Empati (Empathy)

aeon

Kredit Gambar: NST

Empati adalah keupayaan manusia untuk mengenalpasti, memahami dan menyelami perasaan dan kesusahan orang lain.
Adanya empati ini membantu manusia untuk memiliki tingkah laku prososial yang datangnya dari dalam diri sendiri dan tanpa dipaksa oleh sesiapa. Empati inilah yang menjadikan manusia bertamadun sifatnya.

Sifat ini bermula dari kecil lagi. Banyak kajian menunjukkan ia bermula dari peringkat usia awal kanak-kanak.
Inilah usia kritikal di mana tingkah laku prososial dipupuk sehingga terpateri di jiwa seorang insan sebagai satu nilai.
Inilah usia kritikal bila mana sel-sel otak atau jaringan neural terbentuk. Apabila jaringan neural yang membentuk empati ini dihubungkan dari kecil melalui aktiviti-aktiviti yang menggalakkannya dan berterusan digalakkan oleh ibubapa dan guru untuk diamalkan oleh anak-anak, sifat empati ini akan kekal sehingga tua. Tetapi kiranya dipupuk waktu kecil tetapi tidak diamalkan, jaringan neural ini akan dicantas apabila memasuki usia remaja bilamana otak manusia melalui proses penstrukturan semula.

Menurut kajian psikologi ada banyak sebab empati ini boleh hilang atau tidak pernah ada langsung dalam diri seseorang. Walau bagaimanapun saya tertarik dengan satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji dari University of Cardiff dan dibentangkan di konferens tahunan Society for Endocrinology pada tahun 2016.

Dalam kajian tersebut, mereka menganalisa tingkah laku pesakit-pesakit yang menghidap penyakit yang menyebabkan turunnya paras hormon oksitosin. Hormon oksitosin ini juga dikenali sebagai ‘love hormone’ atau hormon kasih sayang. Sejurus selepas lahir, kita mendapat bekalan oktison atau hormon kasih sayang ini daripada sentuhan dan belaian ibu kita dan juga melalui susu ibu. Sesungguhnya kasih sayang dan ibu tidak dapat dipisahkan.

Walau bagaimanapun, setelah dikaji, pesakit-pesakit yang mempunyai kadar oksitosin yang rendah ini juga didapati tidak dapat menyempurnakan tugasan yang melibatkan empati atau memahami perasaan orang lain, dengan baik. Pengkaji mencadangkan agar mereka diberikan penambahan ataupun gantian oktison untuk membantu kesihatan psikologi mereka supaya dapat dikembalikan empati itu dalam diri mereka.

Bila dikaitkan kajian tersebut dan kejadian di AEON Tebrau semalam, maka marilah kita cukupkan malah limpah ruahkan kasih sayang kepada anak-anak kita supaya mereka membesar malah menua sebagai generasi yang mempunyai empati yang tinggi terhadap orang lain. Anak-anak memerlukan banyak sentuhan, pelukan dan ciuman tidak kiralah lelaki atau perempuan, kecil, remaja atau dewasa. Tidak ada hukum yang mengatakan haram memeluk dan mencium anak sebagai seorang ayah dan ibu yang waras akal fikirannya.

Galakkan anak-anak kita supaya banyak berinteraksi dengan manusia dan bukannya dengan mesin supaya mereka lebih peka dan memahami perasaan dan kesusahan manusia.

Kiranya berlaku lagi kejadian seumpama di AEON Tebrau satu hari nanti, anak kita yang mempunyai empati yang tinggi ini akan berfikir :
“Kasihan dengan pekerja-pekerja di sini. Aku tidak boleh menyusahkan mereka. Mereka juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan.”

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Link berita: https://www.nst.com.my/news/nation/2018/04/356368/aeon-tebrau-city-left-shambles-after-tmj-sponsored-shopping-binge

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Pujian Seumpama Gula

Pujian seumpama gula; memadailah secukup rasa kerana berlebihan ada mudaratnya.

sugarcubes

Kredit Imej: Google

Pujian kepada anak mestilah kerana usaha yang dilakukan walaupun langkah yang kecil. Apabila memfokuskan pada usaha, anak tahu usaha itu tiada habisnya. Dia boleh terus berusaha. Jika difokuskan pada hasil, keyakinan diri akan goyah kiranya tidak berhasil.

‘Man Jadda Wa Jadda’ – Siapa yang bersungguh-sungguh pasti akan mendapatkan hasil. 
Insya Allah.

Kalau jatuh, bangun kembali berusaha.
Kalau kecewa, bangkit kembali berusaha.

Sebut apa usaha yang telah dilakukan, bukannya
“Well done”
“Good Girl”
“Pandainya”
“Cantiknya”

Pujian sebegini tidak menggalakkan usaha seterusnya kerana anak merasakan dia telah mencapai kesempurnaan.

Kenapa “Well done”? Perincikan dan sebut apakah usahanya yang menyebabkan “well done” itu.

Biar anak bangga dengan diri sendiri kerana usahanya.

“You should be proud of yourself” bukannya “I am proud of you” kerana yang berusaha itu adalah dia.

Sekali-sekala berkata “I am proud of you” bolehlah juga tetapi berilah kredit dan pengiktirafan pada usahanya, bukannya bergantung kepada perasaan kita semata-mata.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Bila Anak Menangis; MANUSIA vs MESIN

pelukanak

Berbeza kaedah ibubapa dan persekitaran dahulu dan sekarang dalam membentuk kelekatan atau attachment dengan anak.

Dahulu bila anak menangis, ayah ibu layan anak, dodoikan, zikir, menyanyi, bawa jalan pusing kampung, alihkan pandangan anak dengan aktiviti alami.

Sekarang ini bila anak menangis dihulurkan gajet, pasangkan tv, mainkan lagu bukan nyanyian ayah atau ibu.

Kalau dahulu waktu distres adalah waktu di mana anak berhubung dengan manusia (ibubapa) secara langsung, sekarang pula waktu distres adalah waktu di mana anak dihubungkan dengan mesin.

Jika perkaitan itu longgar dari awal, maka penerapan nilai juga menjadi lebih sukar.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Al-Hijrah TV – Restu Dua Hala

alhijrah2

Setiap apa yang dilakukan oleh anak perlu diiringi dengan restu dan doa ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah SWT.
Bagaimana pula dengan ‘restu’ anak?
Adakah ibu bapa perlukan ‘restu’ anak?
Apakah ‘restu’ itu membawa maksud yang berbeza dari perspektif dan perkembangan seorang anak?

Berjumpa kita sekali lagi di
Rancangan ‘ASSALAMUALAIKUM’ – TV Al Hijrah
untuk membincangkan topik ini. Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect